Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Legasi Andaman – Nicobar

GT yang mati secara semulajadi di kepulauan Andaman – Nicobar jarang diganggu manusia sehingga boleh membesar sehingga tahap maksimum.

Ia adalah wilayah GT yang tipikal – air biru pirus yang diselangi terumbu karang, direnangi ikan delah yang menguning serta latar belakang yang dramatik. Setiap kali nampak kumpulan ikan kelihatan mengeremut seakan tidak selesa, dan ketika bot kami mendekatinya, saya memasang kekuda di haluan dalam keadaan berjaga-jaga kerana saya pasti lautan kepulauan Andaman – Nicobar ini akan bergelodak sebaik sahaja popper jatuh menimpa permukaan airnya!

Teks & Fotografi : RAINER (Singapura)

Penerbangan 4 jam dari Singapura ke Chennai diikuti penerbangan domestik selama 2 jam akhirnya menempatkan kami di halaman Port Blair yang menawan. Kebanyakan daripada kami sudah dua tiga kali ke sini, dah rasa biasa. Namun bagasi dan peralatan yang kami bawa sering membuntangkan mata para pegawai di lapangan terbang ini. Tetapi apabila ditayangkan gambar GT pada telefon bimbit kami, terus mereka faham. “Ahhhh… fish… fish…”

GT dapat memberikan kepuasan pertarungan yang tertinggi kepada pemancing yang pertama kali berhadapan dengannya.

Ketidak-biasaan mereka melihat peralatan memancing adalah petunjuk bahawa tidak ramai pemancing yang telah melepasi sempadan ini, berbanding hotspot GT yang lebih tersohor seperti New Caledonia dan Maldives. Dengan kurangnya tekanan memancing, tidak hairanlah betapa hebat dan buasnya GT di kepulauan Andaman – Nicobar ini.

Gamefishing Asia

Popper bersaiz sederhana sahaja sudah mencukupi untuk memikat GT monster di sini.

Tiba di Port Blair, kami disambut oleh kru Gamefishing Asia yang segera memuatkan bagasi dan membawa kami ke melewati bandar yang seakan masih di era 70-an. Warga wanitanya memakai sari, kedai-kedai usang, penjual buah serta pengembala ternakan yang berada merata-rata. Port Blair seakan tidak ditelan waktu, amat jauh bezanya dengan Singapura yang moden dan ultra terancang. Tetapi tiada siapa mengadu, kan kami nak pergi memancing!

Di rumah tamu ini, kami bertemu Kapten Kantha, Dillip dan Kapten Rama. Rumah tamu tiga tingkat milik Gamefishing Asia ini terletak di sebuah teluk yang damai menghadap matahari terbit. Ia menempatkan bilik yang cukup untuk 12 pemancing, serta hidangan makanan yang lazat termasuklah servis dobi.

Daya tarikan utama di ruang tamu adalah gantungan gewang-gewang yang teruk dibantai bala tentera lautan ini yang disumbangkan oleh pemiliknya. Ruang tamu itu juga berfungsi sebagai pusat di mana Darran Davis, pemilik operasi, membincangkan gewang mana yang bagus dan yang mana gagal pada minggu sebelum trip memancing tiba.

Darran, dengan gaya animasi tipikalnya, membuka sketsa kisah mata kail terkangkang dan gegelung cincin pecah, joran patah serta kekili terbarai dilanyak GT di perairan terpencil ini. Cuma terdapat sedikit kebimbangan kerana minggu sebelum kami tiba, arus lautan seakan tidak wujud. Dalam pancingan GT, “arus besar, ikan besar” adalah mantra yang kita perlukan. Tentunya kita tidak boleh silap tarikh yang paling afdal untuk memburu GT.

Rampage & Halcyon

Sarapan enak dengan roti bakar, telur dadar dan dal dijamah sepusanya sebelum kami merangkul peralatan untuk berjalan kaki ke jeti yang tidak jauh mana. Bot kami – Rampage dan Halcyon – sepanjang 30+ kaki dipasang sistem GPS dan sonar tercanggih, dan yang terpenting, dek poppingnya rata dan luas.

Mata kail dan split ring terkuat amat disarankan!

Strategi kami menggempur teluk, tanjung dan tebing batu di segenap kepulauan Andaman – Nicobar yang dihempas ombak. Semakin besar arus, semakin banyak ikan mangsaan dihanyutkan, dan merangsang selera sang GT. Dua hari pertama kurang menghasilkan saiz tangkapan yang mengujakan. Di atas dek Rampage, Clarence terlepas GT hitam kira-kira 30 kg yang membaham popper Kokari 160 yang daripada joran Hammerhead Faube 77M +.

Popper Kokari (nama tempatan untuk GT) yang dicipta oleh Gamefishing Asia merupakan popper paling laku dalam trip ini. Mulut cawannya yang besar menjana semburan berfrekuensi rendah yang mampu memanggil raksasa naik dari kedalaman. Kami menyedari bahawa popper yang hanya menyembur sejumlah besar air di permukaan adalah kurang efektif, berbanding yang mampu menghasilkan bloop yang mendalam dan jejak buih yang dijanakan.

Sesetengah penggila popping menegaskan bahawa teknik popping secara kepitan joran pada ketiak adalah cara yang betul untuk memainkan popper. Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa popping dengan gimbal pinggang pada separuh pertama karauan dan kemudian beralih ke kepitan ketiak menghasilkan keputusan yang paling konsisten dalam mewujudkan bloop popper yang mendalam dan menggiurkan.

Demi Kokari

Selepas menumpaskan beberapa GT bersaiz lebih 20 kg, yang merupakan saiz purata yang di Andaman, Rampage dimanuver ke sebuah terumbu yang cetek. Di sini Thomas dihambat seekor GT raksasa. Ikan itu menyeret beliau dari buritan hingga ke haluan bot. Episod mencemaskan ini berakhir dengan letupan talinya. Ia memberi peringatan bahawa set popping berat sekali pun tidak menjamin anda dapat mendaratkan GT besar, jika anda secara fizikalnya tidak mampu mengendalikan peralatan itu dengan berkesan.

Dalam popping GT, kapasiti tali adalah penting atas pelbagai sebab. Memandangkan kekerapan tali putus yang tinggi, anda disyorkan untuk mempunyai seminimun tali PE 8 sepanjang 200 meter. Tali yang meletup putus boleh menyebabkan anda kehilangan lebih 50 meter tali. Darran mengesyorkan penggunaan sistem perambut pintalan jenis ‘Hollow Core’ berkekuatan 100 hingga 130 paun kerana ia membantu kelancaran dan mengekalkan kekuatan 100%.

Kemewahan rumah penginapan di sini menjangkau permintaan kami.

Berbanding larian panjang dan melurus oleh ikan tuna, GT umumnya memecut secara pendek tetapi brutal – lebih kerap membesit berbanding marathon. Ditambah dengan kawasan terumbu karang yang dikuasai GT, maka daya drag yang tinggi sangat penting. Sistem perambut pintalan yang terdiri daripada seksyen 100 – 130 paun dan seksyen perambut 200+ paun di hujung memberikan pemancing dengan tambahan daya serap kejutan dan daya tahan lelasan.

Sementara itu, bot kami, Halcyon lebih bernasib baik. Antara saya dan Daniel, pencipta gewang Amberjack Lures yang terkenal, kami berjaya menumbangkan dua ekor GT lebih 30 kg serta beberapa ekor GT lebih 20 kg.

Setelah menaikkan banyak GT bersaiz monster, GT yang lebih kecil dari saiz ini sudah malas mahu diambil gambar!

Trofi Tanpa Diduga

Kami terserempak sekumpulan ikan mangsaan yang berpotensi diekori pemangsa, dan Ray yang baru pertama kali mengikuti trip heavy popping ini ingin mencuba gewang stickbait, sementara kami yang lain menggunakan popper.

Tak lama selepas itu, seekor ebek yang besar, yang biasanya tidak gemarkan gewang permukaan, muncul lalu merembat stickbait beliau hanya di tepi bot. Sambaran tepi bot memang boleh bikin sakit jantung beb!

Selain popping, jigging pun amat menjadi di sini.

Menjelang petang, Russel yang sedang jigging dengan set PE 2 dihentak kerapu sonoh, tetapi ketika dinaikkan, ia dimamah ikan yu sehingga putus dua. Ketika dia menyumpah seranah ikan yu itu sambil dibiarkan separuh badan ikan tersebut berdarah di tepi bot, muncul seekor GT raksasa dari bawah bot lalu menggonggongnya, menyebabkan ia tercangkuk terus pada jig itu. Pertarungan dengan raksasa 40 kg itu mengambil masa setengah jam untuk ditumbangkan dengan set pancing yang tidak sepadan!

Raksasa Double-Trouble!

Pada hari keempat, berlaku perubahan cuaca apabila suhu didapati menurun, langit pula mendung dan lautan gelora. Situasi yang cukup sempurna untuk popping GT! Kami menggempur segenap terumbu. Saat terbaik ketika air menyongsong surut. Air disalurkan dari tepi terumbu, menghanyutkan mangsa-mangsa keluar darinya lalu sang pemangsa seakan berbaris untuk melakukan serangan hendap.

Kantha menasihatkan kami agar sentiasa menggempur dengan stickbait dan popper untuk memastikan ikan mempunyai pilihan. Perasaan ragu-ragu kami pada cadangan kapten itu akhirnya lenyap apabila Daniel dan saya sendiri dikejutkan dengan dua ledakan sekaligus. Kedua-dua trofi itu pula adalah rekod peribadi terbaik kami dengan catatan 36 kg bagi GT milik saya, manakala tangkapan GT oleh Daniel mencecah skala 47 kg!

Gewang bersara yang dipamerkan di ruang tamu rumah rehat.

Tidak lama selepas trofi double-trouble itu dibebaskan, kami menyaksikan bayang-bayang besar dari terumbu karang datang meluru dengan pantas mengejar popper yang dimainkan oleh Ray. Ledakannya serta merta memerah tali keluar dari Saltiga 8000H-nya dengan kelajuan yang amat mencemaskan. Itulah trofi 40 kg buat pertama kali terjebak dalam dunia popping. Saya tidak pernah melihat Ray begitu teruja semenjak memancing bersama hampir 8 tahun dengannya.

Dalam suatu kejadian lain, seekor ikan besar kelihatan mengekori Temple Reef Ballista Bull 130 saya ke arah bot, tetapi masih teragak-agak hendak membantainya. Ray yang nampak peluang tersebut terus melontar stickbait di belakang ikan itu. Tak semena-mena, ia membuat membuat ‘U-turn’ lalu menghentamnya. Gila betul GT di sini…

GT Andaman memang kurang bersekolah dan lebih mudah diperdaya.

Kritikal 15 Saat Pertama

Kami berpesta popping. Satu persatu persatu GT didaratkan. 8 ekor seberat 20 kg, 3 ekor lebih 30 kg, manakala 2 ekor lebih 40 kg. Masing-masing mencipta rekod peribadi terkini. Namun begitu, banyak strike yang gagal kami naikkan.

Kita selalunya terlalu bersemangat untuk memasak joran ke dalam gimbal pinggang sebaik sahaja joran disentak bagi menancapkan mata kail pada rahang ikan. Tetapi dalam proses itu, ia akan menyebabkan tali mengendur. Peluang inilah yang akan digunakan GT untuk meloloskan diri.

Hasil pertempuran itu kebanyakannya ditentukan dalam tempoh 15 saat pertama, ketika GT masih sangat bertenaga dan paling dekat dengan terumbu karang. Pada masa ini, adalah penting untuk anda kekalkan tekanan yang maksimum terhadap sang ikan tanpa sebarang kekenduran, dan pastinya TIDAK memasak hulu joran pada gimbal pinggang.

Ebek bulat juga menguasai sebahagian perairan ini.

Pemilihan mata kail juga mustahak – BKK Rex saiz 5/0 dan 6/0 cukup mantap dalam trip ini tanpa ada yang diluruskan. Walaupun banyak raksasa yang gagal ditumpaskan, namun beberapa trofi lebih 30 kg berjaya dijinakkan dengan stickbait dan popper.

GT monster kebanggaan penulis.

Seperti manusia, GT juga mempunyai badan yang berlainan. Spesimen ini kelihatan lebih panjang.

Apa pun, saya cukup tabik dengan Darran dan syarikatnya, yang sanggup memperjudikan diri dalam bisnes ini di lokasi yang begitu terpencil demi mengejar kegilaan memancing dan membolehkan kita pemancing biasa pun berpeluang untuk menikmati keterujaannya bersama. Saya yakin ada banyak lagi terumbu dan pulau di kepulauan Andaman – Nicobar dalam jajahan negara India ini yang masih belum diterokai oleh Darran, dan akan didedahkannya suatu hari nanti.

*Berminat popping di kepulauan Andaman – Nicobar, India?
Info lanjut boleh dilayari di www.gamefishingasia.com