Pemburu Haruan Banjir PMC 2017
Segenap kawasan digenangi banjir dilanyak para peserta dalam misi memburu haruan.Inilah satu-satunya penganjuran yang sukar ditetapkan tarikh pelaksanaan dan sering membuat peserta tertunggu-tunggu. Naik pening juga apabila kerapkali dihubungi dengan soalan bila? bila?… dan bila? Dan saya amat berterima kasih kepada mereka yang sanggup mengambil cuti dari Kuala Lumpur, Selangor, Kedah malahan dari Johor untuk pulang ke kampung halaman semata-mata ingin bersama memeriahkan agenda terakhir kelab PMC ini setiap kali penghujung tahun…
Teks & Fotografi : HANUMEI IKE
Acara ini bergantung sepenuhnya kepada hujan monsun yang membawa kepada banjir di Pantai Timur. Bukanlah maksud kami memohon sampai berlakunya bencana alam, tetapi sekadar menjalinkan ukhwah bersama penduduk Kg. Banggol Kong berhampiran Sg. Golok (Kelantan) yang seringkali tenggelam apabila berlakunya banjir setiap hujung tahun.
Itulah penyebabnya tiada tarikh umum yang ditetapkan, ia bergantung kepada hujan sepenuhnya dan hanya akan diberitahu melalui media sosial rasmi PMC. Ini pun bergantung kepada faktor paras air yang dipantau setiap hari dan tarikh juga perlulah jatuh pada hari minggu.

Suasana pendaftaran di khemah urusetia.
Sebaik lokasi dan hari pertandingan diumumkan dalam media sosial rasmi PMC, bagaikan pasaran saham mula diajukan persoalan bertubi-tubi mahupun gurauan rakan-rakan apabila hadiah tajaan dipamerkan sehinggalah menanti detik hari pertandingan.
Kenapa Waktu Banjir?
Persoalan ini sering ditanya peserta dengan jawapan paling satu soalan diajukan kembali, “Bila paling ramai orang mancing haruan?” “Waktu banjir” jawab mereka. Sebenarnya ada beberapa faktor lain dan tidak dinafikan sewaktu paras air mula naik adalah satu pengaruh besar yang menarik pemancing memburu haruan. Anak-anak sekolah sehinggalah yang berpangkat datuk turut memancing haruan yang galak sewaktu banjir.
Fenomena inilah yang mencetuskan idea beberapa tahun lepas untuk mengadakan pertandingan. Pertandingan pula hanya tertumpu kepada penggunaan gewang katak getah (soft frog) sebagai syarat utama dan tiada ukuran panjang minimum yang ditetapkan.

Gewang jump frog hasil tangan Izuddin, ahli PMC.
Paras air yang meningkat turut membawa haruan yang selama ini bersembunyi di paya-paya yang sukar dibolosi pemancing ke tebing daratan. Waktu ini jugalah katak-katak bendang turut galak mengawan dan merupakan diet yang sentiasa diburu haruan. Bukan sahaja katak, beberapa jenis serangga dan anak-anak ikan juga menjadi mangsa haruan pada waktu ini.
Bumbung Merah
Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli PMC. Bagaikan semboyan perang, kerahan tenaga dikeluarkan tanpa berkira wang ringgit. Malahan segala kelengkapan untuk pengurusan khemah urusetia disediakan oleh mereka. Timbul perasaan terharu dengan komitmen mereka, malahan ada sumbangan lagi dengan berbalang air minuman disediakan secara percuma.
Dua meja pameran dan jualan gewang hasil kraftangan ahli PMC juga dibuka iaitu katak getah ciptaan Saufi Lure dan Izzudin Jump Frog yang diperbuat daripada kayu. Siap sahaja khemah berbumbung merah dibuka, tiga kaunter pendaftaran terus diserbu pemancing yang ingin bertanding dan meja pameran juga terus diserbu untuk urusan jual beli dan tempahan gewang buatan tangan ahli PMC.
Pertandingan bermula jam 3 petang dengan peserta dilepaskan ke bendang dan berakhir pada jam 6 petang. Selama 3 jam diperuntukkan untuk pertandingan, para peserta boleh meredah sawah seluas mata memandang dengan dipantau oleh beberapa orang marshal.
Saya turut ke bendang untuk melihat aksi peserta. Ternyata mereka pemburu haruan tegar, ada yang sanggup meranduk air separas pinggang tanpa segan akan lumpur, apatah lagi pacat dan lintah tidak mampu menghalang semangat yang berkobar ini. Apabila ditanyakan hasil tangkapan, ramai menggeleng kepala dan hanya beberapa peserta yang berjaya mendapat hasil, itu pun bersaiz curut.

Paya separas lutut diredah tanpa bimbang lintah dan ular.
Haruan Curut
Waktu sudah hampiri penamat. Kelihatan peserta mula berduyun ke khemah urusetia untuk mengukur saiz tangkapan. Rata-rata saiz yang diukur tidak melebihi 30 cm. Format pertandingan hanya mengikut ukuran panjang untuk beberapa kategori yang dipertandingkan seperti kategori terbuka, kategori penggunaan khusus katak getah keluaran Senses dan kategori penggunaan joran mengilat PMC.
Melihat saiz tangkapan agak terkejut juga. Penduduk kampung ada yang berkata saiz ikan yang ditangkap sebelum pertandingan agak kasar saiznya, sehinggalah ada peserta memberitahu ada terjumpa bangkai anak-anak ikan yang banyak terapung disyaki terkena renjatan elektrik daripada pemburu ikan yang tidak bermoral.
Satu permasalahan yang tiada penyelesaian selagi tiada kesedaran akan kepentingan bersama tentang penangkapan yang menyalahi undang-undang. Para peserta yang menyelar tindakan penangkapan tidak bertanggungjawab itu menunjukkan begitu tingginya kesedaran dan kematangan yang ada di kalangan pemancing tentang kemusnahan hidupan air dan habitat semulajadi ikan.
Walaupun tangkapan tidak banyak diperolehi, peserta dapat menerimanya secara terbuka dan menganggap bukan rezeki buat mereka. Kehadiran mereka pun bukan bermotifkan hadiah semata-mata, tetapi sekadar berhibur santai bersama rakan yang lain.
Nobat Juara 2017
Setelah perkiraan markah selesai, Yie Gumboo diminta melaungkan suaranya yang kuat untuk mengumumkan para pemenang. Hadiah para pemenang disampaikan oleh En. Zuraidi dan En. Zainal selaku wakil penganjur Kelab Sukan Dan Rekreasi Pasir Mas Caster. Pembahagian hadiah diselang-seli dengan acara cabutan bertuah yang disambut sorakan dan gelak tawa peserta.
Hadiah utama dimenangi Bayie yang kembali muncul dalam pertandingan anjuran PMC setelah dua tahun menetap di Arab Saudi. Ucapan tahniah dan terima kasih dari rakan-rakan kepada kelab PMC kerana telah mengotakan janji, di mana cabaran haruan banjir inilah satu-satunya acara yang benar-benar bertapak di bumi Pasir Mas, memandangkan acara-acara lain pertandingan selalunya melangkaui daerah mahupun negeri.

Haruan terbesar 30 cm berjaya dinaikkan dalam kebanyakannya yang bersaiz curut.

Gewang katak getah hasil tangan Saufi Lure, ahli PMC.
Salaman dan pelukan sebagai tanda berakhir dengan jayanya acara edisi ketiga ini dan akan bertemu kembali pada tahun hadapan. Saya mewakili Kelab PMC mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi memeriahkan acara ini. Tidak dilupakan juga kepada penaja seperti Senses Fishing, Mustad, Dr. Braid, Saufi Lure, En. Zuraidi dan AB Work Pellet yang sentiasa menyumbang, menyokong serta berdiri teguh di belakang acara-acara anjuran PMC.
SENARAI PEMENANG
Kategori Terbuka
- Mahmud (30 cm)
- Mohd Qusairi (26.5 cm)
- Mohd Amrie (26 cm)
- Mohd Sharul Izani (24.5 cm)
- Mohd Shuhaizu (24 cm)
- Mohd Nasiruddin (21.5 cm)
Kategori Joran PMC / Saufi Lure
- Mohd Izuddin (29.5 cm)
- Kelo Rizal (26 cm)
- Mohd Nazir (25 cm)
Kategori Senses (soft frog)
Bayie Mania (25 cm)

Hadiah tempat pertama kategori terbuka yang dimenangi Mahmud disampaikan oleh Zuraidi.

Mohd. Izuddin, juara kategori penggunaan joran mengilat PMC.

Juara tunggal kategori Senses, Bayie Mania.

Gambar kenangan para peserta Cabaran Haruan Banjir 2017.