Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Lajong Sujan Rasau

Hairan! Satu hari trolling, tapah entah ke mana. Sebaliknya muncul sejenis ikan pelik yang asyik membaham gewang yang namanya dipanggil ‘lajong’ (masyarakat Iban pula memanggilnya ikan ‘supak’). Mungkinkah ikan ini sama seperti begahak yang terdapat di Semenanjung? Walaupun rupa badannya agak sama dengan begahak, namun bezanya amat ketara pada mulutnya yang seperti itik dan giginya seakan gigi tapah yang sangat halus serta tajam…

Pernahkah anda lihat ikan ini? Inilah namanya ikan lajong atau supak. Sebijik macam begahak, tetapi mulutnya dempak seperti itik dan giginya halus tajam seperti tapah.

Teks & Fotografi : ROBERT A ‘TAPAH HUNTER’

Semuanya gara-gara cuti perayaan Tahun Baru Cina. Cuti sembilan hari saya habiskan pulang ke kampung halaman bersama keluarga di pedalaman Bintulu, Sarawak. Apa lagi dah kaki pancing, barangan itu semestiya dibawa bersama.

Seperti tahun-tahun yang lalu, saya amat mengharapkan keadaan air sungai yang bersih dan jernih. Persiapan peralatan pancing telah lama tersusun dengan rapi. Harapan saya, adanya kemarau apabila berada di kampung nanti.

“Pucuk dicipta ulam mendatang”, info dari Otai (bapa saya) menyatakan air di hulu sungai sudah jernih sebab dah lama tiada hujan. Itu menyemarakkan lagi saya untuk pulang ke kampung halaman. Dalam fikiran hanya satu… “Ikan tapah, tapah, tapah!”

Belida pun hentam gewang tundaan kami.

Otai Tetap Otai

Prinsip saya hanya satu, “Hormatilah Otai”. Jagalah ia selagi sempat. Siapalah kita kerana dia? Saya akui banyak perkara telah saya pelajari dari dia, apatah lagi tentang kehidupan. Terima Kasih OTAI.

Cuti tahun ini saya banyak menghabiskan masa bersamanya, di rumah mahupun semasa memancing. Pelik, sekali pun tidak mahu ketinggalan apabila saya turun memancing. Perasaan kasihan menyelubungi diri mengenangkan umurnya dah pun melangkau 70-an.

Terus-terang saya mengaku kalah dalam pancingan padanya. “Otai tetap Otai”. Saya dapat ikan tapah seekor, dia dapat dua ekor, saya dapat seekor lagi, dia pula dapat seekor lagi tetapi lebih besar! Aku pasrah, aku kalah… kalah… kalah!

Sujan Rasau Kekuningan

Pagi itu saya mudik ke hulu seperti biasa bersama Otai. Saya lihat keadaan air Sg. Sujan Rasau ini ada sedikit kekuningan. Mungkinkah ada sedikit hujan di bahagian hulu.

Saya perhatikan Otai ada sedikit kebingungan. Mana tidaknya, semalam setitik hujan pun tiada membasahi bumi. Apakah jadah! “Mana ada ikan makan ketika air kekuningan sebegini…” bisik hatiku.

Kami teruskan juga mudik ke hulu dengan perasaan bercelaru dan sampai di tempat yang diinginkan, bermulalah sesi trolling saya bersama Otai.

Prinsip saya, hormatilah Otai!

Situasi itu masih segar lagi di ingatan.Sampai 1 jam ke 2 jam, satu rantau ke dua rantau (lubuk) dilalui, namun tiada direntap oleh penghuni sungai pun! Hairan? Mana perginya ikan-ikan sungai ini.

“Kelmarin dah 2 – 3 ekor dinaikkan kalau lama sebegini trolling,” Otai mengeluh. Saya diam sahaja. Badan dah mula rasa sengal-sengal sakit. Pinggang dan belakang badan terasa mahu patah. “Tiada ikan untuk hari ini…” bisik hati.

Lubuk Lajong a.k.a Supak

Sampai sahaja di sebuah lubuk di hulu sungai itu, perasaan mula berdebar, genggaman jari pada pancing semakin erat, bersedia bila-bila masa akan disentap jika ada yang menyambar.

Mana tidaknya, di lubuk inilah sentapan berlaku kemarin pada pancingan Otai, namun terlucut. “Mungkin dilibasnya sahaja, mata tiga tidak melekat…” keluh Otai.

Sejenak perhatikan diri dan di lubuk itulah gewang saya disambar rakus. “Rasanya taklah kasar, semacam diragut ikan kecil ataupun disambar oleh ikan belida,” bisik hati lagi.

Tali tegang naik ke permukaan dan yang pasti bukan angkara sang tapah. Ikan apakah ini?

Ternyata sangkaan saya salah, rupa-rupanya ikan berwarna putih berbadan panjang bergigi halus! Itulah ikan lajong atau dipanggil ‘supak’ oleh orang Iban di sini. Malah di lubuk itu sahaja saya dan Otai mendapat 8 ekor ikan itu, tak termasuk yang terlucut!

Banyak sebarau di hulu Sg. Sujan Rasau ini rupanya, rugi tak bawak set casting.

Apa yang pasti, jika kita telah menaikkan seekor ikan itu, cuba ulanglah di tempat yang sama. Ini kerana ikan lajong ini sifatnya suka berkumpulan atau pun berkelompok menghendap mangsanya.

Petua orang tua-tua, hati-hati naikkan ikan lajong, sama ada anda gunakan lip grip atau seleduk (tangguk). Ini kerana jika seekor terlepas, seluruh sungai ataupun lubuk itu seakan sunyi-sepi, seperti tiada lagi ikan itu di situ. Saya dan Otai sendiri pernah alami situasi seperti itu.

Hati cukup gembira tidak terkata, walaupun tiada tapah hari itu, tetapi dah cukup puas-sepuasnya melayan ikan lajong yang dianggap ‘rare’ ini dengan gewang, walaupun air agak kekuningan hari itu.

Lebih Jauh Ke Hulu

Hari berikutnya, saya dan Otai pergi lebih jauh mudik ke hulu. Berkat kesabaran dan kesungguhan diharungi juga. Apa yang pasti, itu amat merimaskan kerana gewang selalu sahaja tersangkut!

Dengan kedalaman sungai hanya 3 meter, ditambah keadaan terlalu sempit, amat menyukarkan trolling. Air yang kelihatan jernih telah menyuntik semangat saya dan Otai mudik jauh ke hulu.

Keadaan amat berlainan apabila gewang saya disambar rakus, walaupun air sungai cetek. Betapa saya terkejut apabila melihat ikan sebarau yang menyambar gewang yang di-trolling 5 – 6 meter sahaja di belakang perahu. Patutlah banyak anak ikan bertempiaran lari di celah kayu yang berjuntai itu. Rupa rupanya angkara sang sebarau.

Apakan daya, saya dan Otai hanya membawa set trolling dan cuma mampu melihat riakan pemangsa itu menyambar anak-anak ikan. Apa yang pasti, saya akan lebih bersedia suatu hari nanti dengan set casting pula.

Otai dan tapah yang membaham Rapala Tail Dancer-nya.

Renungan

Mungkinkah ini pertama kali di Malaysia cerita pasal trolling ikan lajong atau supak? Sebagaimana cerita Halimi Hanip kepada saya sebaik dimaklumkan penemuan ikan itu yang menurutnya kalau di Semenanjung, ia dipanggil ‘ikan bilut’.

Apa pun semua itu adalah rezeki yang tidak ternilai. Harapan saya, sama-samalah kita jaga sumber sungai kerana sungai itu besar ertinya kepada kehidupan kita. Apalah rezeki hasil bagi sebatang joran kalau di-bandingkan dengan kaki tuba, kaki karan dan kaki bom. Semua itu lebih dashyat!

Semoga bertemu lagi dengan koleksi ikan tapah. Walaupun dalam trip ini tiada tapah bersaiz monster, namun sudah cukup untuk memuaskan hati saya!

Walaupun bukan monster, saya tetap berpuas hati.

Halco Sorcerer, memang terbaik untuk tundaan tapah.

Air kekuningan ini tiada siapa sangka ia berpenghuni, rupanya ikan lajong yang bermaharajalela.

 

LAJONG / SUPAK / BILUT (Phalacronotus apogon) 

Nama Saintifik : Phalacronotus apogon (sebelum ini, nama saintifiknya Kryptopterus apogon)

Nama Tempatan : Lajong atau Supak (Sarawak). Di Semenanjung, di Sg. Pahang, dipanggil ikan Bilut.

Taburan : Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam and Semenanjung Malaysia, serta Sumatera dan Borneo.

Habitat : Hidup di sistem sungai besar yang selalunya keruh akibat mendapan sedimen.

Panjang Maksimum : 60 – 70 cm. Ada laporan menyatakan ia boleh membesar sehingga 130 cm.

Diet : Pemakan ikan. Secara semulajadinya, ia memburu ikan mangsaan di pertengahan dan permukaan air.

Pembiakan : Tidak pernah dibiakkan dalam kurungan, tetapi secara semulajadi, ia membiak pada musim hujan.

Antara lajong yang sambar gewang kami.