Lejen Masih Berbisa!
Kolam utama Tow Foo yang masih kekal beroperasi. Satu-satunya kolam yang masih tinggal sedang yang lain telah ditimbus untuk pembinaan Lebuhraya LATAR.Bagi orang lama, siapa yang tak kenal dengan kolam pancing Tow Foo di Kundang. Selangor. Walaupun sudah lebih 25 tahun beroperasi, ia masih berbisa memberi kejutan dan keterujaan buat pengunjung yang tidak berkesempatan untuk trip yang lama dan jauh…
Teks & Fotografi : HARRIS FADHILLAH
Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua satu-satunya kolam berbayar yang menjadi pilihan saya sejak tahun 2002 lagi. Kolam yang diberi nama Tow Foo ini dikhabarkan antara kolam memancing yang terawal (mungkin juga yang pertama) di Malaysia.
Kolam yang terletak di Kundang, Rawang ini mula dibina pada tahun 1991. Ia bersaiz 21 ekar pada asalnya, dan sekarang mengecil kepada 4 ekar ekoran pembinaan Lebuh Raya LATAR yang menghubungkan antara Kuala Selangor / Ijok dan Rawang / Selayang dan Kuala Lumpur. Kolam ini juga kolam pertama mengamalkan konsep tangkap dan lepas (Catch & Release).
Mungkin ramai antara kita lebih cenderung untuk memancing di kolam bayar kerana beberapa faktor, antaranya tidak cukup masa untuk ke lubuk-lubuk yang jauh dari kesibukan kota dan masyarakat. Ada juga yang menjadikan alasan kerana jaminan sudah tentu ada ‘penghuni’ di dalam kolam bayar tersebut. Ada juga beranggapan bahawa kolam bayar lebih selesa kerana kemudahan yang disediakan lebih praktikal berbanding di luar.
Berikutan dengan terbinanya banyak kolam bayar di Malaysia ini, tidak ada lagi alasan bagi setiap lapisan masyarakat untuk tidak merasa ‘feel’ bertarung dengan ikan besar / mega. Ada duit, hanya pilih sahaja kolam mana yang mendapat tempat di hati anda.
Kolam Lejen
Hari ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua satu-satunya kolam berbayar yang menjadi pilihan saya sejak tahun 2002 lagi. Kolam yang diberi nama Tow Foo ini dikhabarkan antara kolam memancing yang terawal (mungkin juga yang pertama) di Malaysia.
Kolam yang terletak di Kundang, Rawang ini mula dibina pada tahun 1991. Ia bersaiz 21 ekar pada asalnya, dan sekarang mengecil kepada 4 ekar ekoran pembinaan Lebuh Raya LATAR yang menghubungkan antara Kuala Selangor / Ijok dan Rawang / Selayang dan Kuala Lumpur. Kolam ini juga kolam pertama mengamalkan konsep tangkap dan lepas (Catch & Release).
Kolam ini dikelilingi oleh suasana yang indah iaitu tepi bersebelahan padang golf, dipenuhi dengan pokok-pokok yang rendang, menjadikan ia kolam yang seakan-akan berada di tasik atau hutan. Kolam ini asalnya kolam semulajadi, bukan buatan. Ini bermaksud, di dalam kolam ini masih terdapat ikan-ikan liar yang menanti umpan untuk dibawa lari!
Antara tarikan dan jenis-jenis ikan yang ada di sini ialah patin Mekong, pacu, patin, tongsan, patin buah, rohu, lee koh, patin lawang, baung, toman, lampam, bandaraya, peacock bass, jelawat, belida, haruan dan tilapia. Kesemua jenis ikan ini ada yang mencapai skala mega! Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat gergasi ikan air tawar iaitu tapah!
Memandangkan jenis-jenis ikan tersebut bukanlah seperti ikan-ikan di kolam berbayar yang lain, pemilik premis ini iaitu Uncle Wong, menjadikan konsep tangkap dan lepas agar spesies-spesis ini kekal berada di dalam kolam tersebut. Hanya ikan lampam sahaja dibenarkan untuk dibawa pulang. Uncle Wong juga sangat peramah!
Sinonim Dengan Tauhu
Penggunaan umpan di sini juga diselaraskan hampir seperti kolam-kolam berbayar yang lain. Umpan dedak yang paling banyak digunakan. Walaupun begitu, sinonim dengan nama kolam ini, penggunaan tauhu / soya amatlah digalakkan kerana beberapa ‘penghuni’ di dalam kolam ini sudah biasa dengan umpan tersebut. Umpan ini disediakan secara percuma. Sebagai tips, tauhu / soya tersebut bolehlah dicampur dengan dedak.
Kepada caster-caster juga, kolam ini membenarkan penggunaan umpan tiruan seperti gewang dan soft plastic. Kemudahan bot tanpa enjin juga disediakan bagi memudahkan pergerakan ke segenap kolam untuk anda casting mahupun fly fishing.
Pengalaman saya di kolam ini, saya biasa menaikkan ikan pacu, belida dan patin berskala mega. Memang syok layan menggunakan set ultra light (UL). Larian spesies-spesies ini memang tidak dapat diduga. Saiz yang mega ini adalah kerana telah lama mereka mendiami kolam ini. Cukup dengan teknik roti apung, anda akan merasa menaikkan ikan-ikan mega ini jika kena pada waktunya!
Mana lagi peluang yang ada nak naikkan toman mega dan tapah kalau tidak ke Taman Negara Pahang dan lain-lain tempat. Di sini, anda berpeluang menaikkan ‘monster’ jika nasib menyebelahi anda!
Saya juga gemar memancing ikan lampam di kawasan ini, kerana hasilnya anda boleh membawa pulang 3 – 5 kilo hasil lampam dalam tempoh kurang daripada 2 jam jika bernasib baik (hanya lampam dibenarkan bawa balik sebab pengacau)! Harga untuk memancing di kolam ini pada saya agak berpatutan, mungkin kerana konsep tangkap dan lepas. Siap ada jackpot lagi.
Antara kemudahan lain yang disediakan ialah tandas, khidmat masak (makan dan minum), kawasan parking yang luas dan kerusi dan meja yang mencukupi dan selasa. Surau juga berdekatan kolam ini. Anda juga boleh melakukan aktiviti berkhemah dan memanggang ikan kerana struktur tanah dan persekitaran kolam ini agak mendatar.
Bagi saya, kolam ini sangat efisien untuk pemancing-pemancing yang tidak berkesempatan untuk trip yang memerlukan masa dan perjalanan yang jauh. Saya juga ‘highly recommend’ untuk keluarga yang inginkan ‘short leisure time’ yang santai kerana persekitaran dan kemudahan yang ada, di samping berpeluang merasa tarikan ikan dan dalam masa yang sama mengenali spesies-spesies ikan.
Jom layan di Tow Foo!
Tapah saiz belasan kilo masih merajai Tow Foo.
Patin Mekong bersaiz 20 – 30 kg bersedia untuk menghabiskan tali daripada gelendong anda!
MURAH & SENANG AKSES
Kadar bayaran memancing di Tow Foo :
- RM 7 sejam
- RM 15 untuk 3 jam
- RM 20 untuk 6 jam
- RM 25 untuk 12 jam
- RM 10 bagi sewaan bot tanpa enjin + jaket keselamatan
Sekarang lebih mudah untuk anda ke Tow Foo semenjak Lebuhraya LATAR (KL – Kuala Selangor Expressway) telah membuka plaza tol Kundang yang baru. Jika anda dari Rawang, kolam Tow Foo boleh dilihat di sebelah kiri hanya bersebelahan plaza tol tersebut.