Kembara Top End Australia
Sebut sahaja kangaroo, wombat, dingo dan koala, pastinya semua kenal haiwan liar popular yang sering dijadikan tarikan pelancong untuk melawat Australia. Bagi kaki pancing, barramundi-lah yang menjadi igauan dek lompatan akrobatik dan saiznya yang gadang-gadang. Tambahan pula bila taip sahaja di Youtube mengenai barramundi Australia, pastinya keluar video-video casting ‘1 cast,1 fish’! Tekanan dibuatnya!
Dalam coretan ini, saya ingin ceritakan pengalaman sepanjang 6 hari di bumi asing iaitu Darwin, bagi tujuan mendokumentasikan kisah pancingan Terry Chin, seorang tester Pioneer Tackle yang ditugaskan untuk mencuba produk-produk yang bakal tiba di pasaran tidak lama lagi…
Teks & Fotografi : SPIKE FARIQ
Penerbangan dari Singapura ke Darwin mengambil masa selama 4 jam, dan dengan perbezaan masa 1 jam 30 minit awal dari Malaysia, jadi peluang untuk alami masalah jet lag memang tiada. Ketika meninggalkan Malaysia, ruang udara kita dilanda jerebu teruk sehingga mencecah API berbahaya. Namun setibanya di Darwin di utara Australia, ia biru terang dan tiada awan langsung.
Ramai Buaya Dari Manusia
Musim kering sedang melanda negara ini, cuacanya kering berangin. Semua daun luruh, sama macam cerita Crocodile Dundee. Saya menyangka apabila tiba, saya dapat melihat kangaroo dan koala di atas pokok. Namun apa yang diberitahu, populasi buaya di sini adalah dua kali ganda manusia!
Selesai meletakkan barang di dom, kami terus lincah ke sebuah kedai pancing berdekatan. Di situ kami berjumpa George, pengusaha kedai pancing di Darwin iaitu Fishing and Outdoor World. Kedai ini merupakan pembeli terbesar barangan Pioneer Tackle dan George akan membawa kami untuk tiga hari pancingan di sini.
Menariknya, ia bukan sekadar kedai pancing malahan juga kedai ‘Hunting & Outdoor’. Jadi tidak hairanlah kalau senapang dan panah dijual dalam satu kedai. Rambang mata jejak kaki ke dalam!
Pengembaraan Ke Billabong
Tentatif kami untuk esok dan hari seterusnya akan diuruskan oleh Dennis Smart, kenalan lama Terry. Kakadu National Park merupakan destinasi kami esok. Di sana kami akan dibawa menduga billabong yang masih berpenghuni.
Sebut sahaja billabong, pasti orang akan terbayangkan jenama pakaian pantai yang popular. Bagi mereka yang belum mengetahui apa itu billabong, ia merupakan sebuah tasik yang terpinggir selepas sesebuah sungai itu kering ataupun berubah haluan. Lalu terbentuklah sebuah tasik tinggal dan kebanyakkan ikan yang tinggal di situ adalah ikan yang terperangkap.
Nama billabong terhasil daripada panggilan orang asli Australia iaitu puak Wiradjuri di mana ‘Billa’ bermaksud ‘sungai’, sementara ‘bong’ bermaksud ‘mati’.
Kami bergerak seawal 4 pagi dari kediaman Dennis kerana perjalanan ke taman negara Kakadu mungkin mengambil masa lebih 2 jam lebih. Walaupun musim kering, namun angin di sini masih sejuk, dengan suhu 24 darjah Celsius.
Berpeluh? Sukar sama sekali, tapi sinaran UV di sini amat kuat. Sekiranya anda me-lawat negara ini sekitar musim kering, cuba dapatkan krim sunblock kerana peluang untuk terkena kanser kulit amat tinggi.
Senang Dapat Siakap?
Ketika billabong terhasil, antara ikan yang terperangkap ialah seperti barramundi (siakap), saratoga (sejenis arowana), keli (catfish) dan bulan. Kebanyakan spesies yang terdapat di Darwin sama seperti ikan di kepulauan Irian dan Papua New Guinea.
Dalam ekspedisi ini, Dennis turut membawa anaknya Jordan. Apa yang boleh saya katakan, anaknya memang ‘penganyir’. Setibanya di billabong pertama, balingan pertama telah disambut sang barramundi. Walaupun saiznya tak begitu besar, tetapi nampak sinar harapan di situ. Malarlark, ataupun siakap di billabong ini sudah bertukar warna keemasan, ekoran daripada air di sini.
Siapa kata senang dapat siakap di sini? Tidak semua spot berpenghuni. Walaupun berpenghuni dan anda boleh lihat siakap berenang gembira, jangan sangka ia akan menyambar gewang!
Antara faktor yang boleh dilihat ialah, dek ketiadaan arus yang bergerak, siakap di sini seolah-olah malas menyambar gewang. Apabila anda mengenakan kaca mata polarised, ikan dapat dilihat dengan jelas dan kadang-kadang sang siakap akan melarikan diri daripada gewang yang anda lontarkan!
Selain siakap, kami kerap mendapat beberapa sambaran kasar daripada ikan saratoga. Bagi yang pernah memancing spesies kelisa Australia ini, anda pasti tahu betapa sukarnya mata kail untuk tertancap pada mulutnya yang keras itu!
Selain itu, beberapa faktor keselamatan harus diutamakan. Ini kerana setiap billabong pasti akan mempunyai penghuni yang ganas dengan nama saintifiknya Crocodilus porosus iaitu buaya air masin!
Ketika musim kering, bukan sahaja ikan yang terperangkap, malahan ‘Abang Bedal’ pun join sekali. Lantaran faktor makanan yang kurang, buaya di sini pasti akan bertindak lebih ganas. Jadi apabila memancing di billabong, jauhkan diri dari tebing dan elakkan melakukan aktiviti dalam air!
Seluruh Pelosok Kakadu
Daripada pagi hinggakan lewat tengahari, boleh kata lebih tujuh billabong kami terokai. Dan akhirnya Dennis terpaksa mengaku kalah, terlalu banyak billabong yang dahulunya meriah dengan penghuni kini telahpun kering menjadi padang yang berdebu.
Kami berpendapat untuk menamatkan ekspedisi ke Taman Negara Kakadu lebih awal dan pulang berehat untuk aktiviti muara pada keesokan harinya. Esok Dennis akan membawa kami untuk mencari siakap di sekitar muara Darwin pula.
Dari Billabong Ke Muara
Walau bagaimanapun ekoran musim angin yang kuat, pancingan di muara agak terjejas. Maka terpaksalah kami memancing berdekatan sahaja.
Menurut Dennis, air menjadi keruh disebabkan angin dan gelombang yang kuat. Jadi kami mungkin ‘terpaksa’ melakukan blind cast sahaja (lontar gewang tanpa mensasar spot tertentu). Agak pelik ayat Dennis di situ, ‘blind cast’?
Bukankah selama ini kalau kita memancing di tempat kita, kita akan lakukan ‘blind cast’ di kawasan-kawasan yang berpotensi? Tetapi ia tidak berlaku di sini. Lazimnya disebabkan keadaan air yang selalu jernih akan membolehkan kita nampak ikan berenang-renang dengan jelas. Dan ketika itulah cast gewang akan dilakukan ke arahnya.
Jadi bermakna di sini, ‘nampak ikan baru cast!’ Perkataan ‘blind cast’ yang selalunya kita amalkan sebenarnya sesuatu yang janggal dilakukan di sini.
Heaven sungguh! Semua ini terjadi kerana komuniti di sini masing-masing memainkan peranan mereka dalam memulihara alam sekitarnya. Jadi ikan di sini sentiasa ada. Amalan tangkap-lepas serta bag limit dibuat atas kesedaran tinggi bagi memperkayakan populasi sumber perikanan mereka.
Memancing merupakan industri penting di Australia. Penguatkuasa perikanannya tidak perlu kerap melakukan rondaan untuk mengawal aktiviti ini kerana pemancingnya sendiri sudah ada integriti dan sikap tanggungjawab yang tinggi dalam menjaga ekosistem demi hobi yang tercinta…
TOP END AUSTRALIA (side article 1)
Darwin yang terletak di hujung utara benua Australia merupakan ibu negeri wilayah Northern Territory (N.T) yang juga dikenali sebagai Top End. Kalau anda biasa menonton Youtube tentang pancingan siakap di Australia, pasti lokasinya bertajuk di Northern Territory.
Darwin asalnya bernama Palmerston pada tahun 1869, tetapi ditukar nama kepada Darwin pada tahun 1911. Ia pernah musnah teruk diserang Jepun ketika Perang Dunia Kedua dan sekali lagi ranap akibat Taufan Tracy pada 1974. Kini ia menjadi salah satu bandar paling moden di Australia.
Darwin yang beriklim tropika merupakan gerbang utama Australia ke negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Timor Leste dan Papua New Guinea. Jadi tidak hairanlah spesies ikan yang terdapat di Darwin lebih kurang sama dengan kepulauan PNG seperti saratoga dan siakap. Cuma peliknya tiada rekod ikan black bass (kanai / tembaring) wujud di Darwin, biarpun masing-masing terletak berdekatan.
Pusat Pengilat Barramundi
Pada waktu malamnya, Dennis ingin memperkenalkan kami kepada kelab memancing yang diterajuinya. Di Darwin, segala pertandingan adalah berkaitan barramundi! Daripada pertandingan kecil hinggalah pertandingan yang melibatkan jutaan AUSD adalah pancingan siakap!
Apa yang menarik mengenainya ialah pertandingan-pertandingan ini dikelolakan oleh kelab-kelab memancing di sini. Dan apabila sesuatu pertandingan hendak dijalankan, kesemua kelab akan melakukan perbincangan dan bersatu menjayakannya.
Hanya terdapat 7 kelab memancing di Darwin, namun sifat muafakat dan cintakan hobi, sesuatu acara dapat dilaksanakan dengan senang. Kagum dengan sifat sebegini yang rata-ratanya sukar ditemui di negara sendiri.
Kami dibawa utuk makan malam di sebuah bar dan restoran, dan tempat ini hanya ahli-ahli kelab dibenarkan masuk! Ia dipanggila Baitcaster Bar. Terfikir sejenak, boleh pulak restoran ni survive kalau hanya membenarkan pelanggan ahli sahaja masuk.
Ya, memang boleh survive, kerana ahli kelab sahaja sudah melebihi 5,000 yang aktif. Jadi untuk sebuah restoran kecil survive, pasti senang walaupun tiada orang luar. ‘Educated angler’ itulah yang diterapkan setiap pemancing di sini, kerana mereka tahu jika semua pemancing berilmu, maka hobi ini akan menjadi sebuah hobi yang diterima ramai.
Andai kata semua nilai murni ini dapat dibawa dan diterapkan di Malaysia, semua pasti akan mendapat faedahnya. Mungkin generasi kita sudah terlambat untuk semua ini, tapi kita masih boleh mengajar generasi-generasi akan datang agar mereka dapat mempraktikkan budaya sayangkan hobi memancing, agar semua mendapat manfaat yang berguna.