Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Ketahui Apa Yang Ikan Lihat

Layaran yang bermata besar, adalah antara ikan terpantas di lautan (sumber foto : Rodrigo Friscione / NOAA).

Apabila anda memahami fungsi mata ikan, ia merupakan satu kelebihan untuk anda menjadi pemancing yang sukses. Jom kita fahami bagaimanakah ilmu pengetahuan tentang mata ikan ini dapat membantu daya pancingan kita…

Sumber : THE FISHERMAN’S OCEAN (DR. DAVID A. ROSS)

Struktur mata ikan adalah serupa dengan mata kita manusia. Cuma perbezaannya ialah kita mempunyai iris (anak mata) atau diafragma yang boleh dilaras untuk mengawal jumlah cahaya yang memasuki mata kita dan sampai ke retina. Kebanyakan ikan mempunyai anak mata yang tetap atau anak mata yang boleh dilaras sedikit. Oleh itu, ia tidak dapat mengawal jumlah cahaya yang masuk sampai ke retinanya.

Kelopak Mata Ikan?

Lagi satu, kebanyakan ikan tidak mempunyai kelopak mata dan jika ada pun, ia tidak terbentuk dengan ketara. Tanpa kelopak mata, keamatan cahaya boleh mendatangkan masalah terhadap ikan, kerana ikan tidak mampu menyesuaikan anak matanya untuk menutup atau mengurangkan kemasukan cahaya yang terang.

Sudah tentu ikan boleh mengelakkan cahaya yang terang dengan berenang semakin dalam. Ada juga sesetengah ikan mempunyai penyesuaian khas pada matanya untuk mengawal kemasukan cahaya. Ikan yu dan beberapa spesies ikan bertulang mempunyai kelopak mata yang terdiri daripada bahan berlemak.

Bonefish mempunyai adaptasi untuk menyaring silau cahaya yang memudaratkan (sumber foto : Universiti Florida – Muzium Sejarah Alam Florida).

Bonefish, sebagai contoh, mempunyai tisu lemak dengan pembukaan kecil pada pupil mata yang menyekat jumlah kemasukan cahaya. Kebanyakan ikan mempunyai pigmen pada matanya yang menjadi aktif apabila intensiti cahaya meningkat. Warna pigmen ini akan memayungi dan melindungi sel-sel retina yang sensitif terhadap cahaya.

Ambil Peluang & Kesempatan

Sebagai pemancing, kita boleh sesuaikan strategi pancingan dengan memahami fungsi mata ikan. Apabila memancing di sungai, ketika matahari memancar terik, kita tahu bahawa ikan akan memilih untuk bersembunyi atau mencari makanan di tempat-tempat teduh atau struktur lain yang menghadang matahari. Ini kerana cahaya yang terik akan memberi kesan serius terhadap daya penglihatan mereka. Oleh itu kita harus melontar gewang ke sudut yang gelap.

Ini juga menjelaskan mengapa ikan sangat aktif pada waktu pagi atau lewat petang. Cahaya dalam tempoh masa ini adalah yang paling lemah, dan pemangsa atau mangsa akan memanipulasi tempoh masa ini untuk mendapatkan makanan. Malah pada siang hari, ketika langit tiba-tiba menjadi mendung ditutupi awan, terutama sebelum hujan tiba, kita juga akan dapati sambaran ikan tiba-tiba bertubi-tubi.

Adakah Ikan Tidur?

Persoalan ini memang sering dilontarkan, bagaimana ikan nak lelap sedangkan mereka tiada kelopak mata? Ketiadaan kelopak mata juga telah mencetuskan kesimpulan yang salah bahawa ikan tidak tidur.

Ikan sebenarnya boleh menghabiskan masa yang cukup untuk ia tidur, atau sekurang-kurangnya berada dalam mod pegun, menyimpan tenaga, berehat dan hanya terapung di dalam air. Bagaimanapun, tingkah laku ini tidak dianggap sebagai ‘tidur’ dalam pengertian kita.

Titik Sasaran

Kebanyakan jenis kumpulan ikan dan ikan yang besar, terutama pemangsa, mempunyai mata yang besar. Mata yang lebih kecil atau kurang ketara adalah lebih umum di kalangan ikan yang jarang atau tidak pernah hidup berkumpulan.

Kertang yang tinggal di laut dalam mempunyai mata yang kecil, tetapi mereka mudah mendapatkan banyak makanan untuk memuaskan selera besarnya dengan mempunyai mata yang sangat sensitif.

Bukti menunjukkan bahawa pemangsa sering menumpu sasaran pada mata mangsanya. Oleh sebab itu, banyak spesies mangsa telah mengembangkan kaedah penyamaran atau pelbagai skema warna untuk menyembunyikan matanya.

Kepentingan faktor ini tidak lekang daripada pemancing. Misalnya umpan layang (fly) yang berkesan adalah yang mempunyai beberapa jenis mata, termasuk yang meniru udang, ketam, udang kara, udang karang, dan ikan kecil. Ini tidak terkecuali dalam penciptaan gewang-gewang lain.

Reka bentuk umpan layang (fly) selalunya ditekankan pada bahagian mata kerana ia adalah sasaran utama ikan pemangsa.

Kesimpulan

  • Seperti yang anda jangkakan, ikan yang aktif makan dalam keadaan cahaya rendah seperti waktu subuh, senja atau di air yang dalam dan gelap, biasanya mempunyai mata yang lebih besar berbanding ikan-ikan yang hidup di air yang cetek dan terang.
  • Ikan yang tidak bergantung kepada penglihatannya untuk mencari makan biasanya mempunyai mata yang agak kecil, iaitu termasuk ikan dasaran yang menggunakan deria lain untuk mencari makanan.
  • Ikan yang hidup di lautan dalam atau gua, yang tidak bisa ditembusi cahaya, lazimnya tidak mempunyai mata atau matanya sangat kecil. Kebanyakan jenis ikan ini mempunyai sistem garis deria yang maju iaitu mereka dapat mengesan sebarang pergerakan makhluk lain.
  • Ikan laut dalam yang mempunyai mata selalunya mempunyai bilangan sel sensori yang menakjubkan dalam retinanya. Ia mempunyai sebanyak 10,000 hingga 16,000 juta sel dalam satu inci persegi. Kepekaan mata ikan ini melebihi haiwan-haiwan lain.