Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Melodrama Sri Ganda

Kampung terpencil yang serba sederhana tetapi peramah penduduknya, termasuk penghuni yang merajai Sg. Sri Ganda, destinasi pemburuan kanai atau black bass yang dijamin mampu menggigilkan tangan dan melemahkan kepala lutut anda!

Teks & Fotografi : FIQ EMMET

Perjalanan awal pagi ke lubuk kanai gangster Sri Ganda, Kinabatangan, Sabah.

Lawatan ke Kg. Sri Ganda sudah menjadi acara tahunan buat kami. Lebih tepat lagi 3 atau 4 kali setahun sebenarnya. Tak pernah jemu rasanya melawat kampung yang serba sederhana dengan penduduknya yang peramah ini. Walaupun sangat jauh dan terpencil, Sri Ganda tetap utuh dalam jadual memancing tahunan kami.

Kenapa Sri Ganda? Kerana pada setiap kunjungan, Sri Ganda dapat mengubat kerinduan kami terhadap deruan adrenalin ke segenap pelosok kapilari darah dan urat saraf!

Trip awal April bersama geng dari Johor dan Terengganu.

Gabungan

Artikel ini merupakan gabungan dua trip kami pada bulan Mac dan April yang sela masa antara kedua-dua trip hanyalah dua minggu. Trip pertama tahun ini memang sudah lama dirancang oleh saya dan Anis sejak penghujung tahun lepas lagi. Trip pertama ini turut disertai oleh Haikal, Jazlan, Eric dan Spike selaku videoman Majalah SIRIP.

Manakala trip kedua merupakan trip mengejut bersama sahabat memancing dari Johor dan Terengganu yang terdiri daripada Jamil dan Hairuddin XCG, Yatt, Nizam, Shafiq, Boi, Eddy dan dua orang geng casting saya iaitu saudara Frankie dan Kadie.

Menahan benaman sang kanai dengan joran terbaru Rapala Risto 8 – 20 paun.

Sepanjang kedua-dua trip ini, kami lebih menumpukan kepada casting berbanding trolling. Walaupun kami cukup sedar bahawa kebarangkalian untuk kami menaikkan kanai mega lebih tinggi dengan teknik trolling. Bukannya apa, karan casting jauh lebih syok, lagipun trolling bikin mengantuk bah…

Yang pasti, kedua-dua trip merupakan antara trip terbaik saya selama menceburi dunia mengilat. Bukan kerana saiz ikan, walaupun sebenarnya saiz ikan boleh tahan juga. Tapi lebih kepada kuantiti ikan yang berjaya ditipu dengan lenggokan gewang yang dimainkan.

Tambahan lagi dengan banyaknya insiden double strike dan juga kes-kes buli yang bisa menggigilkan kepala lutut. Memang meriah!

Jamil XCG bersama trofi kanai yang dipujuk menggunakan gewang TDD9 (FLP) yang sudah di-tune untuk menahan asakan si monster.

Ranggas

Sepanjang artikel ini, istilah ‘ranggas’ saya gunakan merujuk struktur reba kayu. Istilah ‘ranggas’ ini biasanya diguna pakai oleh pemancing dan nelayan di Sabah.

Sepanjang kedua-dua trip mengilat ini, kami banyak mensasarkan ranggas yang biasanya dihuni pelbagai spesies ikan. Ranggas pula saya boleh kategorikan kepada dua iaitu ‘Ranggas Kelihatan’ dan ‘Ranggas Tenggelam’.

Ranggas yang boleh dilihat di tebing ini terbentuk dari pokok bakau yang tumbang ke dalam sungai yang mana sebahagian batang pokok masih jelas kelihatan di tebing. Ranggas sebegini biasanya menjadi tumpuan nelayan dan pemancing untuk mencuba nasib.

Baby kertang yang cantik.

Satu lagi ialah ranggas tenggelam. Yang ini saya cukup suka sebab ia sukar dikesan dan jarang dikunjungi. Hanya segelintir tekong merangkap nelayan yang berpengetahuan luas tentang selok-belok sungai yang tahu kedudukan ranggas tenggelam ini.

Ranggas tenggelam ini biasanya terdapat di tebing atau tengah sungai. Biasanya terbentuk dari pokok bakau yang tumbang dan tenggelam sepenuhnya ataupun kayu balak yang hanyut. Turut menjadi sasaran mengilat kami ialah kawasan sungai yang mempunyai dasar berbatu.

Kawasan sebegini biasanya kami kunjungi sewaktu air surut agar gewang berupaya mengetuk dasar berbatu dan menarik perhatian pemangsa. Tunggu sehingga bunga pasang, pasti joran dihenjut kasar.

El Nino

Game casting Sri Ganda tahun ini agak berlainan sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh fenomena El Nino yang melanda negara kita sejak tahun lepas lagi. Fenomena El Nino dikaitkan dengan musim kering yang sangat panjang menyebabkan perubahan iklim yang sangat ketara.

Ia telah menyebabkan musim tengkujuh semasa Monsun Timur Laut yang sepatutnya berlaku pada bulan November hingga Mac setiap tahun, langsung tidak memunculkan diri. Ini menyebabkan sungai-sungai utama di Sabah kekal jernih untuk jangka waktu yang sangat panjang dan membolehkan kanai berhijrah naik jauh ke hulu sungai-sungai utama.

Kanai sememangnya diketahui gemar menghuni sungai air tawar dan payau dan seboleh-bolehnya mengelak dari kawasan yang berair terlalu masin. Bayangkan terdapat beberapa laporan bergambar tentang ikan kanai yang dipancing dengan tidak sengaja oleh penduduk tempatan di sekitar daerah Ranau yang terletak di tengah peta Sabah.

Haikal dengan spesimen kasar yang dipujuk dengan TDD9 berwarna Hot Tiger.

Mereka yang memancing dengan kaedah dasar menyasarkan ikan pelian terkejut apabila menaikkan beberapa ekor kanai. Malah ada antara mereka yang tidak pun mengenali spesies kanai ini. Jauhnya kanai mudik ke hulu!

Saliniti

Musim kering yang dicetuskan El Nino ini juga menyebabkan air sungai muara menjadi sangat masin. Jelas kelihatan jutaan obor-obor memasuki kawasan sungai muara atas faktor kemasinan air. Saliniti yang tinggi ini menyebabkan kanai agak kurang mendiami kawasan muara yang berhampiran laut, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Hotspot kanai yang kami biasa kunjungi sebelum ini kurang berhasil. Oleh yang demikian kami terpaksa beradaptasi dan melakukan pemburuan di kawasan yang dikenal pasti mempunyai saliniti air yang kurang iaitu di kawasan hulu dan cabang sungai yang bersambung atau berhampiran dengan sungai utama iaitu Sg. Kinabatangan.

Masalah utama mengilat di kawasan baru ini ialah kurangnya ranggas. Penyelesaiannya, kami banyak mengilat sambil berhanyut dengan menyasarkan kawasan nipah di tebing sungai dan hasilnya sangat memberangsangkan! Tak sangka pula banyak kanai pelbagai saiz mantap berjaya kami naikkan dengan teknik ini.

Siakap merah sangat cendol. MJ fresh panggang menu tetap malam kami di sini.

Seperkara menarik tentang casting celah nipah ini ialah kanai bersaiz kasar lebih mudah dinaikkan kerana tiadanya ranggas berteritip tajam yang selalu digunakan kanai untuk meloloskan diri. Pakailah tali sulam 100 paun sekali pun, kalau dah jumpa dengan ranggas berteritip tajam tetap putus juga.

Super Teknikal

Mengilat di kawasan muara sebenarnya agak teknikal juga. Banyak faktor yang perlu diambil kira bagi menjamin kejayaan sesebuah trip itu. Daripada pemilihan peralatan pancing dan gewang sehinggalah kepada ketepatan balingan dan juga persembahan gewang.

Faktor pasang surut, cuaca,  suhu dan kejernihan air serta tabiat semasa ikan juga sangat mempengaruhi. Nak cerita satu-satu takut terlebih panjang pulak artikel ni. Baru cerita bab ranggas pun dah 189 patah perkataan!

Gewang

Gewang selaman dalam adalah yang terbaik untuk menyasarkan kanai di Sri Ganda lantaran sungai-sungainya yang dalam. Dengan tebingnya yang kebanyakannya cenuram drop-off, saya lebih gemar menggunakan Rapala Tail Dancer Deep 9 cm (TDD9).

Kemampuan TDD9 untuk menyelam dalam dengan kadar yang cepat sangat sesuai dimainkan di kawasan drop-off tebing sungai ini. Lagipun saiz TDD9 sangat sesuai untuk menyasarkan pelbagai spesies dan saiz ikan. Bermula daripada si cilik sesumpit, kerapu, siakap merah sehinggalah kanai bersaiz mega mampu digoda oleh gewang ini.

Spike turut serta mengilat dan berjaya memujuk siakap merah ini.

Buli

Ini merupakan kali ke-12 saya berkunjung ke Sri Ganda. Dalam setiap kunjungan, tak pernah lekang daripada kes-kes buli yang teruk bila gewang disambar kanai bersaiz mega. Kes-kes dibuli adalah lumrah dalam setiap trip memburu si raja muara ini.

Pertarungan dengan kanai bersaiz mega biasanya berpihak kepada sang kanai kerana tabiatnya yang gemar bermain kotor melarikan gewang ke dalam ranggas berteritip. Yang biasanya berkesudahan dengan putusnya tali sulam atau perambut akibat bergeser teritip ranggas yang tajam.

Selain putus-memutus, terdapat juga kes-kes seperti bibir gewang yang patah, treble hook atau split ring yang kangkang dan juga joran patah. Malah ada beberapa kes kerosakan teruk pada main gear dan pinion gear kekili baitcaster yang dialami oleh beberapa orang sahabat saya sebelum trip ini.

Pasti ramai yang belum pernah beradu tenaga dengan kanai tertanya-tanya kuat sangatkah kanai ni? Jawapan saya, anda perlu mencuba sendiri. Spesimen 3 atau 4 kilo sahaja sudah cukup untuk membuat tangan anda gigil atau dalam kes yang lebih teruk boleh ketar kepala lutut.

Spesimen lebih besar? Faham-faham sajalah…

Partner bot saya, Kadie dengan kanai beliau.

Shafiq dengan trofi kanai 9 kg, merupakan rekod kanai terberat Sri Ganda setakat ini dengan kaedah casting!

Repeat

Seperkara yang menarik tentang trip ini, kebanyakan kami baru pertama kali berjumpa. Walaupun ada yang sudah agak lama berkenalan dalam facebook tapi ini merupakan kali pertama bersua muka dan beramah mesra.

Ternyata hobi yang dicintai ini mampu menyatukan pemancing tanpa mengira latar belakang ataupun asal usul. Gembira dapat bertemu dengan sahabat sehobi yang selama ini hanya bertegur sapa dalam laman sosial. Lebih-lebih lagi apabila trip yang dirancang ini membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.

Banyak kanai bersaiz bagak yang berjaya kami naikkan pada trip kali ini. Gambar pun banyak sampai saya pun pening nak masukkan semuanya dalam artikel ini. Biarlah abang editor kita yang pilih nanti. Yang pasti, sebelum berpisah kami sudah pun merancang untuk repeat trip ini pada masa yang sama tahun depan.

Pokok ganjil yang banyak terdapat di tebing muara berdekatan laut. Saya pun tak tau apa nama pokok ni.

Jumpa lagi kawan-kawan! Jumpa lagi kanai!         

TUNE-UP RAPALA TAIL DANCER DEEP (side article)

Teknik pengukuhan bagi mengelakkan gewang TDD anda terbarai!

Gewang kegemaran saya untuk menduga sungai-sungai muara ialah Rapala Tail Dancer Deep 9 cm (TDD9). Ia merupakan gewang selaman dalam yang memiliki aksi renangan cantik dan sangat stabil.

Diperbuat daripada kayu balsa yang ringan, daya apungan tinggi kayu balsa inilah yang memberikan aksi lenggok uniknya yang tidak ada pada gewang lain. Akan tetapi, kelebihan tersebut juga merupakan kelemahan utama gewang TDD. Badan gewang yang diperbuat daripada kayu balsa yang agak lembut ini mudah pecah atau koyak sekiranya digasak ikan bersaiz kasar.

Kes-kes yang biasa berlaku sekiranya TDD disambar ikan bersaiz kasar ialah lidahnya patah atau tercabut dan juga ekor gewang yang terkoyak. Oleh yang demikian, saya telah mengambil inisiatif untuk mengikat gewang TDD ini bagi memperkukuhkannya. Hasilnya, saya sudah boleh menyasarkan ikan bersaiz besar dengan gewang TDD.

Bersama ini dikongsikan cara-cara tune up gewang Rapala Tail Dancer Deep 9 cm untuk panduan bersama. Selamat Mencuba!

Peralatan yang perlu disediakan : 1) Gewang TDD 2) Pisau 3) Penyepit Besi 4) Superglue 5) Tali sulm 80 paun 6)Tali sulam 6 paun.

Masukkan tali sulam 80 paun ke dalam gegelung dawai lidah gewang.

Tarik tali sulam ke belakang dan gamkan ke badan gewang.

Gamkan tali sulam ke badan gewang secara berperingkat seperti gambar, lalu masukkan salah satu tali itu ke dalam gegelung dawai tengah gewang.

Buat 5 simpulan mati, potong lebihan tali dan gamkan simpulan ke badan gewang. Pastikan simpulan tersebut dibasahi gam untuk meningkatkan kekuatan ikatan.

sTDD9 yang sudah siap diikat dan bersedia untuk dikekah sang kanai.