Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Paradigma Strategi Ebek

Gerbang yang menarik perhatian di Chinatown Kota Bharu. Di sini anda boleh menemui pelbagai masakan etnik Cina dan lain-lain.

Selepas lebih satu dekad fenomena jigging ebek, kita masih terus meraih hasilnya, tetapi tahap kesukaran untuk menjinakkannya semakin meningkat. Demi ingin terus sukses, pemancing telah melakukan perubahan demi perubahan dalam teknik jigging ebek. Artikel ini pula membongkar teknik jigging ebek yang paling luar biasa dari Kelantan!

Teks & Fotografi : PAK WONG

Pertempuran antara pemancing dan ebek sentiasa berulang di perairan Kelantan.

Ebek adalah ikan sasaran kegemaran saya. Ada beberapa sebab kenapa saya menyukainya.

Pertama, ebek tinggal di sepanjang persisiran pantai dan mudah dijangkau untuk pancingan balik hari. Kedua, ebek mempunyai minat yang khusus terhadap jig, ini memudahkan kekusutan kita dalam penyediaan jig. Ketiga, skop kedalaman aktiviti spesies ini pada umumnya tidak lebih daripada 30 meter, jadi kita dapat menggunakan peralatan jigging ringan. Keempat, kudrat tenaganya yang juga menggentarkan!

Sarapan nasi berlauk yang enak.

Semasa eksperimen pertama kami menggunakan jigging ringan di Pekan, Pahang bertahun-tahun yang lalu, ebek menjadi spesies yang sangat mudah di-jigging. Selagi anda berada di sarang ebek, semua pemancing di atas bot pasti akan dapat merasai renjatannya.

Namun selepas beberapa tahun, jigging ebek tidak lagi begitu cemerlang seperti dahulu. Salah satu sebabnya ialah tiada amalan tangkap dan lepas, atas alasan takut jika melepaskannya, seluruh kumpulan ebek akan lari, dan merencatkan kadar tangkapan ebek. Alasan lain ialah tekanan memancing itu sendiri.

Jump frog pun boleh menjebak ebek? Ternyata ia senjata rahsia kapten kami dengan jig Hula Hula yang diubah suai!

Walaupun ebek tidak di-‘C&R’, jangan lupa bahawa kes lucut atau rabut sangat biasa dalam aktiviti jigging spesies ini. Ikan yang terlepas akan menyampaikan mesej kepada kumpulannya, menjadikan seluruh kumpulan ikan sangat peka dan berwaspada.

Tok Guru Ebek Kelantan

Baru-baru ini, saya pergi ke Kelantan untuk trip jigging ebek dan mendapati pemancing tempatan juga menghadapi masalah yang sama iaitu ebek menjadi semakin sukar untuk dipancing.

Ebek yang diperdaya dengan jig ala ‘jump frog’ yang hanya beraksi di dasar laut. Selagi umpan berbeza daripada jig biasa, ebek boleh diperdaya!

Ebek wujud di sepanjang perairan pantai timur dari Kelantan, Terengganu, Pahang sehingga ke Johor, tetapi destinasi ebek yang lebih popular ialah di kawasan Pekan, Pahang dan Kelantan. Ramai pemancing akan menyerbu ke kedua-dua lokasi ini apabila musim ebek tiba, sehingga ebek menghadapi tekanan memancing yang hebat.

Kali ini, saya cukup bernasib baik untuk turun memancing bersama Jacky Chang, pemandu pancing profesional yang berasal dari Kelantan. Saya juga tidak lupa mengambil peluang ini untuk mengorek ilmu beliau tentang kemajuan teknologi pancingan terkini di sini dan berkongsi dengan rakan-rakan pembaca.

Setelah mendarat beberapa ekor juvenil, sudah tiba masanya untuk transposisi!

Lubuk ebek Kelantan mempunyai satu elemen yang sama, iaitu hampir semua berada di unjam. Menurut Jacky, kebanyakan kawasan lubuk ini mempunyai dasar laut yang berpasir dengan sedikit terumbu karang. Ini boleh dikesan melalui kadar sangkut yang sangat rendah.

Kedalamannya kurang 30 meter, jadi jig 40 – 60 gram adalah berat yang paling biasa digunakan. Tetapi selepas beberapa ketika, Jacky merasakan ebek telah semakin pintar. Walaupun sekumpulan ikan itu jelas kelihatan dalam sonar, mereka ‘buat dek’ jer terhadap jig yang dimainkan.

 Apa Kod Rahsianya?

Bondong ebek yang berkumpul di sekeliling unjam juga sering menjadi mangsa nelayan pukat jerut.

Datanglah ke Kelantan, mesti pekena laksam!

Nasi kerabu sedap ditapau untuk makan di laut.

Menambah rumbai bulu pada mata kail adalah jalan penyelesaian pertama yang Jacky cuba pecahkan kod pengunci rahang ebek. Inspirasi kaedah ini sebenarnya daripada nelayan tradisional yang menangkap ebek dengan mudah hanya dengan menggunakan mata kail yang dihiasi rumbai bulu hijau atau kuning.

Kombinasi teknik tradisional dan moden ini menjadi tonggak penting dalam evolusi pancingan ebek. Selain dari Kelantan, teknologi baru ini juga sangat popular di banyak lokasi di Pantai Timur.

Memahami Tabiat Makan Ebek

Apabila memancing ebek kapak khususnya (diamond trevally), terdapat satu perkara penting yang kita perlu fahami tabiat pemakanan mereka. Mulut ebek kapak boleh diperluas ke bawah, dan ini sangat berbeza dengan saudara terdekatnya iaitu ebek bulat.

Struktur mulut ebek menunjukkan bahawa spesies ini sebenarnya gemar mencari makanan di dasar laut. Ia paling sesuai digunakan untuk menyelongkar dasar laut berpasir, mencari krustasea dan moluska sebagai mangsanya.

Dengan memahami hal ini, maka dasar laut adalah meja makan utama ebek. Ini bermakna kita tidak boleh mengunjun jig sehingga ke atas, tetapi mesti mengekalkan jig menari-nari di sepanjang dasar. Jacky sendiri mengamalkan teknik persembahan yang berbeza iaitu ‘Aksi Sapu Lantai’ yang telah dipraktikkan oleh ramai pemancing.

Aksi Sapu Lantai

Steven Ming akhirnya menikmati patukan lemah lembut ebek yang diidamnya pada hari berikutnya!

Teknik sapu lantai ini dinamakan sedemikian kerana jig perlu dilemparkan ke lokasi sekitar kumpulan ebek berlegar. Biarkan jig anda tenggelam menjejak ke dasar laut, dan kemudian jerk pendek dua atau tiga kali sebelum biarkannya jatuh ke dasar semula. Selepas itu, perlahan-lahan tarik atau seret jig di sepanjang dasar laut, dan ulangilah langkah yang sama.

Teknik ini sebenarnya sangat bijak, bak finesse fishing. Rahsia teknik ini ialah anda boleh menyembunyikan jig di dalam pasir dasaran supaya ebek tidak dapat melihatnya. Ia juga akan meningkatkan serakan debu pasir dasaran semasa anda menyeretnya.

Jig juga memikat ikan barat!

Mana-mana ikan yang mencari makan di dasar laut berpasir akan tertarik dengan sedimen yang berdebu naik dari dasar laut, kerana ia mungkin disebabkan oleh aktiviti makhluk dasaran. Apabila ebek ternampak fenomena ini, rasa ingin tahunya pasti akan mendorong ebek untuk mendekati sedimen yang berserakan itu.

Ketika ebek tiba, terlihatlah ia makhluk hijau atau kuning (mata kail berumbai bulu) yang terkinja-kinja di dasar laut, sedang badan jig mungkin telah ditutupi oleh sedimen atau pasir. Ikan yang tidak berasa curiga akan mematuk mata kail yang kelihatan hidup itu!

Bijak, bukan? Dalam kes ini, badan jig ibarat ‘loket’ yang bertanggungjawab untuk menghantar mata kail ke dasar laut. Tetapi daya tarikan sebenar ialah mata kail yang berbulu itu!

Terima kasih Jacky Chang, sudi berkongsi rahsia memancing ebek.

Jig Berat Untuk Lawan Arus

Secara peribadi saya fikir jika kaedah sapu lantai boleh dilakukan menggunakan jig yang lebih berat, kesannya akan menjadi lebih ideal. Apabila memancing ebek, kita semua perlu melontar jig di sekitar bot untuk mencari kedudukan ikan. Apabila jig kita tidak dilontar mengikut arah arus, dan jika jig itu tidak cukup berat, maka tali utama kita akan dipengaruhi oleh arus, menyebabkan sukar bagi jig untuk tenggelam ke dasar laut.

Sekalipun jig tenggelam ke dasar laut, apabila kita membuat unjunan pendek, jig yang melompat akan sukar untuk tenggelam semula ke bawah kerana bot sedang bergerak. Jadi lebih mudahlah jika jig itu cukup berat.

Di samping itu, jig yang lebih berat juga membantu dalam menegangkan tali pancing. Lalu ini akan meningkatkan sensitiviti, dan kita lebih mudah mengesan sebarang patukan halus dari ebek.

Perahu kolek nelayan tradisional yang unik hanya boleh disaksikan di Kelantan.

Satu-Satunya Cara Terbaik

Saya seorang yang purist dan tidak gemar bermain helah pada jig. Tetapi apabila saya memahami keunikan teknik sapu lantai ini, saya fikir ia adalah kaedah pancingan berteknikal yang benar-benar selaras dengan intipati pancingan berumpan tiruan dan membuka dimensi baru dalam teknik jigging perlahan.

Restoran di jeti menjadi port beristirahat sebaik kembali dari laut.

Jacky mendakwa, walaupun mata kail berbulu tidak digunakan, ebek mungkin akan menggigit jig juga terutama ketika mereka aktif. Selain di dasar laut, ebek juga akan menyerang mangsanya pada lapisan air yang lebih tinggi, sebagaimana kes ebek yang mengejar jig saya pada jarak 5 – 6 meter dari lantai dasar. Jacky mengatakan ebek itu mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk menyerang jig saya!

Namun Jacky lebih yakin dengan teknik sapu lantai, dan secara peribadi saya fikir ia adalah satu jalan penyelesaian bagi mengatasi kepintaran ebek yang telah mengalami tekanan memancing. Dan kalaulah teknik ini juga sudah tidak efektif lagi, nampaknya kita terpaksa kembali kepada penggunaan udang hidup semula!

Sup makanan laut yang pedas dan sangat lazat dihidangkan oleh restoran kampung yang sederhana!

Tali Sulam Bikin Bising?

Untuk lubuk yang mengalami tekanan tinggi, Jacky juga mempunyai satu lagi rahsia iaitu memanjangkan ukuran perambut. Ini bukanlah idea beliau, tetapi ilmu yang beliau pelajari ketika memancing di tempat lain.

Ramai orang percaya tali sulam (PE atau braided line) akan menghasilkan bunyi aneh di dalam air disebabkan oleh geseran antara tali sulam dan air laut, lebih-lebih lagi dalam pancingan yang aktif mengunjun seperti jigging ini.

Bagi menyelesaikan masalah ini, sesetengah pemancing memanjangkan perambut tangsi atau fluorocarbon daripada 2 meter hingga 10 meter supaya apabila kita melakukan jigging, 10 meter itu akan menjadi tali tangsi yang ‘senyap’ dan tidak akan menakutkan ikan sasaran.

Sebenarnya, teori ini bukan sesuatu yang baru. Ramai pemburu kelah di sungai pergunungan juga amat pantang menggunakan tali sulam. Alasannya… tali sulam menghasilkan bunyi bising di dalam air dan menakutkan kelah untuk mendekati umpan pancing dasar.

Daun kelapa yang dikumpul untuk membuat unjam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai juga pemancing mula berubah menggantikan tali sulam kepada tali fluorocarbon untuk mengilat peacock bass dengan lebih efektif. Mereka mempunyai pendapat yang sama iaitu tali sulam bukan sahaja ‘bising’, malah mudah dikesan ikan berbanding tali tangsi atau fluorocarbon.

Jadi siapa tahu suatu hari nanti pemancing akan kembali menggunakan tali tangsi!

Apabila memancing di tempat yang betul dengan teknik yang betul, hasilnya benar-benar luar biasa!

Jig 60 gram warna hijau dihiasi mata kail berbulu hijau sememangnya formula yang hebat!

Jangan terkejut, ikan sebelah juga boleh menjadi mangsa jig!