Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Linyok Luconia : Jejak Laluan Paee Lanun

Keberaniannya meredah ratusan batu nautika lautan tidak boleh disangkal. Sebagai anak laut dari suku Melanau, inilah punca rezekinya suatu masa dahulu. Setiap lubuk ditanda dan disimpan sebagai lombong emas yang bersepah di lautan Sarawak. Siapa tidak kenal nama besar ‘Paee Lanun’ di Miri sehingga gelaran sebegitu diberi. Luconia bagai kampung keduanya.Malah bot-bot pancing terkenal sekarang pun dahulunya sanggup membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan lubuk-lubuk berhantu dalam simpanannya.Inilah yang menarik minat kami untuk bertandang dan mengenali beliau yang boleh dianggap ‘Bapa Luconia’…

Team komplot kami yang ditaja baju dan tali oleh Dr. Braid.

Teks & Fotografi : HANUMEI IKE

Bukan senang untuk mendapatkan khidmat Paee Lanun. Tetapi dengan bantuan seorang rakan di Miri, kami memulakan perancangan untuk menjejak laluan puluhan tahun yang pernah dibuka olehnya.

Setibanya di sana, kami dikhabarkan Pak Paee dalam keuzuran. Maklumlah faktor usia yang mencecah hampir 70 tahun, namun tanggungjawab untuk membawa kami menjejak laluannya dipikul oleh anak dan cucunya sendiri.

Kami menarik nafas lega kerana legasi legenda Paee Lanun sendiri akan menunjuk laluan itu kepada kami dan merasai pertempuran dengan mega lautan Sarawak.

Team komplot kami yang ditaja baju dan tali oleh Dr. Braid.

Musang King

Meninggalkan muara Miri jam 9 pagi, saya terus memasuki kabin kapten untuk mendapatkan sedikit maklumat tentang perjalanan kami. Untuk mengelak kebosanan menempuh perjalanan panjang, kapten menerangkan akan membuat perjalanan tiga segi di mana kami akan menyusuri beberapa karang, gunung laut dan terus ke Beting Patinggi Ali (BPA) sebagai kemuncak perjalanan kami.

Lubuk pertama sedalam 240 meter disinggahi selepas 7 jam belayar. Kekili perlu dipenuhi tali sekurang-kurangnya 400 meter dengan kekuatan minimum 40 paun dan perlu ada tali simpanan. Maklumlah Luconia penuh dengan pelbagai momokan cerita kes sekali salam perginya tak kembali!

Jig pula 250 g ke atas. Tetapi semenjak slow jigging bertapak, ia mengubah definisi teknik pancingan di mana penggunaan tenaga kita untuk mengunjun jig diserahkan kepada kekili dan joran, tidak seperti era jigging laju dahulu yang memerlukan kudrat yang kuat untuk mengayuh kekili dan mengunjun joran.

Lubuk pertama ini hanyalah lopak di dasar. Pusingan bot 360 darjah dibuat untuk mengesan ikan pada sonar. Ia juga untuk membaca pergerakan arus dan angin agar bot turun sejajar tidak melintang angin dan arus yang akan menolak bot keluar dari radius lopak.

Spesies laut dalam yang digelar ikan ‘ping-pong’.

Tuah Wak Adi yang sedang mengarau laju jig-nya ketika bot hendak berpindah, tiba-tiba disambar aya sirip kuning dengan tentangan amat sengit.

Kemahiran ini perlu ada pada kapten bot pancing dalam teknik berhanyut, di mana bot akan dikawal pada posis setempat.

Jig dilabuhkan. Mak aiih… sempat lagi tuang kopi sementara menunggu jig jatuh ke dasar 240 meter itu! Sebaik jig cecah dasar dan dilantun naik, dah ada sambaran! Tanpa dipam joran, kekili terus dikarau tanpa henti oleh Wak Adi sebagai pembuka acara sehingga kelihatan ruby snapper.

Strike Wak Adi turut diiringi Shahrul Dr. Braid dan Zizi. Ruby snapper 2 – 3 kg sahaja, tetapi ia tidak memilih rupa bentuk jig. Apabila ruby senyap, ikan dipanggil ‘durian’ pula ambil tempat.

Dalam kecoh serangan durian bersilih ganti, Shahrul mendaratkan satu spesies kekuningan yang saya sendiri tak pernah lihat. Lalu bertanya nama ikan itu, selamba saya menjawab “musang king!” Tergelak Yap Tailong pada riak wajah Shahrul yang mempercayainya!

Bot Paee Lanun yang kami sewa. Kini diuruskan oleh anak cucunya.

Gunung Lautan

Struktur dasar bergunung dengan jurang (drop-off) adakalanya mencecah 300 meter agak mengejutkan, maklumlah tali hanya 400 meter. Kami minta kapten mencari jurang pada takat 250 meter sahaja. Ini pun dikira kes berani mati. Bayangkan lebihan tali pada kekili kurang 200 meter, berapa saat sahaja mampu lesap jika jig dibaham si mega.

Tiada satu pun jig tersangkut dasar. Mungkin jurang ini sekadar dinding batu tidak berkarang. Ada betul juga kerana karang memerlukan cahaya dan oksigen pada kedalaman ekstrem sebegini.

Jig berlapisan UV banyak membantu menewaskan mangsa dasaran. Tekanan mangsa juga hanya beberapa minit awal, selepas itu mula ringan dengan mata ikan tersembul keluar. Jadi kudrat kami belum lagi teruji dengan layanan mega lautan dalam ini.

Memang tuah Wak Adi, amberjack pun milik dia!

Menuai Strawberry

Seawal pagi kami menuju Luconia Selatan untuk mencari spesies idaman iaitu kerapu strawberry. Semalaman kutip durian, kini strawberry pula dicari. Dari jauh tampak perubahan warna laut dari biru gelap ke secerah air putih jernih, adakalanya nampak jelas karang hidup di dasar. Menyesal jig ringan tidak dibawa!

Kami berhanyut di atas terumbu da apabila memasuki satu jurang, satu strike diterima Shahrul. Larian agak meliar menyusuri alur karang yang berliku dengan tekanan padu untuk menguji tali terbaru Dr. Braid 45 paun. Shahrul menjerit kegembiraan tatkala muncul GT pertama trip ini.

Labuhan jig pada lubuk 100 meter lebih menjadi sasaran ikan durian dan ‘ping-pong’. Macam di Cameron Highland pulak, di bawah kebun durian, di puncak ladang strawberry! Macam ang pow, semuanya warna merah.

Warna kemerahan mula dipecah Uncle Efan dan Nano. Walaupun tak kasar, tetapi diberi layanan keras bagi menarik keluar kerapu yang menelan Senses Marstune 240 g dari terumbu. Sehingga tiada lagi getuan, kapten mengajak ke terumbu utara.

Jig 240 g Uncle Efan ditelan habis kerapu ini.

Tuah Di BPA

Kami tiba tepat tengahari di BPA (Beting Patinggi Ali). Kelihatan sudah ada sebuah bot pancing tengah melayan popper. Alahai ruginya kalaulah ada bot kecil berenjin sangkut yang boleh merapati beting.

Bot mula berhanyut di jurang 40 meter. Mata tunggal berkembar mula ditukar di ekor jig dengan satu sahaja mata tunggal Mustad Kaiju saiz 2 atau 3 bagi mengelak tersangkut karang. Perambut 50 paun sepanjang 3 meter diperiksa setiap kali jig naik ke atas dan ditukar atau dipotong jika terdapat luka akibat geseran pada karang.

Satu strike terkena Yap Tailong yang terus ditarik keluar dengan layanan keras untuk membakar rakan lain yang dah rentung di bawah terik matahari. Melolong kegembiraan Yap Tailong apabila strawberry terbesar ditewaskan.

Bot terus berhanyut melintasi jurang dalam. Kapten meminta kami menghulurkan jig kerana di sini lubuk amberjack (aji-aji). Puas kami unjun, tiada satu pun strike. Kapten meminta kami naikkan tali untuk berpindah lubuk. Wak Adi yang terakhir mengarau, mengayuh jig laju dan tiba-tiba jig terkena sambaran dengan larian padu tanpa henti ke dasar.

Kalau dah jumpa kebun ibu kerisi, dia sajalah yang dituai naik.

Skru lutut mula tercabut, tangan geletar menahan asakan larian ikan sehingga mangsa mula berhenti dan memberatkan badan untuk bertahan. Wak Adi bukan jagoan sembarangan, kudrat yang tersimpan dikeluarkan habis untuk menarik naik mangsa ke atas sekeras-kerasnya sehingga muncul meliar ikan bersirip kuning.

Tidak mampu berkata apa lagi, Wak Adi yang telah terduduk hanya senyum kepuasan untuk menghabiskan sisa perjuangan terakhir aya sirip kuning yang sudah tewas. Memang tuah di BPA buat Wak Adi dan hanya satu lagi spesies ikon Miri perlu diburu untuk melengkapkan sasaran pancingan kami.

Geng Korek

Seperti kata kapten, kunjungan kami tidak akan lengkap tanpa amberjack (aji-aji) dan dia akan terus berusaha menjarah sebanyak mungkin lubuk bagi mencari spesies yang wajib ditangkap pemancing yang bertandang ke Miri.

Lubuk seterusnya ialah satu lagi gunung laut berhampiran pelantar minyak Petronas. Tanpa labuhan, bot ditetapkan di puncak gunung. Labuhan jig berbagai warna mula menjunam turun dan permainan ketuk dasar diulang. Dalam asyik mengetuk, jig Shimano 350 g Wak Adi direnggut, disusuli benaman kencang.

Tuah trip ini memang milik Wak Adi. Melihat cara larian ini, ia angkara amberjack (aji-aji). Joran Temple Reef Levitate 68-4 memang senjata tempur yang berpadanan menahan tekanan amberjack sehingga mangsa longlai untuk melengkapkan sasaran kami.

Namun ia tidak memuaskan kapten dengan seekor tangkapan setelah tiga hari memburu baru ditemui sarangnya. Arus sedikit laju menolak jig kami lalu tersasar ke jurang dalam, tetapi ia tidak kosong. Setiap kali ketukan dasar dibuat lalu diangkat dalam beberapa kaki, ia disambar rakus ibu kerisi.

Adakalanya berlaku double strike antara Sharul dan Midi. Mungkin labuhan jig mereka jatuh tepat ke sarang ibu kerisi. Memang geng ni pandai korek, asal jatuh ke lubang terus strike. Ralit sehingga terlupa amberjack yang dicari apabila melihat saiz ibu kerisi yang didaratkan gadang belaka.

Sensitiviti diperlukan untuk merasai jatuhan jig di dasar agar dapat dimainkan dengan berkesan.

Letupan Terakhir

Dalam perjalanan pulang, Kapten meminta kami trolling. Namun tiada seorang pun ada set trolling! Terpaksalah set mengilat sederhana milik Yap Tailong menjadi set tunda. Gewang sinking minnow Beito 150 – 75 g dilabuhkan dan lalu dipegang joran Zen Zagan Ocean Shooter PE 4.

Beberapa minit sebelum memasuki zon pelantar, satu sambaran bersama loncatan di permukaan dibuat tuna terus mendesingkan kekili. Hanya beberapa saat, tali lebihan 50 paun dalam kekili tiada tinggal selilit benang pun! Ia meletup putus.

Lalu disiapkan lagi satu set PE 6 – 8 bersama kekili Shimano Saragosa 8000 bertali Dr. Braid 80 paun dilabuhkan sekali lagi dengan Beito 150 – 75 g berwarna oren zebra. Apabila bot menghampiri pelantar, satu strike dengan larian laju berlaku, lalu menghala ke arah pelantar. Bot menarik jauh keluar ke zon yang agak selamat dan barulah epik pertarungan terhebat dalam trip ini.

Aksi berbalas tarik-menarik antara mangsa dan Yap Tailong hampir 20 minit berakhir setelah habis tenaga jantan digunakan. Semuanya terjawab apabila seekor GT kerbau tumbang dan Yap Tailong terus terduduk me-ngambil nafas kesyukuran.

Dalam sibuk melepaskan mata tiga yang melekat pada GT itu, di haluan bot sudah ada pertempuran. Abg. Lie Tamil yang dibantu Midi dan Wak Adi cuba bertahan dan mengawal mangsa kedua daripada memasuki tiang pelantar. Namun sayang sekali, perambut meletup dan ketiganya terus jatuh terlentang kebelakang.

Tergelak kami melihat aksi ‘3 stoogers’ jatuh ke lantai dek yang bertingkat. Dalam kami bergelak, Kapten meminta izin untuk pulang segera ke jeti apabila awan ribut telah menebal dan perjalanan pulang kami diiringi hujan bersama alun kucah.

PERSEDIAAN TRIP JAUH-JAUH

Setiap perancangan trip jauh yang boleh dianggap trip mega tahunan memerlukan perancangan rapi. Maklumat medan pancingan perlu cukup dan yang mengikuti perlu berada dalam keadaan bersedia.

Mungkin setiap perancangan akan ada perubahan di saat akhir. Bukan setakat mental dan fizikal, malah kewangan juga perlu diletakkan dalam senarai teratas mahupun segala peralatan pancing.

Maklumlah trip yang diatur akan mengikut teknik citarasa pemancing yang bersekepala dengan perancang. Tetapi tidak salah sekiranya ada ruang yang boleh digunakan atau membawa set simpanan yang tidak mengganggu formasi teknik pancingan.

Seperti kami yang tiba-tiba diminta untuk melakukan aksi menunda gewang terpaksa mengorbankan apa yang ada untuk merasai tarikan mega menggunakan set mengilat dan set popping. Namun ia tetap sebagai satu pengalaman yang mahal buat kami.

Begitu juga untuk membawa lebih peralatan yang terbantut apabila dihadkan untuk penerbangan. Bagi rakan yang mengikuti trip perlu bertolak ansur dan senang bekerjasama. Malah sentiasa meringankan mulut untuk berterima kasih dengan bantuan rakan.

Lebih menguntungkan sekiranya ada pihak yang sudi menaja seperti trip kali ini Dr. Braid mengambil tempat. Walaupun tidak semua rakan berjaya menewaskan mega idaman, tetapi kami turut tumpang gembira sebagai satu pasukan apabila ada rakan berjaya menewaskan spesies sasaran. Malah matlamat kami untuk menjejak laluan yang dibuka oleh Pak Paee Lanun yang boleh dianggap ‘Bapa Luconia’ berjaya dilunaskan dan turut disambutnya apabila tiba di jeti.

Apa yang pasti kami tetap bertandang lagi pada masa hadapan.

Bot Paee Lanun : 014-680 7526 (Wan)

Aksi cemas Yap Tailong ditekan samseng GT yang menguasai pelantar minyak sebaik sahaja trolling melewatinya.