Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Mentafsir Isyarat Ikan

Mempelajari untuk membezakan isyarat ikan memakan umpan merupakan ‘kursus asas’ bagi pemancing baru. Setelah tamat kursus dan berjaya peroleh ‘ijazah’, anda bukan sahaja dapat membezakan spesies ikan yang datang menjamah umpan, malah dapat melakukan proses membalas yang berbeza berpandukan isyarat tersebut…

Oleh : PAK WONG

Ketuntasan membalas sentap joran pada masa yang tepat adalah kritikal untuk menghindarkan risiko rabut.

Semasa mula belajar memancing, teknik asas yang mesti dipelajari terlebih dahulu ialah mengenal isyarat ikan menjamah umpan. Setelah itu, barulah kita dapat menentukan masa terbaik untuk membalas sentap joran, berpandukan isyarat atau gaya ikan itu menjamah umpan. Apabila sampai ke tahap lebih tinggi, kita akan dapat membezakan spesies ikan melalui cara ia menjamah umpan kita.

Apabila ikan memakan umpan, cetusan isyarat akan disalur ke tali melalui mata kail, kemudian ke joran melalui cincin joran. Apabila pancing dasar, jika kita tidak pegang joran, kita masih dapat ketahui ikan mendatangi umpan kita melalui pergerakan hujung joran.

Namun jika kita memegang joran, tangan kita akan dapat merasai isyarat ikan yang lebih halus yang belum mengakibatkan getaran ke hujung joran. Justeru apabila pancing dasar, jika ikan sasaran itu spesies penjamah lemah-lembut, anda akan dapat meningkatkan kepekaan melalui pegangan joran demi meningkatkan peluang menancap ikan itu.

Apabila Gewang Mirip Umpan Sebenar

Selain pancing dasar, pancingan gewang juga amat mementingkan kepekaan terhadap isyarat ikan khasnya soft plastic (S.P) dan jigging. S.P menyerupai umpan sebenar, baik bentuk luaran, malah badannya juga terasa macam makanan betul bagi sang ikan. Lantaran S.P terlalu menyerupai umpan sebenar, maka ramai pemancing sering alami masalah ketika memainkan gewang ini iaitu sering gagal memastikan masa yang sesuai untuk membalas.

Masalahnya berpunca apabila kita terlupa yang S.P mempunyai hanya satu mata kail tunggal dan tersembunyi di dalam badannya. Ia bukanlah gewang biasa yang mempunyai lebih daripada sebentuk mata tiga!

Justeru apabila terasa ikan menjamah umpan, pemancing harus mengawal nafsu agar tidak kalut membalas serta-merta. Anggapkanlah seperti memancing haruan dengan umpan katak. Berikan sedikit masa untuk ikan menelan S.P, karaulah tali perlahan-lahan sehingga tegang, barulah sentap!

2. Kertang merupakan ikan jenis penghisap dengan isyarat yang kurang jelas.

Perampas, Pematuk & Penghisap

Jigging mungkin dianggap teknik yang memerlukan sentapan serta-merta apabila terasa isyarat ikan. Namun dalam sesetengah situasi dan ikan sasaran, masa membalas juga perlu ditangguhkan. Misalnya apabila ingin memancing ikan yang bermulut kecil seperti sagai.

Sagai gemar mematuk jig seperti ayam. Kita tidak harus membalas serta-merta apabila terasa isyaratnya. Sebaliknya harus tunggu sehingga joran bengkok menandakan mata kail telah memasuki mulutnya, barulah balas beberapa kali dengan kuat. Harus diingat, mulut sagai keras sekali. Kita mesti memastikan mata kail telah memasuki mulutnya, barulah berpeluang untuk menembus pinggir mulutnya yang lebih nipis sewaktu membalas.

Jigger berpengalaman dapat mengagak spesies menerusi isyarat ikan. Terdapat dua cara tingkah laku pemakanan ikan iaitu sama ada merampas dan menghisap.

Ikan perampas umpan akan menghasilkan isyarat yang jelas. Gaya pemakanan sebegini mencetuskan impak yang besar sehingga pemancing terasa kelam-kabut. Ikan seperti ini merampas jig dalam satu pergerakan berterusan tanpa henti. Biarpun pemancing mungkin terlupa membalas, ikan tetap akan tertancap secara automatik akibat kerakusannya. Namun untuk memastikan ikan tidak terlepas sewaktu bertarung, kita tetap perlu membalas sentap berulang kali.

Bagi pemakan jig secara menghisap pula, ia biasanya mempunyai mulut yang besar. Peratusan terkena pancing juga tinggi kerana biarpun jig tidak dihisap masuk ke mulutnya, mata kail yang ringan tetap akan dihisap ke dalam mulut.

Namun isyarat yang dihasilkan dengan aksi menghisap ini ternyata tidak begitu jelas. Ada kalanya agak sukar untuk membezakan sama ada jig kita tersangkut atau terkena ikan. Jika anda memang menyasarkan ikan-ikan dalam golongan ini, maka sentaplah terlebih dahulu tanpa berfikir sama ada jig tersangkut atau terkena ikan!