Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Kembara Solo Memburu Dorado Emas Bolivia

Warna keemasannya yang menyerlah, tinggal di hulu-hulu sungai berjeram, bersaiz besar dan ganas membaham gewang telah membulatkan tekad penulis untuk mengembara seorang diri ke bumi asing Amerika Selatan demi mencari spesies unik yang tersembunyi jauh di pelosok hutan belantara. Ikuti pengembaraan solo anak Malaysia ini ke Bolivia demi mengejar cita-cita sehingga berjaya mencungkil emas legenda!

Impian penulis memburu golden dorado akhirnya menemui kenyataan di belantara Bolivia.

Pesawat kecil yang menerbangkan kami ke Fatima di pedalaman Bolivia. Gerun dan seriau mengenangkan kejadian sebelum ia tiba menjemput kami! Tapi terpaksa berhati kering jugaklah naik!

Teks & Fotografi : ROOB GANESAN

Obsesi saya terhadap spesies ikan air tawar Amerika Selatan bernama ‘golden dorado’ ini bermula apabila Jeremy Wade dalam River Monsters membikin dokumentari tentang ikan ini yang mampu menggigit dan membunuh seorang kanak-kanak. Beliau turut menjelaskan bahawa ikan ini menghentam gewang dengan ganas dan kuat berjuang.

Tapak perkhemahan kami. Sempoi!

Semenjak episod itu, saya tekadkan hati untuk memburu golden dorado sehingga berjaya. Untuk mengukur nilai kekuatan dan ke-brutal-an spesies ini, saya tertanya-tanya adakah kehandalannya sebaris dengan ikan sungai lain yang hebat seperti black bass (tembaring / kanai) dan toman?

Sekuat Kelah, Se-brutal Toman?

Mungkinkah benar dikatakan golden dorado adalah gabungan kelajuan kelah dan keganasan toman. Saya mula menyelidik tentang fakta ikan ini, namun sedikit maklumat yang diperolehi tentangnya kerana golden dorado hidup begitu terpencil di hulu-hulu sungai di benua Amerika Selatan.

Memancing golden dorado sama seperti memburu kelah dan ikan hulu sungai yang lain. Berdasarkan kajian saya, hanya negara Argentina, Bolivia dan Uruguay yang diketahui mempunyai populasi golden dorado yang masih mewah.

. Banyak spesies ulat bulu yang cantik di dalam hutan ini, tetapi jangan gatal nak menyentuhnya!

Bolivia… Aku Datang

Argentina dan Uruguay terkenal kerana mempunyai Empangan La Zonas yang dihuni banyak spesies keemasan ini dengan skala gergasi. Namun ia terlalu dikomersialkan dan cara memancingnya juga agak membosankan berdasarkan tontonan video, kerana anda memancing dari lodge penginapan di tepian empangan itu hanya 4 jam sehari, tanpa memberi kita suatu perasaan adventure atau hunting secara keseluruhan.

Suku kaum Chimani di hutan ini menangkap ikan dengan menggunakan panah.

Lalu saya mengambil keputusan bahawa Bolivia adalah destinasi terbaik untuk memburu spesies ini. Dua sebab… kerana cara pemburuannya kelihatan seperti suatu pengembaraan yang mencabar seumur hidup kita dan kedua, ia kurang dikomersialkan. Bermakna terdapat peluang yang tinggi untuk merealisasikan impian sambil dapat belajar perkara-perkara yang baru.

Saya dapat berinteraksi dengan seorang kenalan bernama Patrick Taendler melalui facebook dan kami berbincang mengenai kemungkinan untuk saya terbang ke sana memburu ikan ini. Beliau begitu terkejut dengan kesungguhan saya yang sanggup datang seorang diri dari Malaysia. Lalu saya menempah tiket kapal terbang dan hanya menunggu masa.

Sejenis catfish yang dipancing oleh Chimani.

Pengembaraan Panjang

Penerbangan dari Malaysia ke Bolivia adalah suatu epik yang sungguh memenatkan. Saya perlu mengambil lima penerbangan yang berlainan untuk akhirnya sampai ke Fatima, suatu kawasan mubaligh Kristian kecil di tengah hutan Bolivia yang membantu kaum Chimani (orang-orang asli tempatan).

Jadual penerbangan KL – Amsterdam – Peru – Lapaz – Rurrenabaque – Fatima Missionary Airstrip (Bolivia). Penerbangan dari Rurrenbaque ke Fatima sangat menakutkan. Pesawat itu terhempas sedikit semasa mendarat sehingga patah gear pendaratannya ketika ia sampai untuk menjemput kami.

Ikan jau, antara ikan bersaiz monster yang merajai sungai ini.

Nasib baik ia berlaku sebelum kami naik pesawat itu! Ini menyebabkan saya terkandas di Rurrenbaque selama sehari, lalu kami mengambil keputusan untuk bersiar di bandar. Keesokan harinya juruterbang berjaya menukar gear pendaratan menggunakan beberapa alat tertentu. Ia memang tidak begitu meyakinkan, tetapi apa nak buat… hidup hanya sekali. Terpaksa juga keringkan hati untuk teruskan perjalanan.

Kami mendarat dengan selamat di landasan kecil Fatima, kemudian menaiki bot ke hulu menyusuri jeram ke kem pertama. Sebaik sahaja di kem, saya disambut oleh Federico dan Patrick, pemandu pancing kami.

Barisan gigi golden dorado dari tengkoraknya. Boleh tahan tajamnya!

Bahaya Haiwan Kecil

Mereka kelihatan kepenatan, tetapi masih bersemangat waja, inilah yang hutan tebal Bolivia boleh lakukan kepada anda. Perkara pertama Patrick dan Federico lakukan adalah memberi penerangan kepada saya tentang bahaya yang tersembunyi di dalam hutan ini. Saya fikir, “Alaa… jaguar, puma la… bla bla bla… aku dah baca la der”.

Perahu tebuk yang kami gunakan untuk ke hulu memburu dorado.

Tetapi sedikit tidak saya tahu bahawa sebenarnya serangga atau haiwan kecil yang kami perlu gerunkan. Terdapat serangga penghisap darah termasuk nyamuk yang boleh memudaratkan anda. Tidak lupa juga penyakit Zika dan demam kuning.

Selain itu terdapat lipan yang boleh menyebabkan kesakitan yang amat dengan sengatannya. Mereka tampak cantik, tetapi menyentuh mereka jangan sekali-kali.

Kandaroo (atau ‘candiru’), juga satu lagi spesis ikan kecil yang amat berbahaya kerana ia boleh berenang masuk ke dalam dubur dan saluran kencing anda. Jadi jangan sekali-kali kencing atau buang air besar di dalam sungai. Ini yang membuat saya bimbang sekali.

Dan akhir sekali ialah ‘tigre’ atau dipanggil ‘jaguar’. Jaguar tidak begitu berbahaya jika anda tidak lari kalau terserempak dengannya, kata pemandu pancinglah. Wow… nampak lebih mudah cakap, kalau terjumpa jugak, mahu tak cukup tanah kita lari wei!

Lihatlah bahagian kepala golden dorado yang besar, yang mempamerkan sifat kedegilannya untuk kecundang di tangan pemancing.

Hujan Rahmat?

Selepas taklimat itu, ia masa untuk mengenali antara satu sama lain sebelum kami beradu di khemah dan bersedia untuk memancing pada hari berikutnya.

Dorado yang didaratkan akan segera dimasukkan ke dalam jaring khas bagi mengelakkan serangan candiru yang kecil dan jahat!

Saya bangun keesokan harinya, dan disambut oleh tanah basah di luar khemah. Hujan turun malam tadi dan lebat nampaknya. Ini petanda kurang bagus. Memancing di hulu tentu terjejas apabila kadar kejernihan air yang rendah. Saya berjalan sehingga ke pinggir kem perkemahan dan melihat air sungai keruh di bawah ngarai.

Selepas sarapan pagi yang berat, kami bertolak menaiki kanu ke hulu sungai dengan harapan salah satu sungai cabangan Lembangan Amazon ini tidak terjejas. Tetapi firasat itu tidak akan membuktikan apa-apa lagi. Memancing pastinya dalam keadaan sukar kerana air yang keruh dengan paras yang tinggi.

Pingat Emas

Saya mengilat dari tebing sungai yang airnya sedang mengalir deras di kawasan berbatu. Terlihat saya suatu kawasan olak lenang di belakang sebuah batu besar. Kalau saya pemangsa, tentu sesuai sekali saya bersembunyi di sebalik batu itu untuk mengendap mangsa.

Berkongsi kegembiraan menaikkan trofi dorado saya bersama pemandu pancing.

Saya lontar gewang ke spot itu dan memainkannya melalui air yang tenang itu seperti ikan yang cedera cuba mudik ke hulu. Bang! Dorado membantai gewang itu dengan rakus. Ia membuat besitan awal yang kuat dan pantas mengikut arus, tetapi cuma seketika. Kemudian saya mula dapat mengawal pecutannya.

Golden dorado mempunyai rahang yang sangat keras, anda perlu menyentap joran beberapa kali bagi memastikan mata kail menancap kemas rahangnya.

Setelah pecutannya dapat dikawal, ikan ini mula agresif melakukan aksi akrobatik pula. Ia melompat, melompat lagi, dan lagi, bermati-matian cuba membuang mata kail pada mulutnya. Memang terpesona sekali menyaksikan aksi raja pecut sungai ini terbang dengan kilauan keemasan pada sisik di seluruh badannya. Sangat cantik!

Pemandangan alam hutan semulajadi Bolivia yang damai.

Pada ketika ia menghambur dan sampai ke tebing, pemandu pancing berlari ke gigi air dan dengan tangkas mencekup ikan itu lalu cepat-cepat meletakkannya di dalam bakul ikan khas untuk mengelakkan kandaroo menyerang ikan ini.

Kandaroo boleh membunuh ikan ini dalam masa beberapa saat dengan menggigit dan bergantung pada insang perumah, lalu menyesakkan pernafasan mereka.

Trofi saya ini seberat 15 paun, dengan warna badan keemasan yang luar biasa. Se-lepas bergambar dengan cepat, kami segera melepaskannya semula ke dalam sungai.

Ikan yatarana kedua saya. Kalaulah ikan ini boleh besar lagi, kan best!

Yatarana

Kadar kejernihan air semakin baik saban hari berlalu. Semakin kami mudik ke hulu, semakin banyak dorado bersaiz mantap berjaya ditewaskan. Kerapkali berlaku double hook-up!

Saya juga berjaya menaikkan satu lagi spesies menyerupai dorado iaitu ikan yatarana yang sukar ditemui. Yatarana juga pemangsa ganas tetapi sukar dipancing. Walaupun tak besar mana, tetapi ia membantai gewang dan berjuang dengan hebat sekali. Kalaulah ia bersaiz sado seperti dorado, tentu yatarana mampu mengalahkan mereka dari segi kekuatan dan kudrat tenaga.

Pengembaraan ini mencapai misi saya dengan jayanya. Walaupun terdapat insiden yang menggerunkan termasuklah khemah-khemah kami hampir ranap akibat pokok tumbang. Jika tidak kerana ketangkasan pemandu pancing dan orang-orang Chimani,  mungkin kami pulang dalam beg mayat.

Misi golden dorado impian saya telah sukses. Namun ia bukanlah penamat pengembaraan solo saya di bumi yang sangat asing ini. Alang-alang menyeluk pekasam, saya lanjutkan lagi pemburuan dengan mencari dua lagi spesies elusif di Amerika Selatan. Tetapi itu dah kira cerita lain! Nantikan kisah selanjutnya…

BOLIVIA

BOLIVIA, sebuah negara yang dikelilingi daratan (landlocked country) tanpa lautan yang terletak di barat Amerika Selatan. Ia bersempadankan Brazil, Paraguay, Argentina, Chile dan Peru. Geografinya sangat pelbagai dari segi rupa bentuk bumi dan iklim, dengan pasakan pergunungan Andes yang tinggi di barat, manakala bahagian tengah ke timur yang rendah termasuk dalam Lembangan Amazon.

Ini menjadikannya sangat kaya biodiversiti dengan pergunungan tinggi Altiplano, hutan hujan tropika (termasuk hutan belantara Amazon), lembah kering dan Chiquitania, iaitu savanna tropika. Jumlah penduduknya dianggarkan 11 juta dan menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa utama. Ibu negaranya yang diiktiraf secara perlembagaan ialah Sucre, namun La Paz lebih dikenali dan menjadi pusat kerajaan Bolivia.

Lokasi Bolivia di Amerika Selatan.

Sungai di Bolivia adalah sebahagian sistem Amazon.

Jaguar, raja hutan di Bolivia.

GOLDEN DORADO (Salminus brasiliensis)

Golden dorado atau nama saintifiknya Salminus brasiliensis tinggal di sunga-sungai bahagian tengah dan timur Amerika Selatan. Walaupun mempunyai nama genus Salminus, golden dorado tiada kaitan langsung dengan ikan salmon, atau ikan laut yang juga dikenali dengan nama dorado iaitu belitong.

 

Keterangan

Golden dorado mempunyai kepala yang besar, dengan rahang kuat yang dipenuhi gigi tajam. Ia mencapai kematangan sekitar  37 cm (15 inci) panjang. Saiz purata golden dorado ialah sekitar 3 – 10 kg. Rekod spesimen terbesar ialah 100 cm (39 inci) panjang dan seberat 31.4 kg (69 paun).

Taburan & Habitat

Golden dorado tinggal di habitat sungai di Brazil selatan, Paraguay, Uruguay, Bolivia, dan utara Argentina, dalam lembangan Sg. Paraguay, Uruguay, Chapare, dan Mamoré, dan saliran di Lagoa dos Patos.

Ia dikategori spesies terancam di Paraguay, dan larangan menangkapnya dikuatkuasakan. Lembangan sungai lain di Amerika Selatan menyimpan saudara-mara spesies ini seperti Salminus franciscanus di Lembangan São Francisco, Salminus hilarii di Paraná utara, Amazon and Orinoco, manakala Salminus affinis di Lembangan Santiago and Magdalena di Ecuador dan Colombia.

‘Dorado’, berasal daripada bahasa Latin untuk ‘emas’. Dalam bahasa Portugis, perkataan ‘dorado’ bererti ‘keemasan’ dan diaplikasikan kepada ikan ini disebabkan warna sisik badannya yang keemasan.

Diet

Golden dorado adalah piscivores, yakni memakan pelbagai jenis ikan. Salah satu mangsa paling digemarinya ialah sabalo, jenis ikan yang suka berkumpulan dalam saiz berat 1 – 4 kg.

Dorado beerti ‘emas’ dalam bahasa Latin.

Memancing

Ia amat diburu oleh pemancing kerana stamina juangnya yang agresif sambil melakukan lompatan yang tinggi dan memutuskan tali. Golden dorado sememangnya antara gamefish air tawar yang terbaik di dunia.

Golden dorado di Empangan La Zona menjangkau ke saiz monster.