Meruan Zon Togel
Tiada heavy cover… ertinya togel setogelnya kolam ini, tetapi mempunyai populasi haruan yang tinggi kerana ia kawasan persendirian dan tadahan air. Jadi bagaimana cara untuk kita menjinakkan haruan di perairan lapang terbuka ini…?
Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR
Pancingan haruan antara gaya yang paling banyak mengalami evolusi. Biarpun ia cukup sinonim dengan gewang replika katak, namun sejak dahulu lagi sudah cukup banyak perubahan reka bentuk, gaya renangan malah jenis replika katak itu sendiri. Dari asalnya hanya katak hidup bertukar-tukar kepada katak getah, katak kayu mahupun SP katak mengikut peredaran zaman sama seperti pertukaran fesyen.
Tidak kurang juga gewang replika ikan, sesudu yang mampu melompat-lompat di permukaan air serta buzzbait dan spinnerbait yang juga telah banyak mengalami perubahan. Ini menunjukkan haruan spesies utama ikan sasaran pengilat sejak dulu lagi. Kebanyakan pengilat tegar juga sebenarnya bermula dengan mengilat haruan, bahkan spesies ini sendiri telah mencipta peminat tegarnya yang hanya akan setia mengilat haruan tanpa perlu memburu spesies lain lagi.
Kehausan Spot
Haruan mudah membiak dan mampu sesuaikan diri dengan apa jua kondisi air. Hampir semua kawasan air negara kita didiami spesies berkepala ular ini. Namun pada mana zaman pertumbuhan kaki mengilat yang semakin ramai, spot mengilat haruan semakin ketandusan. Ditambah lagi kebanyakan lombong dipagar untuk projek ternakan ikan dan pertanian, tidak kurang juga kawasan paya yang dibangunkan untuk kemajuan.
Jika dilihat di mana-mana lopak air mahupun lombong pasti ada pengilat haruan yang setia memburunya hampir setiap hari. Tak kurang juga yang mencari sesuap nasi dan jika ditanyakan pasal hasil, pastinya semakin hari kian merosot.
Inilah penyebab berlakunya pencerobohan ke kawasan takungan air milik tanah persendirian mahupun kawasan pertanian. Spot heaven ini banyak menyimpan spesimen haruan mega dan paling tidak pun jumlah haruan yang cendol kerana tidak pernah terusik. Yang paling penting, sudah semestinya haruan di spot ini akan mesra gewang.
Kolam Teratai Ubi
Masakan ubi teratai cukup terkenal bagi masyarakat Cina, lebih-lebih lagi di Perak ini. Tumbuhan yang kaya dengan vitamin C dan B kompleks ini amat sedap dimasak sup dan digoreng garing untuk ubinya yang masih muda dan lembut. Atas permintaan yang agak tinggi, terdapat banyak ladang menanam pokok ubi teratai ini di Tronoh, Perak.
Pokok teratai ubi ini ditanam di dalam kolam buatan yang agak cetek, tak lebih 5 kaki dalam. Di dalam kolam menanam teratai berkeluasan 40 meter lebar dan panjang inilah banyak dihuni haruan yang ada sesetengahnya membesar amat sihat tanpa ada gangguan.
Tempoh penanaman teratai ini mengambil masa lebih kurang 6 bulan sebelum dituai untuk dijual ke pasaran tempatan. Sementara menunggu penanaman semula, terdapat ruang masa lebih kurang satu bulan sementara para petani menghapuskan dahulu siput yang bakal merosakkan tanaman mereka dengan menggunakan racun khas.
Racun yang mereka gunakan tidak beri kesan kepada haruan serta anak-anak ikan lain dalam kolam ini. Ruang masa satu bulan sebelum penanam semula inilah yang paling saya tunggu. Kolam lapang togel tanpa apa-apa struktur di dasar membuatkan saya lebih suka memburu haruan di sini.
Boiling Macam PB
Pertama kali saya berkunjung semasa teratai baru sahaja ditanam dan ia belum memenuhi keseluruhan kolam. Kebetulan saya jumpa kolam ini semasa merayau dan terhenti sebaik melihat keadaan air seperti boiling peacock bass (PB) di tengah lombong!
Saya terus masuk ke ladang yang kebetulan pintu pagarnya terbuka luas. Cast pertama di tengah boiling tak diendahkan walaupun sekelilingnya penuh sambaran yang saya sangkakan PB.
Apabila diperlahankan lagi aksi popper, akhirnya ia disambar haruan. Terkejut saya kerana menyangka ia mungkin tersesat dalam gerombolan PB yang sedang menggila. Balingan seterusnya juga mendapat sambaran haruan walaupun saya tukar kepada minnow.
Seharian di kolam ini, cuma beberapa ekor haruan yang saya perolehi, boiling yang saya lihat di merata-rata kolam tidak pula mengena PB. Saya mula syak boiling itu semuanya angkara haruan. Namun agak mustahil haruan menggila seperti PB dan takkanlah haruan boleh ada terlalu banyak macam itu sekali!
Adab Masuk Tanah Orang
Kunjungan seterusnya, saya disapa tuan punya kolam. Saya ditegur dan diarah keluar dengan nada baik. Menurutnya, dia tidaklah marah cumanya aktiviti memancing bakal merosakkan tanaman teratainya jika haruan lari masuk ke dalam kawasan teratai dan akar teratai tertarik keluar atau batangnya terputus akibat perlawanan saya dengan ikan.
Sudah jadi kebiasaan mana-mana kaki pancing menceroboh tanah-tanah persendirian mahupun kolam-kolam ternakan ikan. Saya juga tidak terlepas daripada berbuat demikian, ini kerana naluri semula jadi kaki pancing yang mahukan keseronokan hobi. Namun kita sendiri tidak sedar yang tindakan kita itu sebenarnya salah dan silap-silap boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Setelah tak tahan dengan boiling haruan cendol di kolam itu, saya akhirnya berjumpa tuan kolam untuk meminta kebenaran memancing. Pada asalnya tuan kolam ini tetap tidak membenarkan, namun setelah pujuk rayu akhirnya dia bersetuju dengan syarat cuma setelah mereka tuai hasil teratainya.
Selepas waktu penanaman semula, saya tidak lagi dibenarkan mengilat di kolamnya dan perlu tunggu musim menuai seterusnya. Ia sudah cukup gembira walau hanya cuma satu bulan untuk saya menikmati haruan cendol di sini.
Begitulah adabnya kita masuk ke tanah orang, perlulah ada keizinan tuan tanah dan ia lebih baik daripada kita main terjah sahaja. Dengan meminta secara baik, pastinya juga akan dibenarkan dengan baik, syaratnya janganlah kita rosakkan tanaman mahupun kawasan sekitarnya.
Kawasan Tadahan Hujan
Terdapat satu lagi spot larangan heaven mengilat haruan yang biasa dilihat di sini iaitu kolam tadahan hujan. Spot seperti ini biasa dilepas pandang oleh pengilat haruan yang menyangkakan tiada hidupan akuatik di dalamnya. Namun di sinilah sebenarnya spot heaven yang paling senang dijumpai tetapi ada sesetengahnya paling susah diakses dek kerana kawalan ketat pihak berwajib.
Ia sama sahaja dengan kolam tanaman teratai, kolamnya lapang dan togel, tanpa struktur dan tak begitu dalam, cuma mungkin di sesetengah tempat dibina dengan konkrit. Bezanya spot seperti ini dengan spot heavy cover, haruan di sini kurang berminat dengan gewang replika katak. Beberapa kali saya hampir kumpau dengan hanya berbekalkan gewang replika katak.
Memandangkan kawasan ini terlalu lapang tanpa struktur maka haruan di sini tiada tempat untuk berlindung dan mengendap mangsa. Ia berkelakuan amat berbeza dengan saudaranya yang lain dengan kebanyakannya merayap di segenap kolam untuk memburu.
Melakukan serangan secara berkumpulan memang sesuatu yang agak asing bagi spesies ini, namun keadaan persekitarannya telah mengubah perangai asalnya.
Antara haruan yang berjaya dinaikkan dengan gewang top water, tapi panjang tangan juga la nak mengilatnya.
Minnow Killer
Penggunaan minnow tenggelam perlahan dan bersaiz agak kecil antara yang paling killer di kawasan ini. Kebanyakan haruan mega yang kami perolehi dijerat dengan gewang ini yang dikarau perlahan.
Teknik menunggu ia timbul dan lontar seperti memburu toman di tasik adalah yang paling berkesan daripada meletihkan diri dengan membuat balingan secara membabi -buta di segenap kolam. Kebiasaannya haruan tidak akan menolak minnow yang lalu di depan matanya kerana dietnya di sini adalah anak-anak ikan serta seluang.
RAHSIA MENGILAT HARUAN MALAM
Banyak teori mengatakan haruan sebenarnya cukup aktif pada waktu malam. Sudah banyak bukti ditunjukkan oleh pengilat haruan tegar di mana mereka kebiasaannya keluar selepas waktu maghrib sehingga tengah malam. Ada juga yang akan keluar se-awal jam 3 pagi – 9 pagi hanya untuk mengilat haruan! Saya turut mencari sejauh mana kebenarannya di kolam-kolam ini sehingga berjaya menemui tekniknya.
Beberapa kali saya mencuba mengilat malam di kedua-dua kawasan ini dan hasilnya cukup memberangsangkan. Dalam kegelapan malam, saya hanya mampu mendengar bunyi letupan yang tidak putus-putus di segenap kolam, namun koordinat letupan itu sukar dikesan kerana suasana amat gelap. Blind cast sahaja mampu saya buat.
Cumanya pada waktu malam kita boleh sasarkan kawasan tebing kerana kebanyakan anak ikan akan berlindung di kawasan itu.
Gewang vs Katak
Penggunaan katak hidup adalah yang terbaik jika ingin mengilat haruan malam kerana kelebihan bau hanyir katak itu amat mudah untuk haruan mengesannya. Namun disebabkan katak bukanlah diet utama haruan di kawasan ini, adakalanya hasil menjadi sangat hambar.
Saya telah mengeksperimen penggunaan gewang luminous (pendarcahaya) dengan katak hidup. Hasilnya gewang luminous didapati lebih mencakup berbanding penggunaan katak. Dengannya, kami lebih banyak mendapat sambaran dari haruan.
Minnow, sinking pencil, soft vibe mahupun katak getah yang berbadan luminous amat efektif menjebak haruan pada waktu malam. Cuma kebanyakan haruan yang kami peroleh adalah ketika kuasa cahaya luminous-nya sudah agak berkurangan dan bukannya ketika ia baru dicas dan cahayanya terang-benderang.
Teknik karauan yang juga agak perlahan amat penting. Saya banyak mendapat strike haruan ketika menggunakan Storm Flutterstick 7 cm dan Duel Hardcore Sinking Pencil 9 cm.
Teknik Casting Malam
Lontar gewang dan biarkan ia tenggelam seketika, kemudian dimainkan dengan mengangkat batang joran ke atas secara mengejut dan agak pendek untuk membuatkan aksi lompatan di dasar kolam. Diulang beberapa kali dengan banyak kali berhenti untuk membiarkan gewang tenggelam semula ke dasar kolam.
Banyak sambaran yang saya perolehi ketika gewang sedang tenggelam ke dasar kolam, dan ini adakalanya menjadi kelemahan teknik ini kerana tali biasanya akan mengendur sedikit ketika membiarkan gewang tenggelam ke dasar.
Kita hanya akan merasakan strike dari haruan ketika tali sudah mula menegang dan cuma deria rasa yang boleh diguna pakai ketika ini kerana deria penglihatan kita yang terbatas dek kegelapan malam.
Menjadi kelebihan buat sang haruan pada ketika ini untuk melepaskan semula gewang yang digonggongnya bila mana ia terasa keras pada mulutnya sebelum kita sempat membuat sentapan.