Kongkongpura ‘Barra Selatan’

Pujuk jangan tak pujuk.
Johor mempunyai banyak lokasi pancingan. Sebut sahaja apa spesies buruan anda, pastinya ada lokasi untuk memburunya. Sama ada anda kaki mengilat, kaki jigging mahupun bottom, lokasi untuk anda melempiaskan nafsu memancing pastinya ada. Cuma masa dan kewangan sahaja yang akan menentukan bila anda dapat melakukan aktiviti yang telah menjadi hobi lebih kurang 2 juta daripada 30 juta lebih rakyat Malaysia dewasa kini. Jika anda kaki siakap, Kong-Kong semestinya paling popular di negeri JDT ini…
Teks & Fotografi : JOHN ANGLER
Noorizad atau lebih mesra dipanggil Angah antara sahabat lama yang mula-mula saya kenali apabila menjejakkan kaki di Johor. Beliaulah yang banyak membawa saya memancing pada ketika itu yang sememangnya tidak tahu menahu lokasi pancingan serta kedai-kedai pancing di Johor Bahru (JB). Antara lokasi yang sering kami turun memancing ialah Pantai Lido, Tasik Merdeka dan juga Kong-Kong Laut.

Suasana pagi yang mendamaikan di jeti.
Sejak saya sudah tidak bertugas di JB, jarang-jarang sekali saya berjumpa Angah. Tambahan pula beliau agak sibuk dengan tugasnya sebagai kontraktor pemasangan komputer dan CCTV. Hendak dijadikan cerita, baru-baru ini saya dihantar untuk bertugas di Pasir Gudang. Sudah tentunya Pasir Gudang terletak berhampiran JB dan juga sangat hampir dengan Kong-Kong Laut.
Kong-Kong antara lokasi terawal saya memancing bersama Angah. Seingat saya, sudah hampir 5 tahun saya tidak turun memancing di sana. Setelah bersua muka dengan Angah, saya menyatakan hasrat untuk turun memancing di Kong-Kong. Terus sahaja Angah bersetuju.
Kong-Kong terkenal di kalangan pemancing Johor. Rata-rata mereka tahu akan kemahsyuran lokasi ini. Saya juga percaya pemancing seluruh Malaysia juga tahu akan spesies siakap yang menjadi trademark pancingan di Kong-Kong. Dulu, saya sering turun memancing siakap di sini dan boleh dikatakan setiap kali turun, tidak pernah kami gagal mendapatkan siakap. Tapi harus diingat, tanpa tekong yang mahir, agak sukar bagi seorang pemancing untuk mencari reba siakap.
Waktu itu, Along lah yang sering menjadi tekong kami. Along merupakan abang kepada Noorizad (Angah). Beliau antara tekong yang mahir dengan selok-belok di sana. Disebabkan Along agak sibuk, hanya kami berdua yang akan turun menduga isi perut perairan Kong-Kong.

Udang hidup dijual RM 60 sekilo. Nak ikan baik kena la keluar modal sikit ye tak?
Sebenarnya Angah agak kurang tahu akan lokasi reba siakap, jadi kami merancang untuk memancing dasar sahaja bagi memburu gemang dan spesies pemakan dasar yang lain. Lagipun trip ini hanyalah sebagai mengenang kembali zaman kegemilangan kami memancing di sana. Jadi trip ini lebih kepada trip santai.

Hey ho, lets go!
Bot Sewa Habis!
Pagi yang dijanjikan telahpun tiba. Saya yang sampai agak awal melihat begitu ramai pemancing sedang bersiap sedia untuk turun memancing. Ada yang sedang membeli umpan, ais dan ramai juga yang sedang bersarapan. Pada hemat saya, ini pemandangan biasa di sini. Tetapi Angah yang tiba tidak lama kemudian terkejut melihat begitu ramai pemancing berada di jeti. Katanya jarang ada begitu ramai pemancing pada hari bukan hari minggu.
Bot pula belum ditempah kerana menyangkakan pastinya bot banyak. Ternyata telahan itu silap apabila bot telah habis disewa pada hari itu! “Macam mana ni Ngah?” tanya saya. Beliau pun agak runsing. Satu persatu bot meninggalkan jeti dan kami hanya memerhatikan dengan penuh harapan. Tuah menyebelahi kami apabila terdapat satu bot yang tidak disewa kerana bersaiz agak besar dan enjinnya agak perlahan, walaupun berkuasa 40 hp. “Blasah jelah Ngah, janji mancing…” seloroh saya.
Pagi itu hanya tinggal kami berdua di jeti dan jam menunjukkan 9.30 pagi. Sedang kami bersiap-siap menurunkan barang ke dalam bot, terpandang kelibat seseorang datang ke arah jeti. Setelah diamati, rupa-rupanya Che Wan! Kalau di Kong-Kong, beliau selayaknya digelar ‘Raja Siakap’ kerana kehandalannya mencari reba persembunyian sang siakap. Selok-belok serta segala cabang sungai di Kong-Kong telah terpahat dalam memori beliau. Tak perlu GPS, semuanya dalam kepala!
Saya juga telah lama tidak berjumpa Che Wan. Dulu beliau juga banyak menurunkan ilmu bermain siakap di sini kepada saya. Rupanya beliau juga turun pada hari itu, tetapi bersendirian dengan botnya sendiri. Setelah mendengar bahawa kami hanyalah bercadang memancing dasar mencari gemang, terus beliau mengajak kami menemaninya memancing siakap. Nah, rezeki di depan mata jangan ditolak! Lagi pula diajak oleh Che Wan, mana mampu saya menolak! Siakap mode ON!

Tiang kabel elektrik yang baru dibina. Dulu takde pulak.
Setup Salah
Setup pemburu siakap di Kong-Kong agak unik, kerana setup yang digunakan dalam kategori light ke medium light. Kekili selalunya spinning bersaiz 1000 hingga 2000, dan joran sepanjang 5.6 hingga 6 kaki berkekuatan 8 – 16 paun atau lebih rendah, dan menggunakan tali 10 – 15 paun sahaja. Inilah setup yang terbaik digunakan di sini bagi memburu siakap.
Kedengaran agak skeptikal bukan? Dan sudah banyak kali terdengar dan juga terjadi kepada sahabat-sahabat yang turun ke sini dibuli siakap yang melarikan umpan sehingga habis segelendong mahupun putus apabila drag kekili yang kecil tidak mampu menahan kekuatan siakap yang bersaiz mega. Hanya rezeki dan tuah yang akan menentukan, sama ada siakap yang diidamkan dapat dinaikkan atau tidak.

Beruntung saya dapat memancing Che Wan ‘Raja Siakap’ Kong-Kong ini.
Saya yang membawa joran bottom pada hari itu sudah pening kepala kerana joran saya agak panjang. Kekili bersaiz 3000 dan diisi tali 40 paun. Setup untuk siakap saya tak bawa pula. Hantam sajalah labuu... seloroh saya.
Sistem perambut siakap Kong-Kong amat ringkas, hanya masukkan sebiji ladung kecil dan masukkan stopper bagi menghalang batu ladung melorot ke bawah. Seterusnya ikat mata kail, dah pun siap. Udang hidup dicangkukkan di bahagian ekor dan dilontar ke tepi atau hadapan reba tenggelam dan karau perlahan-lahan.
Kenapa Tak Try Gewang?
Pernah juga saya bertanya kepada Che Wan, mengapa tidak casting sahaja guna gewang, kan lebih seronok. Kata Che Wan, siakap di sini agak kurang responsif kepada gewang walaupun beliau sudah banyak kali mendapatkan siakap dengan soft plastic. Udang hidup lebih mudah dan sangat digemari siakap di sini.
Lokasi pertama kami ialah di tiang elektrik yang merintangi di tengah-tengah perairan Kong-Kong, seingat saya tiada tiang elektrik ini dahulu. Percubaan kami gagal di situ dan terus berpindah ke lokasi seterusnya. Kata Che Wan, jika siakap ada di situ, pasti umpan kami telah diragut tadi.

Aksi yang diidamkan oleh semua pemancing!
Lokasi seterusnya merupakan satu cabang anak sungai yang mengalir ke arah laut Kong-Kong. Kelihatan sebuah kapal pengorek pasir sedang giat menyedut pasir dari dasar sungai. Keadaan air sedikit berkeladak dek kerana kapal korek itu mengalirkan kembali air yang disedut bersama pasir.
Tak perlu menunggu lama, beberapa ekor ikan bulan dapat kami daratkan di situ. Sesekali sang buntal mencuri udang yang kami hulurkan buat sang siakap. Kerana hanya ikan bulan dan buntal sahaja yang menjamah umpan, kami berpindah sekali lagi.
Deadliest Catch
Semasa menurunkan barang ke bot pada pagi tadi, saya perasan Angah membawa beberapa biji bubu ketam atau lebih dikenali sebagai ‘bintoh’ di Johor. Patutlah saya selalu melihat Angah posting di FB beliau dengan perkataan Deadliest Catch disertakan gambar ketam nipah, rupanya beliau menyelam sambil minum air dengan memasang beberapa biji bintoh di cabang sungai yang kami masuki awal tadi.
Ikan pari ketuka dijadikan umpan kerana kata Angah, ia lebih tahan dan liat. Gayanya seperti pemburu ketam di lautan Atlantik. Alahh… macam di Discovery Channel tulah. Kalau ada rezeki, dapatlah merasa makan ketam nipah fresh. Jika hendak dibeli, harganya agak mahal sehingga RM 90 sekilogram bagi ketam bersaiz besar.

Lepas Che Wan, Che Wan lagi. Memang padu orang lama!
Lokasi seterusnya agak jauh dari tempat tadi. Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengahari. Saya dan Angah mengambil peluang untuk menjamah bekalan yang dibeli awal pagi tadi. Seraya saya menjemput Cik Wan untuk bersama-sama makan, umpan udang yang beliau turunkan hanya di bawah bot terus disambar siakap!
Ekor siakap tersebut yang kekuningan membuktikan yang ia tinggal di kawasan yang airnya betul-betul berkualiti dan jernih. Saya terus berhenti makan dan menghulurkan juga udang di bawah bot antara celahan juntaian akar bakau kerana kami mengikat bot betul-betul hampir dengan pokok bakau. Saya berjaya mendapat dua sambaran, tapi rabut. Namun, Cik Wan dan Angah berjaya menaikkan beberapa ekor lagi siakap.
Tiada Arus
Seperti mana ikan di tengah lautan, siakap juga tidak aktif untuk menjamah umpan apabila arus mati. Agak lama kami melepak di situ. Walaupun tiada lagi si siakap yang menjamah umpan, kami hanya berbual-bual sambil menunggu pergerakan arus.
Arus mula dirasakan pada jam 3 lebih. Kami bergerak sambil singgah di beberapa lokasi yang terletak dalam arah perjalanan pulang ke jeti. Lokasi terakhir kami ialah di satu pintu kuala sungai yang menghala masuk ke Kong-Kong.
Tidak disangka, reba bakau hasil tumbangan pokok bakau yang pernah saya duga ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Kong-Kong masih ada di situ. Cik Wan mengatakan bahawa ikan siakap yang mudik ke muara sungai akan kembali ke tengah dan akan melalui reba tempat kami berhent . Udang yang saya turunkan juga hanya di bawah bot terus disambar siakap dan berjaya didaratkan. “Yes! Aku tak kumpau!” seloroh saya. Angah hanya mentertawakan saya melihat reaksi itu.

Gemang saiz ni masih dikira kecik. Angah cakap ada lagi besar!
Beberapa ekor lagi siakap kami berjaya daratkan di spot tersebut. Ketika jam sudah pun hampir 6 petang, kami pun bergerak pulang. Hasil kami pada hari itu boleh tahan juga. Saya berpuas hati kerana pada mulanya kami hanya mensasarkan gemang. Tak disangka siakap pula yang menjadi pengganti.
Kawan Nak Pakai Lama
Kong-Kong menyimpan banyak spesies ikan yang berkualiti seperti siakap, siakap merah, kerapu, senangin, pari, tebal pipi mahupun ebek. Walaupun sentiasa dikunjungi oleh pemancing saban hari, ia masih boleh didapatkan jika anda mahir dengan lokasi ikan-ikan ini bermain serta mencari makan. Sentiasalah ramah dan ringan mulut untuk bertegur sama dengan pemancing lain di jeti kerana tak rugi kita mengukir senyuman untuk sebuah persahabatan yang bakal terjalin, bukan?

Ikan bulan yang disangkakan si putih.
Di sini juga saya banyak mendapat rakan baru dan ilmu memancing. Jika anda sombong dan tidak mahu bertegur sapa, tiada sesiapa yang mempedulikan anda. Tetapi jika anda sentiasa ramah dalam pergaulan, pastinya ke mana pun anda pergi, anda pasti diingati.
Kepada pemancing di luar sana, cuba-cubalah menduga Si Putih Kong-Kong ini. Manalah tahu kan… siakap bersaiz mega bakal menyedut udang yang anda hulurkan. Jangan lupa plak ajak member, takkan la nak pergi sorang-sorang kan?

Deadliest catch ON!

Hulur je celah tu, kalau ade mesti dia makan!

Lagi siakap oleh Angah.

Rumah Cik Meme, kata Che Wan.

Satu satunya kerapu pada hari itu.

Dapat jugak akhirnya. Saya tak kumpau yer!