Mencipta Reba Harapan
Reba adalah struktur yang sangat signifikan dalam pemburuan pemangsa muara. Apabila jumlahnya semakin berkurangan akibat faktor alam semulajadi, kadar strike ikan terhadap gewang juga ikut merosot. Jadi apakah formulanya untuk mengatasi masalah ini? Jom kita pakat-pakat bina cipta reba baharu…
Teks & Fotografi : ANIS FIRDAUS
Ramai pengilat di muara pasti masing-masing mempunyai struktur-struktur pilihan yang berpotensi mendatangkan hasil setiap kali turun ke sungai. Tidak hanya menduga struktur atau reba lama, reba-reba baru juga perlu diduga untuk mengorek keluar penghuni-penghuni di situ.
Faktor-faktor aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan yang merentang pukat kering dan pompang membuatkan sesetengah spesies menjadi semakin berkurangan dan semakin peka terhadap persekitaran sungai, terutama siakap dan siakap merah. Akibatnya, misi menjejaki mereka dengan gewang menjadi sangat mencabar.
Saban hari pula jumlah pengilat di muara meningkat. Itulah juga yang berlaku di Sg. Merbok, Kedah, gelanggang mengilat favourite saya. Ini menyebabkan kami para pengilat terpaksa membuat spot atau reba buatan agar lebih mudah menduga pemangsa muara.
Reba buatan ini dibuat dengan pelbagai cara. Pada asasnya ia diperbuat daripada pokok bakau yang ditebang turun ke sungai dan diikat batangnya untuk mengelakkan reba ini hanyut. Kemudian dipacakkan kayu di tengah-tengah ranting bakau tadi untuk kestabilan reba.
Reba Lama, Reba Baru
Niat di hati ingin mengesan reba-reba lama yang pernah dibuat dahulu dipersetujui bersama pakatan-pakatan pemancing muara sungai ini. Maka kami perlu mengingati semula anak sungai mana dan di sudut mana reba yang kami buat, dan disembunyikan daripada pengetahuan pemancing lain.
Kami menaruh harapan tinggi agar ia masih berkeadaan baik dan ada penghuni yang sudi singgah atau menetap di situ. Tetapi kadangkala memeningkan kepala apabila tanda-tanda reba yang dibuat lama dahulu gagal dikesan lagi. Jika dapat ditemui pun, ada juga reba-reba lama yang berubah akibat ditolak arus air surut yang deras, berbanding arus air pasang.
Selain reba lama diduga, kami juga mencuba reba-reba semulajadi yang dijumpai di sepanjang pencarian yang dilakukan. Reba semulajadi terbina dengan sendiri akibat runtuhan pokok bakau di tebing. Hampir semua reba kami uji lazimnya membuahkan hasil.
Reba Harapan
Jika bernasib baik, setibanya di spot pilihan, gewang dihantar tepat ke sasaran akan diragut pemangsa. Apabila diamati secara kasar, tiada apa-apa yang istimewa tentang reba ini. Namun reba ini pernah mempunyai rekod hasil tuaian yang baik.
Oleh kerana kedudukannya jauh dan terpencil, maka ia seakan dilupakan dan terlepas pandang. Jadi, usaha selenggara dan baik pulih reba berkenaan perlu dilakukan daripada semasa ke semasa jika kami ingin terus enjoy menggempurnya.
Gewang Yang Sesuai
Gewang terbaik menduga kawasan reba di sini ialah gewang yang mempunyai bentuk panjang antara 90 mm – 140 mm. Ini kerana menu diet penghuni di sini ialah ikan jenjulung. Jadi, pemilihan gewang yang sesuai amatlah mempengaruhi tarikan pemangsa-pemangsa di sini.
Selalunya, kami banyak gunakan gewang daripada Rapala dan mata kailnya ditukar kepada VMC 3X agar lebih tahan lasak daripada sebarang sergapan dan asakan pemangsa muara yang tidak dapat dijangka saiznya.
Siakap misalnya mampu mencecah saiz belasan kilo dan handal melompat untuk membuang mata kail yang terlekat pada mulutnya. Manakala siakap merah terkenal dengan perangai jahatnya yang menyerang hendap dan melarikan gewang masuk ke sarangnya semula.
Antara gewang yang menjadi pilihan kami dan pemangsa muara di sini ialah seperti Rapala Shadow Rap, XXX Rap, Flat Rap, X-Rap dan Tail Dancer Deep.
Tidak dapat dinafikan, jika bersesuaian gewang dan warna air, pengilat tidak akan pulang dengan tangan kosong. Hasil dituai amatlah berbaloi ke atas gewang-gewang yang dibeli.
Teknik Mengilat
Berdasarkan pengalaman saya, ada beberapa teknik yang sesuai untuk pancingan muara di Merbok ini. Ia bergantung kepada penggunaan gewang, sama ada gewang jenis selaman dalam ataupun cetek.
Jika gewang selaman dalam, gewang haruslah dilemparkan rapat kepada reba, kemudian jerk (sentak joran) beberapa kali untuk memastikan gewang berjaya selam ke jarak selaman semaksimum yang mungkin, kemudian dikarau dengan perlahan.
Manakala untuk gewang selaman cetek, gewang harus dihantar rapat ke reba dan dikarau perlahan. Kemudian jerk, berhenti dan karau semula, diulangi jerk sehingga penghuni reba keluar membaham gewang yang dimainkan.
Rumusan
Pernah beberapa tahun dulu, reba dan Sg. Merbok ini mengalami masalah ‘ketiadaan’ ikan akibat tsunami yang melanda yang sedikit-sebanyak terkena di kawasan utara dan mengubah kebanyakan reba yang kebiasaannya diduga.
Kini Sg. Merbok boleh dikatakan gelanggang mengilat muara terbaik di Kedah. Namun bagi pengilat yang mahu terus ceria beraksi di kawasan muara, dinasihatkan agar rajin-rajinlah mencipta lebih banyak reba untuk meraih strike demi strike yang memuaskan.