Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Panduan Lengkap Menggunakan Soft Plastic Secara Berkesan

Antara gewang yang boleh dinobatkan paling ‘killer’ ialah soft plastic (SP). Mengapa? Ini kerana hampir semua ikan boleh diperangkap olehnya. Ia juga menjadi umpan yang mujarab untuk ikan yang sudah culas dengan gewang lain. Tetapi tidak ramai pemancing yang suka gunakan gewang lembut ini lantaran tidak pasti apakah kaedah yang sebenar untuk menggayakannya dengan efektif. Saya yakin, jika anda sudah mengetahui kunci permainan dan mendapat feel yang sebenar, anda pasti ketagih dengan permainan SP ini. Jadi dalam artikel kali ini saya cuba beri satu panduan yang lengkap kepada anda dalam menggunakan SP secara berkesan.

Oleh : MUHAMAD NAIM (inchenaim.com)

Bagaimana Memilih SP Yang Tepat?

Perkara yang paling mustahak dalam dunia SP ialah untuk memilih SP yang betul. Terima kasih pada kemajuan teknologi, sekarang kita boleh mendapatkan pelbagai jenis SP yang benar-benar kelihatan seperti hidupan sebenar.

Apa yang paling penting ialah, kita tahu jenis ikan mangsaan yang ada di kawasan padang pancing dan diet spesies ikan buruan kita. Contohnya diet untuk kebanyakan pemangsa muara seperti siakap ialah belanak dan udang. Oleh itu, wajar untuk kita memilih SP yang menyerupai diet ikan tersebut.

Apakah Warna SP Yang Terbaik?

Antara dilema yang selalu dihadapi ramai pemancing ialah memilih warna gewang yang sesuai. Bagi saya, tiada warna magik dalam dunia gewang.

Warna gewang (termasuklah SP) harus dipilih berdasarkan kesesuaian pelbagai faktor seperti kondisi air dan keadaan cuaca. Di sini saya cuba nyatakan secara ringkas pemilihan warna mengikut keadaan air.

1) Keadaan Air Jernih

Ikan selalunya agak culas dalam keadaan air yang jernih. Untuk memaksimumkan sambaran menggunakan SP dalam air jernih, pilih umpan yang mempunyai warna semulajadi seperti hijau, putih, coklat, atau warna yang betul-betul meniru spesies mangsaan.

Matching the hatch adalah konsep yang sangat berguna ketika air jernih. Persembahan gewang yang super natural akan membuatkan ikan menghentam SP anda tanpa ragu-ragu.

2) Keadaan Air Gelap & Keruh

Air keruh selalunya mempunyai lebih banyak sedimen dan menyebabkan penembusan cahaya kurang. Penglihatan ikan akan berkurang dan mereka akan bergantung kepada bayang-bayang dan getaran untuk mengesan mangsa.

Maka, bila menggunakan SP dalam kondisi air yang keruh, apa yang terbaik ialah memilih umpan yang mempunyai aksi yang jelas dan mempunyai profil yang besar.

Warna yang terbaik ialah kontras yang ketara dengan keadaan sekeliling seperti hitam, biru, black neon dan junebug, atau kombinasi dua warna. Warna yang terang juga seperti oren, pink dan chartreuse (hijau terang) juga berkesan dalam air yang gelap atau cuaca yang mendung.

Oleh kerana penglihatan ikan terbatas, menambahkan perisa tertentu atau digunakan bersama bilah kekipas adalah penambahbaikan yang bijak.

 

Tidak ramai pengilat gemar gunakan SP sedangkan ia adalah gewang yang cukup killer.

TIPS MEMILIH JIGHEAD YANG SESUAI 

Memilih padanan jighead yang sempurna dengan SP memang sedikit mengelirukan. Ia bergantung kepada banyak faktor dan kaedah yang kita ingin sasarkan.

Tetapi saya cuba beri beberapa panduan umum dalam memilih jighead yang tepat dan sesuai :

1) Saiz Mata Kail

Saiz mata kail mestilah bersesuaian dengan saiz dan panjang badan SP. Jika mata kail terlalu kecil, sukar untuk dapat hook-up yang baik. Jika mata kail terlalu besar pula, SP tidak dapat beraksi secara natural.

Selalunya untuk Z-Man minnow bersaiz 3 inci, saya akan gunakan saiz jighead 3/0.

2) Berat Jighead

Pemilihan berat jighead yang sesuai bergantung kepada banyak faktor seperti kedalaman air, kelajuan arus, dan struktur di spot memancing. Oleh itu, sesuaikan berat jighead dengan elemen-elemen berikut :

a) Kedalaman Air

Secara umum, semakin dalam air, semakin berat jighead yang kita perlukan. Alasannya adalah kerana kita mahu SP sampai ke strike zone secepat yang mungkin.

Walau bagaimanapun, jangan pula memilih jighead yang terlampau berat seperti bom jatuh ke dasar tasik! SP yang sedang jatuh ke dasar sepatutnya kelihatan sehidup yang mungkin.

b) Kelajuan Arus

Semakin laju arus, semakin berat jighead yang diperlukan. Ini adalah kerana kita tak mahu SP kita hanyut melepasi strike zone atau tersasar dari lubuk.

c) Struktur

Jika sasaran kita adalah dasaran, jighead yang berat akan membantu SP untuk kekal rapat ke dasar.

Untuk sasaran pertengahan atau permukaan air pula, atau di kawasan yang mempunyai rumpai / samai, jighead yang lebih ringan adalah lebih praktikal.

Selain penggunaan jighead, terdapat beberapa kaedah lain untuk mempersembahkan SP seperti Carolina Rig, Texas Rig, Jika Rig dan Drop Shot Rig. 

Jighead hendaklah disesuaikan dengan badan SP dan keadaan padang pancing untuk menjadikan ia gewang yang killer.

MEMILIH PERALATAN YANG SESUAI

Petua ini dikongsikan oleh legenda mengilat dari Australia iaitu Steve Starling dan pernah disiarkan dalam majalah SIRIP beberapa tahun yang lalu. Tetapi tidak salah kita kongsikan semula memandangkan petua ini agak relevan sepanjang zaman.

Dalam permainan SP, sensitiviti adalah satu perkataan yang sangat penting. Kita harus mengesan dan merasai setiap gerak-geri SP. Oleh itu memilih padanan joran, kekili dan tali yang tepat dengan SP yang digunakan adalah sangat penting.

Ikuti tips penting berikut :

1) Gunakan joran yang panjang, ringan dan mempunyai aksi pantas (fast action). Joran yang sensitif adalah kritikal.

2) Jangan terlebih isi tali sulam pada gelendong kekili. Jika terlebih, tali akan mudah ‘bihun’ apabila melontar umpan ringan.

3) Gunakan tali sulam, dengan perambut fluorocarbon yang berukuran sama dengan panjang joran.

4) Elakkan penggunaan cili, gegelung cincin dan aksesori kecil lain apabila memasangnya – biar ringkas.

5) Untuk melontar dan memainkan SP yang ringan dengan lebih berkesan, lebih baik gunakan set kekili mendatar (spinning).

6) Untuk menambah aksi SP, gunakan tali dan perambut yang sehalus mungkin, tetapi biarlah realistik dengan keadaan padang pancing.

7) Padankan berat dan kuasa peralatan dengan saiz SP yang ingin dilontar serta padankan dengan kekuatan spesies sasaran.

8) Sentiasa perhatikan tali anda. Kadangkala ikan suka mengutip umpan semasa tali kendur.

Permainan SP memerlukan set pancing yang sesuai agar ia dapat dipersembahkan dengan lebih berkesan.

5 TEKNIK ASAS PERSEMBAHAN S.P 

Tidak dinafikan, mempersembahkan SP umumnya adalah kaedah pancingan yang sangat perlahan. Oleh itu, ia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Maka tidak hairanlah, ramai pemancing tidak sanggup bertahan dengannya sebelum memperoleh hasil pertama. Dalam bahagian ini, saya akan terangkan teknik asas cara permainan SP yang telah terbukti berkesan.

1) Karauan Lurus

Kebanyakan orang rasa skeptikal terhadap teknik ini apabila menggunakan SP. Tapi sebenarnya menggunakan gewang lembut tidaklah serumit yang disangka. Malah, ia sebenarnya teknik yang berkesan untuk memerangkap ikan yang sedang aktif.

Contohnya apabila anda sedang melihat ada pemangsa yang sedang galak mengejar ikan kecil, mengapa harus membuang masa membiarkan SP jatuh ke dasar? Anda boleh karau secara perlahan, sederhana dan laju.

SP minnow yang berekor pendayung (paddle tail) adalah pilihan yang bijak. Ia semudah lontar, tarik dan kekalkan halaju karauan apabila anda merasai getaran ekor SP tersebut. Kaedah ini juga boleh digayakan dengan karauan super slow, untuk meniru mimik ikan yang sedang leka dan cuai.

2) Retrieve & Drop

Lontar dan tunggu SP jatuh ke dasar. Kemudian karau tali dengan kelajuan biasa sebanyak 2 – 3 pusingan dan biarkan SP turun jatuh ke dasar kembali.

Dalam kaedah ini, apa yang paling penting ialah pilih berat jighead yang tepat berdasarkan padang pancing. Apa yang ingin dicapai ialah tempoh jatuhan SP ke dasar dalam 1 – 2 saat. Biarkan SP di dasar selama 1- 2 saat untuk merangsang ikan membuat serangan.

Gunakan jighead yang berat untuk air yang dalam, dan jighead lebih ringan untuk air yang lebih cetek. Selain itu, tali tebal juga akan menambah tempoh SP jatuh ke dasar.

Teknik ini sangat killer apabila digunakan dengan kaedah Carolina Rig. Biasanya ikan akan menyerang ketika SP sedang jatuh berkibaran atau semasa mendarat pada permukaan dasar.

3) Lift & Drop (Angkat & Jatuhkan)

Kaedah ini lebih kurang sama teknik di atas, cuma perbezaan utama ialah pergerakan SP dijalankan oleh joran, bukan kekili.

Buat lontaran dan biar SP anda jatuh ke dasar. Kekalkan joran pada kedudukan jam 9, kemudian angkat joran anda ke kedudukan jam 11. Kemudian turunkan kembali joran pada kedudukan asal (jam 9) dan buat karauan untuk menegangkan tali.

Semasa joran kembali ke kedudukan asal, SP anda seharusnya akan dapat mencecah dasar dalam jangka masa 1 – 2 saat. Kekalkan SP di dasar selama 1 – 2 saat (atau lebih) untuk merangsang ikan membuat serangan.

Kaedah ini sesuai digunakan di lubuk yang berarus kuat, atau mencari ikan yang suka membuat serang hendap. Serangan biasanya berlaku apabila SP hendak meninggalkan dasar.

4) Seretan Dasar

Memang mudah nak memberangkan ikan ketika ia sedang aktif dan berselera. Tetapi bagaimana ketika ikan sedang moody?

Salah satu cara ialah tumpukan bahagian dasar. Dengan kaedah ini, ia akan cover kawasan lebih luas dan mengelakkan kebarangkalian untuk terlepas tempat persembunyian ikan. Tujuannya agar SP anda disedari oleh pemangsa.

Dengan menyeret umpan di sepanjang dasar, ia akan membuatkan debu-debu di dasar berterbangan, mimik ikan kecil, cacing atau udang dengan mencari makan. Berhenti (pause) adalah kuncinya. Serangan biasanya berlaku semasa kita hentikan SP.

Untuk kaedah ini, saya lebih gemar gunakan SP bersifat terapung seperti Z-Man Minnow Z, di mana ekornya akan terjungkit ke atas seolah-olah ikan sedang mencari makan.

Paling penting ialah penggunaan berat jighead yang betul. Jika jighead terlalu berat, ia akan mengorek dasar. Jika terlalu ringan pula, SP akan mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke dasar.

Penggunaan mata kail weedless juga langkah bijak untuk mengelak sangkut.

Penting untuk persembahkan SP ikut pelakuan sebenar hidupan tersebut. Contohnya, cacing tidak boleh berenang. Oleh itu, anda perlu beri pergerakan paling semulajadi di permukaan dasar.

Bagaimana lakukan kaedah ini? Buatlah balingan dan tunggu sehingga SP jatuh ke dasar. Mulakan karauan dengan kaedah ini :

  • Hujung joran direndahkan.
  • Tarik SP dengan joran dalam jarak 10-20 cm dan berhenti.
  • Ulangi proses di atas sehingga mendapat sambaran.

Tempoh henti (pause) bergantung kepada aktiviti ikan. Jika ikan tak aktif, tempoh henti mungkin boleh dipanjangkan sehingga 10 saat. Memang lama dan membosankan, tetapi inilah caranya jika ikan terlampau moody.

Kadangkala jika anda gunakan SP berupa udang (Zerek Live Shrimp contohnya), anda boleh buat sedikit jentikan kecil (twitch) supaya ia mengetuk dasar. Ia seolah-olah mengetuk pintu rumah ikan dan memprovokasi mereka untuk menyerang. Sambaran biasanya akan berlaku dalam sedutan yang ganas!

5) Jentikan (Twitching) & Sentakan (Jerking)

Kaedah ini bagus untuk mengesan ikan yang aktif dengan cepat. Sentakan kecil / jentikan dengan karauan sederhana akan membantu SP meneroka kawasan dengan lebih cepat. Kadangkala teknik ini berkesan apabila semua teknik lain gagal.

Jika anda gayakan aksi twitching ini di permukaan dasar, ia akan menyebabkan selut dan pasir pada dasar naik ke atas dan meniru aksi seperti ikan cedera. Strike biasa berlaku antara jentikan atau sentakan. Adakala serangan juga berlaku apabila SP dihentikan.

Untuk teknik ini, saya sarankan jenis SP yang dapat turun ke dasar perlahan-lahan. Jentikan dan sentakan kecil akan mengaktifkan aksi eratik dan meniru kelakuan ikan yang sedang cedera.

Jika SP tersebut disuntik dengan silikon atau bahan berkilat yang lain, jentikan akan membuatkan ia memantulkan cahaya, seterusnya menarik perhatian ikan dari jauh.

A) Karauan lurus

B) Retrieve & drop

C) Lift & drop

D) Seretan dasar

E) Twitching & jerking

PERKARA PALING PENTING DALAM PERMAINAN S.P 

Kunci menggunakan SP dengan lebih efektif ialah bersabar. Tiada cara yang betul atau salah menggunakan SP, semuanya akan datang daripada pengalaman dan eksperimen (trial and error).

Sentiasalah teroka potensi spot kegemaran anda. Gunakan kaedah berbeza ataupun gabungkan beberapa teknik semasa karauan. Cubalah cari kaedah terbaik untuk merangsang ikan untuk menyerang gewang.

Membina rentak dan mendapatkan feel permainan SP memang memerlukan sedikit masa. Anda perlu tabah. InsyaAllah, anda pasti ‘ketagih’ setelah berjaya membuka kunci rahsia di sebalik gewang yang killer ini. Semoga berjaya!