Mustaham Di Puncak Borneo
Terletak 190 km di utara Kota Kinabalu, Kudat dahulunya pernah dikenali sebagai ‘Tanjong Berungus’ kerana dihuni suku kaum Rungus. Berkeluasan 1,287 km persegi meliputi Semenanjung Kudat, Pulau Balambangan, Banggi, Malawali, Matunggong dan banyak gugusan pulau kecil menjadikan sektor perikanan sebagai penyumbang kedua terbesar ekonomi daerah Kudat selepas pertanian, dan menarik kehadiran ramai kaki pancing tegar datang berkunjung…
Teks : LEMPAYUN
Fotografi : LEMPAYUN & HAMZAH BIGSHOW
Aktiviti memancing telah merancakkan lagi kegiatan sosio-ekonomi di Kudat. Jika sebelum ini, para pengusaha bot pancing Kota Kinabalu (KK) memainkan peranan ini, kini anda terpaksa menunggu berbulan malahan bertahun untuk menyewa bot pancing terbaik di daerah Kudat.
Team jigging DocJaz dari KK telah menggunakan khidmat tekong Meng dalam trip ini. Bot sepanjang 70 kaki ini memuatkan 12 pemancing dengan selesa. Kapal ini juga dilengkapi tandas, dapur, katil, meja makan, ruang solat, GPS, sonar, kemudahan mengecas bateri malahan sistem penghawa dingin untuk kabin rehat pemancing.
Bagi penggemar pancing dasar, jeti bot hanya terletak bersebelahan pasar ikan Kudat, memudahkan anda membeli bekalan umpan segar.
Masa memancing terbaik ketika bulan gelap di mana umpan segar seperti ikan basung, rumahan dan sotong segar amat banyak dijual dengan harga sangat murah. Anda juga tak perlu beli bekalan makanan kerana tekong menyediakan makanan tiga kali sehari. Anda hanya perlu bawa air mineral dan minuman tenaga sahaja.
Takat Mustaham
Laut Mustaham yang amat luas di Kudat menyebabkan kebanyakan tekong mengambil masa berbelas tahun untuk meneroka potensi dasar lautnya. Tekong Meng mengakui menyimpan lebih 1,000 koordinat takat. Pilih sahaja jenis ikan yang dikehendaki, tekong Meng yang amat arif dengan takat spesies tertentu akan membawa anda ke sana.
Kedalaman takat Mustaham yang puratanya 70 – 170 meter diakui oleh ramai tekong dan pemancing didiami pelbagai spesies yang mampu mencapai saiz monster!
Bot kami bergerak selaju 7 knot dan memerlukan kira-kira 6 jam untuk tiba di takat Laut Mustaham. Jig rata-ratanya 80 – 250 gram. Jika dihimpunkan semua peralatan yang dimiliki oleh 12 jigger ini, agaknya boleh buka sebuah kedai pancing mini khas untuk jigging!
Takat Aji-Aji
Tekong Meng mengemudi ke takat berkedalaman 100 – 150 meter. Menurutnya, takat berkedalaman ini biasa dihuni amberjack atau aji-aji yang terkenal dengan daya juang amat tinggi. Kedalaman sehingga 150 meter memerlukan jigger menurunkan jig seberat 150 – 200 gram agar cepat tiba ke dasar dan tidak hanyut terlalu jauh.
Selepas jig menyentuh lantai laut, jigger perlu berwaspada kerana kebanyakan sambaran berlaku dalam zon sehingga 30 meter dari dasar. ‘Slow jigging’ sememangnya amat fokus dengan memberi tumpuan terhadap permainan jig mereka dalam zon sambaran ini.
Aji-Aji bukanlah spesies cerewet. Apa sahaja jenis, warna dan gaya unjunan jig anda, jika ia berada dalam jarak serangannya, pasti jig akan diterkam dengan ganas. Ketika itulah, sikap ‘sporting’ di kalangan jigger diperlukan.
Jigger lain akan segera menaikkan jig masing-masing untuk memberi ruang kepada kawan yang menerima sambaran aji-aji. Aji-aji kebiasaannya akan mempamerkan daya juangnya hingga ke permukaan air, di samping melakukan pusingan di sekeliling bot. Oleh itu, jika ada jigger gagal memberikan kerjasama, tali utama pasti akan berbelit sesama sendiri dan membantu aji-aji melepaskan diri.
Takat Kerisi Bali
Kerisi bali mendominasi takat-takat yang puratanya berkedalaman 80 – 150 meter. Spesies yang biasanya berkumpulan ini amat menggemari takat berlumpur di dasar laut. Walaupun ia spesies penyelongkar makanan di dasar, ia juga tidak menolak jika disuakan dengan jig.
Zon sambaran kerisi bali hanyalah beberapa kaki dari dasar. Oleh itu, pengunjun perlu mainkan jig secara perlahan dalam zon sambarannya sahaja. Jika terserempak bondongnya, pastikan anda bersedia dengan situasi ‘taruk makan, taruk makan’ selama beberapa jam!
Takat Bawah Mustaham
Pada hari terakhir, kami singgah di takat bawah Laut Mustaham yang mempunyai purata kedalaman antara 25 – 55 meter ini. Jig 40 – 60 gram amat ideal. Set jigging juga diturunkan kepada kelas ringan agar tahap keseronokan dapat dipertingkatkan.
Ramai antara kami gemar takat secetek begini kerana ia tidak memenatkan. Di takat-takat ini, jigging secara berhanyut telah menemukan kami dengan kerapu sunoh, GT, guntur dan pelbagai lagi. Seringkali juga berlaku sambaran padu yang gagal ditumpaskan.
Pengaruh Pasang Surut
Saya mendapati kejayaan sesebuah trip jigging amat bergantung kepada pasang surut. Pergerakan arus laut boleh mempengaruhi keaktifan ikan-ikan untuk bereaksi terhadap jig.
Selalu berlaku ketika arus mati, meskipun imej ikan memenuhi ruang skrin sonar, tetapi tiada seekor pun yang menyergah jig berbanding ketika arus sedang bergerak.
Namun tempoh pergerakan arus ketika bulan terang adalah agak singkat berbanding ketika arus mati. Ketika ini, anda perlu manfaatkan sepenuhnya saat keemasan ini kerana keadaan air mati dan pasang banir yang lebih lama menyebabkan takat menjadi sunyi.
Ketika air mati, turunlah apa sahaja jenis jig dengan gaya kung fu jigging masing-masing, ia pasti akan menghampakan. Oleh itu, memilih tarikh yang sesuai sebelum menempah khidmat kapal pancing adalah amat penting.
Ecotourism Memancing
Kedudukan Kudat yang amat strategik sebagai hab makanan laut sewajarnya menjadi perangsang untuk di-kembangkan potensi ecotourism-nya berasaskan sukan memancing.
Projek-projek pemuliharaan takat di sekitar laut Kudat perlu diperhebatkan. Segala sumber yang ada wajib digembleng untuk menghapuskan sebarang kegiatan yang merosakkan hidupan laut Kudat seperti aktiviti pengeboman dan meracun ikan. Hal ini bukan sahaja akan menguntungkan para pemancing, malahan mampu memacu perkembangan ekonomi masyarakat tempatan khasnya dan daerah Kudat ammnya.
*Tekong Meng Kudat : 019-850 6648