Mengilat : Spinning vs Baitcaster
Apakah sebabnya kebanyakan pemancing yang gemar mengilat (casting) lebih cenderung kepada kekili baitcaster (menegak)? Apa pula sebabnya pemancing jigging lebih suka kekili spinning (mendatar)? Marilah kita sama-sama renungkan sebab sebenarnya!
Oleh : PAK WONG
Terlebih dahulu kita harus memahami konsep rekaan dan teori pengendalian kekili jenis menegak (baitcaster) dan mendatar (spinning).
Perbezaan utama kedua-dua jenis kekili ini ialah bagi baitcaster, tali dikarau masuk ke dalam gelendong secara langsung. Manakala kekili spinning pula, tali dikarau masuk ke dalam gelendong melalui bail arm (lengan pengarau). Ini bermakna baitcaster mahupun multiplier (kekili menegak saiz kasar) yang dapat mengarau tali ke dalam gelendong secara langsung mempunyai daya karauan yang jauh lebih kuat berbanding spinning.
Kelemahan & Kelebihan
Kekili spinning walaupun kurang kuat daya karauannya, ia masih mampu memainkan gewang permukaan atau gewang jenis renangan cetek. Namun jika digunakan untuk persembahan gewang selaman dalam, tangan akan cepat merasa letih terutama apabila mengilat di sungai pergunungan yang berair deras bagi menjerat sebarau atau kelah.
Baitcaster ada kelebihan iaitu saiz dan reka bentuknya sesuai untuk pengendalian sebelah tangan sahaja dan mampu menangani pelbagai keadaan lubuk yang amat mencabar bagi teknik mengilat. Apatah lagi baitcaster mampu melontar lebih jauh dan lebih tepat, berbanding spinning apabila pemancing telah menguasai teknik pengendaliannya.
Satu lagi kelebihan baitcaster ialah saiz gelendongnya pasti lebih kecil berbanding spinning biarpun masing-masing mempunyai kapasiti tali yang sama. Justeru beratnya dapat dikurangkan. Lantaran strukturnya yang lebih ringkas, baitcaster juga jarang rosak dan kos penyelenggaraannya lebih murah berbanding spinning.
Mungkin ada yang bertanya, sedangkan baitcaster mempunyai begitu banyak kelebihannya, mengapa pula pemancing kita lebih suka gunakan spinning? Dalam teknik jigging pula, bukankah kekili spinning lebih berat dan lebih meletihkan apabila memainkan jig ratusan gram di laut sedalam lebih 100 meter?
Masalah Kebiasaan
Pada pandangan saya, ini berpunca daripada ‘kebiasaan’. Kebanyakan pemancing menggunakan kekili spinning sewaktu baru belajar memancing. Disebabkan terbiasa diikuti pula pemancing jigging tersohor Jepun gemar gunakan kekili spinning, ia telah memberi pengaruh yang besar terhadap pemilihan kekili oleh pemancing di sini.
Ditambah pula dengan lahirnya kekili spinning yang mempunyai daya karauan yang lebih mantap dicipta untuk memenuhi permintaan teknik jigging, mengakibatkan semakin ramai orang memilih spinning apabila mempraktikkan kaedah ini.
Namun ini tidak bermaksud baitcaster mahupun multiplier tidak sesuai untuk teknik jigging. Dari aspek daya karauan, kekili menegak baitcaster / multiplier tetap lebih handal berbanding kekili spinning. Lagipun harga baitcaster / multiplier pun lebih murah dan lebih tahan lasak berbanding spinning.
Satu lagi sebab mengapa pemancing tempatan lebih cenderung kepada kekili spinning ialah kerana tidak berapa lama setelah teknik jigging menjadi popular, teknik popping yang mensasarkan GT juga mula mendapat sambutan.
Kelebihan Spinning
Bertentangan dengan teknik mengilat yang lain, spinning adalah kekili wajib untuk melontar popper. Pertama, popper yang berat jika dilontar dengan baitcaster, angin yang kencang di laut akan mengakibatkan masalah ‘mee goreng’ yang teruk biarpun pemancing itu cekap mengendalikan baitcaster.
Kedua, kekili spinning lebih efisien untuk kaedah persembahan popper yang unik berbanding baitcaster. Di sini kita merujuk kepada teknik popping berat. Jika hanya untuk memainkan popper kecil bagi menjerat toman, baitcaster juga mampu membereskan tugas.
Pemancing yang menggemari teknik jigging biasanya juga bermain popping. Justeru mereka akan memilih kekili spinning yang sesuai untuk kedua-dua teknik ini. Inilah sebabnya spinning telah menjadi lebih popular berbanding baitcaster di negara kita. Biarpun begitu, berikutan perkembangan teknik jigging perlahan yang menjadi semakin popular, kekili menegak atau baitcaster / multiplier yang wajib untuk teknik ini telah mulai menguasai pasaran.
Berbalik kepada teknik mengilat pula, baitcaster tetap merupakan peralatan yang lebih sempurna. Tibalah masanya pemancing yang masih menggunakan kekili spinning bertukar fikiran dan belajar baitcaster pula!