Menjejaki Sarang Kalui Asli Sabah
Kalui Sabah adalah spesies yang berbeza dengan ikan kalui yang biasa terdapat di Semenanjung iaitu Osphronemus goramy. Kalui Sabah dari spesies Osphronemus laticlavius ini pula tinggal di sungai-sungai pergunungan Sabah dan untuk menjejaki lubuknya, penulis telah menerokai sebatang sungai pergunungan yang sukar diakses dan pengembaraannya berjaya mencatat rekod spesies endemik dan asli di Sabah ini…
Teks : REAL SNAIL
Fotografi : PELIAN & BAROB CASTER
Dengar perkataan ‘sungai pergunungan’ di Sabah, sekiranya anda seorang caster tegar, pasti terus terlintas di minda akan bayangan kelibat kawanan ikan pelian dan barob menyambar gewang yang sudah sinonim dengan sungai-sungai pergunungan di Sabah, terutama sungai-sungai yang telah diwartakan sebagai Tagal.
Saban hari kawasan sungai-sungai pergunungan di Sabah. terutama di kawasan pedalaman, semakin rancak dan popular sebagai destinasi rekreasi sukan memancing, sama ada secara mengilat (casting) atau pancing layang (fly fishing). Namun begitu, di sebalik kerancakan sukan memancing di sungai pergunungan, saya jarang sekali mendengar cerita atau melihat posting di laman sosial tentang tangkapan ikan kalui sungai pergunungan di Sabah.
Kalui Asli Sabah
Ikan kalui sungai pergunungan merupakan ikan kalui asli di Sabah. Kalui Sabah sedikit berbeza daripada ikan kalui yang biasa terdapat di Semenanjung iaitu Osphronemus goramy. Berdasarkan carian maklumat, Kalui Sabah adalah spesies Osphronemus laticlavius dengan ciri-ciri istimewa seperti kepala yang berbonggol apabila dewasa, warna kemerahan di hujung semua siripnya, badan berwarna kelabu, terdapat 5 – 6 jalur hitam menegak pada badan, muncung yang pendek, mulut yang sedikit lebar dan bersifat omnivor.
Eksplorasi kalui kami berlangsung selama 4 hari 3 malam dengan sasaran utama ikan kalui sungai pergunungan, di samping mencari strike mega ikan pelian dan barob juga sebagai bonus tangkapan. Eksplorasi ini dianggotai seramai 6 orang iaitu Irfan sebagai ketua trip, saya, Jali, Opet, Alud dan Wan.
Eksplorasi Bermula
Hari pertama trip adalah jadual khas untuk tempoh perjalanan kami ke kampung di lokasi penginapan utama di kawasan pedalaman yang hanya boleh diakses melalui laluan sungai pergunungan sahaja kerana tidak ada jalan darat yang boleh diikuti. Bermula dengan 2 jam menaiki kereta pacuan 4 roda di jalan berturap, 2 jam lagi jalan offroad yang sedikit mencabar seterusnya 1 jam setengah perjalanan menaiki perahu berenjin untuk sampai ke lokasi tersebut.
Kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah dilatih menjadi jurubatu agar menjadi arif dalam selok-belok laluan sungai berjeram dan akan dapat membantu keluarga mencari nafkah apabila mereka dewasa kelak.
Hari kedua bermulalah trip sebenar, iaitu bermula dari kampung tempat kami menginap menaiki 3 buah perahu berenjin naik ke kawasan hulu sungai, seterusnya mendirikan base camp untuk acara casting. Perjalanan dari kampung tersebut mengambil masa 4 jam menaiki perahu untuk ke base camp dengan melalui laluan berjeram yang sangat banyak.
Saya fikir perjalanan kami banyak berjalan kaki berbanding kami menaiki perahu, kerana setiap kali perahu melalui kawasan berjeram yang cetek, kami perlu keluar dari perahu dan berjalan kaki melepasi jeram sehingga ke kawasan yang lebih dalam barulah dapat naik ke perahu semula.
Peranan Penting Jurubatu
Semasa perahu melalui kawasan berjeram yang kadang kalanya merbahaya, di sinilah peranan penting pembantu jurumudi perahu yang sentiasa berada di hujung depan perahu. Pembantu ini digelar ‘jurubatu’ oleh masyarakat di sini. Selain membantu jurumudi semasa perahu melepasi jeram, tugas jurubatu yang paling penting adalah mengenal pasti laluan yang paling selamat dilalui perahu di sepanjang sungai supaya perahu tidak melanggar batu.
Pelian sebagai bonus tangkapan dalam trip eksplorasi kami.
Maka jurubatu ini seharusnya adalah individu yang paling berpengalaman dalam selok-belok keadaan aliran persekitaran sungai. Merekalah yang sering turun naik di hulu sungai sehinggakan setiap sudut dan kedudukan batu-batu di sungai sama ada yang kelihatan atau yang tenggelam sudah dihafal dan diketahui kedudukannya dengan tepat.
Jurumudi amat bergantung kepada isyarat tangan jurubatu di depan dalam mengendali perjalanan perahu. Jurumudi tidak akan membawa perahu bersendirian naik ke hulu sungai tanpa ada jurubatu bersamanya.
Disebabkan perjalanan daripada kampung bergerak selewat tengah hari, maka ketibaan kami di base camp pun terlewat iaitu tiba di sana pada pukul 4 lebih petang. Semua barangan dipunggah keluar dari perahu dan tanpa mendirikan khemah, kami terus mencuba casting di kawasan berdekatan.
Kalui sungai pergunungan yang dicari-cari akhirnya berjaya dipikat dan direkod gambar.
Kalui sungai pergunungan yang dicari-cari akhirnya berjaya dipikat dan direkod gambar.
Kalui sungai pergunungan yang dicari-cari akhirnya berjaya dipikat dan direkod gambar.
Setiap pelosok sungai sama ada lubuk atau aliran jeram dibaling spoon saiz 10 g – 16 g pelbagai bentuk bagi mencari nasib. Mujurlah setiap daripada kami berjaya juga memperoleh sambaran ikan-ikan kecil pelian atau barob, yang menjadi penawar rasa gemuruh dan keterujaan mencuba casting di sungai tersebut.
Apabila senja semakin berlabuh, barulah kami bergegas balik ke base camp. Suasana menjadi riuh semasa tergesa-gesa mendirikan khemah kerana suasana semakin gelap gelita. Mujurlah cuaca menyebelahi kami tanpa hujan dan berkat semangat satu hati dan kerjasama yang padu, semua dapat disiapkan dengan efisien dan sempurna.
Malam itu kami tidur dalam suasana yang selesa dan tenang tanpa gangguan. Manakala para jurumudi dan jurubatu kami masih lagi dengan aktiviti sampingan mereka iaitu mencari ikan di sungai dan ada yang masuk ke dalam hutan mencari sumber makanan dengan bantuan lampu suluh.
Aura Lubuk Kalui
Hari ketiga merupakan hari terakhir acara kami. Selepas bersarapan dan mengisi perut dengan secukupnya, kami berenam mula trekking seawal pukul 7 pagi untuk mudik ke hulu sungai dari base camp dengan harapan sampai ke lubuk kalui sungai pergunungan seperti yang dikhabarkan.
Macam biasa setiap ceruk-ceruk sungai yang ditafsirkan berpotensi, kami lemparkan dengan gewang bagi memikat sang ikan. Namun trekking kami perlu sedikit laju bagi mengejar masa hari itu kerana berjanji pada pukul 2 petang kami perlu berada di base camp semula untuk berkemas dan balik ke kampung lokasi penginapan kami dan kemudian keesokannya adalah hari kami berangkat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Sabar ikat gata dulu…
Barob menjadi penghibur sepanjang sesi casting, banyak strike yang kami dapat dari yang kecil hingga yang besar.
Setiba di lubuk dalam dan memanjang yang dikhabarkan adalah sarang kalui, kami merasakan memang ada aura istimewa di lubuk itu. Keadaan lubuk yang mempunyai banyak suak kecil di tebing seberang membuktikan bahawa ia merupakan rumah ikan dan kami yakin dihuni oleh kalui monster atau ikan monster yang lain.
Kalapia Basar?!
Kami semua sepakat untuk casting lama di lubuk itu bagi memikat kalui menyambar gewang yang dilemparkan. Kalui pertama berjaya dipikat oleh Jali dengan spoon 15 g warna emas yang pada mulanya disangka oleh beliau sebagai ikan tilapia mega. Kami sangat kelucuan mendengar jeritan Jali, “kalapia basar, kalapia basar!”.
Selang beberapa ketika, masing-masing kami mendapat beberapa kali miscall, saya sendiri dipermainkan oleh kalui miscall sebanyak 3 kali. Ia adalah pasti kerana kalui akan mengejar gewang sehingga di depan mata, baru ia berpusing semula seolah-olah ia sengaja memperlekehkan usaha kami memikatnya.
Di samping itu juga, sekali-sekala barob yang menyambar gewang dan kadangkala terjadi double strike di antara kami di lubuk tersebut. Saya yang puas memujuk kalui dengan spoon mengambil keputusan menukar kepada gewang cranker selaman dalam iaitu Salmo Hornet 5 cm warna emas yang akhirnya lemparan pertama gewang itu terus sahaja disambar kalui sejurus sahaja gewang mula menyelam.
Manakala Opet dan Alud terlucut kalui di depan mata setelah beberapa kali miscall, begitu juga dengan Irfan yang dipermainkan oleh kalui monster anggaran 2 kaki panjang yang mengejar gewang cranker beliau sehingga di hujung kaki, namun tidak mahu menyambar gewang beliau. Peristiwa begitu telah menjadi ‘rindu-dendam’ buat mereka yang pasti akan ‘apil’ dan ‘ripit’ balik trip di lubuk itu kelak, kompom!
Setelah menghampiri pukul 1 petang, kami mula bergerak turun semula ke base camp seperti yang dirancang. Trekking kami sedikit laju melepasi batu-batuan sungai serta lubuk-lubuk juga diredah secara berenang. Aktiviti casting tidak lagi dibuat dan hanya fokus untuk sampai ke base camp dengan selamat pada masa yang dijanjikan. Seterusnya pulang ke lokasi penginapan kami dan sampai di kampung mengikut jadual perjalanan seperti yang dirancang.
Semua kejadian pahit dan manis di sungai tersebut telah menjadi kenangan yang memberi seribu satu pengalaman baru buat kami semua…
Perbezaan antara Osphronemus laticlavius (Kalui Sabah) dan Osphronemus goramy (Kalui Biasa).