Laksamana Lakei
Tidak jauh dari bandaraya Kuching, terhampar sebuah Taman Negara Bako yang kecil tetapi paling awal diwartakan di Sarawak. Di hujung taman negara ini juga terletaknya Pulau Lakei yang menjadi tempat berteduh daripada angin ribut oleh para nelayan. Tanpa ramai menyedari, ia sebenarnya permata yang sedang menyinar di kalangan penggila mengilat di Bumi Kenyalang dengan kemeriahan spesies pemangsa pembuli yang pastinya mencemaskan anda…
Teks : RANDY AFANDI
Fotografi : RANDY AFANDI, COMAT & IRWANDI
Bako merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak di muara Sg. Bako, kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuching. Kegiatan ekonomi penduduk kampung asalnya sebagai nelayan. Menurut penduduk kampung, nama Bako berasal daripada pohon bakau yang subur di sana. Penduduk Kg. Bako juga terkenal dengan sifat peramah dan gemar berjenaka dengan berbahasa campuran Sarawak, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik.
Menariknya kawasan Bako ini memiliki satu kawasan hutan simpan persisiran pantai yang telah diwartakan sebagai Taman Negara Bako sejak 60 tahun lalu. Ia terkenal sebagai pusat pelancongan dengan limpahan pengunjung yang merangsang pembabitan penduduk setempat dalam industri pelancongan. Homestay semakin bertambah, hasil nelayan seperti ikan, udang, ketam, produk kering, ikan masin dan belacan menjadi kemestian untuk dibawa pulang oleh pengunjung apabila melawati Bako.
Untuk pemancing, di luar muara Bako ada sebuah pulau, bernama Pulau Lakei. Di Pulau Lakei inilah seringkali menewaskan ramai kaki mengilat yang pernah mengunjunginya, tetapi itu hanya cerita. Kami perlu merasainya sendiri sejauh mana kehebatan Pulau Lakei ini yang dikatakan lubuk mengilat yang belum diterokai sepenuhnya.
Lenjan Lakei
Saya berkenalan dengan sahabat tempatan, Khirman yang merupakan tekong bot di Lakei. Beliau yang bersuara garau, nyaring ala-ala rock sebenarnya mudah didekati. Beliau yang telah menceburi pancing mengilat sejak beberapa tahun lepas mula mengajak kami mencuba di Lakei. Katanya Lakei ada potensi tinggi seperti di Sg. Sempadi, Sg. Rambungan, Santubong dan Telaga Air. Khirman juga ada memberi beberapa tips, sekiranya air sungai hijau-hijau tebu, hasilnya pasti kompom!
Awal bulan lepas, kami mula merancang ke Lakei. Kami telah menyewa tiga buah bot Khirman untuk menduga Lakei kali ini. Bot nelayan sepanjang 23 kaki dan enjin 40 kuasa kuda itu selesa untuk 3 – 4 pemancing. Dua buah bot kecil 18 kaki yang menggunakan enjin berkuasa 30 hp dan 15 hp pula selesa digunakan untuk 2 pemancing. Tekong tempatan amat diperlukan untuk membawa pengilat menduga di tempat baru seperti ini. Bak kata rakan saya, “ask the local”.
Seringkali kami mendapat berita daripada nelayan tentang kehebatan spesies yang menghuni perairan Pulau Lakei. Kebiasaannya nelayan akan mendapat ikan pelayak (pecah periuk / triple tail), kerapu, jenahak dan spesies-spesies lain. Bagi nelayan, ikan benong (kurau) menjadi sasaran mereka. Ikan benong ini seakan-akan ikan mancung (senangin), tetapi benong bersaiz mega. Kebiasaannya benong di Lakei bersaiz 20 – 40 kg mengikut info yang kami perolehi.
Strike Meriah
Oleh sebab belum merasai sendiri penangan penghuni Pulau Lakei, kami membawa set sederhana (medium) dan set berat (heavy). Ada juga rakan kami membuat persediaan micro jig. Trip recce lah katakan… tidak rugi mencuba.
Perjalanan kami bermula pada jam 7.30 pagi dan mengambil masa 45 minit dari jeti Bako ke Pulau Lakei. Adalah lebih selamat jika bergerak secara berkumpulan, kerana kita merentasi laut. Faktor cuaca boleh mempengaruhi trip. Tekong berpengalaman amatlah diperlukan kerana angin barat yang kencang boleh mendatangkan risiko jika tidak tahu tempat berteduh.
Setibanya di Pulau Lakei yang menghadap Laut China Selatan, Comat mula melempar gewang Zerek Tango di hadapan batu tebingnya. Terus direntap kasar, mencicit-cicit juga tali keluar dari kekili Quantum. Setelah bertarung beberapa minit, kelihatan ikan mancung (senangin) naik ke permukaan. Hook-up di badan rupanya… patutlah padu semacam. Tengok hidung ikan ini, mancung kan! “Mancung macam hidung Comat juga, yang berwajah ala-ala Hindustan!”
Tak lama kemudian, SP saya pula direntap kasar, tetapi rabut. Saya bagi isyarat kepada tekong untuk melempar gewang ke kawasan rabut tadi. Lemparan pertama kosong, lemparan kedua dengan melakukan aksi jerking, joran tekong melentur dan kekilinya terus menjerit panjang. Hahaha… buli buli buli. “Agik rasa kawu” teriak Khirman kepada tekong. Setelah beberapa minit, terserlah kilauan yang menyinarkan mata kami berempat. Ternyata gerepoh yang membaham Revolt Gangstar75 tekong.
Sejurus itu, Khirman pula yang mendapat sambaran dengan menggunakan Zerek FishTrap. Set sederhananya dihenjut ke dasar dan menghala ke tengah laut. Tidak sampai 2 minit, anak gerepoh naik ke dalam perahu. Wow, ini dah main kasar!
Khirman yang asyik bergambar sempat bermadah akan ternampak sekumpulan bilis (‘pusuk’ – nama tempatan). Saya pun mencapai SP Zerek Wiggly yang seakan-akan ikan bilis dan melempar di struktur lekuk batu. Saya berpendapat, mungkin ada sambaran jika SP ini dimainkan pada kedalaman 1 – 4 kaki. Baru jer cakap, SP saya terus kena ngap. Lawan punya lawan, naik seekor ikan mancung. Lesen peribadi juga bagi saya!
Beberapa ekor lagi berjaya kami daratkan di spot yang sama. Ikan jenahak, gerepoh dan kerapu menghiburkan kami. Mengetuk dasar dengan SP juga sangat menyeronokkan. Kerapu dan jenahak pasti terpikat dek kerana lantunan dan henjutan yang menggiurkan. Bot lain juga memperolehi strike yang bagus seperti alu-alu, tenggiri dan siakap merah.
Pembuli Lakei
Setelah matahari mencecah tegak di atas kepala, kami pun rapat ke tebing untuk rehat dan makan tengah hari. Nasi lemak dan minuman sejuk kami beli di Kg. Bako menjadi juadah makan tengah hari kami. Ringkas dan mudah.
Selesai mengisi perut dan berehat, kami mula melempar gewang ke celah-celah batu. Set Abu Garcia Power Crank dan joran Ajiking custom saya dihenjut kasar dan putus. 35 paun perambut fluorocarbon saya meletup tak sampai 3 saat! Fuhhhh… tergamam dibuatnya, tidak percaya!
Tanda berfikir panjang saya mencapai set heavy, Abu Toro Beast dan joran Ajiking 12 – 35 paun custom dipadankan dengan tali Xzoga 50 paun dan perambut 60 paun. Saya harap ini kali pembuli itu dapat saya naikkan. Lempar punya lempar, tidak juga pemangsa yang sudi menyambar. Penat juga tangan dibuatnya dek kerana set heavy yang dipakai.
Comat beritahu, mungkin dalam cuaca mendung ini gewang warna hijau bagus digunakan. Saya dengan tangkas memasang Revoltz Kanai85 Amazon pada set saya. Di satu lekuk batu, ternampak batu yang samar-samar, timbul-timbul taik (timbul tahi). Saya pun melempar gewang di atas batu itu, apabila ombak datang, saya melakukan karauan dan ternyata gewang menyondol batu tersebut. Teknik ini saya pelajari dulu daripada sahabat dari Miri, Atong Sibuti.
Tidak lama kemudian, gewang saya direntap kasar sekali, rentapan seakan-akan black bass. Nasiblah saya gunakan kekili berkekuatan 12 kg. Tali keluar sedikit sahaja, tetapi henjutannya membuat sendi-sendi pergelangan tangan jadi panas. Saya tidak beri peluang kali ini, terus saya pam naik joran dan beberapa minit kemudian kelihatan kelibat siakap merah bersaiz pembuli.
Sebelah petang, kami mula bergerak balik perlahan-lahan sambil mencuba di lokasi-lokasi yang berpotensi. Ada juga ikan seperti kerapu dan jenahak yang menjamah gewang kami. Sambil melempar gewang, kami bercerita dan berkongsi pengalaman. Tekong beritahu, ada beberapa lokasi dihuni oleh siakap merah dan jenahak bersaiz mega, tapi jarang dapat didaratkan. Ada pun dengan teknik pancing dasar sahaja sebelum ini.
Sedang asyik berhanyut dan melempar gewang ke celah-celah batu, Khirman menjerit , “Adoh eh… putusss”. Putus perambut 40 paunnya, melayang Rapala glass ghost-nya. Ketawa kami melihat gelagat Khirman yang mula meracau-racau. Hahahaha… memang kes buli ini. Tidak lama kemudian, tekong pula yang strike. Kali ini, gewang Ofmer tekong pulak yang kena tapau. Hmm… mungkin ini lokasinya.
Belum sempat saya melempar gewang, Comat terus melempar tepat ke point yang saya target. Zreeeeettttttt panjang kedengaran. Kali ini Comat diasak teruk. Dengan kudrat yang luar biasa, Comat tiba-tiba menjadi gagah dan berjaya menarik keluar pembuli tersebut… ternyata ia siakap merah. Wow… trip terbaiklah!
Batu GT
Beberapa minggu selanjutnya, kami turun lagi dan kali ini satu pengalaman manis dapat saya nikmati di sini semasa melewati sebuah pulau batu yang dipanggil Batu GT. Batu GT ini terletak antara Pulau Lakei dan daratan Taman Negara Bako. Pulau batu ini menjadi tempat anak ikan bermain dan dinamakan sedemikian sempena pengawalnya, sang GT yang sering menewaskan pengilat.
Tidak jauh di hadapan kami, kelihatan bot yang dinaiki Irwandi merapat dahulu pulau batu kecil itu. Seperti yang dijangka, Irwandi akan melontar gewangnya rapat ke batu. Tidak lama kemudian, Irwandi menjerit cemas apabila gewangnya dihenjut padu dengan joran melengkung tajam diheret ikan yang besar.
Khirman di dalam bot saya pun terus melaung, “Apa tunggu lagik, castlah”. Saya terus melempar gewang Revoltz Kanai85 gold ke batu itu. Dan serta-merta dari tepian batu kelihatan bayangan ikan besar meluru mendapatkannya. Apa lagi… mencicitlah tali ditekan keluar daripada Abu Revo Toro saya.
Mujurlah saya bersedia dengan set kasar joran custom Ajiking 12 – 35 paun yang mempunyai lifting power yang sangat membantu saya. Irwandi yang juga menggunakan set kasar Abu Toro Nasci 51 dan joran Storm Monstar nampaknya telah berjaya mengawal dan menumbangkan GT bagaknya.
Sepasang pengawal GT seberat 7 dan 7.2 kg yang bertepatan dengan nama kubunya itu tadi akhirnya berjaya saya dan Irwandi tumbangkan. Walaupun tidak mencecah belasan kilo. tapi sambaran mengejutnya ketika casting dengan drag yang ketat memberi keterujaan yang cukup luar biasa. Mahu luruh juga jantung dibuatnya!
Kesimpulan
Kedua-dua trip ini mengajar kami agar tidak memandang rendah akan keupayaan sebenar penghuni-penghuni lubuk Pulau Lakei di Bako ini. Ia tidak dapat dijangka dari segi saiz, berat dan juga spesies apa yang akan membaham gewang kita.
Persediaan awal perlu dibuat, dari segi keselamatan, bekalan makanan yang mencukupi dan juga set yang dipakai hendaklah sesuai. Struktur berbatu dan berteritip perlu diambil kira. Boleh dikatakan Pulau Lakei adalah lapang sasar heavy cover untuk masa kini. Kepada yang gagal menaikkan pembuli, “Try again… kipidap , don’t give up” di lain hari.
*Tekong Khirman (Bako) : 016-871 2102 atau Andy : 013-692 3634
TAMAN NEGARA BAKO
Bako merupakan Taman Negara tertua di Sarawak yang diisytiharkan pada tahun 1957. Taman Negara ini meliputi kawasan seluas 27 km persegi, dan terletak lebih kurang 37 km dari bandaraya Kuching. Ia terkenal dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan, tumbuhan dan hidupan liarnya.
Ciri paling penting di sini adalah kawasan terlindung yang terpencil dan tanjung tinggi berbatu dengan cenuram curam yang mengagumkan menghadap Laut China Selatan. Tempias laut, pukulan ombak dan angin juga mengukir indah gerbang laut dan tunggul laut di dasar cenuram, dengan beberapa yang kelihatan seperti kepala ular.
Di kawasan pedalaman, terdapat air terjun yang menjunam turun ke dalam kolam air dengan pemandangan hutan yang begitu mempersonakan. Bako mempunyai pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan spesies tanaman, dan ini merupakan salah satu tarikan di sini. Hampir semua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo boleh ditemui di Bako.
Bako juga didiami oleh monyet proboscis (Orang Belanda) yang jarang ditemui, dan hanya terdapat di Borneo. Masa terbaik untuk melihat hidupan liar di Bako adalah selepas waktu subuh dan sebelum senja, ketika haiwan sedang aktif. Bako adalah tempat yang menarik untuk mengkaji burung, dengan hampir 150 spesies burung telah direkodkan di sini.
Sumber : http://www.malaysia.travel/ms-my/my