Kuala Terengganu Kembali Diserang Talang 2016
Jika anda masih ingat pada tahun 2014, kisah serangan armada talang mega di bandar Kuala Terengganu pernah menggemparkan kaki mengilat satu Malaysia. Hanya casting dari tebingan muara Sg. Terengganu, berpuluh ekor talang bersaiz 5 – 7 kg berjaya ditewaskan. Kali ini setelah hampir dua tahun menyepi, pembuka tirai 2016 digegarkan semula oleh pencerobohan bala tentera talang dan sebahagiannya berjaya dipintas pasukan ‘sniper’ yang berpelurukan gewang…
Pejam celik pejam celik, telah pun masuk ke tahun baru 2016. Masa berlalu begitu cepat tanpa kita sedari dan hampir setahun lebih kumpulan ikan talang (queenfish) tidak menampakkan tanda-tanda kemunculannya menyerang lagi bandar Kuala Terengganu (KT). Terakhir kemunculan kumpulan talang menyerang KT ialah Mac 2014.
Namun awal Januari 2016, tanda-tanda kemasukan kumpulan talang di muara Sg. Terengganu telah dikenal pasti oleh geng Tanjung Anglers Fish Hunter (TAFH) apabila salah seorang geng ini berjaya mendaratkan tiga ekor talang sekaligus berskala 4 – 5 kg.
Maka bermulalah semula pesta casting talang mega di Kuala Terengganu. Setiap pagi benteng pemecah ombak di Kg. Tanjung dipenuhi caster sejurus heboh berita itu.
Pesta Talang Bandar KT
Setiap hari pasti ada yang dapat menaik-kan pemangsa pipih yang bermuka bengis itu. Kemantapan larian padu sang talang ke arah tempat terbuka sebaik tersangkut gewang yang menyebabkan semua pemancing di sini tergila-gilakan talang.
Saya sendiri berpeluang turun padang. Saingan begitu sengit kerana terlalu ramai yang hadir untuk merasai sendiri larian padu sang talang. Langkah kanan saya hari itu kerana ada pemangsa yang sudi menjamah gewang sotong handmade saya.
Beberapa balingan di tempat yang sama telah membuahkan hasil. Gewang disambar dan direntap kuat lalu terus dibawa lari sang talang ke permukaan air serta membuat beberapa lompatan akrobatik.
Tali dihulurkan supaya talang dapat membuat larian terlebih dahulu. Selepas itu, drag diketatkan sedikit demi sedikit kerana pemangsa masih bertenaga untuk membuat larian. Sekiranya drag terlebih ketat, kemungkinan tali terputus atau gewang akan ‘lokoh’ atau rabut dari mulut pemangsa.
Jadi jangan gopoh dan beri sahaja laluan kepada sang talang terlebih dahulu sehingga dia betul-betul penat. Akhirnya talang pertama saiz 5 kg lebih berjaya saya tewaskan.
Percambahan Ahli TAFH
Ketika ini, suasana pesta mengilat talang di Kuala Terengganu memang sangat meriah. Di sepanjang birai air sama ada di tebing pasir atau tepian batuan pemecah ombak, ia penuh dengan pengilat tegar.
Situasi ini mendatangkan manfaat kerana mengeratkan lagi tali silaturrahim di kalangan caster Terengganu. Secara tak langsung, keluarga Tanjung Anglers Fish Hunter (TAFH) semakin besar, dengan pertambahan ahli-ahli muda yang semakin gila casting se-telah direnjat karan talang mega.
Lantaran berhari-hari memburu bondong talang yang memasuki muara Sg. Terengganu, kami semakin masak dengan perangai dan jadual keaktifannya. Seandainya cuaca sudah begitu panas dan air agak keruh, tak perlu teruskan kerana talang tidak aktif atau mungkin tidak memasuki sungai ini dari laut.
Tidak Semeriah 2014
Ketika fenomena serangan talang di ban-dar KT melanda pada tahun 2014, boleh di-katakan semua pengilat di sini mendapat lesen talang. Tapi berbeza tahun ini, apabila jumlah yang berjaya didaratkan amat sedikit berbanding dua tahun lepas. Pada 2014, ada caster yang berjaya memecah rekod casting dengan sebanyak 33 ekor talang.
Kebanyakan yang berjaya menumpaskan serangan talang yang membuka tirai 2016 kali ini terdiri daripada caster-caster baru yang bersemangat tinggi. Sampaikan ramai caster lama yang kecundang dan masih belum memperbaharui lesen talang sehingga hari ini.
Namun tidak mengapa, lazimnya bondong talang ini akan bertahan selama dua bulan lagi sehingga akhir Mac. Kepada anda yang teringin keunikan casting talang mega secara land-based, datanglah segera ke Kuala Terengganu. Masih ada masa lagi untuk mencuba nasib dan mencipta rekod peribadi.
Cepat sebelum gencatan senjata talang diumumkan!