Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Mata Kail Terbaik?

Mata kail atau mata pancing sememangnya perkakasan terpenting dalam dunia memancing. Tanpa joran dan kekili, kita masih mampu memancing ikan dengan tali dan mata kail sahaja. Pemancing sentiasa mencari mata kail terbaik agar setiap ikan yang menyambar umpan dapat dinaikkan dengan jayanya. Persoalannya: adakah mata kail yang memenuhi permintaan seperti di atas wujud dalam pasaran?

Oleh: Pak Wong

Mata kail diperbuat daripada pelbagai bahan wayar keluli dan diproses menjadi saiz dan bentuk yang berlainan bagi menampung keperluan pelbagai teknik memancing. Tujuan mata kail yang berbentuk liku adalah untuk mambantu pemancing melakukan proses membalas lalu memegang ikan dengan kukuhnya.

Diameter mata kail tidak harus terlalu kasar agar sentapan dapat dilakukan dengan jayanya untuk menembus mulut ikan, khasnya ikan yang bermulut tebal. Di samping itu terjadilah satu kelemahan ke atas mata pancing di mana ianya mungkin akan ditarik ikan sehingga terkangkang, lurus atau patah akibat diameternya yang agak halus.

Sejarah mata kail mungkin telah melebihi 1000 tahun dan teknologinya pun sudah mencapai tahap canggih. Namun kelemahan ini tetap tidak dapat dielakkan dengan sepenuhnya. Kelemahan mata pancing ini bukannya berasal dari teknologi tetapi berkaitan dengan teori fizik. Bairpun mata kail terbaik dan termahal tetap akan ditarik ikan sehingga terkangkang, lurus atau patah.

Masalah ini berpunca dari ketebalan diameter yang terhad. Hasrat artikel ini bukan untuk mengesyorkan mata kail terbaik yang tidak akan terkangkang. Sebaliknya ingin menyatakan bahawa mata terkangkang sememangnya perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun kita boleh mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengelakkan mata dari terkangkang dan juga cara untuk mengelakkan ikan dari lucut akibat mata terkangkang.

Terlebih dahulu kita harus memahami punca mata terkangkang. Terdapat kesalahfahaman di kalangan pemancing bahawa mata terkangkang semata-mata disebabkan mata itu kurang kuat. Ini betul apabila kita terkena ikan besar dengan mata yang amat kecil kerana mata tersebut bukan direka untuk memancing ikan mega.   

Padahal kebanyakan kes mata terkangkang adalah berpunca dari mata kail tidak menembus mulut ikan dengan sempurnanya di mana matanya tidak terkeluar dari bahagian mulut ikan dengan sepenuhnya. Kebetulan mata hanya tertancap rahang ikan yang keras menyebabkannya amat mudah ditarik sehingga kangkang apabila ikan memecut berdasarkan teori leverage. Rata-rata semua jenis mata akan terkangkang jika berlakunya keadaan seperti ini.

Sebaliknya jika mata menembus mulut ikan dengan sepenuhnya sehingga mulut ikan tergantung di bahagian liku mata, ikan tersebut tetap tidak akan terlepas biarpun bergelontar dengan sedaya upaya.

Dalam situasi di mana ikan bergelontar dengan kuatnya di tepi bot, mata mungkin akan terkangkang juga akibat impak yang amat dekat. Manakala apabila ikan berada di jarak yang agak jauh dari bot, tenaga ikan menjadi berkurangan akibat kepanjangan tali dan pengaruhan arus laut. Mata jarang-jarang terkangkang tidak kira betapa kuat tarikan ikan asalkan drag dilaras dengan sepatutnya.

Kes mata terkangkang akan kerap berlaku apabila menjerat ikan pelagik khasnya spesies talang dengan jig. Mulut talang yang amat tebal dan keras mengakibatkan mata kail sukar untuk menembusnya. Ditambah pula spesies yang bertenaga ini gemar melompat-lompat dan sentiasa berlawan berdekatan permukaan laut, mata sering terkangkang dibuatnya. Untuk mengelakkan kes berputih mata, sesetengah pemancing pun memasang sebatang mata tiga di bahagian ekor jig. Apabila mata kangkang atau lucut, sekurang-kurangnya masih ada mata tiga yang mungkin tertancap kepala atau badannya.

Biarpun tidak banyak perbezaan dalam cara penggunaannya, mata kail memang terdapat perbezaan dari segi mutunya. Mata yang berkualiti rendah daya anti-ketegangan, anti-karat dan ketajamannya pasti tidak setanding atau setahan mata berkualiti tinggi. Terpulanglah kepada anda untuk memilih mana satu yang sesuai dengan keperluan peribadi.

Diharap artikel ini dapat memberi sedikit penjelasan terhadap kemusykilan mata kail jigging.

Kes mata terkangkang adalah perkara wajib berlaku apabila mata tidak menembus mulut ikan dengan sempurnanya. Ia tidak seharusnya bersangkutan dengan kualiti atau harga mata itu.

Talang merupakan spesies yang paling biasa mengakibatkan mata terkangkang.
Bahagian “Corner” merupakan bahagian penting mata kail yang akan menampung segala impak apabila bertarung dengan ikan mega. Dengan drag setting yang munasabah mata tidak akan kangkang, lurus atau patah sepanjang pertarungan.