Mencubit Telinga Gajah

Telinga gajah yang kelihatan lemah-lembut akan memberikan tentangan padu apabila terkena pancing. Justeru pemilihan perkakasan untuk menduga spesies ini harus dipandang serius.
Setiap kali apabila memancing tenggiri di unjam atau tuas, pemancing akan sentiasa menjumpai sejenis ikan berwarna coklat tua dan kuning mendampingi bot, kelihatan seperti ingin bermesra dengan kita. Inilah ikan berwajah comel yang dipanggil telinga gajah. Jika anda berminat untuk memancing spesies ini apabila tenggiri sombong, bacalah artikel ini untuk mengorek rahsianya!
Teks & Fotografi: Sean Sun
Tedapat sebuah pemandangan unik di persisiran pantai Malaysia iaitu tukun tiruan yang dipanggil unjam atau tuas yang terutamanya dibina dengan batang buluh dan daun pokok kelapa. Tukun tiruan ini biarpun dihuni banyak spesies ikan, namun fungsi utamanya ialah menangkap ikan-ikan pelagik bersaiz kecil seperti selayang, kembong, cencaru dan selar. Justeru ikan tenggiri yang tinggal di unjam buat sementara waktu pula menjadi sasaran pemancing rekreasi dan ada juga bot pancing yang mendirikan unjam semata-mata untuk dipancing pelanggannya.
Setiap kali apabila kita mendekati unjam, selain ikan dorado yang gemar mendiami unjam, kita juga akan dapat melihat sejenis ikan yang dipanggil telinga gajah berenang di sekeliling unjam. Ikan yang tidak malu dengan kehadiran bot ini sentiasa berenang ke permukaan seakan ingin bermesra dengan pemancing.
Akuarium Batman

Unjam yang penuh dengan bermacam hidupan laut menjadi pilihan utama telinga gajah mendirikan rumah tangga.
Telinga gajah dipanggil Batfish dalam Bahasa English mungkin kerana warna dan bentuknya yang menyerupai kelawar. Di Indonesia pula ia juga dipanggil Batman! Ikan ini terdapat dalam banyak spesies yang berlainan namun Teira Batfish merupakan spesies yang paling biasa dijumpai di perairan tempatan. Ia juga dipanggil Platax Batfish, Longfin Spadefish atau Round Faces Batfish. Spesies ini mampu mencapai saiz sepanjang 28 inci dan merupakan spesies terbesar dalam familinya.
Ikan yang bernama saintifik Ephippidae platax ini merupakan sejenis ikan yang bersifat omniverous. Mereka tidak akan menyerang ikan-ikan kecil seperti tenggiri justeru juga dianggap ikan akuarium yang disukai ramai. Spesies ini mempunyai perangai yang unik di mana mereka mampu hidup di dasar dan juga berdekatan permukaan laut, terutamanya struktur yang merangkumi dasar sehingga permukaan laut seperti unjam dan rumah api.
Biarpun telinga gajah sejenis ikan yang agak biasa dijumpai, namun jarang terdapat pemancing yang berminat untuk memancingnya. Pada hakikatnya jika anda menyedari ikan ini mempunyai daya saingan yang luarbiasa, pasti anda akan berminat untuk mencabarnya!
Namun telinga gajah bukannya ikan yang mudah terpedaya. Teknik pancingan dasar yang biasa digunakan untuk spesies lain agak sukar untuk mendaratkannya. Lebih-lebih lagi spesies ini gemar berenang ke merata tempat dan memerlukan kesabaran untuk menjeratnya.

Pemiilihan umpan kurang penting. Yang penting cara persembahannya.
Perkakasan Batman
Terlebih dahulu marilah kita renungkan perkakasan yang sesuai untuk pancingan telinga gajah. Mata yang digunakan haruslah amat kecil memandangkan spesies ini mempunyai mulut kecil seperti ikan bawal. Namun gunakanlah mata yang lebih kasar untuk menahan daya junamannya yang padu. Jangan sesekali memandang rendah spesies ini dengan hanya menggunakan set ringan. Sekurang-kurangnya sediakanlah joran PE2 dengan kekili bersaiz 2000. Manakala tali utama pula 20 hingga 30 paun dengan perambut fluorocarbon berkekuatan setinggi 30 paun. Tiada pemberat diperlukan lantaran teknik yang digunakan ialah teknik menghanyutkan umpan dari permukaan laut.
Seboleh-bolehnya pilihlah tarikh air kecil untuk menduga telinga gajah atau memancing sewaktu arus bertukar. Telinga gajah akan berenang ke permukaan untuk memakan plankton dan pada waktu inilah peluang untuk menumbangkannya akan menjadi lebih tinggi.
Terdapat banyak pilihan umpan seperti hirisan udang, sotong, roti dan sebagainya. Rotilah yang menjadi pilihan kebanyakan pemancing lantaran mudah diperolehi. Umpan tidak menjadi masalah, masalahnya ialah bagaimana untuk memperdaya ikan yang amat pintar ini untuk menjamah umpam kita?

Mata kecil yang kukuh dan roti berkualiti merupakan kelengkapan terpenting dalam pancingan telinga gajah.

Mata harus disembunyi di dalam roti untuk menipu telinga gajah menelannya.
Perangkap Batman
Dipercayai ramai pemancing pernah menghadapi ikan yang amat sensitif dan pintar. Ikan-ikan ini akan menghilangkan diri apabila terjumpa joran atau tali, sebelum umpan sempat dihulurkan! Telinga gajahlah salah satu daripada ikan berstatus pintar ini. Justeru untuk memancing mereka, kita harus mengaktifkan selera mereka terlebih dahulu. Rotilah umpan yang paling sesuai untuk tujuan seperti ini!
Caranya ialah membuang serpihan roti dengan banyaknya ke permukaan laut. Wangi harum dari roti akan menarik gerembolan telinga gajah mendekati bot. Apabila mereka sedang asyik menghayati makanan enak yang tidak dapat dicari di lautan, sangkutkan sedikit roti di atas mata dan sembunyikan mata dengan rapi sebelum menghulurkannya ke dalam laut. Dengan cara ini telinga gajah akan tertelan roti yang terdapat perangkap di dalamnya!
Jangan terperdaya dengan rupa telinga gajah yang kelihatan lemah-lembut. Daya saingannya boleh tahan berbanding tenggiri! Spesies ini akan menjunam ke bawah apabila terkena pancing dan membengkokkan joran ke tahap maksimum. Tangan pemancing akan terasa letih biarpun menggunakan set 20 paun jika spesimen 3,4 kilogram yang terkena pancing!
Ada pemancing menyatakan telinga gajah sebenarnya seafood yang enak seperti bawal hitam dan sesuai untuk masakan kari. Cubalah jika anda berkesempatan menaikkannya!

Saiz mata harus sesuai dengan mulut telinga gajah yang kecil dan disembunyi di dalam roti.

Air kecil merupakan waktu terbaik untuk menjerat telinga gajah. Lebih-lebih lagi apabila air laut berhenti mengalir menjelang pertukaran arus!