Membongkar Khazanah Pulau Rebutan Batu Puteh
Pulau Batu Puteh, Horsburgh Lighthouse, The White Rock, Pedra Branca… suatu himpunan nama yang merujuk sebuah pulau batu unik yang tersembul di tengah perairan antara tenggara Johor dan Pulau Bintan, tetapi hak milik Singapura sepenuhnya. Siapa sangka, pulau yang pernah menjadi rebutan dan pertikaian dua negara ini rupanya sebuah lubuk yang luar biasa hebatnya. Penulis melaporkan hasil ekspedisi penerokaan khazanah Batu Puteh dan Batuan Tengah yang sukses dengan kerjasama bot pancing Blue Anchor Sport Fishing….
Teks : DARREN SHAN
Fotografi : DARREN SHAN & SPIKE FARIQ
Sudah lama saya dengar cerita Pulau Batu Puteh (White Rock), dan juga nama Horsburgh Lighthouse, tetapi tidak pula saya tahu rupa-rupanya ia lokasi yang sama! Horsburgh Lighthouse atau Rumah Api Horsburgh dibina di atas Pulau Batu Puteh yang seluas padang bola sebagai pedoman kapal-kapal kargo yang keluar masuk dari Selat Singapura dan Laut China Selatan supaya tidak terlanggar pulau berbatu ini.
Jarang didengar pemancing kita ke sana. Ini kerana kedudukannya boleh tahan jauhnya, sama ada dari Desaru atau Kong Kong yang menjadi tumpuan pemancing Johor. Lokasi paling dekat pun ialah Teluk Ramunia.
Pulau Rebutan
Pulau Bintan di Indonesia lebih rapat dengan Batu Puteh. Namun pulau yang pernah menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura ini telah sah menjadi milik Singapura melalui keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008. Hanya Batuan Tengah (Middle Rocks) berdekatan Batu Puteh diisytiharkan milik Malaysia oleh ICJ.
Setelah berjaya kunjungi pulau kontroversi ini, barulah saya tahu betapa sibuknya perairan sekitar Batu Puteh dengan kapal kargo yang lalu-lalang. Bot nelayan Malaysia, Indonesia dan Singapura turut kelihatan menangkap ikan di perairan yang sama. Seakan masih kelam siapa pemilik sebenar perairan ini memandangkan tidak kelihatan pihak keselamatan marin yang benar-benar mengawasi kedaulatannya.
Bot memancing pun kami terserempak merayau di sini. Bot fiber 20 kaki pulak tu dengan lima pemancing berani cuba nasib.
Blue Anchor Sport Fishing
Kalau tidak gunakan bot sendiri, bagaimana nak sampai ke pulau ini? Mungkin ramai pemancing ingin tahu jawapan bagaimana caranya nak terokai pulau yang juga dikenali sebagai Pedra Branca ini.
Sebenarnya senang sahaja nak membongkar khazanah Batu Puteh. Anda hanya perlu menuju ke Kg. Teluk Kabong di Pasir Gudang, Johor dan di sana anda boleh menyewa bot pancing ke Batu Puteh. Perkhidmatan memancing ini dikendalikan khas oleh Blue Anchor Sport Fishing & Boating Team.
Blue Anchor Sport Fishing & Boating Team mempunyai dua buah bot, satu besar, satu lagi kecil. Saya naiki bot besar, yang merupakan perkhidmatan bot pancing ter-awal di kampung itu. Ia berukuran 32 kaki panjang, dan enjin berkuasa 225 hp, yang dilengkapi bilik tidur, tandas, ruang makan yang selesa dan ada birai pagar di bumbung untuk memastikan keselamatan pengilat. Memang rekaan bot sport fishing yang mantap!
Dengan kerjasama ET Wong, saya berpeluang berkenalan dengan salah seorang tauke Blue Anchor iaitu Ah Kun dan berjaya mengatur rancangan memancing di Batu Puteh sebanyak dua kali. ET Wong merupakan pemancing setia Batu Puteh dan selalu membawa kaki pancing ke sana.
Bot ini dikendalikan oleh Abg. Kopi yang berbadan tegap, dan amat berpengalaman di perairan kontroversi ini. Beliau bukan sahaja kapten bot yang mahir lubuk pancingan dasar, malah handal membawa pemancing ke lubuk jigging, mengilat dan popping.
Sarang Burung Laut
Masa perjalanan bot dari Teluk Kabong ke Batu Puteh dan Batuan Tengah lebih kurang 1 jam setengah. Dalam perjalanan, anda akan lewati Pulau Ubin dan Pulau Tekong di Singapura yang sesak dengan kapal kargo.
Setiap kali sampai ke Batu Puteh atau Batuan Tengah, pemandangan yang pasti anda teruja lihat ialah betapa banyaknya kumpulan burung camar laut! Saya tidak pernah lihat fenomena sebegini di perairan kita, seolah-olah berada di dunia lain.
Burung-burung ini berterbangan mencari dan menjunam untuk menyambar ikan kecil di permukaan laut. Untungnya, ia menjadi pedoman buat kita sasarkan pemangsa yang turut mengendap dari bawah seperti sagai, jemudok, tenggiri papan, tenggiri batang, gerepoh, talang, selar dan lain-lain.
ET Wong selalunya melontar jig ke kumpulan ikan kecil ini dan dibiarkan tenggelam ke dasar. Kemudian diunjunnya dengan laju untuk menjebak pemangsa di bawah. Tambah beliau, jig berwarna perak, pink, pelangi, kuning dan hijau adalah pilihan terbaik di sini dengan berat 15 – 60 g, bergantung halaju hanyutan bot, arus dan kedalaman air.
Mengilat Sagai Sado
Jika anda gunakan teknik slow jigging, cara ini amat berkesan memikat kerapu sonoh di sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah. Kerapu sonoh (coral trout) nyata bersifat tipikal. Jig perlu sampai ke dasar, barulah anda mampu menggodanya. Tetapi pada masa yang sama, risikonya tinggi kerana jig mudah tersangkut terumbu karang di dasar.
Selain slow jigging, anda juga boleh cuba mengilat dengan gewang jenis heavy sinking minnow atau kilat sesudu (spoon). Balingkan gewang di sekitar kumpulan ikan kecil itu, biar ia tenggelam sehingga 5 – 10 kaki, barulah karau.
Dengan cara ini, saya berjaya merekodkan dua ekor sagai bibir tebal bersaiz sado! Untuk merangsang spesies unik ini, saya membuat karauan yang agak laju berbanding biasa kerana menurut ET Wong, itulah cara terbaik untuk merangsang sang sagai bibir tebal membuka mulutnya.
Gewang heavy sinking minnow ternyata amat mencakup di tepian pulau berbatu ini. Kerapu, gerepoh (G.T), cupak dan todak macam ‘pak guard’ di kawasan itu. Namun hati-hati dengan paras air tepian pulau yang cetek dan batu karangnya yang merata.
Singgahsana Kerapu Sonoh
Saya cuba menganalisis teknik yang ideal untuk mempersembahkan gewang sinking minnow bagi menjebak kerapu sonoh atau kerapu pisang. Apa yang pasti, terlebih dahulu bot perlu berada hampir dengan tepian batu atau terumbu supaya gewang dapat sampai ke strike zone atau sarangnya.
Setelah lontar, biarkan gewang tenggelam. Berapa lama perlu tunggu, bergantung kepada firasat anda. Kalau kawasan itu agak dalam, agak-agak tempoh 4 hingga 10 saat memadai. Paling penting, yakin bahawa gewang anda telah sampai ke dasar barulah boleh mengaraunya.
Kita harus tahu sifat kerapu sonoh yang ‘tidak boleh hidup’ tanpa mendamparkan diri di terumbu dasar atau tepian struktur. Jika gewang anda berada di kawasan terbuka, jangan haraplah.
Sudah tentu strategi mengilatnya amat berisiko, jadi sediakanlah gewang secukupnya. Saya cadangkan anda mempunyai stok sekurang-kurangnya sepuluh ketul gewang sedemikian. Teknik casting ‘berani mati’ ini nyata berkesan apabila saya berjaya mencungkil dua ekor kerapu sonoh!
Kerapu sonoh sangat agresif. Sebaik membaham gewang, ia bermati-matian untuk masuk semula ke celah batu atau terumbu. Apa kita harus buat? Halang ia masuk dan pamlah joran anda semahu-mahunya jika tidak mahu berputih mata.
Namun lumrah kalau anda tidak sempat mengepam ia keluar. Saya sendiri kena buli dua kali. Tak boleh control! Berdasarkan kekuatan kudratnya itu, saya meneka ia spesimen lebih 3 kg.
Ada Ke G.T?
Ingat pulau berbatu, pasti ingat G.T. Adakah saltwater gangsta itu turut bermaharajalela di Batu Puteh dan Batuan Tengah? Pasti ada. Cuma saiznya bukanlah sampai mencecah gelaran G.T kerbau. Rekod popping di sini sekitar belasan kg, dan saiz 2 – 3 kg itu biasa.
Gewang sinking minnow juga laku buat G.T dan anda perlu karau lebih laju berbanding cara memikat sang kerapu sonoh. Apa pun jangan sampai terlalu laju sehingga gewang melayap di aras permukaan, kerana sang todak akan datang mengacau sehingga gewang calar-balar dan silap-silap lesap akibat terputus perambut disepitnya.
Siren Amaran
Pulau Batu Puteh dijaga rapi oleh pihak berkuasa Singapura dan kita tidak dibenarkan terlalu rapat atau mendarat di pulau ini. Pegawai yang menjaga Horsburgh Lighthouse akan membunyikan siren amaran kepada mana-mana bot yang cuba merapati pulau.
Jika bot berada kira-kira 100 meter dari Horsburgh Lighthouse, tiada masalah dan selalunya tidak akan dihalau. Sekelilingnya yang dihiasi terumbu karang masih boleh diduga dengan balingan jig atau gewang.
Batuan Tengah
Kita ada pilihan lain di sini kerana Batuan Tengah (Middle Rocks) milik tanahair tercinta membolehkan kita merapatinya. Batuan Tengah merupakan dua buah batu yang terpisah antara satu sama lain dan jaraknya hanya 1.1 km dari selatan Batu Puteh. Satu lagi ialah Batu Tubir Selatan (South Ledge) kira-kira 4.1 km dari tenggara Batu Puteh.
Di Batuan Tengah, suatu struktur bangunan rumah api sedang rancak dibina oleh Kerajaan Malaysia. Terdapat titi simen di tepi rumah api ini serta bekas-bekas tiang yang ditinggalkan dan membentuk huruf ‘L’. Perairan sekeliling Batuan Tengah juga cetek dan anda boleh lihat banyak batu besar berendam di dalam air. Di situlah lubuk kerapu sonoh. Stand by gewang sinking minnow anda!
Tidak jauh daripada Batuan Tengah, terdapat terumbu karang kecil yang menganjur dari Batuan Tengah itu sendiri. Alur di tengah terumbu itu dikatakan menjadi tumpuan ikan untuk berkumpul dan produktif sekiranya jigging secara berhanyut dilakukan.
Sepanjang dua trip ini, kami telah berhasil mendaratkan pelbagai spesies melalui casting dan jigging. Popping turut dicuba dan satu sambaran G.T besar sungguh mendebarkan kami semua, namun sayangnya gagal ditumbangkan akibat putus tali apabila ia menyusup ke celah batu.
Dua Warganegara
Anda akan rasa keunikan memancing di perairan ini kerana di suatu kawasan yang sama tersergamnya dua buah pulau batu yang berdekatan satu sama lain, tetapi di bawah jagaan dua negara berasingan. Penghuni akuatiknya pula macam-macam jenis dan bersaiz mengancam yang pastinya diidamkan oleh semua pemancing yang berpelurukan umpan tiruan.
Buat pertama kalinya dapat membongkar dan mendedahkan keluar-biasaan sebuah lubuk yang masih di halaman tanahair kita, saya mulai jatuh cinta dan rindu untuk kembali. Pada masa akan datang, saya akan cuba mencungkil keluar spesies hulkhogan hijau di dasarannya pula, ketarap!
* Jom beraksi di Batu Puteh! Anda boleh hubungi :
Ah Kun (017-769 2282) atau Abg. Kopi (017-708 9487).
Facebook : Blue Anchor Sportfishing & Boating Team
SEJARAH & KEMELUT BATU PUTEH
Pulau Batu Puteh merupakan sebuah batu tunggul berkeluasan sebuah padang bola sepak, terletak di Selat Singapura yang menghadap Laut China Selatan. Rumah Api Horsburgh di tunggul batu ini dibina oleh British pada 1851. Ia turut dinamakan sebagai ‘Pedra Branca’ (bermaksud ‘batu putih’ dalam bahasa Portugis) kerana terdapat sekelompok burung camar laut yang mendiami pulau ini pada masa lalu.
Sejarah
Rumah api mula dibina pada 1847 oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, British selepas mendapat kebenaran Sultan Johor pada 1844, kerana batuan ini mempunyai risiko bahaya kepada kapal. Misalnya antara 1824 dan 1851, terdapat sekurang-kurangnya 25 kemalangan kapal yang melibatkan pelanggaran batu ini. Antara 2000 dan 2004 terdapat dua laporan mengenai kemalangan kapal.
Pelayar Belanda Johann van Linschoten pernah merekodkan Batu Puteh sebagai “di mana kapal datang dan pergi ke dan dari China lalu dalam bahaya dan sebahagiannya meninggalkannya” (“where ships that come and go to and from China pass in great danger and some are left upon it”).
Tuntutan Bertindih
Pertikaian mengenai status kedaulatan Batu Puteh mula tercetus pada tahun 1979 ketika Malaysia menerbitkan peta rasmi yang baru, dengan memasukkan Batu Puteh di dalam perairan wilayahnya. Peta baru tidak bermaksud tuntutan baru, tetapi hanya petunjuk mengenai hak Malaysia di perairan laut wilayah dan pelantar benua Malaysia berdasarkan perjanjian-perjanjian sedia ada dan perundangan antarabangsa.
Jarak Batu Puteh adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura (Changi) iaitu terletak 46 km (25 batu nautikal) berbanding hanya 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor (Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang).
Berhampirannya terdapat Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge). Batuan Tengah merupakan dua batu tunggul yang terletak 0.6 batu nautika (1.1 km) di selatan Batu Puteh. Manakala Tubir Selatan, batu yang timbul semasa air surut sahaja, terletak 2.1 batu nautika (3.9 km) ke selatan Batu Puteh.
Berikutan kemelut itu, kes ini telah ditangani oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya mendapat kata putus. Pada 23 Mei 2008, ICJ membuat keputusan menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, tetapi Batuan Tengah kepada Malaysia. Manakala status Tubir Selatan pula akan ditentukan kemudian berdasarkan di perairan mana ia terletak.
Keputusan Menang-Menang
Sebelum ini nelayan Johor dihalang mendekati serta menangkap ikan di perairan tersebut. Singapura juga sejak 1986, mengawal ketiga-tiga fitur itu sebagai kawasan mereka dengan tidak membenarkan sesiapa masuk. Malaysia sama sekali tidak membantah atas semangat setiakawan ASEAN.
Dengan keputusan ini, para nelayan kembali bebas melakukan aktiviti perikanan di kawasan Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Boleh dikatakan keputusan ICJ memberi separuh kemenangan kepada Singapura dengan mendapat Batu Puteh, kemenangan Malaysia ke atas Batuan Tengah dan kemungkinan besar juga kedaulatan ke atas Tubir Selatan.
Tubir Selatan yang terletak dalam lingkungan 12 batu nautika Batuan Tengah milik Malaysia. Besar kemungkinan Tubir Selatan juga menjadi milik Malaysia kerana ini.
Dengan keputusan ini juga sebarang kemalangan, jenayah laut, aktiviti lanun dan sebagainya di Batu Puteh pula hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa Singapura. Ini termasuklah aktiviti pelayaran dan aliran kapal kargo dan kapal tangki dari Laut China Selatan ke Selat Melaka.
Keputusan itu dianggap situasi menang-menang dan seimbang. Bagaimanapun perundingan lanjut akan diteruskan kerana kedua-dua negara mempunyai hak dan kedaulatan untuk terus beroperasi di kedua-dua kawasan yang berdekatan.