Kembara Amal ‘Angler Charity’

Cabaran kereta pacuan empat roda semasa memasuki laluan balak lama.
Seramai 17 orang menyertai dan mengikuti trip rombongan pada kali ini. Dalam mengejar keseronokan arena sukan memancing ini, kita juga tidak lupa pada mereka yang jauh tinggal di pedalaman seperti Orang Asli. Trip amal ini telah dirancang oleh pihak BERUNTUNG RECREATION CLUB atas usahasama Al-Fateh Empire yang banyak membantu dari segi tajaan. Begitu juga para guru di SK Kalumpang yang telah mengumpul pakaian kanak-kanak remaja dan dewasa, serta beg terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk Orang Asli Tanah Adat.
“Let’s Help Each Other to Jannah! Don’t pull others down as u go up. Instead, reach out a hand and help those who are down when you are up.” Prinsip ini yang dipegang oleh saya dan pasti banyak kali saya menganjurkan sesuatu untuk golongan mereka yang serba kekurangan ini.
Teks & Fotografi : ROZAWARIE ZAKUAN
Bermulanya Kembara

Ikan idaman setiap pemancing masih banyak terdapat di sini.
3 hari 2 malam, sekian kalinya saya bersama rakan-rakan lain menganjurkan ekspedisi ke sebuah perkampungan Orang Asli di utara setelah mendapat kelulusan pihak berwajib. Perjalanan selama 5 jam ke daerah ditujui dan perlu melalui jalan offroad yang memakan masa selama 2 jam 45 minit berikutan keadaan jalan yang agak licin dan juga keadaan satu atau dua buah kenderaan yang menghadapi masalah enjin.
Sebelum memulakan perjalanan, satu taklimat ringkas tentang tatacara berkonvoi di atas jalanraya telah disampaikan kepada semua pemandu. Sebanyak 4 buah kenderaan pacuan empat roda menyertai dengan membawa muatan baju baru dan terpakai serta beberapa bahan makanan asas untuk diberikan kepada penduduk di perkampungan Orang Asli yang akan kami lalui apabila menuju ke lapangan memancing. Kami amat gembira apabila melihat keceriaan yang terpancar pada wajah anak-anak kecil Orang Asli apabila kami memberi mereka makanan berupa gula-gula / jajan yang telah kami bungkus khas untuk mereka.

Ahli-ahli bersama sumbangan kepada orang asli.
Guide Asli
Setelah barangan bantuan amal disampaikan oleh Pojie Soeharto kepada ketua mereka, perjalanan diteruskan ke lokasi memancing. Beberapa orang daripada mereka mengikuti kami sebagai jurupandu ke kawasan memancing dan pembantu dalam kumpulan nanti. Ini kerana mereka lebih arif tentang hutan di kawasan mereka. Sebenarnya kami juga sudah tahu selok-belok di kawasan tersebut, akan tetapi sebaiknya kita dapat menambah ilmu mengenai hutan dari mereka yang sememangnya hidup di hutan sejak lahir.
Bagi seorang anak Asli di sini yang mengikuti kami, dia berkata jika ada kenderaan yang masuk ke kawasan sungai dengan kerja-kerja seperti mengebom dan menuba ikan, pasti akan berasa menyesal dan tidak kembali lagi ke sini kerana penduduk di situ akan mengganggu kenderaan mereka.
“Ini sungai kami. tempat kami mencari makan. Jadi hormatlah hutan kami, seharusnya datang ke kampung kami memohon kebenaran Tok Batin dan jangan menyusahkan kami untuk mencari makan.” Katanya kadangkala, apabila turun menjala, “sambil berjalan sambil menangis” kerana hasil berkurangan akibat pemunggahan ikan secara berleluasa. Pastikanlah syurga ikan di sini terus terjaga. Hindarkan sifat tamak haloba.

Terpaksa mendaki bukit selama 30 minit dari tempat parkir ke kampung Asli dengan bebanan hampir 10 kg!
Menitisnya Peluh Jantan
Lokasi yang pasti menjanjikan apa yang kami cari, spesies sungai pergunungan. apakah dapat kami rasai seperti apa yang selalu diperkatakan. Ikan kelah, kejor dan tengas sudah pasti beraja di sini.
Sebelum aktiviti memancing dimulakan kem utama harus dibina dengan bantuan Orang Asli. Kami mencari buluh dan batang pokok untuk dijadikan asas khemah. Diingatkan untuk mengambil kayu di hutan, ambillah yang tumbuh secara merapat 2 – 3 pokok. Jangan diambil semua. Ini juga dapat memberikan ruang kepada pokok lain untuk terus tumbuh tinggi mencari cahaya matahari.
Ada yang harus merayau jauh mencari batang pokok, telah diberi amaran supaya harus menjaga kawasan hutan agar kekal untuk seribu tahun lagi, agar generasi lain dapat menghirup dan menikmati keindahan di sini seperti kami. Justeru kami lebih menggunakan hammock untuk mengelakkan pemotongan pokok untuk dijadikan sebagai asas kem. Hanya perlu diikat sahaja tanpa penebangan sebarang pokok.

Hati menjadi tenang apabila berada di sisi sungai yang indah.
Perkakas dibawa turun. yang mana kenderaan pacuan empat roda kami diparkir di lereng bukit, manakala kami berada di bawah bukit berhampiran kawasan sungai. Jarak antara kami dengan kenderaan kira-kira 600 – 700 meter dengan ketinggian 65 darjah, tiada berlorong trek. Merecik peluh masing masing dengan bebanan backpack 7 – 10 kg setiap seorang!
Pancingan Hari Pertama
Tuan Azman Mikail, setelah siap segalanya telah memulakan pancingan di atas batu besar di bahagian tengah sungai, di situ dia telah mendapat 3 strike. Berumpankan sawit peram sememangnya menjadi taruhan utama untuk memujuk spesies sungai di sini. Asmeran juga berjaya mendapat tangkapan besar.
Kehampaan sedikit terpacar pada wajah rakan lain, yang masih mencari strike idaman. Hanya mampu menarik ikan berskala kecil. Ada yang masih mempelajari teknik untuk menduga spesies sungai pergunungan. Namun Team kami amat bertuah kerana keadaan cuaca yang sangat baik sepanjang trip sehinggalah hari kami keluar dari hutan.
Kerjasama
Satu-satunya yang sangat penting dalam pasukan adalah bekerjasama. Penyediaan makan malam, minum petang, giliran dan saling bantu-membantu adalah wajib. Chef Pojie yang juga penganjur trip tidak pernah mengabaikan ahli trip dengan masakannya tepat pada waktu. Berselera sungguh Orang Asli menikmati makanan bersama, dengan menu masakan yang lain daripada kebiasaan mereka.

Wanita Asli gembira memilih pakaian sumbangan.
Selesai makan malam tanpa mensiakan waktu, saya melabuhkan umpan berdekatan khemah, sebiji sawit digunakan kerana ikan-ikan bersaiz besar diyakini merayau pada waktu malam. Seperti yang dijangkakan, joran Fenwick saya terbang melayang. Jika tidak kerana joran diikat dengan tali ke akar pokok, sudah pasti saya kerugian. Skala 1 kg dapat ditawan. Kepuasan sebelum melelapkan mata untuk berehat pada malam pertama. Sekali lagi kepenatan malam pertama di hutan berbalas. Syukur alhamdulillah rezeki dari-NYA.
Carian Diteruskan
Keesokan paginya kesemua ahli kembali bersemangat, bersiap lebih awal, bersarapan nasi lemak oleh Chef Pojie. Masing-masing menuju ke lubuk seperti yang dirancang. Sama ada ke hulur atau ke hilir menyusur sungai sambil melihat lubuk yang sangat cantik dan keindahan kedamaian. Sebelah petang barulah semua ahli berkumpul semula dengan hasil tangkapan mereka. Sememangnya meriah kerana masih lagi terpelihara syurga ikan untuk sesiapa sahaja menikmatinya.
Hari kedua lebih mendatangkan rezeki kerana setiap ahli mampu berjalan lebih jauh menyusur sungai. Baung akar juga menjadi target pancingan untuk dijadikan lauk kerana tiada bertulang Y. Kembali agak lewat petang hujan rengai mulai turun sehingga ke malam dan mengakibatkan air menjadi sedikit keruh. Suasana malam yang sejuk, bermenukan ikan sungai masak tempoyak memang menggiurkan tatkala kepenatan dan kesejukan.

Chef Pojie sedang beraksi.
Kembali Pulang
Dengan perjalanan keluar dari hutan di mana jalan tanah merah sudah basah dan lembik menyebabkan sedikit kesukaran di jalan berbukit. Tetapi semua itu dapat diatasi dengan mudah kerana kenderaan pacuan empat roda kami telah dilengkapi segala keperluan untuk menangani masalah yang bakal ditemui.
Kesemua dari kami berpuas hati dengan hasil dan perjalanan trip yang indah, terutama semasa agihan hantaran barangan bantuan sama ada terpakai atau yang baru. Bagi mereka yang inginkan trip seperti ini, bolehlah terus menghubungi saya, Rozawarie : 013-3248986 untuk mengaturkan trip sebegini. Pastikan anda punyai kenderaan pacuan empat roda yang lengkap.
Pesanan saya kepada mana-mana kumpulan pancing di Malaysia ini, jadikan team atau group yang kita naungi sebagai pemangkin pemula untuk sesuatu kerja amal. Tidak kira untuk apa jua golongan dan agama, asalkan kita dapat membantu mereka yang lebih memerlukan. Apalah sangat seketul gewang atau peralatan pancing mahal jika ingin dibandingkan dengan sedikit sumbangan.

okok besar masih terpelihara di sepanjang sungai.

Kenangan manis dengan raja sungai pergunungan.

Tengas, kejor dan kelah antara ikan yang disasarkan dalam trip amal ini.
TIPS KUMPULAN YANG BAIK SEMASA TRIP
- Kebersihan dijaga bersama semasa dan selepas tamat trip. Bakar atau tanam. Tetapi jangan bakar tin dan tong gas.
- Sentiasa tolong-menolong dalam apa jua keadaan. Jangan lepas tangan dan bersikap sambil lewa. Kan sama-sama penat.
- Perlu membuat perlantikan AJK atau agihkan tugas-tugas kerja seperti masak air, memotong ikan, memasak, goreng ikan, potong bawang, tukang kemas, tukang basuh dan sebagainya.
- Sentiasa peka dengan keadaan kumpulan serta keadaan di sekeliling. Peka mata telinga, hidung, dahan pokok reput, air besar mendadak dan lain-lain.
- Peka terhadap situasi rakan / ahli dalam kumpulan.
- Perkara ‘casting & bottom fishing’. Menghormati kawasan pancingan dasar (bottom fishing) di mana perlu diberikan jarak di antara 100 meter ke atas dan bawah di mana ahli casting boleh berjalan lebih jauh dan ahli pancing dasar mendapat kawasan dan kesunyian lubuk.
- Paling utama, siapkan basecamp dulu apabila sampai di destinasi. Setelah dipersetujui bersama untuk memulakan acara basah tali, baru ahli boleh mula memancing. Apa yang penting adalah kerjasama sesama ahli kupulan.