Kepit Rahang Membunuh Ikan yang Dilepaskan?
Pernahkah anda sebagai pemancing ‘tangkap & lepas’ ditegur supaya berhati-hati semasa mengangkat ikan pada rahang bawahnya kerana dikhuatiri menjejaskan kehidupan ikan itu setelah dilepaskan, terutama ikan besar? Artikel ini dapat menjelaskan perdebatan subjek ini berdasarkan asas saintifik yang kukuh oleh Dr. Justin Grubich, pakar fisiologi ikan dan biomekanik yang telah mengkaji mekanik pemakanan dan tekanan rahang pelbagai jenis ikan. Artikel ini pernah disiarkan dalam majalah Salt Water Sportsman bertajuk ‘Lip Gripping May Harm Fish’. Mari kita kongsikan pandangannya sebagai garis panduan kita bersama, agar ikan yang ditangkap lepas dapat kembali bertarung dengan kita di kemudian hari…
Bersama : PAK WONG
Kita semua telah melakukannya : bergambar bersama ikan trofi dengan gaya yang klasik, bangga diangkat dengan mengepit rahang bawahnya (lip gripping), sama ada mengepit ibu jari kita pada mulutnya atau menggunakan alat pengepit rahang (lip grip) yang popular.
Dahulu, saya juga kerap bergaya dengan tangkapan melalui cara ini. Walau bagaimanapun, penyelidikan seterusnya terhadap fisiologi ikan dan biomekanik – di mana saya memperoleh ijazah saya – telah menunjukkan bahawa mengangkat ikan pada rahang bawahnya boleh menyebabkan kecederaan yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa ikan itu. Sejak itu saya berhenti melakukannya.
Populariti Lip-Gripping
Kita maklum lip-gripping begitu diterima secara universal. Ini kerana ia adalah satu cara yang mudah untuk memegunkan ikan semasa proses mencabut mata kail, malah lendir dan sisiknya tidak terpalit pada pakaian dan bot kita. Apatah lagi amalan ini dipopularkan oleh media memancing sama ada di majalah, akhbar, buku, TV dan media sosial.
Untuk mengkategorikan teknik mengangkat ikan ini, saya telah jalankan kaji selidik tidak rasmi dalam sebuah majalah memancing. Saya kategorikan kaedah pengendalian yang dipaparkan dalam gambar sebagai ‘hoisting’ (mengangkat ikan dengan rahang bawah atau sudut plat insangnya) atau ‘cradling’ (menyokong ikan dengan dua tangan pada satah hampir mendatar). Dalam tinjauan mudah ini, 40% pemancing air masin didapati melakukan ‘hoisting’ terhadap tangkapan mereka (mengepit rahang bawah).
Sesetengah spesies seperti red drum, snook, tarpon, striped bass dan seatrout, lebih kerap diangkat pada rahangnya. Ini mungkin kerana ikan-ikan ini kekurangan gigi tajam lalu memudahkan ia dikendalikan dengan cara ini. Namun sebagai perbandingan, pemancing layang trout dan pengilat bass selalu diperhatikan suka mengangkat hasil tangkapannya dengan mengepit rahang bawah.
Teknik pengendalian ini mungkin dianggap isu kecil kerana anda berasakan semua tekanan fisiologi dan anatomi telah pun dialami oleh ikan semasa proses perlawanan dan pendaratan. Keletihan otot, pembentukan asid laktik dan tancapan mata kail mungkin sudah mengurangkan peluang ikan untuk kelangsungan hidupnya selepas pelepasan.
Justeru adalah penting untuk kita menghadkan sebarang bentuk tekanan atau kecederaan tambahan. Dan satu cara mudah untuk melakukannya ialah dengan menahan diri kita daripada suka mengangkat ikan trofi kita melalui cara pengepitan rahang bawahnya.
Rahang Kehidupan
Rahang ikan menjalankan pelbagai fungsi semasa makan. Ia digunakan untuk mencekup, memanipulasi, menghantar dan, dalam beberapa spesies, mengesan mangsa. Sebagai contoh, rahang red drum dapat mengesan pergerakan mangsa yang menimbuskan diri di dasar melalui sambungan deria tekanan daripada garis deria di lelubang sepanjang tulang rahang bawah dan plat insangnya.
Walaupun mekanik pemakanan kelihatan semudah membuka dan menutup mulut, turutan kontraksi otot dan pergerakan tulang sebenarnya sangat kompleks. Kebanyakan ikan yang kita buru, termasuk striped bass, tarpon (bulan) dan snook, menyambar mangsa dengan menghasilkan sedutan yang kuat untuk menghisap mangsa masuk ke dalam mulut.
Sambaran secara sedutan (suction feeding) ini dicapai dengan urutan dinamik kepala dan pergerakan rahang yang menghasilkan gelombang air yang mengalir ke dalam mulut dan keluar dari insang. Pertama, rahang bawah terbuka dengan cepat. Seterusnya, kepala mula mengangkat, rahang atas menonjol, dan lantai mulut tertekan. Akhirnya apabila rahang terbuka sepenuhnya, pipi berkembang pesat dan plat insang bergerak ke sisi.
Fasa luas sambaran ini biasanya mengambil masa kurang 0.03 saat – lebih cepat daripada yang dapat dilihat oleh mata manusia. Selepas pengembangan, sambaran itu selesai apabila rahang dengan cepat mengatup, memerangkap atau menggonggong mangsa dan menghalang ia daripada meloloskan diri. Ikan juga sering kali menggigit mangsa yang besar atau canggung bentuknya di dalam rahang, sebelum dapat menelannya.
Rahang bawah memainkan peranan kritikal dalam mekanik pemakanan ikan kerana pergerakannya mengawal penonjolan atau pelanjutan rahang atas melalui ligamen. Bagi kebanyakan ikan pemangsa, rahang bawah berputar sekitar 30 – 40 darjah semasa makan. Putaran ini berlaku pada sepasang sambungan pelana di bahagian bawah setiap pipinya. Sendi-sendi inilah satu-satunya tempat di mana rahang bawah dilekatkan ke seluruh tengkorak ikan.
Secara mekanikal, mekanisme rahang bawah menggambarkan apa yang disebut jurutera iaitu ‘sistem tuas kelas ketiga’. Tuas kelas ketiga sangat biasa pada anggota badan dan rahang kebanyakan haiwan. Sebagai contoh, sendi bisep, siku dan lengan anda membentuk tuas kelas ketiga.
Tuas jenis ini baik untuk mengubah kekuatan otot pada hujung rahang, tetapi tidak semestinya kuat. Panjang rahang bawah ikan adalah berkadar terus dengan kelajuan di mana ia dapat membuka dan menutup mulutnya, dan secara berlawanan dengan kekuatan gigitannya. Sebagai contoh, spesies berahang bawah yang panjang seperti snook dan tarpon, mempunyai pergerakan rahang yang cepat tetapi secara umumnya, daya menggigitnya lemah.
Apabila Terlalu Berat
Tidak kira spesies, apabila anda mengepit ikan pada rahang bawahnya lalu mengangkatnya, anda meletakkan hampir semua berat badannya terjuntai dan tergantung pada sendi rahang bawah yang penting itu. Bagi ikan red drum contohnya, berat otot rahang semasa pembukaan dan penutupan dan tulang rahang bawah membentuk kurang 2% daripada berat badan keseluruhan ikan.
Perlu diingat juga bahawa otot rahang, tulang dan sendi ikan berkembang di dalam medium air yang tiada berat, di mana mereka tidak pernah mengalami beban berat seperti itu. Apabila ikan menjadi lebih besar, kestabilan dan kekuatan rahang tidak meningkat secara seimbang.
Jadi ikan yang lebih besar mempunyai rahang yang lebih lemah, berbanding ikan yang lebih kecil daripada spesies yang sama. Oleh itu, mengangkat ikan besar dengan rahang bawahnya boleh menjadi lebih berbahaya. Ini kerana otot rahangnya kurang dapat menahan kekuatan peregangan berat badan mereka yang lebih berat.
Pelanjutan rahang juga boleh merosakkan otot penutup rahang, yang terletak di pipi. Sebagai contoh, jika anda menyiku ke arah tubuh anda apabila mengangkat ikan, daya regangan yang disebabkan oleh berat badan ikan akan mengoyakkan gentian otot dan tendon yang melekat pada tulang rahang bawah dan menyebabkan kehelan pada sendi pelana. Kecederaan ini akan menghalang ikan daripada dapat menutup rahangnya dengan cepat semasa pemakanan masa hadapan, yang mungkin membolehkan mangsanya meloloskan diri.
Penggunaan ‘lip grip’ dan alat penimbang boleh memudaratkan sendi kritikal ini pada ikan yang lebih besar dan berpotensi merobek otot pembukaan rahang pada leher yang melekat pada bahagian bawah hujung rahangnya. Kecederaan terhadap otot-otot dan tapak-tapak bersambungan ini akan merosotkan keupayaan ikan untuk menghasilkan sedutan semasa menyambar mangsanya. Justeru alat lip grip harus digunakan khusus untuk mengawal kepala ikan supaya anda boleh meletakkan tangan sebelah di bawah badan untuk memangkunya.
Kecederaan Dalaman
‘Hoisting’ ikan yang anda ingin lepaskan bukan sahaja mencederakan rahang dan membatasi keupayaannya untuk mencari makan, malah boleh merosakkan organ dalamannya. Ingat, ikan dicipta untuk hidup dalam persekitaran yang mengapung, tanpa kuasa graviti yang kita alami di darat.
Apabila anda mengangkat ikan yang begitu besar secara menegak, berat organ-organ dalamannya boleh meregangkan atau merobek mesenterium yang memegangnya di tempatnya, menyebabkan organ-organ dalaman melorot ke arah ekor. Kerosakan dalaman sedemikian boleh memberi kesan buruk terhadap fungsi pencernaan ikan.
Cara Terbaik
Sekiranya anda serius untuk memastikan kelangsungan hidup ikan yang dilepaskan, perkara terbaik yang boleh anda lakukan ialah jangan keluarkan ia dari air.
Tetapi bagaimana jika anda mahu mengambil gambar ikan atau perlu membawanya ke atas untuk mengeluarkan mata kail? Nasib baik ada cara untuk mengendalikan ikan yang tidak akan menyebabkan banyak risiko seperti mengepit rahang bawah – dan menjadikan gambar yang lebih baik juga!
Mari kita terima hakikat : mengangkat ikan melalui rahang bawahnya bukanlah cara terbaik. Lagipun, ikan umumnya tidak berenang dalam kedudukan menegak, jadi tidaklah wajar untuk melihat mereka dipegang secara itu.
Justeru selepas ini apabila anda bergambar dengan ikan, cuba pangkunya pada tangan anda, dengan sebelah tangan lagi menyokong badannya. Saya fikir anda akan lebih gembira dengan foto yang dihasilkan, dan juga berasa selesa menerima kenyataan bahawa anda memberi peluang yang lebih baik untuk ikan itu terus hidup.