Membongkar Rahsia Gewang Kelah
Empangan Chew Larn yang terletak di selatan Thailand merupakan padang pancing kegemaran saya sehingga telah mengunjunginya sebanyak 6 kali dalam masa 5 tahun. Sejak menyedari kewujudan spesies kelah di sana, saya dan rakan-rakan pun berusaha mencari gewang yang sesuai untuk menumbangkannya. Setelah membuat siasatan, didapati kelah Chew Larn amat jarang dipancing dengan menggunakan umpan replika ikan, apatah lagi berturut-turut menaikkannya dengan kaedah ini.
Teks & Fotografi: Dennis Lim
Pada Jun 2017, akhirnya gewang Senses Saviors 52SD berjaya membongkarkan kod pemilihan gewang kelah Chew Larn. Jack Wong selaku penyokong setia barangan Senses telah berjaya menarik kelah untuk membaham gewangnya dan berjaya menaikkan seekor kelah 6 paun dalam dua kali sentapan kencang. Manakala seorang lagi sahabat yang pancing bersama talinya ditarik kelah mega ke dalam bangkar sehingga mata terbuka. Sejak kejadian ini SENSES Saviors 52SD telah dikenal-pasti sebagai gewang killer kepada spesies kelah di sini!
Pada 13hb Jun 2018, Jack Wong sekali lagi membuktikan keberkesanan Saviors 52SD dan berjaya menaikkan seekor kelah Chew Larn seberat 8 paun. Sekor lagi pula berjaya melarikan diri dengan membinasakan gelendung cincin, mata tiga dan snap gewang. Kejadian ini telah menghebohkan lagi keajaiban Saviors 52SD.
Setelah memastikan keberkesanan 52SD, saya pun menggunakan Kaido Shad 65HS yang mempunyai aksi yang menyerupai 52SD dan mempraktikkan kaedah persembahan yang sama untuk menjerat kelah di Empangan Chew Larn. Setelah berjam-jam melontar gewang ke spot-spot yang berpotensi, akhirnya berjaya menumbangkan seekor kelah seberat 12.5 paun setelah ditimbang dengan Boga Grip.
Spesimen yang anggun ini telah dilepaskan dengan sihatnya selepas sesi fotografi dan rakaman video. Namun pada hari seterusnya hujan telah turun dengan lebatnya sehingga menjejaskan pancingan. Sudah pasti pada tahun akan datang saya akan bertandang lagi ke Chew Larn untuk mencatat sejarah lagi!