Misteri Selekoh Buaya
Lubuk Selekoh Buaya di Midland, Sarawak amat terkenal dengan sarang mewah Si Putih bersaiz mega. Setiap kali menduga lubuk ini, pasti ada penghuni yang menyambar gewang. Kami juga sering kali putus tali perambut atau tali utama atas desakan dan henjutan yang luar biasa dari penghuni dasar. Memang tidak dinafikan itu semua kerja Sang Siakap yang bersaiz kasar. Tetapi kali ini kami dikejutkan spesies misteri yang tidak disangka-sangka pula!
Teks & Fotografi: SYABELI BIN JOHRI
Trip Sungai Limut yang berlangsung pada akhir bulan Mac ini agak unik dan berbeza. Hasil tangkapan bukan seperti biasa. Rupa-rupanya ada penghuni baru yang bertandang dan memburu di situ. Iaitu sejenis kerapu yang bersaiz agak kasar. Hal ini dikenalpasti semasa trip pertama pada Mac lepas, beberapa ekor ikan kerapu bersaiz gred A dapat dinaikkan seawal pagi. Ini membuatkan kami terkedu bercampur gembira seketika kerana lubuk ini kebiasaannya memang tiada spesies ini.
Kami berjaya mendaratkan beberapa ekor kerapu, siakap merah, alu-alu, talang-talang, GT dan siakap putih bersaiz sederhana. Kebanyakannya dinaikkan mengguakan gewang selaman dalam antara 3.5m – 4.5m melalui kaedah trolling. Keadaan air pula, lubuk ini kami akan bertandang semasa air baru berbalas surut, masa inilah ikan-ikan pemangsa berkumpul di sini untuk memburu ikan kecil. Anak-anak ikan suka bermain di kawasan ini disebabkan struktur bawah dasar sungai yang berbatu dan berkarang. Trip berakhir dengan saya dihadiahkan seekor tenggiri papan bersaiz 800g.
Tidak puas hati dengan trip pertama, kami komplot lagi seawal selepas solat subuh iaitu 5.40am minggu terakhir bulan Mac dengan harapan untuk menaikkan Sang Siakap yang bersaiz mega. Seperti biasa gewang yang wajib dibawa adalah Ofmer Xdeep 75f. Seperti biasa sebelum kami turun, kami akan pastikan mata kail asli ditukar kepada mata kail VMC x6 no2.
CAMPUR TANGAN SI KERTANG
Tibanya kami di lubuk tersebut, tundaan yang ke-3 kalinya gewang saya telah disambar rakus oleh penghuni yang tidak dapat dikenalpasti. Dari segi lariannya, dapat dirasakan mangsa ini merupakan ikan kerapu bersaiz mega. Tapi masih tidak pasti lagi dan kami masih tertanya-tanya ikan apakah itu. Setelah bertarung lebih kurang 20 minit pada kedalaman air cuma 4 meter, akhirnya mangsa menyerah dan kami tergamam seketika apabila melihat seekor kertang juvenile seberat 12.3kg terbujur timbul dalam keadaan yang lemah akibat pertarungan yang agak lama tadi.
Trip tidak berakhir di situ sahaja, kami meneruskan usaha untuk menduga lagi di tempat yang sama dengan gewang yang sama. Hampir 20 minit berlalu tiada sambaran berlaku, berkemungkinan ikan lari seketika akibat gangguan pertarungan pertama tadi. Sehinggalah sekali lagi gewang saya disentap kuat oleh penghuni dasar di mana dalam anggaran saya, saiz kali ini lebih besar dari yang sebelumnya. Malangnya pertarungan ini agak mengecewakan kerana setelah 15 minit berlalu akhirnya ikan berjaya masuk ke kawasan batu-batu besar sehingga memutuskan tali. Sememangnya trip menduga Sang Siakap bertukar menjadi trip kerapu mega. Luar biasa.