Lubuk Lokjiak Singkep
KetIga-tiga pulau itu kelihatan seperti pulau tropikal biasa sahaja yang mungkin dikuasai spesies GT. Namun apabila anda membaling popper ke pinggir pulau berbatu yang bergelombang besar, spesies talang pula beramai-ramai muncul dari air laut berwarna biru membaham popper dengan rakusnya. Talang yang menguasai perairan Kepulauan Riau, Indonesia ini bukan sahaja berbadan bagak, tarikannya yang maha berkuasa pasti mendebarkan jantung anda !
Teks & Fotografi: PAK WONG
Ramai pemancing berbangsa lain pasti telah mengenali perkataan “Lokjiak” yang sentiasa disebut-sebut oleh pemancing berbangsa Cina. Ya, “Lokjiak” bermaksud “taruh makan”, fenomena yang sentiasa diidamkan oleh semua pemancing. Namun kini “Lokjiak” bukan lagi impian yang sukar dicapai. Di Pulau Sayap Kepulauan Riau, “Lokjiak” adalah keputusan yang sudah pasti berlaku. Biarpun pemancing yang baru belajar pun susah nak kumpaw!
Mahligai memancing yang tak masuk akal ini memang bukan senang dicapai. Dari Johor Bahru kena naik dua kali feri yang memakan masa selama 6 jam lebih sebelum sampai ke Dabo, Singkep. Kemudian berkereta selama 40 minit barulah sampai ke penginapan bungalow di tepi pantai di mana bot pancing berlabuh.
Cuaca kurang memuaskan sepanjang bulan Ogos dan September. Pagi-pagi apabila keluar dari bilik tidur sudah merasai angin kencang di sekeliling bungalow yang indah ini. Menaiki bot fiber bekuasa 500 kuda biasanya hanya memakan masa 1 jam lebih untuk sampai ke Pulau Sayap. Namun dalam keadaan menentang ombak besar masa perjalanan telah menjadi dua kali ganda!
Biarpun perjalanan amat membosankan, namun hati terasa ceria sebaik sahaja bot tiba di pulau yang bertiga itu. Bobby segera melontar popper untuk mencari talang. Sebaik sahaja popper bergerak kelihatan beberapa ekor talang mengejarnya. Beliau menggunakan popper yang agak besar dengan hanya sebilah mata tunggal di bahagian ekornya. Talang asyik membaham popper itu namun tidak terkena pancing. Tunggu apa lagi? Kami yang telah bersiap sedia segera melemparkan jig secara membabi buta.
3 KINGS ISLAND INDONESIA
Air masih surut pada ketika itu. Jelas kelihatan terdapat banyak batu besar di pinggir pulau. Termasuklah pantai yang berpasir putih. Kedalamannya dipercayai kurang dari 10 meter. Semakin berdekatan pantai semakin ceteklah kedalamannya.
Setelah mengkaji struktur pulau ini, anggaran saya teknik cast jigging adalah paling memadai. Bot hanyut secara menegak ke perairan cetek mengikut tiupan angin. Jig harus dilontar secara menentang angin supaya dapat mengesan dengan serta merta apabila ianya sampai ke dasar. Jika jig dilontar secara mengikut angin, apabila jig tenggelam bot juga akan hanyut ke hadapan lantaran tiupan angin sehingga tidak dapat merasai saat jig jatuh ke dasar. Akibatnya sangkutlah jig di dasar yang dipenuhi batu dan terumbu.
Gerembolan talang pada saat itu mempamirkan sifatnya yang amat agresif. Jig tetap dihentam biarpun dilempar secara membabi buta. Namun kes tidak terkena pancing atau rabut kerap berlaku. Ini tidak menjadi masalah kerana teman-teman talang itu akan merebut jig sebaik sahaja jig terkeluar dari mulutnya. Ada masanya mereka mengejar sehingga ke tepi bot dan membaham jig dengan rakus dari jarak yang amat dekat. Memang banyak gila populasi talang di sini!
PEJUANG TERHEBAT
Semakin lama memancing, semakin saya memahami struktur lubuk talang ini. Sehingga 100 meter jauhnya dari pantai, kedalamannya pun tidak melebihi 15 meter. Gerembolan talang terutamanya tertumpu di perairan tidak melebihi 10 meter dalam berdekatan tebing. Alam sekitar seperti ini sememangnya lokasi terbaik untuk ikan pemangsa mencari makanan. Mereka hanya perlu mengepong dan menghalau anak-anak ikan sehingga ke kawasan tebing yang cetek untuk memakannya.
Teknik jigging yang paling sesuai digunakan di perairan cetek seperti Pulau Sayap ini ialah secara melontar jig sejauh mungkin untuk merangkumi kawasan yang lebih luas bagi menarik perhatian talang yang berdekatan. Jig tidak perlu dihenjut dengan amat laju. Pada hakikatnya memang tidak memerlukan cara persembahan yang tertentu. Populasi talang di Pulau Sayap ini cukup banyak. Mereka akan membaham apa sahaja yang bergerak di dalam air!
Kudrat talang Sayap cukup mengejutkan saya apabila talang pertama terkena pancing. Saya pernah menaikkan banyak talang bersaiz bagak. Namun tiada satu pun setanding dengan talang Sayap. Talang di sini tidak kira saiz besar atau sederhana masing-masing mempamirkan daya saingan yang mendebarkan. Kebanyakannya akan mempamirkan tarian akrobatik sehingga saya terasa seperti memancing ikan Tarpon gergasi di Florida, Amerika Syarikat pula! Nikmatnya amat memuaskan setiap orang yang berpeluang menanganinya !
Seperkara yang harus ditekankan ialah selama dua hari kami memancing di sini, belum pernah lagi menaikkan talang yang kecil dari 4 kg. Saiz yang biasa dinaikkan rata-rata 4 hingga 7, 8 kg. Apabila membincangkan kekuatan luarbiasa talang Sayap, anggaran saya ianya berpandukan dua fakta. Fakta pertama ialah lubuk yang berair cetek. Tarikan talang hampir 100% disalurkan ke joran secara langsung seperti casting sebarau di sungai. Manakala di lubuk yang berair dalam tarikan ikan akan diserap tekanan air ke atas tali. Fakta kedua ialah air laut persisiran pulau yang kaya dengan larutan oksigen lantaran pukulan ombak yang bertubi-tubi. Ikan yang hidup di perairan seperti ini akan menjadi lebih sihat dan bertenaga.
Selain jig, gewang jenis Sinking Minnow juga berjaya menaikkan banyak ikan, terutamanya apabila terserempak dengan geng tenggiri yang bergigi tajam.
MAKAN WALAUPUN C & R
Kami berusaha melepaskan semua tangkapan bagi mengekalkan khazanah ikan talang Pulau Sayap yang sukar ditemui ini. Setelah mebuat percubaan, didapati talang yang dipancing dengan jig masing-masing berada dalam keadaan sihat apabila dilepaskan serta merta. Kejayaan ini bergantung kepada cara menaikkan ikan dengan tangguk sahaja dan kecederaan yang diakibatkan oleh mata tunggal pun tidak parah. Manakala banyak talang yang dinaikkan dengan Sinking Minnow tidak berjaya dilepaskan akibat kecederaan yang lebih parah oleh mata tiga.
Talang yang dinaikkan dengan jig akan cepat-cepat dilepaskan tanpa mengambil gambar jika saiznya kecil dari ikan terbesar pemancing itu. Kebanyakannya hidup melalui cara ini. Lubuk “Lokjiak” memang sukar dijumpa. Ia memerlukan pemancing yang prihatin untuk memeliharanya.
Apakah pelepasan ikan yang dipancing akan mengakibat gerembolan ikan beralih dari tempat asalnya atau enggan makan pancing lagi? Tidak sama sekali! Pada anggaran saya mungkin talang di pulau ini cukup banyak populasinya. Sekumpulan ikan mungkin berwaspada kepada jig akibat C & R, ada lagi banyak kumpulan yang masih naif. Sehingga tangan terasa sakit pun mereka terus menyambar jig tanpa ragu!
Bagaimana rasanya pancingan talang “Lokjiak, Lokjiak” di Pulau Sayap? Saya ingin meminta maaf kerana tidak dapat memberikan unkapan yang sebaiknya. Lebih baik anda sendiri datang untuk mengalaminya!
*Berita baik: Trip bulan Oktober kini dibuka untuk tempahan. Berminat sila WhatsApp Pak Wong 019-3885211.