Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Kebangkitan Light Jigging!

Demudok besar biarpun kuat daya saingannya namun jauh ketinggalan apabila berbanding dengan demudok bulat.

Setelah bertandang ke beberapa lubuk di laut cetek sepanjang Pantai Timur Semenanjung, saya terasa bimbang dengan pancingannya yang semakin merosot. Sehingga pernah saya membayangkan alangkah bagusnya jika masa dapat berundur ke belasan tahun yang lalu. Impian saya tercapai apabila berpeluang jigging di Kepulauan Riau, Indonesia yang berdekatan dengan negara kita dengan pancingannya yang lebih hebat lagi berbanding Malaysia pada belasan tahun dahulu!

Teks & Fotografi: Pak Wong

Sejarah teknik jigging ringan telah hampir 20 tahun sejak ianya diperkenalkan pada awal tahun 2000. Ianya juga merupakan antara teknik jigging yang paling tahan lama lantaran lubuknya lebih mudah ditujui, peralatan dan kos menyewa bot tidak mahal dan ikan sasaran pula beranika spesies. Namun hasil di perairan laut cetek Malaysia kini sudah semakin menghampakan akibat pengurusan perikanan yang kurang rapi. Sehinggalah tiba di Tanjung Pinang barulah saya berpeluang menghayati pancingan meletup yang telah lama hilang di perairan kita!

Pemancing dari Malaysia boleh menaiki feri ke Tanjung Pinang dari jeti Stulang Laut, Johor.

Saya telah lama kedengaran nama Tanjung Pinang yang terkenal dengan perikanannya yang subur sehingga menarik segelintir pemancing bottom Malaysia dan Singapura untuk bertandang ke sana sejak dulu lagi. Ia adalah sebahagian dari Kepulauan Riau yang berdekatan dengan Singapura dan merupakan bandar kedua besar di sana.

Saya amat berbesar hati kerana telah diundang oleh pengusaha bot pancing di sana untuk pancingan selama dua hari.Di Singapura dan Johor terdapat perkhidmatan feri ke Tanjung Pinang yang memakan masa 3 jam.

Layan Nasi Padang di kota Tanjung Pinang.

Setelah sampai di pelabuhan Tanjung Pinang, perjalanan diteruskan dengan kereta selama 50 minit sebelum sampai ke Teluk Bakau di mana bot pancing berlabuh. Teluk ini kelihatan  tenang dengan rumpair yang hidup dalam airnya yang jernih. Selain resort mewah, kawasan yang terkenal dengan industri pelancongan ini juga terdapat kolam memancing semulajadi yang tersedia di dalam kawasan teluk dengan homestay yang murah.

Pukul 8 baru komplot

Rentak pemancing di sini agak selamba berbanding Malaysia. Sehingga pukul 8 lebih (waktu Malaysia pukul 9 lebih) barulah kami turun ke laut. Setelah mengalami pancingan di sini barulah saya memahami bahawa lantaran ikan di sini teramat banyak, tidak payahlah pemancing keluar ke laut awal-awal!

Kita dapat mengagak gaya pancingan tempatan dari barangan yang dipamirkan di kedai pancingnya.

Speedboat yang dilengkapi dua buah injin sangkut 150 kuda menuju ke arah timur dengan lajunya memasuki Laut Natuna berwarna biru tua yang kelihatan agak tenang. Kira-kira 100 batu nautika dari sini terdapat Kepulauan Natuna yang terletak di antara Semenanjung dan Borneo. Menurut tekong pancingan di sana jauh lebih hebat dari Tanjung Pinang! Bayangkan lah!

Kedalaman perairan Tanjung Pinang berbeza dari 30 hingga 60 meter. Struktur lubuk jigging di sini agak berlainan dari Malaysia di mana kebanyaknnnya adalah kapal karam. Terdapat sebanyak 50 lebih buah kapal karam di sini. Antaranya banyak yang terdiri dari kapal-kapal tanker yang bersaiz mega. Struktur kapal karam sememangnya tempat lindungan terbaik buat banyak hidupan laut. Ditambah pula kerajaan Indonesia telah lama mengharamkan pukat tunda. Bayangkanlah kemewahan perikanannya!

Pemandangan yang menasyikkan di Teluk Bakau.

Perairan yang mengandungi banyak kapal karam sudah pasti disukai spesies-spesies pelagik khasnya dari keluarga trevally seperti GT, cupak, talang, ebek kapak, ebek bulat, demudok, gerong belang, sagai dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga spesies tenggiri dan aruan tasek. Sehingga sekarang spesies-spesies ini masih mengekalkan bilangan yang banyak dengan saiz yang besar-besar belaka. Inilah tarikan utama Tanjung Pinang terhadap pemancing negara jirannya.

Sepanjang trip dua hari ini didapati spesies demudok adalah ikan sasaran yang paling biasa dijumpai di sini. Saiznya mampu mencapai belasan kilogram. Sayangnya spesies terhandal ini telah semakin sukar dijimpai di perairan Malaysia dan saiznya pun menjadi semakin kecil.

Teluk yang ditumbuhi rumpair penghuninya termasuk spesies Nemo.

Makin laju makin cun!

Apabila sampai ke spot pertama, secara biasanya saya telah mempraktikkan gaya unjunan jig yang lebih perlahan. Namun tidak berapa lama kemudian saya telah mendapati bahawa gaya ini kurang menjadi di perairan Tanjung Pinang, ikan hanya menaruh minat kepada jig yang diunjun dengan amat laju sahaja!

Apabila ikan menjadi kurang aktif lantaran arus tidak bergerak, tekong Jang telah mempamirkan teknik jigging laju yang mengagumkan. Kelihatan beliau menghenjut joran sambil mengarau tali dengan kelajuan yang jarang kita guna di perairan kita. Percaya atau tidak, ikan-ikan di sini didapati amat cenderung dengan persembahan seperti ini terutamanya demudok jenis berbadan bulat yang dipanggil “Bulat” oleh orang tempatan sehingga membuahkan hasil pada saat ikan bersifat pasif ini!

“Ooh, ikan sini mahu makan laju!” Justeru saya pun lupakan kelajuan jigging yang lebih perlahan dan beralih kepada teknik speed jigging yang biasa digunakan untuk menggoda tenggiri. Memandangkan kelajuan adalah kunci kejayaan jigging di sini, saya pun terus bertukar kepada set PE3 yang terdiri dari kekili sazi 5000 yang disediakan khas untuk monster Tanjung Pinang.

Bot pancing yang berlabuh di tepi homestay memberi kemudahan kepada pemancing.

Pada hakikatnya speed jigging diperlukan dalam banyak keadaan memancing, khasnya apabila mensasarkan spesies tenggiri. Spesies demudok bulat pula kali pertama saya mencuba. Setalah mencuba barulah saya menyedari bahawa spesies ini amat cenderung dengan kelajuan jigging yang luar biasa, makin laju makin ia suka kejar! Selama ini kita jarang menaikkan spesies ini di perairan kita. Mungkinkah kelajuan jig kita tidak cukup laju untuk menarik minatnya?

Setalah memahami kelemahan demudok bulat, kita haruslah mempergunakan kelemahan ini bagi meninggikan keberkesanan pancingan. Kekili yang lebih besar sememangnya mempunyai kelebihannya dalam aspek ini, misalnya kekili mendatar saiz 5000 saya yang mempunyai nisbah 6.1:1 yang mempu menggulung tali sepanjang 1 meter dalam satu pusingan. Pastinya dapat mencapai kelajuan yang amat laju apabila mempraktikkan teknik speed jigging.

Demudok bulat, salah satu ikan sasaran terhandal di Tanjung Pinang.

Perincian Speed Jigging

Pada hakikatnya speed jigging akan menjadi kaedah yang amat efektif jika dipraktikkan pada masa yang sesuai. Jig yang bergerak pantas akan dapat mencetus tindakbalas ikan pemangsa untuk mengejarnya secara tak disengajarkan. Jigging aya budak juga berpandukan teori yang sama. Semakin ganas dan rakus sesejenis ikan itu, semakin sukalah ia mengejar mangsa yang bergerak dengan kelajuan luasbiasa. Setelah memahami ikan sasaran kita yang bersifat demikian, kita akan dapat menggodanya jua apabila keadaan tidak mengizinkan misalnya dalam keadaan arus mati. Apabila arus kembali biasa speed jigging pula pasti akan menayangkan keberkesanan yang menakjubkan!

Jig juga tidak kurang pentingnya. Jig ringan biasanya terdapat dalam dua jenis rekaan iaitu berbadan tebal atau nipis. Kelebihan jig tebal ialah mampu tengelam dengan lebih laju dan sesuai untuk mencari ikan bawah seperti kerapu bara sewaktu arus deras. Namun ia akan menghasilkan rintangan yang lebih tinggi apabila cuba dihenjut dengan laju dan cepat meletihkan. Manakala jiga nipis pula rintangan airnya rendah dan mudah dihenjut. Sesuai untuk henjutan super laju.

Janganlah menambah bulu atau sotong plastik ke atas mata jika ingin mencapai kelajuan jigging yang cukup laju. Dalam game speed jigging, bahan tambahan tidak diperlukan lantaran ikan memang tidak dapat nampak dengan jelas dalam kepantasan begini.

Spesies sagai juga terdapat dalam ekosistem yang masih terpelihara ini.

Spesifikasi joran dan jig

Pada keseluruhannya 40 gram merupakan keberatan yang paling sesuai buat speed jigging. Tekong akan sentiasa mengekalkan bot di atas gerembolan ikan. Justeru usahlah bimbang jig ringan anda akan melayang jauh. Harus diingati bahawa semakin ringan jig itu semakin lajulah ia dapat dihenjut dan kurang letih pula.

Joran juga memainkan peranan. Speed jigging dengan joran yang lebih pendek lebih menjimat tenaga berbanding joran panjang. Joran yang lebih keras juga lebih cekap kerana dapat menghantar daya henjutan kepada jig dengan lebih cepat. Saya mendapati joran Tenryu sepanjang 5 kaki 9 inci yang telah lama disimpan dalan stor rumah saya sememangnya joran terbaik untuk speed jigging!

Sebenarnya terdapat juga petua apabila mempraktikkan jigging laju. Tidak usahlah menghenjut dengan laju sewaktu jig baru sampai ke dasar. Jika tidak anda akan cepat terasa letih. Sebaliknya henjutlah dengan perlahan sebanyak 2, 3 kali sehingga 4,5 kali apabila jig jatuh ke dasar. Kemudian barulah memulakan henjutan pantas apabila jig telah menghasilkan momentum.

Berapa tinggikah jig harus dihenjut? Saya belum pernah melakukan hitungan. Kalau tak salah jig masih terkena ikan setelah kira-kira 15 karauan dibuat. Struktur kapal karam memang tinggi, justeru ikan-ikan pelagik mungkin akan bermain di lapisan air yang agak tinggi. Ia juga berkaitan rapat dengan kedudukan gerembolan ikan-ikan kecil. Di mana ikan kecil berada, di situlah mereka. Jika tidak pasti pantaulah fish finder dengan lebih rajin untuk memastikan kedudukan gerembolan ikan kecil.

Sudah lama saya tidak melibatkan diri dalam teknik jigging laju. Terasa rugi pula kerana telah kehilangan banyak keseronokan memancing dengan teknik ini. Keseronokan teknik ini ialah rasa kecemasan yang dirasai apabila anda menghenjut jig dengan laju sambil menunggu ikan menghentamnya. Seterusnya ialah saat ikan membaham jig kita secara ganas dan bertenaga. Dari situlah “racun” yang membuatkan kita teringin sangat nak turun pancing lagi apabila pulang ke rumah.

Terima kasih kepada Bobby yang telah memberikan perkhidmatan terbaik!

Bot pancing di sini sesuai untuk 5 pemancing sahaja.

Harapan baru

Pada hakikatnya demudok bulat bukan hanya cenderung kepada jig yang dikarau laju sahaja. Pada satu masa apabila kami jigging secara menurunkan sauh di sebuah lubuk kapal karam, saya telah bertukar kepada jig tebal seberat 40 gram apabila diberitahu terdapat gerong belang di lubuk tersebut. Gerong belang merupakan spesies yang suka mencari makanan di dasar laut. Jig yang tebal adalah lebih sesuai karana ia dapat mengekalkan dirinya berdekatan dasar dengan lebih lama. Secara tidak disangka-sangka, seekor bulat mega telah menelan jig saya berdekatan dasar pula!

Kes ini telah membuktikan bahawa pemancing tidak harus degil terhadap sesuatu teori dan harus berani mencuba teknik persembahan yang berlainan pada setiap masa. Cara pemakanan ikan akan sentiasa berubah mengikut pergerakan ikan kecil dan pertukaran arus.

Trip Tanjung Pinang yang berlangsung selama dua hari telah menghidupkan semula harapan saya terhadap teknik light jigging. Sekian lama saya telah menganggap light jigging sebagai teknik jigging yang paling memuaskan dan sesuai untuk kebanyakan pemancing. Anda dapat menggunakan set yang amat ringan untuk bertarung dengan ikan pelagik yang power di laut yang agak cetek untuk menghayati keseronokan melayan ikan yang tidak terhingga. Biarpun musim memancing terbaik belum tiba lagi di Tanjung Pinang, namun keputusan yang dialami telah cukup mengagumkan saya. Beberapa bulan lagi apabila spesies-spesies pelagik termasuk ebek kapak dan gerong belang berhijrah ke perairan ini, pasti lebih meletup lagi pancingan light jigging di sini!

Kelong terapung yang unik ini terutamanya digunakan untuk menangkap sotong.

Demudok Berbadan Bulat

Demudok bulat dengan nama saintifik Carangoides gymnostethus adalah ikan terhandal pernah saya alami di laut cetek? Salah! Ebek kapak terbukti lebih kuat lagi namun demudok bulat memang layak menduduki tempat kedua.

Rupa bentuk demudok bulat agak bersamaan dengan demudok biasa namun daya saingannya jauh lebih hebat. Gaya saingannya adalah seperti Amberjack yang memberikan tekanan demi tekanan kepada pemancing dari saat ia terkena pancing sehinggalah ke permukaan laut. Jika anda menggunakan set PE 2 untuk menaikkan seekor demudok bulat bersaiz 7 kg, tangan anda pasti akan terasa sakit!

Eric telah mendermakan jenahak ini untuk makan malam.

Demudok biasa juvenil terdapat tombok keemasan di atas badannya yang akan diganti dengan belang dan tombok hitam apabila dewasa.

Terima kasih kepada brother Afatt kerana telah menganjurkan trip yang luarbiasa ini.

Perbezaan di antara demudok bulat dengan demudok biasa ialah spesies ini mempunyai badan yang agak bulat sehingga diberi jolokan “Bulat” oleh penduduk Tanjung Pinang. Warna badannya kelihatan kebiruan dari juvenil hingga dewasa dengan sedikit tompok hitam kecil.

Selain demudok biasa, demudok bulat merupakan spesies yang paling biasa dijumpai di perairan Tanjung Pinang. Mereka sentiasa berkongsi habitat dengan demudok biasa dan juga talang. Jika anda mempraktikkan speed jigging di lubuk kapal karam, anda juga mungkin akan menaikkan talang selain bulat.

Demudok bulat merupakan spesies trevally yang berharga pasaran rendah lantaran isinya yang liat dan tawar. Justeru ia harus disenaraikan dalam kategori ikan sasaran C & R. Spesies ini amat tahan lasak dan cepat sembuh dari keletihan apabila dilepaskan semula ke habitat asalnya. Justeru jom lepaskan spesies terhandal ini tidak kira besar atau kecil!

Bulan purnama di Teluk Bakau kelihatan besar dan terang.

Menikmati suasana sunyi dan hidangan mantap di tepi pantai setelah sehari memancing di laut.

Talang besar gemar melompat di permukaan dan menayangkan daya saingan yang hebat.

Tekong Jang yang pandai mengemudikan bot telah mempamirkan teknik jigging yang sangat laju untuk menjerat Bulat.

Bulat ini diserang kerapu mega tatkala terkena pancing.

Talang juga merupakan penggemar jig yang dikarau super laju.

Selain bot bubu, di sini hanya terdapat bot nelayan tradisional yang bersaiz kecil. Patutlah banyak ikan.