Menawan Beting Patinggi Ali
Kita biasa dengar pemancing menerokai Luconia dengan bot besar dan mewah, tetapi pernahkah anda dengar bot fiber 33 kaki merentas lebih 100 km ke terumbu terpencil di Sarawak ini? Ikuti pengalaman getir penulis bersama tekong hardcore Miri, pak Sudirman Okasa menawan Beting Patinggi Ali di Luconia sehingga dihambat kapal peronda China yang menceroboh perairan kedaulatan negara…
Teks : SHAM MAT AYAM KAMPUNG
Fotografi : SHAM & PAK SUDIR
Sebut nama Luconia, rata-rata pemancing laut kita tahu ia perairan berterumbu terpencil di Sarawak yang menjadi impian untuk diduga kerana dihuni gamefish bertaraf mega. Namun bukan sekadar pemancing malah nelayan tempatan pun sebenarnya tidak ramai yang mampu atau berani ke Luconia kerana jaraknya amat jauh dari daratan.
Bayangkan pantai yang terdekat iaitu Miri ialah kira-kira 150 km, dan Luconia sebenarnya kawasan terumbu cetek yang amat luas di tengah Laut China Selatan yang terbahagi kepada dua iaitu Luconia Utara dan Luconia Selatan. Terdapat berbelas beting cetek yang berselerakan di tengah lautan luas itu tanpa sebarang pulau, kecuali Beting Patinggi Ali yang timbul botak seluas setengah padang bola.
Jika anda teringin ke sana, kos yang perlu dikeluarkan amat tinggi kerana perlu menyewa sebuah bot memancing yang besar dan selesa. Dan anda juga terpaksa mencari rakan-rakan untuk mencukupkan korum.
Sejak dua tahun kebelakangan ini pula, Luconia menjadi kawasan yang ‘panas’ dan kecoh ekoran digemparkan dengan kewujudan kapal pengawal pantai negara China di sekitar Beting Patinggi Ali yang niatnya cuba menuntut perairan ini serta menjaga puluhan bot nelayan negaranya yang menceroboh perairan kita untuk menangkap ikan. Saya akan ceritakan konflik ini kemudian.
Jiwa Kental
Bagi penggila laut dalam seperti saya, apakah cara untuk impian ke Luconia dapat dicapai? Tak sangka semua itu berubah realiti apabila saya berkenalan dengan Pak Sudir, tekong jigging yang terkenal di Miri.
Beliau yang sering membawa jigger di sekitar pelantar minyak Miri sudah biasa membelah lautan ke Luconia hanya dengan bot kecil sepanjang 33 kakinya semenjak 2010 lagi. Isunya, sama ada anda berhati kering atau tidak untuk menyertai beliau!
Cerita beliau tentang keunikan Luconia serta kemewahan ikannya ketika saya mula gunakan khidmatnya untuk jigging di pelantar Helang tahun lepas benar-benar meracuni fikiran. Siang malam dok memikir, apatah lagi Pak Sudir beritahu trip ke Luconia pada Mac tahun ini mungkin yang terakhir kerana beliau akan berpindah ke kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah sekitar Mei dan menamatkan kariernya sebagai tekong di Miri. Rugi jika peluang ini disia-siakan, saya buat keputusan untuk katakan “Jadik!”.
Pak Sudir menentukan tarikh yang sesuai berdasarkan tiupan angin monsun sepanjang awal tahun mula berhenti sekitar Mac. Sebaik mendapat greenlight, saya terus membeli tiket kapal terbang dan seorang diri terbang ke Miri dengan segala kelengkapan ‘perang’. Pak Sudir sudah sedia menunggu dan mengambil saya untuk bermalam di rumahnya.
Keesokan paginya kami bersiap untuk memulakan ekspedisi paling mencabar dalam hidup saya. Perasaan gemuruh, namun saya berserah ke hadrat Illahi dan berdoa agar perjalanan ini selamat daripada sebarang malapetaka. Pak Sudir juga telah memastikan dua buah enjin 40 kuasa kudanya berkeadaan tip-top.
Laut Macam Carpet
Memandangkan Luconia beratus kilometer jauhnya dan kami akan berada di sana selama tiga malam, Pak Sudir telah menyediakan sebanyak 26 tong minyak yang setiap satunya berisi petrol 30 liter. Ini bekalan yang paling penting kerana kami akan menempuh laut hampir 100 batu nautika dari Kuala Miri untuk sampai ke destinasi utama iaitu Beting Patinggi Ali.
Kami bertiga iaitu saya, Pak Sudir selaku tekong dan pembantunya Ujang memulakan ekspedisi sekitar jam 9.30 pagi. Melepasi Kuala Miri, hati tersangat lega dan bersyukur kerana laut tenang macam karpet. Dan keadaan lenang seperti cermin ini berterusan sehingga ke Beting Patinggi Ali kira-kira 5 jam 30 minit kemudian! Alhamdulillah…
Menurut Pak Sudir, inilah trip paling cepat sampai yang pernah beliau alami. Sebelum ini, keadaan laut berombak mengakibatkan tempoh perjalanan akan berganda sehingga 10 jam! Perairan Luconia langsung tidak boleh ditempuh bermula Ogos sehingga awal Mac akibat tiupan angin monsun yang kencang dan berbahaya kepada bot-bot kecil sepertinya.
Dalam perjalanan tadi, kami merentasi pelantar minyak terakhir bernama NC3 (UMW). Pelantar ini dikatakan banyak aya budak (dog-tooth tuna) dan amberjack gergasi, tetapi terdapat bot pengawal yang melarang kemasukan bot luar.
Kira-kira 40 minit dari UMW, nampak perbezaan warna air laut yang biru gelap berbalam menjadi tompokan kehijauan menandakan terdapat kawasan beting cetek. Ini menandakan kami telah memasuki perairan Luconia. Tak lama kemudian ternampaklah sebuah daratan yang tersembul di permukaan air, dan itulah dia Beting Patinggi Ali!
Beting Patinggi Ali terletak di kawasan Luconia Selatan dan itulah satu-satunya ‘daratan’ yang menjadi R&R untuk kami bermalam dan berteduh.
Azan & Solat Syukur
Teruja sebaik bot kecil kami mula merapati dan akhirnya kaki dapat memijak Beting Patinggi Ali yang menjadi kontroversi. Sekelilingnya hanya lautan kosong yang jernih dan dipenuhi dengan terumbu karang yang cantik. Pulau ini sebenarnya terbina akibat timbunan batu dan pasir serta karang yang mati. Menurut Pak Sudir, pulau ini dahulunya kecil sahaja, tetapi ia kelihatan semakin membesar akibat fenomena alam.
Sebaik mendarat, saya melaungkan azan untuk solat zohor dan solat sunat, bersyukur kerana selamat sampai ke dunia yang sangat asing. Kami melepaskan lelah seketika dan mula memasang peralatan memancing untuk sedia bergasak selepas asar nanti.
Yang menariknya di atas pulau beting ini terdapat beberapa pokok kelapa. pokok kelapa yang paling besar dan hidup dengan subur ialah pokok yang ditanam sendiri oleh Pak Sudir pada 2010. Selain itu terdapat lebih kurang 15 lagi pokok kelapa yang ditanam oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Dan ada sebahagian pokok yang tidak dapat survive.
G.T Besar Pintu!
Kami mulakan pancingan selepas solat asar dengan meneroka kawasan berdekatan. Terlebih dahulu saya dah gatal tangan untuk popping land-based dari atas beting.
Dua kali balingan sahaja, popper River 2Sea dumbell saya meletup dibantai G.T. Banyak kali popper dibantai dan puas main dengan G.T yang rata-ratanya saiz 4 – 6 kg. Semuanya dilepaskan semula.
Selepas itu Pak Sudir memandu bot keluar ke sekeliling beting dan terumbu berdekatan. Peluang mendekati beting ini dengan bot kecil tidak dilepaskan untuk popping di ruang antara karang dan alun ombak sampai lebam. Ada beberapa popper yang lesap dibawa lari sehingga putus tali akibat bergesel karang.
Di salah satu kawasan beting, saya ternampak dua tiga ekor lembaga hitam sebesar meja mengekori perlahan popper saya tetapi tidak pula mahu membahamnya. Apabila hampir dengan bot barulah saya sedar dan terperanjat kerana ia adalah G.T yang saiznya selebar pintu! Saya jangka saiznya boleh mencecah 50 kg!
Cuak, kalut dan gabra, cepat-cepat saya karau popper sebab takut dibaham G.T raksasa itu. Saya tak berani kerana set popping saya ini pasti bukanlah lawannya.
Menjelang malam, kami memancing dasar di sekitar Beting Patinggi Ali. Pelbagai spesies ikan karang dinaikkan, antaranya ikan red bass dan landok yang montel-montel. Kegelapan malam di beting ini diterangi cahaya lampu bot kami sahaja. Selain itu, kami boleh nampak pancaran api dari pelantar F-14 di sebelah barat.
Esok paginya kami beredar dari Beting Patinggi Ali untuk mencari kawasan terumbu yang lebih jauh dalam radius 30 batu nautika. Luconia sememangnya luas dan di kawasan ini terdapat banyak beting dan terumbu antaranya Beting Merpati, Beting Rentap dan Beting Raja Jarum. Tetapi kesemuanya ditenggelami air.
Walaupun Pak Sudir seorang tekong yang handal, cuma satu kelemahan ialah botnya tidak dilengkapi sonar. Jadi kami hanya mengagak kawasan pinggir-pinggir terumbu yang menjunam dalam untuk melabuhkan jig.
Pasar Ikan
Satu sahaja ayat untuk menggambarkan keterujaan jigging di sini iaitu “taruk makan, taruk makan”! Memanjang triple strike daripada pelbagai spesies terutama ikan kerapu sonoh atau kerapu pisang dan kerapu bara. Macam ada pasar ikan di bawah sana. Sampai tak larat tangan melayan!
Saya alami satu henjutan ganas yang kami yakin aya budak (dog-tooth tuna) mega di cenuram lebih 100 meter dalam. Ia menggonggong gewang saya dari set kekili Saltiga 4000 dan memecut bagai diheret LRT! Tali keluar mencucur tanpa henti seakan tiada drag! Langsung tak boleh control dan akhirnya putus.
Kami dapati ikan-ikan di sini lebih gemar mengejar dan membaham gaya jigging laju, berbanding jigging perlahan (slow-pitch). Jig berat saiz 150 – 250 kurang laku, tetapi yang paling mencakup ialah jig warna krom keperakan saiz antara 40 – 100 g, asalkan diunjun agak laju.
Dihambat Kapal Peronda China
Peristiwa cemas sepanjang ekspedisi ini apabila apa yang digembar-gemburkan dalam berita ternyata benar. Sejak kebelakangan ini, negara dihebohkan dengan laporan kegiatan pencerobohan kapal peronda dari negara China di Beting Patinggi Ali, dan kami saksikannya dengan mata kepala sendiri, malah siap kena hambat lagi!
Pada hari ketiga kami terserempak dengan kapal peronda China itu dan yang paling bengang, mereka telah membunyikan hon dan bergerak laju ke arah kami sebagai petanda menyuruh kami keluar dari Beting Petinggi Ali. Sakitnya hati!
Kapal peronda China berwarna putih itu sangat besar dan panjangnya kira-kira 80 meter. Punyalah jauh mereka sampai ke mari yang diikutkan jaraknya dari tanah besar China tentu berpuluh ribu kilometer.
Kapal peronda APMM kita kebetulan kelihatan berada berhampiran, lalu Pak Sudir memandu bot merapati sebelah kapal APMM untuk tumpang berlindung, kemudian kapal peronda China itu pun beredar. Fuhhh… memang kerek betul mereka ni, sedangkan Luconia sah perairan kedaulatan negara kita. Patutlah nelayan kita pun makin tak berani masuk Luconia.
G.T Gigit Propeller?
Satu lagi pengalaman luar biasa berlaku ketika kami sedang menghanyut jigging di tepian terumbu yang lebih kurang 10 meter dalam. Tiba-tiba terasa gegaran dan terdengar bunyi sesuatu mematuk di belakang bot.
Apabila dijenguk, rupa-rupanya kelihatan G.T mega cuba mengekah kekipas bot yang berpusing perlahan dihanyut arus! Mak aihhh… Gila betul G.T di sini. Nasib baik jig kami tak diligannya. Agaknya dia pun tak hairan jig itu, bikin tahi giginya sahaja.
Walau apa pun, trofi yang paling saya banggakan dalam ekspedisi ini ialah berjaya menumbangkan G.T mega seberat 32 kg dengan popper River2Sea dumbell 130. Nikmat melihat ia meluru dan meletupkan popper, memberi tentangan paling sengit dalam hidup saya yang selama ini amat mengimpikan pancingan big game yang sebenar.
Kesimpulan saya bagi mengakhiri kisah pengalaman yang cuba dipendekkan di sini ialah Luconia ternyata syurga memancing terbaik. Cuma yang menjadi tanda soal, adakah kita mampu ke Luconia lagi apabila tekong kental dah balik kampung dan yang lebih parah, apabila sang naga semakin berkuasa di sana…
BETING REBUTAN?
Beting Luconia (Luconia Shoals) adalah salah satu terumbu kompleks yang terbesar seperti kepulauan Spratly yang bertaburan meluas di luar perairan barat laut Sarawak-Brunei-Sabah. Walaupun ia jelas berada dalam peta zon ekonomi eksklusif Malaysia, namun kebelakangan ini negara super power China telah mempamerkan belangnya dengan berani menceroboh sehingga Beting Patinggi Ali. Mereka bukan sekadar datang menangkap ikan, tetapi menunjukkan niat untuk menuntut kawasan lebih luas di Laut China Selatan.
Kami sendiri nampak kapal peronda mereka, malah cuba menghalau kami. Mujurlah ada kapal pihak keselamatan kita yang sentiasa mengawasi kawasan ‘panas’ itu, dan dapatlah kami terus memancing dengan tenang.
Kita faham bukan Malaysia sahaja menghadapi kemelut rebutan perairan ini. Jadi kita sama-sama berharap agar jalan penyelesaiannya tercapai secara diplomasi agar situasi tidak melarat sehingga menimbulkan konfrontasi.