Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Korek-Korek Pontianak Kuala Mentiga

Begahak dah mengamuk wei! Moh cepat turun Sg. Pahang sebelum musim kering dan fenomena El-Nino berakhir!

Spesimen mantap yang terjebak dengan gewang berwarna terang daripada Ofmer.

Teks & Fotografi : CASTER BOY

Semasa membeli barang di kedai runcit berhampiran kampung, seseorang yang saya kenali menegur, “Am… aok tak turun ngail gohok ke? Koi tengok air mula surut ni banyak ikan kasar mengembur anak ikan dekat tebing.” Spontan saya menjawab, “takpe, petang ni koi pegi buat spot check.”

Tanpa berlengah petang itu saya terus memacu bot ke kawasan hot spot permainan begahak setiap tahun iaitu Kuala Mentiga. Sg. Mentiga yang hitam mengalir keluar menghala ke Sg. Pahang membawa anak-anak ikan yang hanyut keluar ke kualanya.

Tetapi tahun ini banjir besar tidak melanda kawasan pantai timur, jadi ikan mungkus atau anak-anak ikan yang mudik naik ke hulu sangat kurang kelihatan, dan menyukarkan saya menjejak begahak.

Setelah 6 tahun memburu, akhirnya Abg. Man berjaya mendapat lesen begahak Sg. Pahang.

Pencarian Kubu

Saya mencari struktur berkayu untuk menjejak tempat persembunyian si pontianak Sg. Pahang tersebut. Beberapa spot telah dicuba, namun hasilnya zero. Saya mengikat bot pada sebatang tunggul betul-betul di hadapan kuala Sg. Mentiga.

Saya yang membuat balingan ke arah luar kuala sungai telah menerima sambaran sebelum tertewasnya seekor begahak curut. Balingan rakan saya juga telah menghasilkan seekor begahak yang sama saiz. “Wahhhh… dah jumpa lubuk ni,” kata kawan saya sambil ketawa kecil.

Petang itu, saya berjaya menewaskan beberapa ekor begahak curut. “OK lah kan dari takde…” Malam itu saya mula meracun sahabat-sahabat melalui WhatsApp. Tidak disangka rupanya ramai yang sedang mencari lesen begahak.

Cari Lesen

Semasa musim begahak, saya telah dihubungi Abg. Azman Din atau lebih dikenali sebagai Man Jawa. Beliau sudah 6 tahun menjejaki begahak yang dianggap rare ini. Jam 7.30 pagi, saya yang berpasangan bersama Abg. Man manakala Abg. Janwar berpasangan dengan Hazlika memacu bot menuju ke Kuala Mentiga.

Keadaan sungai pagi itu begitu sunyi. Hanya sesekali kami dikejutkan deburan pemangsa menghentam ikan-ikan kecil. Balingan demi balingan dibuat ke tempat berpotensi, namun ikan masih belum mahu menjamah gewang yang dimainkan.

Matahari sudah tegak di atas kepala, jam sudah pukul 1 tengahari. Saya yang dah buntu mengajak ahli komplot untuk makan tengahari dahulu sebelum kembali beraksi. Setelah menjamu selera dan menunaikan solat, kami teruskan pemburuan pontianak Sg. Pahang.

Abg. Janwar dan Hazlika bercadang untuk mengilat di kuala Sg. Mentiga, manakala saya dan Abg. Man pula ingin cuba-cuba menunda di sebelah hilir kuala Mentiga. Hampir sejam juga kami menunda gewang tanpa sebarang hasil, akhirnya kami memutuskan untuk menyertai Janwar mengilat di muka kuala Mentiga.

Ingatkan begahak monster, rupa-rupanya belida monster yang membedal Rapala TDD Abg. Man!

Apabila kami sampai, kelihatan Abg. Janwar sudah pun menaikkan 2 ekor begahak. “Wahhh… ini boleh mendatangkan marah,” Abg. Man melawak. Saya mengikat bot berhampiran bot Abg. Janwar. Semasa masing-masing tekun memujuk begahak, tiba-tiba kami dikejutkan oleh aksi Abg. Hazlika yang sedang berlawan tarik tali.

Aksi yang mendebarkan berlaku dalam beberapa minit kerana mangsa agak besar. Sampai di tepi bot, kelihatan mangsa yang berkilat keperakan seraya Abg. Janwar menjerit riang, “begahak tu… kasi control Hazlika.” Akhirnya tewas trofi yang dianggarkan 2 kg.

Troll Sama Dia

Bot kami yang dari tadi kosong membuat hati saya semakin runsing untuk mendapatkan lesen kepada Abg. Man. Saya mencuba di sebelah bawah kuala Mentiga, di mana air Sg. Mentiga dan Sg. Pahang bercampur menjadikan tempat yang strategik untuk pemangsa serang hendap.

Balingan pertama telah bersambut dengan tertewasnya seekor begahak yang boleh tahan saiznya, kemudian suasana kembali sepi. Saya mencadangkan Abg. Man untuk trolling. Cubaan trolling kali ini nampaknya berbaloi apabila gewang saya diragut sesuatu, tetapi rabut.

Saya kembali pusing menunda gewang di tempat yang sama, lalu gewang saya dan Abg. Man dihenjut sesuatu. “Yessss akhirnya double strike gohok weiii!” jerit Abg. Man. Saya yang menggunakan sonar untuk mengesan struktur dasar melihat ikan cukup banyak di dasar sungai.

Abg. Janwar dan Hazlika yang tidak tahan melihat kami bergasak turut menyertai pesta menggasak begahak. Di lubuk tersebut, kami memperoleh banyak begahak sehingga lost count. Pesta menunda begahak tamat apabila matahari mula hilang di sebalik bukit, menandakan hari sudah gelap.

Waktu Makan Begahak

Pada awalnya saya dan Abg. Man sudah banyak kali menunda gewang di situ. Dalam sonar menunjukkan begitu banyak ikan, tetapi tidak menghiraukan gewang kami.

Anehnya lewat petang kami mencuba semula di spot itu ternyata tidak menghampakan apabila gewang dilahap tanpa henti. Mungkin ikan ini ada waktu makan tertentu.

Bagi kawasan pasang surut, waktu aktif ikan membaham gewang atau umpan adalah apabila bermulanya bunga pasang dan bunga surut. Berbeza pula dengan sungai yang tidak dipengaruhi pasang surut, jadi kita perlu mencuba mencari waktu makan untuk spesies yang kita buru.

Kebanyakan awal pagi dan lewat petang adalah waktu terbaik untuk memburu apa jua spesies di sungai yang tidak dipengaruhi air pasang surut. Pernah juga saya digasak tanpa henti oleh begahak waktu matahari betul-betul terpacak di atas kepala. Oleh itu, kita haruslah rajin mencuba untuk mencari waktu makan begahak dengan tepat.

Kawasan Pemburuan

Selain kuala sungai kecil, kawasan pemburuan begahak juga boleh difokuskan di reba-reba kayu dan kawasan berbatu. Biasanya begahak suka berlegar di belakang pokok tumbang, di mana arus sungai perlahan akibat halangan itu. Saya tidak akan biarkan tempat sedemikian begitu sahaja kerana mungkin ada pontianak Sg. Pahang yang sedang menunggu gewang anda melintas.

Lubuk-lubuk yang dalam juga merupakan kawasan permainan begahak, terutama yang bersaiz bagak. Untuk mengetahui kedalaman lubuk dan struktur di dalam lubuk, penggunaan sonar amat diperlukan.

Menunda Atau Mengilat?

Di lubuk yang dalam dan panjang, saya lebih gemar trolling kerana kebiasaannya begahak akan berada di dasar sungai. Gewang juga mampu dimainkan rapat ke dasar yang dalam pada perimeter yang luas.

Keadaan paling bagus apabila gewang tundaan terasa melanggar struktur di dasar. Cuba anda bayangkan gewang yang terhantuk-hantuk melanggar struktur tiba-tiba disergap sesuatu, mau gigil satu badan kalau anda tak bersedia dengan keadaan tersebut.

Mengilat pula biasanya saya praktikkan di kawasan reba padat atau kuala anak sungai yang keluar ke Sg. Pahang. Ini kerana gewang boleh dilontar di celah-celah reba berpotensi, di mana teknik tundaan tidak dapat dilakukan di kawasan ini.

Kebiasaannya begahak yang sedang beristirehat di dalam reba akan keluar membaham gewang yang dianggap pengacau atau makanannya. Tetapi jangan lupa bawa penyelamat gewang kerana gewang anda mungkin akan tersangkut.

Jika menunda, joran cukuplah sekadar 8 – 17 paun atau 8 – 20 paun, manakala mengilat pula 4 – 10 paun sehingga 8 – 17 paun supaya anda dapat menghayati perlawanan lebih adil. Jangan risau… sepanjang saya memancing begahak, tak pernah lagi spesies ini membawa gewang masuk ke dalam reba sebaliknya berenang ke kawasan lapang.

Bonus

Jika memburu begahak, anda juga mungkin bernasib baik terkena ikan lain seperti baung, belida, tapah, sebarau, kenerak dan pemangsa yang berkongsi habitat yang sama. Kerapkali saya menunda begahak terkena belida yang boleh tahan saiznya dan di tempat yang berbatu pula kenerak yang menyergap gewang dalam pesta begahak mencari makan.

Oleh itu pemancing haruslah rajin mencuba pelbagai jenis dan kedalaman gewang untuk mendapatkan hasil yang lebih mencakup. Kreativiti pemancing mampu mengubah hasil pancingan anda.

Apa pun, hanya ada satu peluang sahaja untuk menggewang begahak Sg. Pahang setiap tahun… pastikan ianya musim kering!

CUCI-CUCI SUNGAI 

Masalah sangkut adalah perkara biasa dalam pancingan gewang, baik mengilat atau menundanya. Oleh itu, ladung penyelamat gewang (lure retriever) wajib anda bawa, apatah lagi memancing di sungai yang luas, dalam dan berarus seperti Sg. Pahang ini.

Namun lure retriever tidak selalunya berjaya menyelamatkan gewang anda yang tersangkut, lebih-lebih lagi apabila gewang terkena pukat di dasar. Buatlah cara macam mana sekali pun, alat itu selalunya gagal untuk menghantuk atau mengait gewang supaya gewang terlepas daripada pukat-pukat buruk yang ditinggalkan nelayan.

Inilah yang sering berlaku setiap memancing begahak Sg. Pahang. Sudah banyak gewang kami berkubur apabila menyodok pukat buruk di dasar. Usaha menyelamatkan gewang juga berisiko tinggi, sekiranya ia berlaku di kawasan alur sungai yang kuat arusnya.

Si penjaring atau pemukat selalunya merentang pukat di kawasan kuala anak sungai untuk memerangkap ikan yang keluar masuk anak sungai seperti kuala Sg. Mentiga ini. Siapa tak geram apabila gewang sangkut pukat kerana ia akan merugikan banyak masa dan tenaga kita.

Dan kerana geram jugalah, kami semasa trip ini paksarela melakukan ‘kerja amal’ dengan ‘mencuci sungai’ agar bebas daripada pukat-pukat hantu ni. Kasi clear sama dia, baru hati tak panas beb! 

MONSTER BEGAHAK 

Sejauh manakah spesies pemangsa unik ini boleh membesar?

Begahak atau nama lainnya ‘gerahak’ dan ‘gohok’ (nama saintifik : Belodontichthys dinema) hanya diketahui wujud di sistem Sg. Pahang di Malaysia. Aneh… tidak pernah pula ia didengari di sistem Sg. Johor, Sg. Perak, Sg. Terengganu atau Sg. Kelantan. Jika ada, mohon anda semua betulkan saya, berserta dengan bukti-buktinya jika benar ia wujud di sistem sungai selain sistem Sg. Pahang.

Di Sabah dan Sarawak, dilaporkan tidak ada spesies bergigi tajam jarang-jarang ini, melainkan jika kita melangkaui ke Kalimantan Barat, Indonesia di mana mengalirnya sistem Sg. Kapuas yang kompleks dan terpanjang di Borneo. Di Kalimantan Barat, ia dikenali dengan nama ‘lais tebiring’ dan ‘jarang gigi’.

Sebagai ikan pemangsa yang menggerunkan jika kita melihat pada gigi-gigi setajam jarumnya itu serta habitatnya yang mendiami sungai yang besar dan dalam, tentu kita semua tertanya-tanya sejauh manakah ikan begahak ini boleh membesar? Sebenarnya tiada rekod bertulis yang pasti tentang rekod terbesar ikan ini di negara kita. Dan jika ada pun, sesiapa pun tidak akan berpuas hati kalau ia tercatat tanpa bukti bergambar.

Sumber menyatakan spesimen ini 40 kg, betul ke?

Justeru di sini saya mengumpulkan beberapa gambar bukti sebagak manakah begahak mampu membesar. Cuma rekod bergambar (tiga gambar di atas) ini diperolehi daripada nelayan Sg. Pahang yang menggunakan jaring hanyut atau sejenis peralatan menangkap ikan tradisional dipanggil ‘angguh’. Anda tekalah berapa beratnya? Belasan kilo? Lebih 20 kg? Bayangkan kalau monster ini yang bantai gewang anda!

Bayangkan monster ini hentam gewang anda!

Anhar dengan rekod hampir 4 kg dengan trolling.

Rekod memancing yang saya sendiri alami ialah semasa membawa Abg. Anhar dari Hasya Joran baru-baru ini apabila beliau berjaya menumpaskan seekor begahak sekasar hampir 4 kg dengan trolling. Teknik trolling memang dirasakan cara yang paling berkesan jika ingin mencari begahak saiz trofi.

Sehingga ke hari ini, apabila Sg. Pahang surut dan kurang keruh, saya akan turun memburu begahak dengan harapan dapat mencipta suatu rekod mega peribadi. Moga saya akan berjaya suatu hari nanti…

Hery Ocos dari Pontianak, Kalimantan Barat dengan rekod casting lais tebiring.