Panduan Memahami Aksi Renangan Gewang Selaman
Pemancing yang cemerlang dengan gewang biasanya akan buat dua perkara dengan bagus. Pertama sekali, mereka memahami aksi setiap gewang yang memberi mereka hasil. Kedua, mereka bijak menyesuaikan aksi renangan gewang dengan keperluan dan situasi padang pancing. Tetapi anda mungkin tertanya-tanya, bagaimanakah anda boleh tahu dan faham setiap perbezaan aksi renangan gewang yang sesuai dengan keperluan anda?
Oleh : MUHAMAD NAIM (inchenaim.com)
Hari ini saya akan jadikan perkara ini mudah untuk anda. Apa yang anda perlu buat adalah hanya luangkan sedikit masa untuk memahami jenis-jenis aksi renangan gewang yang bakal dibincangkan.
Pernah terfikir mengapa ikan menyerang gewang anda? Apa yang menyebabkan ikan menyerang gewang walaupun rupanya seperti badut?
Secara asasnya, kebanyakan gewang dicipta untuk meniru secara samar-samar ikan kecil, udang, ketam, sotong dan makanan lain apabila ditarik di dalam air. Namun terdapat juga gewang yang langsung tidak menyamai apa-apa hidupan, tetapi tetap berkesan. Contohnya spinnerbait (janggut).
Mengapa fenomena ini terjadi? Sebenarnya ada tiga faktor ikan menyerang gewang:
- Sebab ikan laparlah.
- Sebab reaksi ikan yang ingin pertahankan wilayah.
- Sebab ingin tahu (curiga).
Dalam kebanyakan kes, saya lebih yakin bahawa sebab faktor kedua dan ketiga adalah faktor utama ikan menyerang gewang jenis keras. Manakala untuk faktor pertama saya rasa lebih terpakai kepada fly fishing dan soft plastic (SP). Sebab itu, gewang tidak perlu terlalu nampak realistik (seperti hidup), tetapi asalkan cukup ‘menggoda‘ untuk membuatkan ikan be-rasa curiga atau sakit hati.
Sindrom Cat Basah
Pernah dengar tentang ‘sindrom cat basah’? Mari fahami ‘Sindrom Cat Basah’ yang merangsang rasa curiga ikan.
Cuba anda gantungkan penanda ‘cat basah‘ pada sesuatu objek dan letakkan objek itu di tempat orang lalu lalang.Kemudian perhatikan berapa ramai orang yang melalui kawasan itu akan cuba menyentuh permukaan objek tersebut. Mereka akan membelek jarinya sekadar untuk mengesahkan betulkah cat itu basah?
Kebanyakan orang pasti begitu, termasuklah anda. Kesan psikologi ini bukan sahaja berlaku kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan (dalam kes ini, ikan).
Jika ikan telah curiga terhadap sesuatu objek dan berminat untuk memeriksanya dengan lebih lanjut, ia akan mengambil objek itu dengan mulut untuk merasanya.
Ingat, ikan tiada tangan. Jadi ikan akan meneroka dunianya dengan mulut.
Tapi kita sentiasa harus maklum bahawa tidak semua yang dicekup dengan mulutnya akan ditelan. Mungkin 9 daripada 10 kali, ia akan meluahkan kembali setelah mendapati ia bukanlah makanan. Mungkin objek-objek tersebut hanyalah daun gugur, kertas, puntung rokok.
Sekarang cuba bayangkan objek tersebut ialah gewang kita yang bermata kail? Pasti ia tidak dapat melepaskan diri, bukan? Oleh kerana sifat ikan merasa benda asing dengan mulut, maka kita boleh mengambil kesempatan ini dengan meningkatkan tahap godaan gewang kita sekurangnya-kurangnya dengan meniru saiz, warna dan aksi makanan sebenar mereka.
Jenis-Jenis Aksi Renangan Gewang Yang Perlu Anda Tahu
Dalam pasaran sekarang, terdapat pelbagai jenis gewang dihasilkan. Selain terdapat ribuan pilihan warna yang menarik, aksi renangan gewang juga berbeza-beza mengikut fungsi gewang itu dicipta.
Namun artikel kali ini saya fokuskan aksi renangan gewang selaman berbadan keras (diving plugs). Setakat yang saya tahu, terdapat 6 jenis aksi renangan gewang selaman:
- Wide Wobble (goyangan melebar) dan Tight Wiggle (goyangan padat)
- Rolling (bergolek)
- Slalom (gerakan berbentuk S)
- Darting (melilau / sisi ke sisi)
- Vibrating (bergetar)
1) Aksi Wide Wobble & Tight Wiggle
Apakah maksud aksi ‘wide wobble’ dan ‘tight wiggle’? Jika anda seorang yang teliti, pasti anda membaca terlebih dahulu aksi yang dinyatakan pada kotak gewang sebelum membeli.
Antara aksi paling popular dalam dunia renangan gewang ialah wide wobble dan tight wiggle. Tetapi adakah anda benar-benar faham jelas maksud kedua-dua jenis renangan ini? Jika masih belum, mari saya terangkan dengan lebih terperinci.
Mari fahami perbezaan mekanikal wide wobble dan tight wiggle. Apakah yang mewujudkan perbezaan signifikan antara dua aksi renangan ini? – Kedudukan pivot (titik pangsinya).
Pada asasnya, gewang bersifat wide wobble (goyang lebar), pivot gewang ini terletak di tengah-tengah badan gewang. Ini menyebabkan bahagian kepala dan ekor gewang mampu bergoyang bebas pada sudut yang luas, tetapi dalam aksi yang lebih perlahan dan tidak menentu. Contoh terbaik anda boleh lihat pada gewang Abu Garcia Tormentor dan Zerek Barra-X.
Sebaliknya, titik pivot pada gewang tight wiggle (goyang padat) pula berada di depan iaitu pada bahagian kepala. Oleh itu, gewang tight wiggle hanya bergoyang pada bahagian ekor (kepalanya berfungsi sebagai paksi.)
Walaupun sudut goyangan gewang ini lebih kecil, tetapi gewang ini mampu memberikan goyangan dalam ritma yang yang kencang dan lebih stabil. Sebab itulah ia nampak padat. Contoh terbaik, Ofmer X-Deep dan Rapala Shad Rap.
Secara mudahnya, apa yang anda perlu faham ialah :
- Wide wobble – Sudut goyangan lebih lebar, tidak teratur dan perlahan
- Tight wiggle – Sudut goyangan kecil, kencang tetapi lebih stabil.
Nota : Wobble adalah perkataan sinonim dengan wiggle. Mungkin sesetengah pengeluar melabel renangan gewang mereka sebagai tight wobble (sama maksud tight wiggle).
2) Aksi Rolling (Bergolek)
Bagaimana gewang mempunyai aksi rolling berenang? Aksi rolling bekerja dengan sisi gewang ‘bergolek’ ke kiri dan ke kanan (dan sebaliknya) secara konsisten.
Gewang ini biasanya bergantung kepada kilauan pada badannya untuk menarik perhatian ikan. Ia juga boleh berfungsi sebagai jerkbait jika dihenjut (jerking) dan menghasilkan aksi melilau (darting). Contoh gewang beraksi sebegini ialah Rapala Flat Rap, Megabass Flap Slap dan Duo Tide Minnow Slim.
3) Aksi Gerakan Slalom
Jika anda pernah menonton permainan ski atau longboard, anda pasti dapat idea bagaimana pergerakan slalom ini. Ia adalah pergerakan meliuk lentuk dari kiri ke kanan (dan sebaliknya) dalam bentuk ‘S’. Pergerakan ini biasa didapati pada gewang swimbait.
Berbeza dengan pergerakan jerkbait, pergerakan slalom adalah lebih lembut, menghasilkan selekoh pergerakan lebih luas dan lebih nampak natural.
Gewang swimbait masih belum popular di negara kita. Mungkin disebabkan saiznya yang terlampau besar, berat dan harga yang sangat mahal. Namun khabarnya gewang ini efektif untuk memburu ikan toman bersaiz mega!
4) Aksi Darting (Melilau / Sisi ke Sisi)
Tidak dinafikan saya adalah peminat besar terhadap jerkbait. Jerkbait akan menghasilkan aksi melilau dari satu sisi ke sisi yang sangat menarik. Ia biasanya akan membuat ikan gila. Antara spesies yang tak mampu menahan aksi sebegini ialah siakap.
Berbeza dengan swimbait, jerkbait menukar arah dengan sudut lebih tajam dan kecil. Biasanya profil gewang ini adalah bersifat suspending (mengampai). Apabila digabungkan dengan teknik henjut – henjut – berhenti – henjut, ia akan mimik ikan yang sakit. Ia biasanya tidak akan ambil masa yang lama untuk dihentam ikan.
Antara gewang jerkbait kegemaran saya ialah Duo Jerkbait 100sp, Megabass Vision 110, Rapala Shadow Rap dan Evergreen Side Step.
5) Aksi Bergetar / Gemerincing (Vibration)
Aksi getaran ini selalunya terdapat pada gewang jenis lipless. Contohnya Rapala Rattlin’. Getaran ini terjadi akibat kesan equilibrium yang tidak stabil yang terhasil semasa karauan, dan kecenderungan tindak balas gewang untuk mencapai semula keseimbangan equilibrium.
Sebab itu ia menghasilkan getaran yang kuat dan bunyi yang sangat bingit. Semakin laju kita membuat karauan, semakin kuat getaran dan bingit bunyi yang dapat dihasilkan.
Gewang jenis ini bukanlah baru, malah sudah dicipta sejak tahun 1960-an lagi. Tetapi keberkesanannya mampu membuat ikan berpaling di saat umpan lain tidak dihiraukan.
BIODATA PENULIS
Nama : Muhamad Naim bin Abd Manaf
Umur : 28 tahun
Asal : Kelantan
Pekerjan : Seorang guru yang bertugas di pedalaman Sabah sejak awal tahun 2014.
Spesies Digemari : Siakap merah, siakap dan kanai (black bass)
Telefon : 014-516 7324
Blog : inchenaim.com
Pengalaman Mengilat : Sejak berumur 12 tahun