Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Lata Terap – Permata Kenyir Yang Hilang

Hanya 20 minit merentas Tasik Kenyir ke kuala Sg. Terengganu Mati atau Lata Terap dari Jambatan Mano.

Apabila disebut Lata Terap, tentu ramai yang tertanya-tanya di mana. Lainlah kalau saya sebut Sg. Terengganu Mati, tentu tahu di mana kan? Suatu ketika dahulu, Sg. Terengganu Mati bersebelahan Sg. Petuang dan Sg. Tembat di Tasik Kenyir ini cukup terkenal dengan populasi ikan kelah dan kejor yang sangat banyak. Tetapi nasibnya dirundung malang apabila projek Empangan Puah bermula dan siap sepenuhnya tahun lalu. Baru-baru ini penulis kembali menjejaki Lata Terap ini dan apakah benar ia hanya tinggal kenangan?

Teks & Gambar : AZHAR ARIFFIN

Sebelum projek pembinaan Empangan Puah, Sg. Terengganu Mati yang juga dikenali dengan ‘Lata Terap’ adalah syurga ikan kelah dan kejor di Tasik Kenyir. Lata Terap juga digelar ‘Jeram Ikan Lompat’ oleh penduduk setempat kerana dahulunya ia menjadi tempat ribuan ikan lampam sungai mudik pada musim tengkujuh untuk mengempas telur.

Tetapi itu semua cerita belasan tahun yang lalu. Permata Kenyir ini sudah suram dan hilang daripada list pemancing semenjak Empangan Puah atau dikenali ‘Kenyir 2’ beroperasi sepenuhnya di hulu, sehingga menyebabkan aliran air di Lata Terap menjadi lemah dan surut. Apakah agaknya nasib sungai ini sekarang?

Ekspedisi Balik Hari

Sebenarnya ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Lata Terap, dan ia sinonim dengan trekking yang mencabar. Kami pula memutuskan untuk memancing balik hari kerana tidak mahu membawa banyak alatan memasak serta set perkhemahan. Hanya berbekalkan nasi dan ulam budu serta air yang diisi dalam botol atau bladder beg sandang masing-masing, selain alat pancingan yang minimum.

Masing-masing mengimpikan tarikan sang kelah setelah mendengar cerita pengalaman pertama saya ke Lata Terap dahulu. Entahkan ada lagi atau tidak… Tetapi kejadian sebenar adalah sebaliknya, kerana trip memburu kelah telah bertukar menjadi trip casting.

Bot ditambat di kuala Sg. Terengganu Mati dan doa dibaca sebelum kami memulakan trekking ke hulu.

Perjalanan kami bermula setelah subuh dari Kuala Berang ke jeti Jambatan Mano di laluan highway kedua Aring – Tasik Kenyir yang jaraknya lebih kurang 60 km. Kami tiba di jeti dan menunggu boatman di situ.

Perjalanan dari jeti ke Lata Terap dengan dua buah bot merentas tasik memakan masa lebih kurang 20 minit. Setibanya di kuala Sg. Terengganu Mati, suasana agak berbeza berbanding pandangan pertama saya dahulu. Kini sudah tiada deruan air terjun yang mengujakan, hanya aliran sungai biasa melalui celah-celah batu besar.

Ranjau Trekking

Kami memulakan trekking dengan bacaan doa, memohon daripada Allah S.W.T agar tiada sebarang kecelakaan dan kecederaan. Kami difahamkan oleh boatman, jarak masa yang diperlukan lebih kurang satu jam trekking untuk sampai ke lubuk di hulu yang dahulunya penuh dengan kelah. Akan tetapi baru 20 minit, dah macam satu jam perjalanan!

Berehat sebentar selepas penat trekking dan memanjat batu-batu besar. Lihatlah aliran air yang sangat ketara kecilnya akibat pembinaan Empangan Puah.

Ini kerana laluan sungai yang berbatu besar memaksa kami memanjat dan melompat dari batu ke batu. Al-maklumlah pula dalam umur 40-an ini kudrat dah tidak seperti zaman 20-an yang boleh lompat macam kijang dan tak kenal erti letih.

Terdapat satu laluan yang memerlukan kami memanjat tali yang dianggarkan ketinggian 10 kaki untuk sampai ke atas! Ia amatlah mendebarkan hingga menggigil kaki dibuatnya. Tapi sayang, tiada gambar yang dapat diabadikan kerana masing-masing keletihan.

Sarang Badong

Trofi 2018 berjaya saya daratkan, anggaran oleh boatman lebih kurang 3 kg.

Tiba di sebuah lubuk besar, masing-masing terus bersiapkan senjata pancingan. Saya pula teruskan lagi mendaki batu untuk mencari lubuk yang berpotensi, dengan bersenjatakan set casting yang saya target ikan kejor dan kelah berpelurukan gewang Senses.

Berjaya mendaratkan seekor kejor berskala 600 gram.

Cuba lihat perubahan air yang sangat ketara di belakang saya hingga menampakkan lubuk yang cetek. Ini kerana empangan kedua telah beroperasi dan takungan dibuat di hulu sungai menyebabkan aliran arus agak perlahan dan berkelodak.

Hanya enam kali lontaran, gewang saya disambut rakus oleh penghuni lubuk. Malangnya, perlawanan berakhir dengan tali sulam saya putus bergesel dengan batu sungai… lebur seekor gewang. Strike kedua juga menghampakan kerana split ring terbuka dan mata tiga juga terkangkang! Saya masih tertanya-tanya, besarnya kejor sungai ni?!

Strike ketiga di lubuk lain, barulah perlawanan lebih adil, tiada reba dan saya menggunakan single hook untuk mengelakkan gewang terus menjadi tukun. Setelah lama pertarungan barulah muncul sang badong kira-kira 3 kg yang tiada belang langsung di badannya!

Bayangkan dahulu lembah batu-batu besar ini adalah jeram yang menggerunkan. Sekarang…

Sangat tidak saya sangka adanya sebarau bersaiz bagak (badong) di sungai ini. Maklumlah… ramai yang tahu bahawa amat sukar menemui sebarau walaupun melebihi 1 kg di Tasik Kenyir sekarang ini. Agaknya di hulu-hulu yang jauh dan bebas daripada tekanan pemancing menjadi sarang tersembunyi buat badong Kenyir. Tangkapan ini sekurang-kurangnya membuktikan masih ada sebarau mega yang menjadi impian setiap pengilat tegar seperti saya.

Master chef kami menyediakan tom yam ikan kejor.

Dalam jam 5 petang, kami terpaksa bergerak pulang. Trek yang kami susuri tadi kembali kami redahi. Keperitan berganda kami rasai. Tetapi di sebalik keperitan itu, kami memperoleh banyak pengajaran daripadanya. Bukan hasil yang banyak yang kami inginkan tetapi pengalaman, kerjasama, doa, keselamatan dan silaturrahim terus berkekalan dan kami mendoakan agar Lata Terap tidak akan terus musnah angkara kerakusan manusia.

Suasana yang diidamkan dalam setiap trip, nasi lauk budu.

Jumlah tangkapan sebarau 2, badong 1, putus 3, kejor seekor, daun seekor. Mem-bottom pun kurang memuaskan.