Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Kembara Toman Enam Tahun

Terdapat segelintir pemancing Malaysia sanggup menghabiskan wang dan masa menjelajah ke merata dunia untuk mendapatkan lesen ikan terhandal bertaraf antarabangsa. Di sebaliknya negara kita juga merupakan destinasi kepada ramai pemancing luar negara yang menggilakan spesies-spesies asing. Artikel yang ditulis oleh Ryuchi Uchimura, seorang warga Jepun yang bertugas dalam bidang carigali petrolium memaparkan kisah petualang beliau memburu toman selama enam tahun di bumi Malaysia.

Hasil lukisan toman penulis yang berunsurkan seni batik Malaysia dan lukisan tradisional Jepun. Cantik kan?

TEKS & FOTOGRAFI: RYUCHI UCHIMURA

Sejak dihantar oleh syarikat untuk bertugas di Malaysia, selama enam tahun saya berada di sini belum pernah saya melupakan impian untuk memancing toman. Memburu ikan sasaran bertaraf dunia merupakan matlamat penting dalam kehidupan saya. Di Malaysia, tembaring dan tomanlah spesies yang diidami pemancing kembara Jepun.

Lesen tembaring telah berjaya saYa perolehi setelah beberapa kali mencuba di Pulau Borneo. Namun bagi spesies toman pula tetap tidak membuahkan sebarang hasil setelah mencuba bersama rakan saya Ibrahim Awang di beberapa lokasi di Malaysia Timur seperti Miri, Labuan sehinggalah Sabah.

KEAJAIBAN BERIS

Ilham lukisan berpunca dari toman 20 paun ini yang ditumbangkan oleh penulis di Empangan Beris, Kedah.

Pada 19hb Mac 2017 setelah gagalnya misi mencabar toman di Labuan , saya telah berhubung dengan Din Labatta selaku pemandu pancing di Empangan Beris, Kedah atas saranaan seorang sahabat untuk meneruskan perjuangan saya di empangan yang terkenal dengan toman bersaiz mega ini. Tanpa disangka-sangka, ketika hampir kecewa hati saya dengan toman Malaysia, trip ke Beris akhirnya telah membuahkan hasih diluar dugaan.

Tabahkan hati dan toman gergasi akhirnya akan kecundang jua.

Setelah mengalami kegagalan demi kegagalan, tuhan seakan kasihan terhadap kegigihan saya yang telah mengalami berbagai rintangan untuk mencapai cita-cita saya. Namun tanpa pemandu yang arif terhadap keadaan empangan dan sikap toman di sana, matlamat saya tidak mungkin tercapai. Saya juga telah mempelajari banyak pengetahuan seperti perhubungan paras air dengan keaktifan ikan dan juga cara pemilihan gewang bergantung kepada situasi yang berlainan.

Pada suatu tengahari ketika saya terasa panas dan letih, seekor toman berskala 12 paun telah membaham gewang saya dan berjaya dinaikkan. Alangkah seronoknya hati saya apabila ikan berjaya ditarik ke dalam sauh! Namun pada hari kedua, saya yang terasa puas hati secara tidak disangka-sangka telah memperolehi seekor toman gergasi berskala 20 paun. Sehinga lutut menggigil dibuatnya!

Din Labatta, pemandu pancing yang telah merealisasikan impian toman penulis setelah 6 tahun cuba menjeratnya.

Toman memang sejenis ikan yang sangat cantik. Setelah impian memancingnya tercapai, saya yang suka melukis telah memutuskan untuk menghasilkan sebuah lukisan buat ikan idaman yang dicintai pemancing sedunia ini. Untuk menambahkan unsur tempatan, saya telah menghabiskan masa selama seminggu untuk membuat lukisan dengan gaya batik Malaysia yang unik.

CENDERAMATA ISTIMEWA

Ikan pertama penulis di Beris, toman berskala 12 paun.

Saya telah mempelajari teknik lukisan batik dari Malek Adnan yang mengusahakan sebuah kedai cenderamata bersebelahan Perpustakaan Negara. Beliau juga menganjurkan kursus seni batik di kedainya. Karyanya bukan setakat selendung atau pakaian tetapi lukisan yang dibuat ke atas kain sutera yang nipis dengan teknik luarbiasa.

Setelah mempelajari selama enam bulan, saya mulai memahami rahsianya. Lukisan yang mempesonakan terhasil apabila berus meluncur atau berhenti di atas kain sutera. Tanpa disangka-sangka ungkapan sebuah objek dengan warna yang pekat akan menghasilkan kesan yang menakjubkan.

Apabila mempelajari teknik asas lukisan batik, saya juga menggaulkan konsep lukisan Jepun untuk menghasilkan gaya peribadi. Saya juga menukarkan bahan lukisan dari bunga ke haiwan khasnya ikan idaman pemancing.

Kontrak kerja selama enam tahun telah habis tempohnya, tidak lama lagi saya akan pulang ke Jepun. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan rasa terhutang budi kepada Ibrahim Awang. Tanpa bantuan beliau tidak mungkin saya dapat berkenalan dengan pemancing tempatan yang membantu merealisasikan impian toman saya.

Terima kasih sabahat Malaysiaku. Sehingga berjumpa lagi!

Halimi Hanip dengan binatang Beris yang mencecah 11.3kg.