Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Panduan PB Air Kuning

Dr. Tan berjaya mendaratkan PB sepanjang 48 cm dari Monster Lake.

Air Kuning yang terletak di negeri Perak sememangnya lubuk Peacock Bass (PB) paling bersejarah dan paling lama di negara kita. Di sini terdapat ratusan bekas lombong yang dirajai PB. Namun lubuk PB yang terkemuka terhad kepada beberapa buah kolam mega yang terletak di sebuah kawasan tertentu sahaja. Artikel ini cuba membuat perbandingan di antara kolam-kolam ini dan mengesyorkan kaedah pancingan terbaik.

Teks & Fotografi : PAK WONG

Kolam 1 & 2 : Hotspot Pemandu Pancing

Sejak dulu lagi pemancing telah menamakan kolam-kolam ini dengan nombor supaya lebih mudah untuk membezakannya. Kolam 1 dan 2 merujuk kepada dua buah kolam yang bersambungan. Kolam-kolam yang sebahagian daripada tebingnya boleh diakses oleh pemancing yang tidak memiliki bot sememangnya padang pancing tersohor buat spesies asing ini.

Lipless sinking minnow yang berwarna terang lebih mudah dikesan ikan menjelang waktu senja.

Apabila saya mula-mula bertandang ke kolam-kolam ini, Syed Ali selaku pemandu pancing tersohor di sana memberitahu bahawa Kolam 1 lah tempat saya dan rakan-rakan berjaya menaikkan banyak ikan tapah dan baung pada masa dahulu.

Namun setelah memantau kawasan kolam ini, didapati ia memang tidak menyerupai kolam yang dustu ketika dahulu pernah memberi banyak kenangan manis kepada saya. Maklumlah persekitaran kolam ini sudah banyak berubah setelah hampir 20 tahun berlalu. Kawasan pasir di atas tebingnya telah diganti dengan pokok-pokok sawit. Jalan yang pernah saya lalui dahulu kini telah lesap dan sukar untuk mengecamnya.

Kolam 1 juga merupakan kolam yang paling digemari Syed. Salah satu sebabnya ialah kolam ini hanya terdapat seorang nelayan dan beliau agak prihatin terhadap orang lain (Syed dan pemandu pancing yang lain) yang mencari makan di sini. Justeru beliau tidak meliputi semua kawasan kolam dengan pukatnya. Beliau juga hanya memasang pukat pada waktu lewat petang dan menyimpan pukatnya pada awal pagi. Impak terhadap pemancing tidaklah ketara sangat.

Satu lagi sebab ialah struktur kolam ini memang cantik. Selain dua buah pulau, di sini juga terdapat banyak perairan cetek yang sukar dikesan dengan mata kasar. Di sekeliling pulau dan juga di perairan-perairan cetek tersebut ditumbuhi samai sehingga menjadi spot PB terbaik. Biarpun sehari memancing pun tidak mungkin dapat meliputi spot yang begitu banyak. Jika Kolam 1 kurang menjadi, bolehlah menolak bot melalui saluran sempit untuk mencuba di Kolam 2 pula.

Kedudukan Kolam 1 dan 2. Kedua-dua kolam ini disambung oleh sebatang saluran yang sempit.

Pulau yang dikelilingi rumpair di Kolam 1 merupakan hotspot untuk PB besar.

Selain PB, Kolam 1 juga merupakan lubuk belida bintik yang terkenal di kalangan pemancing Air Kuning. Spesies ini bermastautin di perairan yang mempunyai dasar yang berbukit. Seperti saudaranya di kawasan yang lain, spesies yang sombong ini hanya akan bermain di permukaan apabila cuaca panas dan air tenang.

Hanya pada masa seperti inilah belida mungkin akan membaham gewang. Jarang ada pemancing yang menganggapkan belida sebagai ikan sasaran utama. Kebanyakan pemancing yang bertandang ke Kolam 1 dan 2 memang mensasarkan PB sahaja.

Jika dibandingkan dengan Kolam 1, Kolam 2 didapati kurang mendapat sambutan pemancing lantaran spot PB di sini agak kurang. Belum sampai setengah hari mungkin sudah kekusutan spot casting. Di sebelah kiri apabila memasuki kolam ini terdapat sebuah perairan yang lebih dalam. Kawasan ini kadang-kadang boleh nampak belida atau toman bermain.

PB bersaiz sederhana yang ditumbangkan oleh Syed Ali.

PB yang kurang aktif ketika cuaca mendung memerlukan ketekunan untuk memujuknya.

Kolam 1 yang kurang berpukat tetap menjadi pilihan kebanyakan pemancing

Kolam 4 : Mahligai Nelayan

Manakala Kolam 3 dan 4 pula berada di lokasi yang lain. Jarak di antara kolam-kolam ini sebenarnya tidak jauh. Namun terpaksa menuju melalui jalan lain untuk pergi ke sana lantaran dipisahkan oleh ladang sawit.

Kolam 4 merupakan kolam terbesar di antara 4 buah kolam tersohor ini. Ia juga dipanggil Bird Sanctuary lantaran terdapat banyak spesies burung. Selain burung, kolam ini juga dikuasai kawanan kerbau yang besar. Tapak dan najis kerbau boleh dijumpai di mana-mana sahaja.

Kolam 4 juga merupakan salah satu kolam kegemaran Syed. Ia juga mengandungi banyak rumpair seperti Kolam 1 dan banyak pulau akan timbul apabila paras air kolam menjadi rendah. Kolam mega ini telah menghasilkan banyak PB kelas monster, termasuk spesimen seberat 6 kg yang terkena pukat nelayan!

Kolam 1 terdapat banyak perairan cetek berumpair seperti ini yang tersembunyi di tengah-tengah kolam.

Rumpair yang menjadi mercu tanda Kolam 4!

Kolam 3 yang indah disambung dengan Kolam 4 melalui sebatang saluran.

Kolam yang luas terbentang ini biarpun terdapat banyak spot PB, namun agak sukar untuk mencari tempat teduh apabila angin kencang bertiup. Thruster merupakan kaedah yang paling biasa digunakan untuk mengendalikan bot supaya tidak menakutkan ikan. Namun ia tidak dapat berfungsi sewaktu angin kencang.

Satu-satunya cara untuk meneruskan pancingan ialah menggunakan sauh. Namun sauh juga sukar untuk melekat ketika angin sangat kencang seperti di laut. Teknik menunda gewang sahaja yang boleh dipraktikkan dalam keadaan demikian.

Padahal angin bukanlah masalah terbesar di sini. Masalah terbesar yang dialami pemancing di Kolam 4 ialah terlalu banyak pukat! Di sini terdapat beberapa orang nelayan yang memasang pukat setiap hari dari pagi hingga malam. Pukat yang dipasang oleh nelayan-nelayan ini hampir meliputi seluruh pelosok kolam ini!

PB menjelang musim mengawan akan mempamerkan kepala yang membenjol.

Pukat yang banyak dan panjang bukan sahaja meliputi spot PB, malah ia juga mengakibatkan pemancing terasa amat sukar untuk mengemudi bot mereka. Takut-takut terlanggar pukat pula. Nelayan-nelayan Kolam 4 memang kurang prihatin, jika berbanding dengan nelayan Kolam 1!

Kolam 3 : Mini Kenyir

Kolam seterusnya ialah Kolam 3 yang berganding dengan Kolam 4. Kolam ini diberi jolokan Mini Kenyir lantaran di sebahagian kolam ini terdapat pokok-pokok mati. Ia sememangnya sebuah kolam yang indah permai dan kelihatan unik berbanding kolam-kolam yang lain. Kedua-dua kolam ini juga menjadi kegemaran pemandu pancing, lantaran terdapat saluran yang menyambungkannya.

PB besar membaham RR4 yang dipersembahkan di luar kawasan samai. Gewang mikro terbukti lebih berkesan di kolam yang mengalami tekanan.

Monster Lake : Hutan Bakong

Selain keempat-empat kolam yang terkenal ini, kawasan kolam ini juga terdapat kolam-kolam lain yang bersaiz lebih kecil. Antaranya ialah Monster Lake yang saya dan Dr. SK Tan kunjungi baru-baru ini. Kolam ini terletak di tepi jalan sahaja. Syed terkena seekor monster yang akhirnya berjaya melarikan diri apabila mengunjungi kolam ini buat kali pertama. Dari peristiwa inilah kolam ini mendapat namanya.

Kolam yang bersaiz sederhana ini dikelilingi sejenis rumpair yang dipanggil pokok bakong sehingga pemancing tidak dapat melempar gewang dari tebing. Justeru, ia telah dianggap lubuk PB yang amat berpotensi. Samai juga sebahagian daripada struktur utama kolam ini. Kami telah berjaya menaikkan banyak PB di sini, termasuk spesimen sepanjang 48 cm oleh Dr. Tan.

Sebahagian tebing Kolam 3 sesuai untuk pemancing yang tidak menggunakan bot.

Pada hakikatnya semua kolam tersebut masing-masing mempunyai PB bersaiz monster. Spesimen menjangkaui 50 cm panjangnya sentiasa diperolehi. Namun jika anda ingin memecah rekod peribadi, peluang menaikkan ikan mega ternyata lebih tinggi jika menggunakan perkhidmatan pemandu pancing.

Selama ini saya lebih gemar membawa bot sendiri apabila bertandang ke Air Kuning. Hanya dalam trip terkini ini barulah menggunakan perkhidmatan Syed Ali buat kali pertama. Banyak manfaat dapat dirasai dengan perkhidmatan pemandu dan bayarannya pun amat berpatutan.

Daripada pokok-pokok mati di latar belakang inilah Mini Kenyir mendapat namanya.

Manfaat Pemandu Pancing

Kelebihan yang paling ketara ialah kita dapat menghindarkan segala masalah yang bakal dihadapi apabila cuba membawa bot dengan kereta. Kita juga boleh pergi menjamu selera di pekan menjelang waktu tengahari atau tidur sebentar di homestay, dan kembali ke kolam selepas pukul 4 petang apabila matahari kurang terik.

Toman juvenil yang disangkakan PB besar.

Satu lagi kelebihan ialah pemandu pancing pasti lebih memahami perkembangan terkini PB di setiap kolam. Ini adalah perkara yang amat penting, lantaran kita tidak mungkin mempunyai masa yang mencukupi untuk mencuba di setiap kolam berpotensi. Manakala pemandu pancing pula memancing di sekitar kawasan ini hampir setiap hari. Justeru beliau lebih memahami paras air dan kegalakan PB di setiap kolam.

Kegalakan ikan memang berkait rapat dengan paras air. Semakin rendah paras air, semakin galaklah ikan. Musim kemarau biasanya juga lebih bagus berbanding musim hujan. Tidak kira spesies apakah yang anda target, pemandu pancing akan membawa anda ke kolam yang paling berpotensi berpandukan pengalamannya.

Satu lagi kelebihan menggunakan perkhidmatan pemandu pancing ialah anda hanya perlu menumpu perhatian terhadap pancingan sahaja, dan serahkan kerja-kerja membawa dan mengendalikan bot kepada beliau. Apabila sampai ke sesebuah lokasi, beliau akan menunjukkan spot terbaik untuk anda membaling gewang.

Lebih-lebih lagi daya penglihatan pemandu pancing biasanya amat tajam setelah sekian lama berlatih. Apabila ada ikan timbul, beliau dari jauh pun dapat membezakan saiz dan jenis ikan itu. Perincian ini akan dapat membantu anda menaikkan ikan trofi yang diidamkan.

Samai juga sebahagian daripada struktur utama Monster Lake.

Cabaran Menaikkan Ikan Dari Samai

Satu lagi kelebihan menggunakan perkhidmatan pemandu ialah kita lebih berkeyakinan untuk menaikkan ikan dengan selamat apabila terkena PB besar. PB biasanya akan meluru ke dalam rimbunan samai apabila terkena pancing. Kes lucut atau mata kail terbuka sentiasa berlaku apabila kita cuba menaikkannya secara paksa daripada samai yang tebal.

Manakala pemandu pancing yang berpengalaman akan dapat menyelamatkan ikan yang tersangkut dalam samai, melainkan ikan itu sudah berjaya membuang mata kali sewaktu ia tersangkut di dalam samai.

Cara yang betul ialah janganlah tarik secara paksa apabila ikan masuk ke dalam samai. Semakin kuat anda tarik, semakin dalamlah ikan akan tersangkut dalam samai lantaran samai akan berkumpul dan menjadi semakin tebal disebabkan tarikan anda.

Satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ini ialah bertenang dan mengekalkan ketegangan tali apabila pemandu pancing mendayung bot ke tempat ikan tersangkut. Apabila bot sampai ke tempat ikan tersangkut, samai yang berkumpul akan kembali longgar seperti biasa, lantaran tali kita sudah menjadi tegak.

Dalam kebanyakan kes, ikan akan terlepas daripada sangkut dan boleh dinaikkan dengan mudah sahaja lantaran jaraknya dengan kita sudah menjadi dekat.

Monster Lake yang tidak dapat diakses dari tebing merupakan sebuah lubuk PB yang berpotensi.

Salah satu spot mengancam di Monster Lake.

Dengan adanya pemandu pancing berpengalaman seperti Syed, pancingan akan menajdi lebih lancar dan dapat meningkatkan peluang terkena PB besar.

Jika tidak, ini bermaksud samai di mana ikan tersangkut terlalu tebal dan terpaksalah kita membersihkannya dahulu dengan membuang samai yang mengelilingi tali pancing sehingga nampak ikan yang tersangkut. Kemudian naikkan ikan dengan alat penyepit rahang atau tangan. Video terkini Ikan Terhandal Malaysia Episod 178 : ‘Raja Air Kuning’ sempat merakamkan babak yang mencemaskan ini. Jangan tak tonton!

Semoga penerangan artikel ini akan dapat membantu anda untuk memahami dengan lebih lanjut akan padang pancing PB di kawasan Air Kuning. Tidak kiralah betapa sukarnya pancingan yang anda alami di sana, anda harus berkeyakinan bahawa kolam-kolam Air Kuning sudah pasti terdapat PB mega idaman anda. Jika berjaya menaikkannya, lepaskanlah ia kembali ke habitat asalnya dengan selamat.

Semoga berjaya!

* Syed Ali, boatman Air Kuning, boleh dihubungi di talian : 014-2522 838 atau 011-1070 6771