Panduan Bot Kecil (Bhg.1)
Pendayung merupakan alternatif terbaik jika anda tidak mempunyai thruster. Ia juga dapat menolong anda membersihkan rumpair yang menjadi penghalang, menolak bot apabila sampai ke perairan yang amat cetek, melepaskan gewang kesayangan apabila tersangkut sehinggalah menghalau ular yang jatuh ke dalam bot anda dari atas pokok!
Oleh : PAK WONG
Pemancing yang gemarkan pancingan air tawar atau muara pasti mengidamkan sebuah bot kecil yang dapat diangkut dengan kereta. Bot kecil memberi banyak kelebihan termasuk menerokai setiap pelosok lubuk kegemaran tanpa perlu berebut spot di sepanjang tebing dengan pemancing-pemancing lain. Peluang untuk mendapat ikan juga bertambah jika kita memperolehi sebuah bot kecil dan dapat merasai kebebasan memancing dengan sepenuhnya!
Jika anda ingin berbuat demikian, artikel ini boleh dijadikan panduan yang penting. Saya ingin berkongsi pengalaman memancing di perairan air tawar dan muara dengan bot kecil di segenap Semenanjung Malaysia sehingga ke negara jiran selama belasan tahun. Namun sebelum memulakan projek ini, terdapat beberapa aspek penting yang perlu difikirkan terlebih dahulu.
Fikirkan Tiga Perkara
Pertama, anda memerlukan sebuah kereta yang sesuai untuk membawa bot. Jika anda hanya ingin pergi ke lokasi yang dapat dilewati sebarang kereta, maka semua jenis kereta pun dapat menanggung tugas ini. Tetapi anda tidak digalakkan berbuat demikian. Setelah mempunyai bot, satu hari nanti anda pasti ingin terokai lubuk yang lebih terpencil dan memerlukan sebuah kereta pacuan empat roda untuk sampai ke lubuk seperti itu.
Kedua, anda perlukan seorang rakan yang sekepala. Rakan ini harus mempunyai semangat kembara seperti anda dan keadaan fizikal yang memuaskan. Selain dapat menolong memunggah bot dan enjin sangkut, beliau juga dapat bersama anda menghadapi dan mengatasi sebarang kecemasan.
Ketiga, anda perlu memiliki pengetahuan asas dalam pengendalian bot dan memperbaiki enjin sangkut. Jika anda ingin memancing di muara sungai, anda juga harus pandai membaca dan memahami pasang surut air bagi mengelakkan bot terkandas di beting.
Peralatan Ringkas Wajib Ada
Seterusnya ialah kelengkapan dan peralatan penting yang harus berada di atas sebuah bot kecil, pendayung dan parang.
Pendayung ringan buatan aluminium merupakan kelengkapan yang wajib dibawa setiap kali pergi memancing dengan bot kecil. Apabila enjin sangkut mogok, pendayung satu-satunya peralatan yang dapat membawa anda pulang ke tempat permulaan dan kelajuannya pasti memenangi kayuhan dengan selipar anda!
Kegunaannya yang lain termasuk menggantikan thruster untuk pengendalian bot secara senyap, membersihkan rumpair untuk laluan bot di tempat yang sempit, menolak bot apabila sampai ke perairan yang amat cetek, melepaskan gewang kesayangan yang tersangkut sehinggalah menghalau ular yang jatuh ke dalam bot anda dari atas pokok!
Satu lagi kelengkapan yang tidak kurang pentingnya ialah pisau atau parang, murah pun tak mengapa asalkan tahan lasak. Ia perlu bila saat menghadapi rumpair, samai atau jaring yang tersangkut pada kekipas enjin atau membersihkan tumbuhan di saluran air yang sempit untuk laluan bot.
Pengalaman Ngeri
Terpahat dalam ingatan saya satu peristiwa yang mencemaskan ketika memancing di sebuah lombong suatu ketika dahulu. Lombong tersebut ditumbuhi rasau yang tebal meninggi dan terapung-apung. Ia sentiasa bergerak di sekeliling lombong apabila ditiup angin, mengakibatkan rupa bentuk lombong tersebut sentiasa berubah.
Apabila saya memasuki sebuah suak panjang, segugusan rasau mega di pintu suak mula bergerak lalu menutupi mulut suak itu tanpa disedari! Panik saya dibuatnya! Mujurlah ada parang dan pendayung. Bagai separuh mati saya dan teman menebas dan menolaknya ke tepi untuk melepaskan diri daripada perangkap itu.
Seriau betul mengenang peristiwa tersebut. Apatah lagi ketika itu dah masuk senja dan angin pula hampir berhenti untuk membantu penolakan rasau itu. Tasik itu punyalah luas. Kalau tinggalkan bot di tepi tasik pun belum tentu kami dapat jumpa tempat parkir kereta. Jika tiada parang dan pendayung, mungkin kami terpaksa bermalam di atas bot dan menjadi mangsa gigitan ribuan nyamuk di sana!
Enjin
Enjin sangkut 5 kuasa kuda merupakan pasangan terbaik buat bot yang lebih kecil dan ringan seperti bot aluminium. Jika anda bercita-cita tinggi dan ingin mengembara ke perairan yang lebih jauh atau luas, gunakan enjin 8 atau 10 kuasa kuda. Enjin 15 kuasa kuda tidak diperlukan, melainkan bot anda amat besar dan berat atau anda berjiwa Mat Rempit!
Pada keluaran lepas, kita telah bincangkan tentang pendayung dan parang yang merupakan kelengkapan terpenting bagi sebuah bot kecil. Seterusnya kita akan memerlukan seutas tali dan sebilah sauh kecil.
Tali & Sauh
Tali yang diperlukan tidak usah terlalu kasar, namun harus mempunyai ukuran sekurang-kurangnya 15 kaki atau 5 meter panjang. Kegunaan utama tali ialah untuk mengukuhkan ikatan bot di atas bumbung kereta. Ia juga boleh digunakan untuk mengikat bot apabila anda ingin naik ke tebing supaya bot tidak terhanyut akibat aliran air atau tiupan angin. Apabila sampai ke tempat yang sukar diharungi, tali juga diperlukan untuk kita menarik bot melepasi halangan dari atas tebing.
Satu lagi kelengkapan yang sentiasa diperlukan ialah sauh. Sauh kecil yang berbentuk seperti payung ini boleh didapati di kedai pancing atau pembekal peralatan bot. Selain diperlukan untuk teknik pancingan dasar, sauh sebenarnya juga amat membantu apabila kita mempraktikkan teknik mengilat. Andainya anda ingin menduga di sebuah spot dalam masa yang agak panjang, adalah baik untuk menurunkan sauh bagi mengelakkan tolakan angin dan bot dapat kekal di posisi yang diingini.
Thruster & Sonar
Thruster merupakan peralatan yang amat berbaloi dimiliki. Thruster yang dikuasai oleh bateri 12 volt mengizinkan anda untuk mendekati spot berpotensi secara senyap. Apabila enjin sangkut buat hal, sekurang-kurangnya thruster ada ketika kecemasan. Teknik mengilat merupakan teknik yang perlu sentiasa berpindah tempat, justeru thruster yang senyap apabila beroperasi telah menjadi alat yang wajib dimiliki setiap caster.
Bagi saya, sonar merupakan alat penting dengan fungsi yang amat praktikal. Usahlah membeli model canggih dengan skrin berwarna, asalkan dapat menunjukkan kedalaman dan keadaan dasar lubuk sudah memadai. Banyak teknik termasuk teknik mengilat memerlukan kita untuk mendapatkan informasi kedalaman dan struktur lubuk bagi mencapai keputusan sebaik mungkin.
Saya gemar menunda gewang di kawasan lombong. Dengan bantuan sonar, saya telah mempelajari cara untuk memahami kedalaman dan struktur lubuk sasaran bagi mengenal pasti tempat ikan-ikan lombong bermain. Saya juga telah mencapai keputusan cemerlang di kawasan muara melalui bantuan sonar.
Bot Aluminium
Berbalik kepada bot pancing pula, apabila membuat pilihan, faktor berat merupakan satu aspek yang amat penting untuk diambil kira. Adakalanya kita terpaksa menurunkan dan menaikkan bot dari kereta berulang kali untuk bertukar ke lubuk yang berhampiran. Kita akan cepat merasa letih jika bot kita berat.
Bot buatan aluminium merupakan bot yang paling ringan berpandukan saiznya. Ia juga lebih tahan lasak berbanding bot fiber dan merupakan pelaburan yang lebih berbaloi bagi kegunaan jangka masa panjang.
Enjin Sangkut
Apabila menyentuh faktor berat, enjin sangkut pilihan juga perlu difikir-fikirkan. Jika anda hanya memancing di kawasan yang tidak luas atau tidak jauh, enjin 5 kuasa kuda sudah mampu membekalkan kelajuan yang memuaskan, terutamanya dengan bot aluminium. Kelebihannya ialah ia amat ringan dan dapat diangkat, biarpun dengan tenaga seorang sahaja.
Jika anda bercita-cita tinggi dan ingin mengembara ke kawasan yang lebih jauh, bolehlah lengkapkan bot aluminium anda dengan enjin 8 atau 10 kuasa kuda. Enjin 15 kuda yang amat berat jarang diperlukan, melainkan jika bot anda amat besar dan berat, atau pun anda berjiwa Mat Rempit!
Reka Bentuk Bot
Bot pancing kecil pada umumnya terdapat dalam dua reka bentuk iaitu berlunas tajam (V-hull) atau rata (punt). Kelebihan bot berbadan tajam ialah ia dapat membelah perairan yang berombak dengan selamba, tetapi kelemahannya ialah ia kurang stabil apabila kita ingin mengilat secara berdiri. Bot berbadan rata atau lepap (punt) pula lebih stabil, tetapi kurang efisien membelah ombak.
Jika anda memancing di tasik atau lombong yang bersaiz sederhana pada kebanyakan masa, anda akan menyukai bot berbadan rata. Jika anda sentiasa bermain di persisiran pantai atau tasik empangan yang amat luas, bot berlunas tajam merupakan pilihan yang lebih tepat.

Ada bot kecil pun jadilah, asalkan kita boleh meneroka kawasan perairan dengan lebih luas.
Keselamatan
Memiliki sebuah bot kecil adalah perkara yang menceriakan. Spot-spot yang dahulunya sukar diakses kini dapat diselongkar dengan mudahnya. Anda akan menikmati kepuasan penerokaan dengan berekspedisi ke semua lubuk sukar dengan bot kecil. Namun sebelum bertolak ke lubuk lebih jauh, anda haruslah belajar teknik asas pengendalian bot serta memahami perkara-perkara keselamatan terlebih dahulu.
Biarpun kita tidak perlu lesen untuk membawa bot kecil, namun peraturan-peraturan tertentu haruslah dipatuhi demi keselamatan. Janganlah bertolak terlalu awal atau terlalu lewat pulang ke tempat menurunkan bot. Langit agak gelap menjelang waktu-waktu ini dan agak sukar untuk melihat halangan di sekitar dengan jelas. Jika terpaksa juga memandu bot menjelang waktu-waktu kelam seperti ini, haruslah perlahankan bot dengan seboleh-bolehnya.
Awasi Tunggul
Perairan yang berintangan paling banyak dijumpai di empangan-empangan, terutama apabila paras air tasik jatuh. Perlahankan bot apabila memandu di perairan seperti ini. Teman anda harus duduk di hadapan bot untuk meninjau reba yang mungkin tersembunyi di bawah permukaan air. Pakailah cermin mata polarized untuk pandangan yang lebih jelas ke dalam air.
Bot kecil yang ringan mempunyai struktur yang tidak berapa kukuh. Badannya mudah pecah apabila terlanggar tunggul kayu, mengakibatkan air masuk ke dalam bot. Jika kes ini berlaku di sebuah tasik empangan yang besar, keadaan akan menjadi cemas dan panik.
Badan bot yang pecah tidak kira buatan fiber atau aluminium bukanlah senang untuk dibaiki atau disumbat. Justeru jika anda sentiasa pergi memancing di empangan, haruslah sekurang-kurangnya pergi bersama dua bot untuk mendapatkan bantuan apabila kemalangan berlaku.
Enjin Kong
Perkara yang paling ditakuti sewaktu memancing dengan bot ialah berlakunya kerosakan terhadap enjin sangkut. Pada hakikatnya jika kita sentiasa servis enjin dan menggunakan minyak pelincir berkualiti dengan kuantiti yang sepatutnya, kes enjin rosak memang jarang berlaku. Walau apa pun, sentiasa sediakan plug baru dalam kotak pancing anda.
Jika enjin sangkut sukar dihidupkan, masalah biasanya berpunca dari plug-nya. Justeru anda harus sediakan spanar untuk membuka plug dan juga sekeping kertas pasir. Bahagian plug yang menghasilkan api akan menjadi oxide dalam jangka masa tertentu. Pembersihan bahagian ini dengan kertas pasir biasanya akan membereskan masalah.
Ombak
Memancing dengan menaiki bot di laut sentiasa dilanda ombak, begitu juga apabila memancing di tasik yang luas. Apabila ribut berlaku, ombak juga akan muncul di perairan tasik yang luas terbentang.
Biarpun ombak tasik tidak sampai satu meter tingginya, tetapi boleh membahayakan bot kecil terutama bot yang berlunas rata / lepap (punt). Jika terkena ombak, segeralah beralih ke tebing atau terus menarik bot ke atas tebing jika keadaan tidak mengizinkan.
Haiwan Liar
Jangan ingat memancing di atas bot akan selamat daripada ancaman binatang liar. Jika anda selalu memancing di tasik empangan, anda akan berpeluang menemui ular. Pokok-pokok mati yang berdiri di tengah tasik biasanya terdapat lubang-lubang yang menjadi kediaman kepada burung dan juga ular berbisa.
Janganlah terlalu dekat dengan pokok-pokok seperti ini apabila memancing di tasik empangan. Saya sendiri pernah mengalami kes menakutkan ini apabila seekor ular jatuh ke dalam bot apabila saya sedang syok casting!
Akhir sekali, sediakanlah peti atau beg kalis air untuk melindungi barangan penting anda agar tidak basah apabila ditimpa hujan atau apabila terjadi kes bot terbalik. Jika ingin menjelajah ke perairan yang jauh, jangan lupa untuk sediakan minyak spare supaya tidak berputih mata apabila berlakunya kes sesat jalan!