Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Panduan Bot Kecil (Bhg. 2)

Enjin sangkut 5 kuasa kuda merupakan pasangan terbaik buat bot yang lebih kecil dan ringan seperti bot aluminium. Jika anda bercita-cita tinggi dan ingin mengembara ke perairan yang lebih jauh atau luas, gunakan enjin 8 atau 10 kuasa kuda. Enjin 15 kuasa kuda tidak diperlukan, melainkan bot anda amat besar dan berat atau anda berjiwa Mat Rempit!

Oleh : PAK WONG

Pada keluaran lepas, kita telah bincangkan tentang pendayung dan parang yang merupakan kelengkapan terpenting bagi sebuah bot kecil. Seterusnya kita akan memerlukan seutas tali dan sebilah sauh kecil.

Tali & Sauh

Tali yang diperlukan tidak usah terlalu kasar, namun harus mempunyai ukuran sekurang-kurangnya 15 kaki atau 5 meter panjang. Kegunaan utama tali ialah untuk mengukuhkan ikatan bot di atas bumbung kereta. Ia juga boleh digunakan untuk mengikat bot apabila anda ingin naik ke tebing supaya bot tidak terhanyut akibat aliran air atau tiupan angin. Apabila sampai ke tempat yang sukar diharungi, tali juga diperlukan untuk kita menarik bot melepasi halangan dari atas tebing.

Satu lagi kelengkapan yang sentiasa diperlukan ialah sauh. Sauh kecil yang berbentuk seperti payung ini boleh didapati di kedai pancing atau pembekal peralatan bot. Selain diperlukan untuk teknik pancingan dasar, sauh sebenarnya juga amat membantu apabila kita mempraktikkan teknik mengilat. Andainya anda ingin menduga di sebuah spot dalam masa yang agak panjang, adalah baik untuk menurunkan sauh bagi mengelakkan tolakan angin dan bot dapat kekal di posisi yang diingini.

Gewang dibedal seekor belida bintik bersaiz kasar apabila ditunda melalui sebuah struktur yang berbukit di dasar lombong.

Thruster & Sonar

Thruster merupakan peralatan yang amat berbaloi dimiliki. Thruster yang dikuasai oleh bateri 12 volt mengizinkan anda untuk mendekati spot berpotensi secara senyap. Apabila enjin sangkut buat hal, sekurang-kurangnya thruster ada ketika kecemasan. Teknik mengilat merupakan teknik yang perlu sentiasa berpindah tempat, justeru thruster yang senyap apabila beroperasi telah menjadi alat yang wajib dimiliki setiap caster.

Bagi saya, sonar merupakan alat penting dengan fungsi yang amat praktikal. Usahlah membeli model canggih dengan skrin berwarna, asalkan dapat menunjukkan kedalaman dan keadaan dasar lubuk sudah memadai. Banyak teknik termasuk teknik mengilat memerlukan kita untuk mendapatkan informasi kedalaman dan struktur lubuk bagi mencapai keputusan sebaik mungkin.

Saya gemar menunda gewang di kawasan lombong. Dengan bantuan sonar, saya telah mempelajari cara untuk memahami kedalaman dan struktur lubuk sasaran bagi mengenal pasti tempat ikan-ikan lombong bermain. Saya juga telah mencapai keputusan cemerlang di kawasan muara melalui bantuan sonar.

Bot Aluminium

Berbalik kepada bot pancing pula, apabila membuat pilihan, faktor berat merupakan satu aspek yang amat penting untuk diambil kira. Adakalanya kita terpaksa menurunkan dan menaikkan bot dari kereta berulang kali untuk bertukar ke lubuk yang berhampiran. Kita akan cepat merasa letih jika bot kita berat.

Bot buatan aluminium merupakan bot yang paling ringan berpandukan saiznya. Ia juga lebih tahan lasak berbanding bot fiber dan merupakan pelaburan yang lebih berbaloi bagi kegunaan jangka masa panjang.

Enjin Sangkut

Apabila menyentuh faktor berat, enjin sangkut pilihan juga perlu difikir-fikirkan. Jika anda hanya memancing di kawasan yang tidak luas atau tidak jauh, enjin 5 kuasa kuda sudah mampu membekalkan kelajuan yang memuaskan, terutamanya dengan bot aluminium. Kelebihannya ialah ia amat ringan dan dapat diangkat, biarpun dengan tenaga seorang sahaja.

Jika anda bercita-cita tinggi dan ingin mengembara ke kawasan yang lebih jauh, bolehlah lengkapkan bot aluminium anda dengan enjin 8 atau 10 kuasa kuda. Enjin 15 kuda yang amat berat jarang diperlukan, melainkan jika bot anda amat besar dan berat, atau pun anda berjiwa Mat Rempit!

Reka Bentuk Bot

Bot pancing kecil pada umumnya terdapat dalam dua reka bentuk iaitu berlunas tajam (V-hull) atau rata (punt). Kelebihan bot berbadan tajam ialah ia dapat membelah perairan yang berombak dengan selamba, tetapi kelemahannya ialah ia kurang stabil apabila kita ingin mengilat secara berdiri. Bot berbadan rata atau lepap (punt) pula lebih stabil, tetapi kurang efisien membelah ombak.

Jika anda memancing di tasik atau lombong yang bersaiz sederhana pada kebanyakan masa, anda akan menyukai bot berbadan rata. Jika anda sentiasa bermain di persisiran pantai atau tasik empangan yang amat luas, bot berlunas tajam merupakan pilihan yang lebih tepat.