Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Kebangkitan Boron Penang

Siapa kata Pulau Pinang tiada tong gas? Double strike pulak tu!

‘Tong Gas’ atau lebih dikenali dengan jolokan ‘Boron’ di Pulau Pinang sememangnya idaman setiap jigger tegar di Semenanjung Malaysia. Namun sang kerapu hijau besar ini lebih biasa dinaikkan di perairan Pulau Jarak berbanding perairan Pulau Pinang yang agak berdekatan. Apakah Boron Pulau Pinang tidak makan besi? Marilah kita sama-sama buktikannya!

Teks & Fotografi : WONG KOK PING, LEE CHEE SEN

Saya yang tinggal di Taiping sentiasa turun ke perairan Pulau Pinang yang berdekatan tempat tinggal saya. Spot paling popular untuk pancingan laut di sana merupakan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang kaya dengan spesies jenahak, senangin dan kerapu. Namun kerapu hijau di sana kebanyakannya kecil-kecil belaka. Untuk mencapai rekod peribadi, saya terpaksa turun ke Sitiawan untuk menduga lubuk ‘tong gas’ yang terkenal di sana.

Setelah berkali-kali mencuba, akhirnya saya berjaya menaikkan seekor kerapu dalam 20 paun beratnya. Namun teman-teman saya tidak mengiktiraf kerapu itu sebagai ‘tong gas’ kerana ia belum mencecah 10 kg, piawaian untuk tafsiran status ‘tong gas’ depa. Aduh sedihnya! Walau bagaimanapun, tentangan kerapu besar yang amat padu itu telah menukar persepsi saya terhadap kerapu yang biasanya dianggap lemah-lembut.

Bot pancing yang mencetuskan kegilaan boron di Pulau Pinang.

Membongkar Rahsia Boron Penang

Biarpun perairan Jarak dianggap lubuk terbaik buat kerapu hijau mega, namun dalam hati saya tetap memikirkan perairan Pulau Pinang yang lebih berdekatan dengan Taiping. Bukankah di perairan Pulau Pinang pun sentiasa kedengaran berita kemunculan kerapu mega sehinggakan kertang seberat ratusan kilogram?

Habis mengapa peminat-peminat jigging perlahan Pulau Pinang sanggup bertandang jauh ke Sitiawan pula? Mungkinkah kerapu Pulau Pinang hanya berminat terhadap umpan segar pada waktu siang sahaja? Atau pun kekurangan bot pancing khas untuk jigging perlahan?

Setelah membuat penyelidikan, didapati tekong dan pemancing Pulau Pinang masing-masing lebih mementingkan habuan yang lumayan. Justeru mereka lebih suka memancing dengan kekili elektrik. Lebih-lebih lagi lubuk kerapu di sana kebanyakannya merupakan kawasan berterumbu. Jig sentiasa tersangkut sebelum sempat dijumpai tong gas. Jika dimakan kerapu pun belum pasti dapat menaikkannya, selain bernasib baik tali tidak putus.

Sehinggalah terima khabar dari Khairul selaku tekong muda bot pancing di Nibong Tebal dan juga sahabat lama saya, barulah projek mencabar tong gas Pulau Pinang mula menyalakan harapan. Menurut beliau baru-baru ini pelanggannya telah berjaya menaikkan banyak kerapu besar dengan hanya bersenjatakan jig di perairan Pulau Pinang dengan habuan terbesar seberat 18 kg!

Perlawanan bertambah syok apabila dilayan dengan peralatan ringan.

Di sini kerapu besar terdapat jolokan tersendirinya iaitu ‘boron’ yang berasal dari berkataan ‘boroi’ yang bermaksud perut buncit. Cocok sekali dengan kerapu mega yang berperut besar!

Apa yang lebih menarik perhatian saya ialah boron-boron tersebut semuanya dinaikkan dengan peralatan ringan sahaja. Berbeza dengan kefahaman saya terhadap kerapu mega Pulau Pinang sebelum ini di mana otai-otai pancingan dasar biasanya menggunakan kekili elektrik, peralatan super heavy atau koyan dengan tali sekasar 300 paun untuk menangani boron. Itu pun belum tentu boleh menaikkan boron yang mendiami terumbu karang atau kapal karam yang merbahaya. Sekarang si gemuk ini pula berjaya ditumbangkan hanya dengan peralatan ringan sahaja. Gila!

Memahami Tabiat Boron

Setelah menerima berita yang cukup memberangsangkan ini, saya dengan serta-merta telah mengaturkan sebuah trip boron dengan Khairul. Sebelum itu, saya telah menjalankan sedikit kajian terhadap spesies demersal ini agar lebih memahami tabiatnya dengan harapan untuk mendapat lesen tong gas tulen kali ini.

Kerapu unjam 24 paun yang memperbaharui lesen tong gas saya.

Menurut kajian, kerapu yang telah matang biasanya akan memilih perairan berair jernih dengan bentuk muka bumi yang kompleks dengan kedalaman 60 – 100 meter untuk dijadikan tempat tinggalnya. Mereka hanya akan berhijrah ke kawasan cetek, tetapi tidak kurang daripada 30 meter jika berlakunya pertukaran cuaca atau menjelang musim bertelur. Justeru kerapu hijau yang dinaikkan di perairan sekitar 20 meter kebanyakannya bersaiz kecil.

Berdasarkan lubuk-lubuk kerapu hijau popular di Semenanjung, waktu terbaik untuk memburu boron atau tong gas ialah antara bulan Ogos hingga Disember. Waktu ini juga merupakan musim bertelur spesies ini. Setelah bertelur, seleranya akan bertambah dan sifatnya pun akan bertukar menjadi agresif. Selain pergi mencari makanan di kawasan yang berdekatan, mereka jarang meninggalkan sarang masing-masing (kapal karam atau struktur yang lain).

Lubuk Botak?

Lantaran halangan angin barat daya, trip menduga boron dengan bot Khairul telah ditangguh sebanyak tiga kali barulah kami berjaya sampai ke spot boron kira-kira dua minggu kemudian. Rupa-rupanya spot ini adalah sebuah kawasan unjam yang terletak kira-kira dua jam perjalanan jika bertolak dari Pulau Pinang. Lubuk boron yang berkedalaman 70 – 90 meter lebih ini kelihatan rata sahaja apabila dipantau melalui skrin sonar, tidak seperti anggapan saya akan sebuah kawasan yang berlubang atau berbukit.

Agaknya si boron bersembunyi di kawasan cenuram di antara dalam dan cetek kot? Tetapi mungkinkah boron suka dengan kawasan seperti ini? Kemusykilan kami dengan cepatnya telah memperolehi jawapan apabila kerapu hijau berjaya dinaikkan seekor demi seekor sebaik sahaja pancingan dimulakan.

Saya yang bernasib baik sekali lagi memperbaharui lesen boron peribadi dengan habuan seberat 24 paun bersenjatakan Storm Slow Rocker 120 gram. Ini kali barulah layak dapat lesen tong gas yang sebenarnya, haha!

Jig seberat 120 gram sudah memadai untuk beraksi di lubuk boron.

Peralatan Ringan vs Boron, Ada Benar?

Seperkara yang saya ingin berkongsi di sini ialah bersangkutan kegunaan peralatan ringan untuk menduga sang boron di perairan Pulau Pinang. Memang benar joran selembut PE 2 pun sudah memadai untuk menumbangkan boron sebesar belasan kilogram di sini lantaran tiada objek berbahaya di sekitar unjam tersebut, melainkan pemberat unjam yang terpacak di dasar berlumpur. Lantaran tidak bimbang boron akan menjunam ke struktur berbahaya, bolehlah kita melayan gergasi ini dengan daya tegangan sederhana bagi menghayati tarikan padunya.

Tidak kurang juga tenggiri yang menguasai unjam ini termasuk ketambak yang berkongsi habitat dengan kerapu.

Selain lubuk unjam di Pulau Pinang ini, di kawasan pinggiran Pulau Jarak pun terdapat lubuk tong gas yang kelihatan rata tanpa sebarang struktur, melainkan lubang yang berlumpur putih sahaja. Banyak juga kerapu hijau raksasa yang telah berjaya dinaikkan di sini dengan bersenjatakan peralatan ringan sahaja.

Ramai pemancing telah mendapat lesen tong gas mereka di sini. Bila pula giliran anda?

Jig Menang bubu?

Menurut Khairul, selain kawasan unjam, boron Pulau Pinang juga dijumpai di terumbu karang yang menjadi sasaran nelayan bubu. Secara logik, populasi kerapu seharusnya berkurangan setelah sekian lama menghadapi ancaman bubu. Namun ia masih lagi mengekalkan bilangan yang banyak.

Barangkali mereka telah lali dengan bubu kot? Satu lagi kemungkinan ialah boron yang dinaikkan di sini semata-mata berhijrah dengan tujuan bertelur dan akan kembali ke tempat tinggal asalnya setelah tamatnya musim bertelur. Namun itu pun setakat anggapan sahaja.

Satu lagi fenomena yang agak ganjil ialah di kawasan tersebut sentiasa terdapat bot pancing yang menjalankan pancingan dasar, namun jarang mendapat kerapu hijau saiz boron. Sebaliknya jig besi pula yang menjadi, pelik kan?

Walau bagaimanapun, satu perkara yang boleh dianggap benar ialah perairan Pulau Pinang sememangnya lubuk terbaik untuk memburu tong gas (yang lebih teruk lagi ialah jetinya dekat dengan rumah saya, haha). Saya telah pun berjaya mendapat lesen tong gas peribadi di sini.

Perambut fluorocarbon 40 – 50 paun diperlukan apabila memerlukan masa yang lebih panjang unruk menaikkan boron dengan peralatan ringan.

Bagaimana pula anda yang masih lagi memegang peralatan pancing dasar? Datanglah ke Pulau Pinang pula sambil makan laksa sambil pancing si boron!

*Servis bot pancing : Khairul Nua : 019-446 5528