Melaka Darul Temmy?
Selepas Empangan Jus meletop-letop kecoh dek ledakan sejenis peacock bass terbesar di dunia (Cichla temensis), kini spesies alien yang diberi jolokan ‘temmy’ oleh penggila caster di Melaka ini didapati berkembang biak dan amat frenzy sewaktu suatu pertandingan memancing dianjurkan di Tasik UiTM Jasin. Apakah kesimpulan penemuan terbaru ini…?
Oleh : JR. USOP
Baru-baru ini, Fakulti Sains Komputer & Matematik (FSKM) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Jasin telah menganjurkan satu pertandingan memancing di Tasik UiTM bersempena minggu Karnival ICT & Matematik 2017. Pertandingan memancing ini diadakan pada hari terakhir karnival iaitu 30 September 2017 dan dibuka untuk orang awam.
Selain memancing, terdapat juga aktiviti seperti pertandingan menggodam, e-sport, hari keusahawanan, pertandingan multimedia, pertandingan matematik, ceramah keselamatan ICT dan lain-lain.
Menyumbang Sambil Memancing
Pertandingan memancing yang kali pertama dimasukkan dalam agenda karnival tahunan ini diadakan untuk merapatkan lagi jalinan ukhwah antara warga kampus dengan masyarakat setempat, serta mengumpul dana bagi tujuan pembangunan, penyelidikan dan pembelajaran. Secara tidak langsung kira-kira 150 peserta dengan yuran RM 20 telah menyumbang sambil memancing.
Tasik UiTM Jasin merupakan kawasan memancing berjadual. Lebih tepat lagi jika terdapat sebarang aktiviti, barulah ia dibuka untuk memancing. Justeru, ia bukanlah kawasan yang sentiasa diakses oleh pemancing. Di dalamnya telah diketahui terdapat lima spesies ikan yang dipertandingkan iaitu ikan pacu, haruan, patin, tilapia dan keli. Ikan yang ditambah masuk ke dalam tasik tersebut telah disumbangkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Antara penyumbang hadiah pertandingan ini ialah Kedai Mengai, Kolam Pancing Seri Semabok, ANGLR, Kail, Klap Pa, Umpan Pacak A1 dan EBSF Tackle Melaka. UiTM Melaka sendiri telah menyumbangkan hamper.
Kejutan Casting
Keunikan pertandingan kali ini, pihak penganjur membenarkan peserta untuk casting selain pancing dasar. Tetapi hanya mata tunggal (single hook) dibenarkan untuk mengilat, manakala terhad dua mata kail untuk pancingan dasar. Apa yang mengejutkan berlaku sewaktu pertandingan berlangsung, peacock bass (PB) dari spesies Cichla temensis didapati cukup menggila dengan membantai apa sahaja jenis gewang yang dihulurkan!
Umum telah mengetahui bahawa Melaka adalah negeri pertama di Malaysia yang memiliki spesies asing peacock bass terbesar di dunia dan hidup subur iaitu Cichla temensis, yang telah menguasai Empangan Jus di selatan negeri bersejarah ini (laporannya pernah dikeluarkan oleh SIRIP). Cichla temensis nyata berbeza corak badan dan saiz tumbesarannya dengan PB biasa yang sudah lebih dua dekad bertapak di negeri kita iaitu Cichla monoculas. Jika di tempat asalnya di Amazon dan pengenalannya di tasik empangan larangan di Singapura, Cichla temensis dilaporkan menjangkau saiz belasan kilo!
Nampaknya Cichla temensis bukan sahaja wujud di tasik empangan bekalan air Jus itu malah berkoloni juga di dalam Tasik UiTM Jasin yang kecil ini yang khabarnya telah dilepaskan oleh individu tertentu. Walau bagaimanapun, Cichla temensis yang diberi jolokan ‘temmy’ oleh caster Melaka ini tidak disenarai sebagai ikan yang dipertandingkan. Begitu pun jua, peserta cukup seronok sakan kerana asyik temmy sahaja yang memagut gewang!
Hang temmy yang frenzy gila-gila di tasik ini. Tapi malangnya ia tak masuk list untuk dipertandingkan!
Mungkin juga kerana tasik ini jarang diusik, ikan-ikan di dalamnya begitu lapar dan galak menyambar umpan. Selain temmy, peserta tidak menang tangan dihenjut spesies lain, dengan ikan terbesar ialah keli seberat 4.3 kg, haruan 1.03 kg, tilapia merah 610 g, dan patin 500 g.
Berdasarkan laporan dan kehadiran temmy yang meriah di tasik ini, ia memberikan kita suatu petanda yang saya rasa anda sendiri dapat membuat kesimpulan tentangnya…