Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Pelayaran Mewah Pan Dragon Kenyir

Bayangkan anda seharian mengilat ke segenap suak tasik yang entah di mana dibakar terik mentari yang mencengkam, dan apabila tamat masanya anda balik ke houseboat lalu sebaik melangkah masuk, tiba-tiba anda memasuki dimensi gaya mewah siap aircond yang sejuk, sofa yang empuk, dijamu pula minuman yang nyaman serta hidangan bak gaya hotel sambil disambut senyuman riang anak-anak dan isteri! Itulah keunikan yang dirasai apabila menaiki bot pelayaran mewah terbaru Nur Aimie 1 di Tasik Kenyir yang dikendalikan oleh Pan Dragon Cruise!

Teks : HALIMI HANIP    

Fotografi : HALIMI HANIP & PAN DRAGON CRUISE  

Pelayaran mewah Pan Dragon Cruise di Tasik Kenyir menyajikan keunikan yang sukar dilupakan kepada setiap penumpang.

Saya percaya majoriti daripada kita lazimnya bercuti memancing di Tasik Kenyir hanya bersama kawan-kawan. Pernahkah anda terasa ingin membawa keluarga bersama? Apakah kekangan yang membuatkan anda sering berat untuk membawa anak isteri? Saya tahu kebanyakan kita akan memberi alasan bahawa anak isteri nanti tidak berapa selesa di houseboat dan bimbang keselamatan anak-anak semasa ketiadaan kita keluar rempit meng-casting (tetapi sebenarnya anda inginkan privasi kan? Hehe…)

Tak mengapalah… itu hak dan pandangan masing-masing. Tetapi manalah tahu suatu hari anda rasa teringin cari kelainan dengan membawa keluarga bercuti di Kenyir, ingin dapatkan houseboat yang selesa dan selamat… apa kata anda mencuba dengan pakej Pan Dragon Cruise yang mengendalikan houseboat kategori mewah bernama Nur Aimie 1.

Bukan main seronok anak-anak menikmati keindahan Kenyir sambil belayar.

Tanpa perlu bercerita panjang, rasanya cukup dengan memaparkan foto sepanjang menikmati percutian bersama keluarga dengan bot gergasi ini di Kenyir. Pengalaman belayar dengan Pan Dragon Cruise nyata memberi suasana percutian yang unik dan menjadi kenangan yang manis buat segenap isi keluarga.

Latar Belakang

Pan Dragon Cruise merupakan anak syarikat Pan Design Creation & Construction Sdn. Bhd., syarikat bumputera yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam pembinaan, terutama berkaitan kejuruteraan berasaskan besi. Salah satu projeknya ialah pembinaan signboard di setiap pulau-pulau yang terdapat di Tasik Kenyir iaitu lebih kurang 340 pulau.

Pakej makan ala hotel!

Berbekalkan pengalaman dan melihatkan potensi besar yang ada di Tasik Kenyir, Pan Design mencari peluang dalam bidang pelancongan ini dengan membina Nur Aimie 1 pada Jun 2013 sebagai bot mewah pertama yang menyediakan perkhidmatan seumpamanya di Tasik Kenyir, apatah lagi Kerajaan Negeri Terengganu kini sedang giat untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai.

Dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan selesa yang memuaskan pelanggan serta memperkenalkan Tasik Kenyir sebagai kawasan pelancongan yang memukau, pelayaran mewah ini menawarkan pakej yang menarik, termasuk melawati lokasi-lokasi pelancongan terbaik di Kenyir seperti Santuari Kelah Sg. Petang, mandi-manda di air terjun Sg. Lasir, dan Gua Bewah di Taman Negara.

Setiap kali pelayaran, Pan Dragon Cruise dikendalikan oleh sebilangan staff yang mesra dan sentiasa menjaga keselamatan pengunjung. Setiap pakej yang ditawarkan telah termasuk penyediaan makanan tiga kali sehari oleh chef masakan yang terlatih yang pasti mengikut selera pengunjung.

Bilik tidur yang selesa dengan aircond.

Kelebihan & Keistimewaan

Pan Dragon Cruise amat sesuai untuk pemancing yang membawa seisi keluarga. Ia juga sering ditempah oleh agensi kerajaan dan swasta mahupun para pelajar yang mengadakan kursus, hari keluarga dan sebagainya. Apa yang pasti kepada pemancing yang ingin ‘beli jiwa’ keluarga, kita tidak perlu risau semasa keluar mengilat kerana keselesaan, makan minum dan keselamatan adalah terjamin di atas bot ini.

Cafe yang menyediakan minuman panas. Order sahaja sambil nikmatilah alam semulajadi.

Ruang tamunya luas dan berpendingin hawa dilengkapi TV, pemain DVD, karaoke dan set sofa empuk. Kanak-kanak tentu suka bermain dan berhibur di ruang ini sambil sang ibu bersantai dan berborak sesama mereka. Cik abang macam biasalah… sempat jer nak hilang kejap merempit naik bot ke suak-suak berdekatan demi mencari renjatan karan sebarau atau toman.

Bayangkan balik memancing tengahari ke Pan Dragon, anda terus masuk ke ruang tamu ini untuk menikmati hidangan lazat, dan badan yang rimas berpeluh tadi terus rasa nyaman sekali diselubungi hawa dingin aircond. Best wei!

Selepas sambung casting bagi sesi petang, balik sahaja ke Pan Dragon, singgahlah berehat pekena kopi panas di cafe sambil menikmati keindahan Tasik Kenyir.

Tak puas mandi di sungai, budak-budak ni terjun ke tasik pulak sambil diawasi sentiasa oleh kakitangan Pan Dragon.

Panorama indah di air terjun Lasir yang seharusnya tidak anda lepaskan.

Aktiviti malam dipenuhi jamuan BBQ kambing serta ikan bakar di ruang paling atas (bumbung) yang terbuka. Kemudian teruskan aktiviti di ruang tamu bagi sesiapa yang mempunyai suara ala-ala gegarvaganza tu.

Pan Dragon sentiasa berpindah-randah di lokasi tertentu, terutama di kawasan air terjun yang tentu amat digemari budak-budak yang pantang jumpa air. Sambil itu, kita sekeluarga boleh berpeluang untuk mengunjungi kawasan menarik lain yang disediakan pihak Ketengah seperti Taman Herba, Taman Orkid dan Taman Rama-Rama.

Dengan adanya perkhidmatan selesa sebegini, apa kata sesekali kita ‘belilah jiwa’ anak isteri yang sering ditinggalkan disebabkan hobi kita menerusi percutian eksklusif Pan Dragon Kenyir.

*Hubungi Pan Dragon Cruise untuk menikmati percutian luar biasa di Tasik Kenyir : Tel / Faks : 09-617 3134

Emel : pandesign_pd@ yahoo.com atau pandragon.marine@gmail.com