Penghulu Sungai Retus
Selama ini amat jarang kisah memancing diketengahkan di bahagian Sibu, Sarawak. Sehinggalah penulis dan sahabatnya telah berjaya merungkai rahsia cabangan Rajang yang dikenal pasti merupakan singgahsana spesies pemangsa sungai paling besar di rantau ini… apa lagi jikalau bukan ikan tapah!
Teks & Fotografi : PASHAA RIMBARRA
Jika anda bukan berasal dari Sibu, tentu tidak banyak maklumat yang diketahui tentang cerita memancing, lantaran daerah yang terletak di bahagian tengah Sarawak ini begitu kurang diketengahkan sebagai destinasi memancing. Jika ada pun, lazimnya Sibu sekadar menjadi tempat persinggahan pemancing sebelum turun ke laut, khususnya di perairan Mukah.
Bandar Sibu terletak di pertembungan Sg. Rajang dan Sg. Igan. Kita semua tahu Sg. Rajang adalah sungai terpanjang di Malaysia. Keunikan sungai yang amat besar ini termasuklah kedapatan rumah-rumah panjang orang Iban, menjadikan ia suatu tarikan kepada para pelancong untuk memudiki Sg. Rajang sehingga ke hulu.
Rantau Panjang
Dengan sistem sungainya yang kompleks, Sg. Rajang tentunya mempunyai banyak jejari sungai yang jarang dikunjungi, malah belum diterokai oleh pemancing. Tanpa ramai yang sedar bahawa sistem Sg. Rajang di Sibu adalah gerbang terbaik buat anda yang teringin memburu trofi spesies pemangsa air tawar terbesar di negara kita iaitu sang tapah!
Geng kami telah mula menerokai jejari Sg. Rajang ini sejak tiga tahun lepas, dan kami telah berjaya mengenal pasti sebuah cabang yang dihuni banyak ikan tapah. Ia terletak di Rantau Panjang, iaitu sebuah perkampungan yang jaraknya kira-kira 25 km dari bandar Sibu. Majoriti penduduk Rantau Panjang ini berbangsa Iban dan untuk sampai ke sana, kami perlu menaiki bot selama dua jam dari bandar Sibu.
Walaupun Sg. Rajang terkenal dengan kekeruhannya, tetapi cabang sungai yang dipanggil Sg. Retus ini tidaklah begitu tercemar. Pada musim kering, sungai ini akan menjadi kehitaman air gambut dengan aliran yang perlahan di lubuk-lubuk dalam, yang sememangnya tempat bersemayam yang unggul buat gergasi sungai ini.
Penunggu Tepi Rumput
Selalunya kami turun memburu tapah Sg. Retus seawal jam 6 pagi, dengan mengharapkan Wilson Pilo selaku tekong yang memiliki bot berenjin 25 kuasa kuda untuk membawa kami ke Rantau Panjang. Bot akan mudik dari cabang utama Sg. Rajang iaitu Sg. Pasai dan menghulu sehingga bertemu cabang Sg. Retus pula.
Semakin jauh ke hulu Sg. Retus, bot akan melewati kawasan sungai yang berbangkar kayu serta berumput-rumput tebal yang digenangi air di kiri kanan tebingnya. Kawasan tepi rumput dan berkayu inilah kawasan yang digeruni, di mana tapah gemar mengendap mangsanya.
Menurut Wilson Pilo yang lebih arif tentang sungai ini, rekod tapah yang paling besar pernah dinaikkan orang tempatan ialah seberat 47 kg dengan teknik trolling. Sg. Retus memang penuh dengan kisah ikan-ikan yang besar, Wilson Pilo sendiri pernah direntap oleh sang tapah hingga meletup tali pancingnya.
Memandangkan teknik trolling begitu membosankan dan boleh menyebabkan mata terlelap, kami lebih suka memburu tapah dengan cara casting di segenap tepian rumput dan bangkar kayu. Gewang yang paling gemar kami guna dan laku dibedal tapah ialah Halco Sorcerer 125 dan Halco Laser Pro yang mampu menyelam sedalam 3 meter.
Detik-detik pertarungan dengan trofi idaman. Perhatikan rumput-rumput yang menjalar.
Kita tidak akan dapat menjangka saiz tapah yang akan membedal gewang kita. Mungkin 3 – 4 kg, mungkin 10 – 20 kg, atau mungkin 30 – 40!… memandangkan spesies Wallago leeri ini boleh membesar ke saiz yang ekstrem. Oleh sebab itu, kami sentiasa bersedia dengan set mengilat yang kasar, seperti baitcaster saiz 200, joran 15 – 30 paun, tali utama 50 paun dan perambut 60 paun. Penggunaan set sekasar ini dapat mengurangkan risiko tali putus bergeser dengan kayu ketika tapah amuk membenam.
Tapah bersifat pemalas, dan lebih suka berdiam diri di celah kayu, tepian rumput atau persimpangan sungai untuk menanti mangsa yang leka. Oleh itu, gewang hendaklah dikarau dengan perlahan-lahan untuk menggodanya, dan supaya mata kecil serta garis derianya dapat mengesan gewang di air yang agak keruh dan gelap.
Gewang yang mempunyai sifat gemerincing (rattling) adalah advantage kepada pengilat. Apabila gewang dibaham, tapah memberi tentangan yang padu dengan kuat mendap ke bawah, dan setelah beberapa minit ia akan memberatkan dirinya sahaja sehingga sukar dipam ke atas.
Air & Musim Terbaik
Untuk mengilat ikan tapah, kita juga perlu tengok keadaan air. Berdasarkan pengalaman kami, jika air terlalu keruh, sang raja sungai ini kurang galak membaham gewang. Kalau air jernih kehitaman pun sama. Tetapi kalau air sungai sedikit keruh kekuningan, itulah keadaan air yang cepat merangsang tapah untuk lebih galak menyambar gewang.
Tapah Sg. Retus juga didapati aktif tatkala air pasang dari laut memasuki ke kawasan hulu sungai ini. Selalu kami dapat mendengar bunyi deburan tapah menyambar di permukaan air. Namun ia tetap satu cabaran besar untuk memujuk sang tapah membaham gewang kita. Beratus kali mengilat sampai panjang sebelah tangan pun belum tentu kena satu strike! Kita kena banyak bersabar!
Mengikut pengalaman kami juga, musim yang paling afdal untuk mengilat tapah ialah pada bulan Ogos hingga Oktober. Dalam tiga bulan inilah, strike tapah cukup kerap sekali. Setiap kali turun, gerenti ada hasil. Wilson Pilo dan penduduk tempatan mengatakan ia ada kaitan dengan musim tapah bertelur. Ia berkumpul dan akan menuju ke hulu sungai untuk mengawan.
Misteri Rajang
Spesies ikan air tawar kita adalah sebahagian besarnya masih misteri, selalu kita jadi buntu bagaimana ingin memancingnya dan di mana hendak memburunya. Tetapi apabila sudah tahu serba sedikit rahsianya seperti musim yang sesuai dan kawasan mana yang menjamin strike zone, ia menjadi suatu kelebihan kepada kita.
Hari ini saya dapat melihat mentaliti pemancing kita semakin berubah ke arah yang positif, tangkap dan lepas giat diamalkan. Jika tidak mempunyai kamera pun, pemancing kita tidak galak nak bawa pulang tangkapan untuk ditunjukkan. Sifat sebenar pemancing sejati ini amat dihargai agar trofi ikan pujaan dapat diduga lagi pada masa akan datang.
Justeru kami mengharapkan tahun 2018 ini akan dapat merealisasikan rekod-rekod baharu ikan tapah sambil terus berusaha menerokai sungai-sungai lain di sistem Rajang ini, yang sebenarnya bukan sahaja dihuni tapah, malah spesies ikan ‘rare’ misalnya kelisa, tigerfish, dan lajong yang menyerupai ikan bilut di Semenanjung.