Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Menerobos Jantung Kalimantan

Kelah pertama saya dengan gewang. Hairan, kelah di sini tidak merah warnanya.

Apabila sebut Borneo atau Kalimantan, perkara pertama yang tercetus di fikiran kita ialah hutan belantara berusia jutaan tahun yang meliputi pulau terbesar di Asia ini, yang menjadi sarang haiwan liar serta jajahan pelbagai suku kaum. Tetapi tanpa diketahui ramai, Borneo merupakan syurga pancingan air tawar terunggul kerana ribuan sungainya yang berselirat itu kaya dengan ikan idaman seperti kelah dan sebarau. Sebab itulah kami berenam tekad untuk menjelajah jauh ke jantung Kalimantan demi mengidamkan trofi sasaran tersebut berpandukan khidmat East Borneo Sports Fishing (EBSF)…

Oleh : SANDEEP SINGH GILL

Hanya tiga minggu sebelum ekspedisi, Fahiz, Yan, TK, Guobin, Kasey dan saya dimaklumkan oleh EBSF bahawa mereka baru sahaja menemui suatu lokasi mengilat yang masih dara di hutan belantara Kalimantan yang amat sukar ditembusi. Destinasi yang dianggarkan memakan masa 17 jam perjalanan berkereta dari Balikpapan itu telah diterokai buat pertama kali oleh pasukan eksplorasi EBSF.

Nasi padang yang menyelerakan!

Pacuan empat roda diperlukan untuk menerobos ke belantara yang mencabar ini.

Ia ibarat suatu pertaruhan yang amat mencabar kerana lokasi itu sangat jauh di ceruk pedalaman belantara, sungainya berjeram laju dari pergunungan, hutannya penuh dengan nyamuk pembawa malaria dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, kami berenam tekad untuk menyahut cabaran besar ini kerana ingin merasai suatu pengembaraan yang mungkin dapat dinikmati sekali sahaja seumur hidup!

Kematu Punggung 17 Jam!

Perjalanan kami bermula dari KLIA dengan mengambil penerbangan ke Jakarta, kemudian bermalam di bandara itu sebelum mengejar penerbangan keesokan harinya ke Balikpapan di Kalimantan Timur. Sebaik tiba di Balikpapan, kami disambut oleh Suke, pemandu pancing EBSF yang kemudiannya membawa kami mengisi perut di restoran nasi padang sebelum meneruskan perjalanan. Dari Balikpapan, kami mengambil masa 9 jam perjalanan berkereta ke sebuah kampung kecil untuk berehat dan bermalam.

Pokok tumbang yang menghalang laluan. Mujur guide ada bawa mesin gergaji.

Keesokan harinya selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan jauh lagi ke bahagian yang paling ekstrem sepanjang ekspedisi ini, iaitu terperap 8 jam dalam kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak dan denai hutan. Setelah begitu lama kematu punggung melayan off-road, akhirnya kami sampai ke sebatang sungai yang bakal menjadi gelanggang kami untuk tiga hari akan datang. Fuhh… lega, akhirnya sampai selepas 17 jam naik kereta!

Selepas memuat naik barangan ke dalam perahu, perjalanan air ini mengambil masa selama 20 minit menongkah jeram ke kem utama yang merupakan sebuah pondok memburu yang dibina oleh penduduk tempatan. Selepas mandi sepuasnya di tepi sungai dan makan malam yang ringkas, kami menyediakan peralatan memancing sebagai persiapan untuk hari berikutnya.

Segalanya Bermula

Set mengilat yang kami sediakan untuk ekspedisi ini lebih menjurus kepada set berat. Kami bersedia dengan kekili sekurang-kurangnya berkekuatan drag maksimum 13 paun yang diisi tali sulam 30 hingga 50 paun, serta joran berkekuatan 10 – 20 paun sehingga 20 – 40 paun. Gewang kebanyakannya jenis replika ikan selaman cetek yang telah diperkuat dengan mata tiga dan gegelung cincin paling tegar bagi mengelakkan ikan lesap akibat kegagalan fungsi aksesori itu.

Keesokan harinya selepas bersarapan nasi goreng yang disediakan oleh Suke, kami bersama tiga buah perahu memulakan perjalanan mudik lagi ke hulu. Sungai ini berarus amat deras, dan perlu mengambil masa tiga jam untuk menongkahnya sebelum enjin bot dapat dimatikan untuk sesi yang ditunggu-tunggu, casting berhanyut!

Set mengilat sudah siap sedia untuk bertempur.

Kami dengan serta-merta mula melontar gewang ke segenap tebing sungai yang mungkin berpotensi sebagai lokasi serang hendap buruan yang kami sasarkan. Memandangkan berlaku hujan malam tadi, air sungai ini agak keruh dan ini pastinya menjadi lebih mencabar buat kami menduga hulubalang sungai ini.

Fish On!

Yan dan saya berulang kali menggempur lokasi berpotensi di segenap tebing, di mana saya berpelurukan gewang Ima Ligid minnow dan Duo Realis M65 crankbait. Yan pula mengharapkan Rapala Fat Rap dan Duo Realis M65 crankbait. Selepas hampir dua jam mengilat, barulah Yan menerima sergapan pertama daripada sebarau yang bersaiz mantap.

TK dengan hampala saiz baik punya!

Satu lagi kelah yang didaratkan oleh Guobin.

Selepas memetik beberapa gambar dengan cepat, Yan melepaskan ikan itu dan kami kembali mengilat. Namun jam berikutnya, tiada langsung strike buat kami, lalu mengambil keputusan untuk berehat makan tengah hari dengan semua rakan yang lain.

Selepas makan, kami kembali beraksi. Semasa kami sedang menggempur ke bawah pohon rendang, Yan digasak lagi, kali ini daripada kelah seberat 4 paun yang berani menggonggong gewang M65-nya. Ikan itu dilepaskan kembali ke habitatnya.

Jam sudah hampir sampai ke penghujung hari, namun saya masih kumpau walaupun asyik menukar gewang. Semasa menggempur satu spot di bawah pokok, tiba-tiba saya merasakan satu sambaran padu! Walapun begitu, saya tidak kasi can ikan itu melarikan diri lebih jauh. Sekejap sahaja ia terlentang, seekor sebarau idaman saya yang dipanggil ‘hampala’ oleh masyarakat di sini! Yan segera memetik gambar saya memandangkan hari sudah gelap untuk kami bersiap segera pulang ke kem.

Tangkapan pertama saya, sebarau yang dilepaskan sejurus kemudian.

Selepas mandi yang menyegarkan di pinggir sungai, kami menyiapkan hidangan malam yang lazat, sambil berborak panjang tentang pancingan hari kami. Rakan yang lain juga tercabar disebabkan air yang agak keruh, tetapi masing-masing berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya seekor ikan. Kami semua keletihan dan perlahan-lahan merangkak ke dalam khemah untuk tidur. Rehat memang sangat diperlukan, sambil berimpikan tangkapan yang lebih gadang keesokan hari.

Perjalanan kami ke hulu sebelum kami boleh memulakan mengilat.

Makin Clear, Makin Menjadi!

Keesokan harinya kami disambut dengan pemandangan yang mengasyikkan, air sungai itu semakin menjernih. Ini menyemarakkan semangat kami dan tak sabar-sabar nak turun casting. Saya berpasangan dengan Kasey pula buat hari kedua ini. Seperti semalam, kami menongkah arus ke hulu selama beberapa jam dan kemudian berhanyut sambil mengilat.

Yan dan hampala 13 paun, sememangnya monster!

Tidak lama selepas kami mula mengilat, joran saya tersentak dari tangan angkara sebarau 3 paun yang membaham Ima Ligid. Selepas ikan itu selamat dilepaskan, gewang saya dilanyak lagi sebaik beberapa lontaran seterusnya. Kali ini seekor kelah kira-kira 6 paun, gembira ya amat kerana inilah kali pertama saya menumpaskan kelah dengan gewang dan saiznya pun cukup tegap.

Hasil mengilat lebih cemerlang pada hari kedua ini. Saya dan Kasey bergilir-gilir menaikkan ikan. Kami masing-masing berjaya menaikkan kira-kira 9 – 10 ekor sebarau dan kelah, yang semuanya dibebaskan setelah diambil beberapa keping gambar.

Fahiz mendaratkan kelah ini di kawasan lata yang cetek.

Hujan Malam

Di kem malam itu, kami diberitahu bahawa Yan telah mencipta rekod sebarau monster seberat 13 paun atau 6 kg! TK dan Fahiz pula berjaya menumbangkan kelah yang montel dalam lingkungan 8 hingga 10 paun. Keadaan air yang semakin memulih sememangnya membantu peningkatan hasil tangkapan kami.

Namun malam itu, hujan sekali lagi turun dengan sangat lebat. Kita semua tahu, ini pastinya akan membawa aliran lumpur dan ia betul-betul terjadi pada keesokan harinya. Sungai berubah menjadi coklat akibat lumpur dan selut yang telah dibawa turun. Aduhai… lemah semangat kami.

Hampala kasar yang membaham gewang saya di tebing sungai.

Saya berpasangan dengan Guobin untuk hari terakhir ini. Biarpun keadaan air tidak bagus, saya bersyukur kerana berjaya juga menjebak seekor kelah 4 paun yang membaham Ima Ligid berhampiran anak sungai. Selepas beberapa jam casting, kami membuat keputusan untuk menamatkannya lantaran keadaan air yang semakin keruh.

Setiap Yang Baik, Pasti Akan Berakhir

Ekoran telah pulang awal ke kem, kami memutuskan untuk berkemas dan bersedia untuk perjalanan yang panjang sekali lagi pada esok hari. Walaupun hasil kurang memberangsangkan pada hari terakhir, kita harus akur bahawa akhirnya alam akan sentiasa menang. Apa pun setidak-tidaknya kita telah merasa nikmat pancingan yang mengujakan berbanding hari-hari sebelumnya.

Pemandangan tipikal jauh di dalam ceruk hutan Kalimantan.

Satu lagi kelah montel yang memberi perlawanan hebat yang takkan dilupakan.

Malam itu kami semua lambat tidur kerana seronok bercerita tentang ranjau pengembaraan ini. Awal pagi kami meruntuhkan kem serta membersihkan tapak khemah, dan kembali memulakan perjalanan darat selama 17 jam ke Balikpapan sebelum terbang ke Jakarta dan akhirnya ke KLIA.

Tidak diragui lagi, ekspedisi anjuran EBSF ini diurus dengan cukup teratur. EBSF memastikan pengembaraan ini berjalan lancar dengan sebaik mungkin. Syukurlah tiada seorang pun yang dijangkiti demam malaria atau apa-apa penyakit berbahaya. Jika diberi peluang, saya pasti akan kembali lagi ke syurga Kalimantan ini!

Tangkapan terakhir saya, kelah tegap yang ditewaskan di kuala anak sungai ke sungai utama.

Laman Sesawang EBSF : www.eastborneosportfishing.com

Emel : eastborneosportfishing@gmail.com

Telefon : +6017-511 1887 atau +6019-558 8887

*Sandeep Singh Gill merupakan seorang pemancing tegar yang amat menekankan amalan tangkap dan lepas. Ikuti kembara memancing beliau melalui
Instagram : sandeep.singh.gill

Yan dan kelah pertamanya.

Kasey mendaratkan kelah yang ditumpaskan dekat dengan tebing.

Dari kiri ke kanan : Fahiz, saya, Kasey, Guobin, TK, Yan dan Suke.