Kejohanan PB Damiki

Damiki adalah jenama peralatan memancing terbaru dari Korea Selatan yang diedar oleh Monstercraft di Malaysia. Saya telah berpeluang berkenalan dengan Vincent Gan dan David dari Monstercraft apabila membeli sebuah bot aluminium dengan mereka. Atas undangan mereka, saya dan sahabat baik Gary Wei telah mengambil bahagian dalam pertandingan memancing PB Damiki yang berlangsung pada 11 dan 12 hb Januari tahun ini.
Teks & Fotografi: VINCENT YAP


Pertandingan yang unik ini hanya memfokuskan spesies PB sahaja. Spesies lain yang berjaya dinaikkan tidak akan diberi markah. Setiap ekor PB yang melebihi 30cm akan memperolehi satu markah. Markah yang diperolehi pada hari pertama akan berlanjutan ke hari kedua dan pemenang akan ditetapkan berdasarkan jumlah markah yang diperolehi dari 2 hari memancing. Pemenang tempat pertama dan kedua akan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Largemouth Bass yang akan berlangsung di Korea. Pemenang tempat ketiga sehingga kesepuluh juga akan menerima hadiah dari Damiki.
Yuran pendaftaran hanya RM220 sahaja termasuk penginapan dua hari dan makanan. Menu makanan yang disediakan termasuk kambing dan ayam bakar. Juga terdapat perkasam yang diminati ramai. Pakej istimewa ini juga mengandungi bilik berhawa dingin dikongsi 4 peserta.
Lokasi pertandingan merangkumi Kampung Beng, Tasik Raban dan Chenderoh. Ikan yang dinaikkan harus diambil gambar dengan pitar pengukur yang disedikan oleh pihak penganjur.
Gary telah sampai ke rumah saya pada waktu malam 10hb Januari dan menolong saya untuk menaikkan bot Seahawknya ke atas kereta 4X4 saya. Setelah mengisi minyak dan tidur sekadar 3 jam, kami pun bangun dan terus bertolak ke arah Tasik Raban,


HARI PERTAMA
Setelah berdaftar semua peserta pun berhimpun untuk mendengar taklimat dari pihak penganjur. Antara peraturan terpenting ialah peserta harus memakai jaket keselamatan sepanjang pertandingan. Peserta yang mengabaikan peraturan ini akan kehilangan kelayakan untuk bertanding.
Pertandingan dimulakan sebaik sahaja taklimat ditamatkan. Peserta bertolak dengan pelbagai gaya termasuk menggunakan servis tekong, memandu bot sendiri atau sewa dan juga ada yang menggunakan kayak.

Setelah berbincang dengan Gary, kami pun memutuskan untuk mencuba nasib di bawah jambatan Tasik Raban. Saya telah menggunakan satu gewang sahaja iaitu ERA 55 berwarna perak keluaran Damiki. Set saya terkena ikan sebelum bot kami keluar ke kawasan sungai. Rupa-rupanya sang Toman yang datang memberi semangat. Syok juga dapat layan Toman dengan set ringan.

Tidak lama kemudian PB hampir 30cm muncul di kawasan jambatan yang berumpair. Sayangnya ukuran tidak sampai 30cm. Begitulah keputusan kami waktu pagi hari pertama.
Setelah makan kami pun berehat seketika. Jika bukan kerana pertandingan saya dan Gary pasti akan tidur sehingga pukup 3 lebih baru turun pancing. Namun hari ini kami telah pun berada di tasik seawal pukul 2. Chenderoh telah dipilih sebagai destinasi seterusnya. Bot kami memakan masa 35 minit untuk sampai ke spot pertama.


Setelah mencuba selama 3 jam, akhirnya saya berjaya menaikkan seekor PB bersaiz 38cm. Gary pula kurang bernasib baik dengan beberapa PB tidak sampai 30cm. Semua peserta wajib balik ke kawasan pendaftaran sebelum 6 petang. Didapati keputusan saya berada di paling belakang! Ramai juga peserta yang tidak mencapai saiz minima. Masing-masing berbincang ke manakah esok untuk mencari PB mega.


HARI KEDUA
Hari kedua kami hanya ada masa selama setengah hari sahaja untuk beraksi. Kami pun memutuskan untuk memancing di kawasan Chenderoh sahaja. Teknik dan set yang sama digunakan. Gewang dilempar ke spot-spot yang pernah saya menaikkan PB. Gewang dibiarkan tenggelam sedikit kemudian dihenjut secara singkat.

Gary pula mencuba gewang pensilnya di kawasan pokok mengkuang. Gewangnya kerap kali dibaham PB namun asyik lucut! Saya yang bernasib baik akhirnya memperolehi 4 ekor PB mejangkaui 30cm dan berjaya menduduki tempat ketiga dengan jumah markah sebanyak 177.
Yang berminat untuk menyertai pertandingan seterusnya bolehlah menghubungi Facebook Damiki Lures Malaysia.