Melakar Warna Temengor
Masa begitu pantas berlalu. Pejam celik rupanya sudah memasuki tahun ke-4 penganjuran Senses Cup. Kejohanan mengilat yang berlangsung pada 20 Oktober selama tiga hari ini berjaya menyatukan para pengilat dari beberapa negara tetangga seperti Indonesia, Singapura, Malaysia malahan dari Borneo untuk berkumpul di satu pulau muhibbah yang dibentuk daripada beberapa houseboat yang disatukan di Temengor Selatan…
Teks : HANUMEI IKE
Fotografi : URUSETIA SENSES CUP
Setiap tahun ada sahaja wajah-wajah baru mewarnai kejohanan mengilat ini, yang menjadi satu medan untuk berkumpul, beriadah dan bertukar ilmu. Kehadiran pemancing legenda tanahair iaitu sifu Pak Wong turut menyerikan acara tahun ini.
Format pertandingan berteraskan konsep ‘Tangkap & Lepas’ terus dikekalkan. Peserta TIDAK dibenarkan sama sekali mengambil hasil tangkapan. Hanya toman dan sebarau dipertandingkan, dengan setiap 1 cm mewakili 1 markah untuk ukuran panjang ikan. Skala timbangan berat ikan tidak diambil kira dalam pemarkahan.
Ukuran ditetapkan sebagai syarat layak tangkapan dipertandingkan misalnya ukuran toman semestinya melebihi 45 cm dan sebarau 30 cm ke atas. Tetapi dalam dua kategori khas kerandang dan kategori ikan istimewa, ia bebas ukuran. Namun dua kategori itu ukurannya tidak diambil kira pada markah terkumpul.
Setiap markah dari tangkapan akan dikumpul selama tiga hari dan akan dikira di hari akhir untuk dinobatkan juara ‘Caster of the Year’ dan ‘Best Team of the Year’. Setiap tangkapan mestilah diambil gambar ukuran, dan waktu yang tercatat pada kamera sebagai bukti.
Panas Tak Berhujan
Lokasi pertandingan kali ini di Temengor Selatan. Walaupun sebelum ini Royal Belum menjadi lokasi pelopor pertandingan sebanyak dua kali, namun pemilihan Temengor Selatan adalah kerana kemudahan akses buat peserta bergerak tanpa sekatan berbanding Royal Belum, maklumlah kawasan di bawah kawalan tentera.
Namun walaupun kawalan ketat dikenakan terhadap pemancing (tangkap & lepas) di Royal Belum, tetapi tekanan daripada pemancing agak ketara dan menyebabkan ikan semakin culas kebelakangan ini. Temengor Selatan pula berbeza isunya, di mana ia menerima tekanan daripada penjaring tanpa kawalan.
Dikhabarkan juga bahawa penjaring dari Jeli yang selama ini melakukan aktiviti di Tasik Pergau mula membolosi Temengor setelah Pergau ditutup untuk sebarang aktiviti air. Sesuatu yang kurang enak didengar kerana pada pandangan saya, inilah salah satu tasik yang masih lagi bernafas dan boleh dibanggakan walaupun kita memancing di luar musim sepatutnya.
Seperti acara kali ini walaupun sudah seminggu kemarau melanda, panas terik dan paras air rendah, sang sebarau masih lagi boleh dipujuk biarpun kebanyakan rumah sebarau berada di atas daratan. Toman pula makin pelahap, mungkin faktor cuaca dan suhu yang panas menjadikan ia lebih aktif. Tangkapan kerandang pada tahun ini juga mengatasi sebelumnya, malah ada peserta yang dapat menaikkan baung dan puluhan ekor haruan yang berjaya merampas takhta tangkapan istimewa.
Tahun ini boleh dikatakan penganjuran terbaik. Guide semakin profesional dan matang dalam membawa mahupun mengurus hal pemancing. Syabas buat Team Sahabat Alam bertulang belakangkan Abg. Nan Harith dan Pok Cik (guru besar Sg.Tiang) yang sentiasa memantau setiap saat pergerakan peserta dari kami celik mata sehingga melelapkan mata.
Segalanya diuruskan dengan cemerlang, malah disediakan chef terbaik. Para peserta dipastikan tidur dalam kekenyangan! Inilah yang kita mahu agar dapat dijadikan satu produk untuk dijual ke luar negara yang boleh mengharumkan nama Malaysia ke mata dunia.
Toman sememangnya buruan utama para peserta. Cuaca panas mengaktifkan lagi kebuasannya.
Podium Juara
Selama 4 kali penganjuran, setiap kategori pasti juaranya bertukar ganti dan tiada siapa mampu mengekalkan kejuaraan. Apa yang menarik kali ini 50% juara adalah wajah yang pertama kali menyertai pertandingan ini. Tahun ini juga ada hadiah berupa pakej memancing di Kg. Beng Mini Amazon yang ditaja oleh Abg. Lan, salah seorang pengusaha ‘sportfishing’ di Kg. Beng, Tasik Chenderoh. Penglibatan pembuat katak getah (soft frog) tempatan dikenali Army Froggie turut memeriahkan pertandingan kali ini.
Kerjasama utuh penganjuran Senses Cup edisi ke-4 antara Kelab Sukan Dan Rekreasi Pasir Mas Caster (PMC) dengan Senses Fishing tidak boleh dinafikan. Kejayaannya yang menjadi acara pertandingan memancing terbesar di Tasik Temengor sehingga mampu mengundang orang awam yang berkunjung di Pulau Banding bergambar di podium juara.
Setiap juara kategori dinobatkan dengan hadiah disampaikan oleh wakil-wakil penaja. Sorakan terakhir peserta menandakan berakhirnya pertandingan kali ini. Salam dan pelukan mengiringi perpisahan kami antara peserta setelah tiga hari berkampung di satu pulau muhibbah tanpa menghiraukan siapa kita, kerana di sini penyatuan dalam satu hobi mewujudkan toleransi, perpaduan dan kerjasama yang mengangkat kita sebagai pemancing profesional.
PODIUM JUARA SENSES CUP 2017
The Best Caster : Mohd Khairi, Rohaizen dan Daniel Koay
Juara Kumpulan
- Argozhook
- Ortopedik Angler
- Team HK
King of Sebarau : Lai Soon Kin
King of Toman : Faizawas Junoh
King of Kerandang : Mohd. Najib Ibrahim
King of Special : KK Wonh
Senses Toman King : Mohd Alif Fazly
Senses Sebarau King : Ng Sing Kong
Guide Terbaik : Achik, Lebey Nakal dan Veng