Memujuk Haruan Air Sejuk
Jolokan “Haruan Air Sejuk” dikenakan kepada haruan yang menghuni Taman Negeri Royal Belum lantaran ianya hidup di perairan tasik yang bersambungan dengan sungai pergunungan. Suhu air di sini pasti lebih sejuk berbanding habitat haruan yang biasa. Saya telah jatuh cinta dengan port haruan teristimewa ini sejak berjaya menaikkan “Haruan Air Sejuk” pertama saya di sini. Haruan yang berkudrat luar biasa bukan dorongan utamanya. Apa yang lebih memikat jiwa saya ialah dapat bersantai selama beberapa hari di mahligai indah damai ini bersama orang-orang asli di sana.
Teks: PAK WONG Fotografi: PAK WONG, Dr TAN SK
Atas seruan alam semulajadi, saya telah bertandang ke Empangan Temenggor sebanyak tiga kali dalam masa satu bulan sahaja. Destinasi trip pertama ialah Taman Negeri Royal Belum di mana saya telah berpeluang mengalami pancingan haruan sungai pergunungan yang luar biasa dan menghayati ketenteraman dan keriangan kehidupan orang asli Jahai di sana.
Tidak lama kemudian Dr Tan telah mengaturkan sebuah lagi trip ke sebelah selatan Temenggor. Tujuan trip ini adalah untuk menyelidik pancingan toman dan ikan-ikan lain di sana. Saya kurang berminat dengan trip ini jika semata-mata untuk mencari toman dan sebarau. Namun Dr Tan telah memberitahu bahawa di sebelah selatan juga terdapat port haruan. Cuma perbezaannya ialah tiada sebarang kawalan terhadap aktiviti menangkap ikan di sana. Teknik casting mungkin akan menghadapi kesukaran akibat tekanan penangkapan yang tinggi.
Bagi saya itu tidak menjadi masalah. Saya akan tetap rajin melempar gewang biarpun tidak mendapat sebarang sambaran. Itulah semangat memancing saya, hahaha! Setakat dapat bersantai selama beberapa hari di tasik yang indah damai ini sudah dikira untung. Ikan hanyalah bonus untuk memeriahkan trip.
HARUAN YANG BERSIKAP SEBARAU
Perairan di mana Sungai Singor bertemu dengan tasik merupakan salah satu lubuk terkemuka di sebelah selatan Temenggor. Kawasan ini terletak di sebuah lembah dengan kawasan berair cetek di sebelah kuala sungai yang boleh dianggap port haruan yang berpontensi. Masalahnya kawasan ini amat luas sekali dan bot kami pula tidak dilengkapi sonar, agak sukar untuk memastikan tempat yang sesuai untuk melempar gewang.
Air sungai kelihatan sedikit kotor akibat hujan lebat kelmarin. Kemar selaku pemandu pancing kami mencadangkan untuk mencari sebarau dengan pensil. Sedang kami rajin membaling pensil tanpa mendapat sebarang sambaran, tiba-tiba ternampak ada ikan pemangsa sedang membaham anak ikan di sebelah kiri kuala sungai. Anggaran kami itu pasti sebarau punya kerja. Kemar segera memandu bot dengan thruster ke arah boiling dan Ken Choi dengan cepatnya telah melempar pensilnya. Baru dua kali lemparan pensilnya terus dilarikan ikan dan hilang dari permukaan air!
Apabila ikan menampil dari air tasik yang kelihatan sedikit berwarna coklat, kami masing-masing terkejut kerana ia sebenarnya seekor haruan berdaiz 2 kg. Kami merasa syukur kerana kenaikan haruan ini telah membongkarkan kawasan haruan Singor bermaharaja lela. Kami juga kagum dengan haruan di sini yang berani membaham anak ikan di perairan terbuka. Mungkin toman tidak banyak terdapat di sini ataupun haruan besar memang tidak takut dengan toman?
BAGAIMANA MENGENALPASTI PORT HARUAN
Justeru kami pun terus mengebom kawasan itu dengan pensil. Namun tiada sebarang sambaran berlaku setelah 40 minit berlalu. Tiba-tiba saya terjumpa sebuah kawasan yang kelihatan berpotensi di sebelah kiri cabang Sungai Singor. Di sinilah tempat air berputar apabila air sungai mengalir ke dalam tasik. Sumber makanan yang dihanyut air sungai dari hulu akan singgah di kawasan ini. Terdapat banyak buih timbul dari dasar perairan ini. Keadaannya bersamaan dengan port haruan Sungai Kejar trip lalu.
Pada hakikatnya buih yang timbul ke permukaan air tanpa henti menandakan di dasar perairan itu terdapat banyak lumpur dan sampah-sampah khasnya daun kering yang dihanyut arus sungai dari sebelah hulu. Saya mempercayai bahawa ikan haruan yang hidup di kawasan terbuka ini bersembunyi di dasar yang terdapat daun kering. Mereka akan menyorokkan badan mereka di dalam sampah-sampah dan hanya menonjolkan dua biji mata sahaja bagi menyerang hendap anak-anak ikan yang melalui kawasan itu.
Anggaran saya terbukti benar setelah cuba memainkan gewang di kawasan berbuih dengan daun-daun kering yang tersangkut di mata. Kedalamannya sekitar 2 meter sesuai dengan kegemaran haruan. Kami pun terus parkir bot di sana dan memulakan pancingan.
Sehingga tengahari saya hanya berjaya menaikkan seekor spesimen sekitar 2 kg. Manakala gewang Ken Choi pula digasak seekor baung. Keputusan yang mengghairahkan kerana baung biasanya hanya dapat dipancing menjelang waktu malam sahaja. Yang ini dijerat dengan gewang pula!
Biarpun keputusan kurang memuaskan, namun mengikut pengalaman Dr Tan keputusan ini sudah dikira bagus lantaran Sungai Singor sememangnya sebuah padang pancing bertekanan tinggi. Kawasan ini bukan sahaja mudah diakses pemancing, pukat pun banyak kelihatan. Terdapat juga orang asli yang datang menjala ikan sewaktu kami casting haruan. Pada hakikatnya banyak haruan telah naik ke permukaan untuk bertukar nafas ketika pancingan dijalankan. Juga berlaku beberapa kes missed. Pada pendapat saya lokasi ini memang banyak haruan. Cuma haruannya sengaja mengabaikan gewang kami.
TRIP MERUAN BERTERUSAN
Selang satu minggu kemudian saya dan Dr Tan sekali lagi berkomplot ke Temenggor. Kali ini kami telah menjadikan Sungai Kejar sebagai port utama. Sungai Tiang yang terkenal dengan geng haruan yang amat sukar dijerat tidak kira dengan gewang mahupun katak hidup juga dimasukkan ke dalam senarai sasaran kami.
Paras air port haruan di Sungai Kejar kelihatan sedikit tinggi daripada trip lalu. Hari pertama kami memulakan aktiviti casting pada pukul 3 petang di teluk yang berhadapan dengan kampung orang asli. Cuaca kelihatan mendung dan hanya Kemar sahaja yang berjaya menaikkan seekor haruan melalui Crankbait kegemarannya.
Kami bertukar ke port tepi sungai pula namun langsung tiada sambutan setelah sekian lama mencuba dengan SP dan Crank. Tiba-tiba saya teringin pula untuk mencuba pensil yang belum pernah dicuba di sini. Anggaran saya haruan mungkin mencari makanan di perairan tebing yang cetek pada waktu senja begini. Secara tidak disangka-sangka pensil telah berjaya memecah kod haruan dan berjaya menaikkan dua ekor haruan bersaiz kecil dan besar!
Keputusan di luar dugaan ini mengingatkan kita bahawa apabila gewang biasa gagal memperolehi sambaran, kita harus rajin mencuba gewang yang berlainan pula. Crankbait didapati kurang berkesan kerana terdapat banyak daun kering terpendam di dasar kawasan ini dan airnya pula agak cetek. Dr Tan yang berani bertukar kepada SP terutamanya Grub telah berjaya menumbangkan banyak haruan mega di sini pada trip beliau yang lalu.
Gewang permukaan sememangnya sangat sesuai dipersembahkan di port seperti ini khasnya menjelang awal pagi atau lewat petang. Inilah julung-julung kalinya haruan di sini berjaya dijinakkan dengan pensil. Sentiasa ingat bahawa nasib kita boleh berubah jika kita berani melakukan perubahan.
Pada petang itu Dr Tan telah menerima sambaran yang mendebarkan dengan SP berbentuk Shad di sini. Kelihatan buih yang amat banyak timbul ke permukaan termasuk sebiji buih yang bersaiz sepak takraw! Sayangnya monster tersebut telah memuntahkan SP sebelum beliau sempat membalas. Memandangkan kedudukan Sungai Kejar yang jauh di utara tasik sehingga kurang pemancing atau boatman yang sudi bertandang ke sini, ditambah pula kawasannya yang luas terbentang, tidak hairanlah jika tersembunyi bapak haruan bersaiz monster!
KEGAGALAN SP
Kami bermalam di campsite Taman Negeri pada malam itu. Mengikut rancangan asal, kami akan pulang ke Pulau Banding dan bertandang ke Sungai Tiang pada pagi keesokan hari. Namun Dr Tan telah bertukar fikiran dan memutuskan untuk meneruskan pancingan di tempat yang sama. Pilihan Dr Tan memang benar kerana kami telah memperolehi keputusan yang memberangsangkan di port teluk pada keesokan hari.
Dr Tan telah menyediakan berbagai jenis gewang SP untuk trip ini. Beliau tetap menumpukan perhatian ke atas eksperimentasi SP walaupun saya dengan Kemar berturut-turut menerima sambaran dengan Crankbait. Namun pada akhirnya terbukti bahawa haruan di teluk ini langsung tidak menaruh minat terhadap SP yang kelihatan seperti umpan hidup. Hanya haruan di tepi sungai di sebelah hulu sahaja yang membaham SP. Satu-satunya fenomena luarbiasa yang sukar diberi penjelasan!
KEHEBATAN JANGGUT
Pada sebelah petang apabila memancing di port tepi sungai, saya telah memperolehi keputusan di luar dugaan dengan gewang yang berlainan pula. Memandangkan SP dan pensil masing-masing gagal mencetus naluri pemangsa haruan, tiba-tiba saya teringat gewang Spinner Bait jenama Cultiva yang telah saya sediakan untuk trip ini. Janggut yang saya simpan agak lama ini beratnya 14 gram dan mempunyai mata yang tajam lagi kuat, memang sesuai sangat untuk menduga haruan power Sungai Kejar.
Saya telah memainkan gewang lagenda ini secara mengheretnya di sepanjang dasar. Isyarat ikan pertama telah diperolehi tidak berapa lama kemudian namun tidak terkena pancing. “Janggut” pula hilang beberapa helai akibat gigitan haruan, menunjukkan bahawa haruan yang pintar telah menaruh minat terhadap gewang ini.
Keistimewaan janggut ialah kipasnya tetap akan berputar biarpun dikarau dengan amat perlahan. Pantulan cahaya dan getaran yang dihasilkan oleh dua bilah kipasnya menghasilkan tarikan berganda terhadap ikan pemangsa terutamanya spesies Snakehead dan akhirnya berjaya menaikkan seekor haruan sombong berskala 2 kg!
Haruan ini telah memuntahkan seekor terbol berukuran 5 inci sebaik sahaja didaratkan ke atas bot, menunjukkan haruan di Sungai Kejar memang tidak kekurangan makanan. Patutlah mereka amat sukar dijerat. Mungkin Spinner Bait yang mampu menghasilkan kombinasi aksi teristimewa dan penampilan yang berlainan sahaja dapat mencetuskan naluri pemangsanya.
Apabila saya sangkakan Janggut mungkin gewang killer haruan dan mencubanya di port sebelah hilir pula, didapati haruan di situ langsung tidak mempedulikannya. Mereka tetap menyukai Crankbait sahaja. Kedua-dua port ini walaupun berdekatan namun reaksi haruan terhadap gewang yang sama sangat berlainan! Memang tak masuk otak perangai haruan Sungai Kejar!
HARUAN DEGIL SUNGAI TIANG
Hujan lebat telah turun semalaman dari tengah malam hingga awal pagi. Seperti yang disangkakan, Sungai Tiang telah mengalami air besar sehingga mengotorkan air tasik berdekatan kuala sungai. Nasib baik kualiti air sebuah teluk yang dilindungi sebuah pulau kecil masih kelihatan cantik. Namun seperti yang diberitahu Dr Tan awal-awal lagi, biarpun populasi haruan Sungai Tiang amat banyak sekali, pada kebanyakan masanya mereka tetap menolak segala jenis gewang yang dihulurkan. Percaya atau tidak!
Memang benar ulasan Dr Tan. Biarpun asyik nampak haruan besar timbul, mereka tetap tidak buka mulut tidak kira gewang jenis apa yang digunakan. Hanya Janggut sahaja berjaya memperolehi satu sambaran. Namun jelas bahawa sambaran tersebut bukannya serius. Berpandukan riak air semasa ikan itu timbul ke permukaan, sudah pasti ianya seekor haruan mega. Karauan Janggut pula amat perlahan, mustahil tidak kena pancing jika ianya betul-betul ingin membahamnya.
MISTERI HARUAN KEJAR
Sejak kehadiran haruan di sana, Dr Tan yang telah memancing di Temenggor secara aktif selama lebih 10 tahun telah bertandang ke sana dengan kerapnya. Menurut pengalaman beliau, kehadiran haruan bukannya perkara yang sentiasa berlaku. Sudah hampir 4 tahun paras air Temenggor belum turun ke tahap seperti sekarang. Jika selepas ini hujan turun berturut-turut selama beberapa hari, air besar dari sungai-sungai akan mencurah ke dalam tasik menyebabkan paras air naik dengan ketara. Maka jejak haruan akan menjadi amat sukar untuk dikesan.
Menurut Dr Tan, biarpun paras air turun dengan ketara, haruan pun belum tentu akan hadir. Beberapa tahun dahulu apabila paras air tasik turun sehingga hampir ke tahap minimum, tiada seekor haruan pun hadir di port-port yang kami memancing itu. Pendek kata, bilakah populasi haruan akan muncul secara beramai-ramai di perairan lapang hanyalah Tuhan yang tahu. Justeru apabila peluang keemasan itu muncul, beliau akan bertandang ke Temenggor dengan kerapnya kerana haruan-haruan misteri mungkin akan lesap pada bila-bila masa sahaja!
Berminat mencabar haruan Belum? Hubungi Mad Saad di talian 011-2954 6184 untuk keterangan lanjut.