Mari Kita Pertahankan Mahligai Jigging Terakhir


Ramai mendapati bahawa sumber laut Malaysia sudah hampir pupus. Biarpun Sabah, Sarawak yang mempunyai penduduk terhad sehingga Kepulauan Spratly pun semakin kurang ikannya. Saya pun berfikir begitu, sehinggalah berpeluang mengalami trip jigging yang mengujakan di perairan Mukah!

Oleh: Pak Wong
Saya telah bertandang ke Mukah seawal kira-kira 20 tahun dahulu apabila teknik jigging belum jagi kedengaran. Pekan kecil di negeri Sarawak ini terletak di antara Bintulu dan Sibu. Pada masa itu kami menaiki bot kayu yang dipandu tekong berbangsa Melanau untuk trip bottom. Saya agak kagum dengan laut Mukah yang cetek berbanding perairan Miri yang amat dalam. Biarpun telah berjalan jauh ke tengah laut kedalamannya pun sekitar 30 meter sahaja.

Yang paling saya ingat ialah banyak betul ikan merah di sana. Sahabat saya Lin Thean Fatt yang master dalam pancingan dasar telah berjaya membawa naik banyak strawberry bersaiz bagak dengan berumpankan isi tongkol. Kami juga mencuba teknik trolling yang amat popular pada zaman itu apabila berpindah ke spot. Setiap kali trolling pasti ada tenggiri besar-besar yang sudi membaham gewang. Itulah trip bottom paling berhasil sepanjang ingatan saya. Setiap pemancing terpaksa membeli kotak putih untuk menyimpan ikan yang melimpah-limpah!


Pada pertengahan tahun 2019, saya telah kembali ke Mukah dengan tujuan untuk mencuba teknik jigging pula. Banyak sudah berubah berbanding 20 tahun dahulu termasuk pusat perdagangan dan kawasan perumahan yang baru. Namun Mukah tetap kelihatan damai seperti dahulu. Kini juga tersedia bot pancing moden dengan enjin kembar. Namun disebabkan kedudukannya yang agak terpencil, pemancing yang bertandang ke Mukah rata-rata datang dari bandar-bandar yang berhampiran seperti Sibu, Sarikei dan Bintulu sahaja.

Agak sukar bagi pemancing dari Semenanjung untuk turun memancing di Mukah lantaran sistem pengangutannya yang kurang semporna. Dari Semenanjung tiada penerbangan terus ke Mukah selain transit di Kuching, Sibu atau Bintulu. Bukan sahaja kosnya menjadi tinggi malah masa perjalanan pun akan menjadi panjang. Lagipun sewa bot pancing di Mukah pun agak mahal.


Tidak dapat dinafikan bahawa kekayaan sumber ikan di Mukah sekarang memang jauh lebih mewah dari Semennjung mahupun banyak tempat di Sabah dan Sarawak. Bezanya cuma kalau dulu kami sudah dapat menghayati keputusan yang cemerlang hanya dalam lingkungan 10 batu nautikal dari pantai, kini terpaksa menjelajah sejauh 30 batu nautikal baru dapat memperolehi habuan yang bersamaan.



Pada hakikatnya selain Strawberry dan ikan-ikan dasar yang lain, di sini juga terdapat banyak ikan pelagik khasnya jemudok dan bulat yang telah menjadi ikan kegemaran saya. Dulu kami hanya menumpu pada pancingan bottom justeru kurng berpeluang untuk mendapatkan ikan putihnya.
Jika ingin mendapatkan keputusan yang lebih cemerlang, bolehlah bertandang ke pelantar minyak yang sejauh 40 lebih batu nautikal. Di sini terdapat spesies ketambak muncung dan GT. Strawberry di sini juga lebih besar saiznya.


Buat masa ini di Mukah hanya terdapat lapangan terbang kecil untuk kegunaan pesawat kecil sahaja. Lapangan terbang antarabangsa yang dapat menampung pesawat besar masih dalam pembinaan. Apabila siap nanti mungkin akan menarik lebih ramai pemancing luar untuk bertandang ke sana. Saya berharap pengambilan ikan secara rasional dapat dipraktikkan di mana ikan pelagik kalau sihat haruslah dilepaskan bagi mengekalkan mahligai light jigging terakhir ini!
Tempahan bot: 013-810 7989 Roger












