Pengurusan Bagasi Memancing Dalam Penerbangan (Bhg 1)
Bagaimanakah cara nak uruskan bagasi memancing dalam penerbangan? Ramai pemancing yang pertama kali menaiki kapal terbang bertanya soalan ini, dan saya kerap hadapi masalah untuk kongsi pengalaman ini dengan mereka. Jadi lebih baik saya bincangkan secara terperinci dalam ruangan ini, supaya sesiapa yang merancang untuk kembara memancing dengan penerbangan dapat melakukan persediaan yang sewajarnya…
Oleh : PAK WONG
Sejak kemunculan penerbangan tambang murah, ramai pemancing mula mengimpikan trip memancing dengan menaiki kapal terbang. Bukan sahaja terbang ke luar negara untuk memancing, malah di negara sendiri, terutama dari Semenanjung ke Sabah Sarawak atau sebaliknya. Ternyata syarikat penerbangan tambang murah telah memberi sumbangan yang besar dalam memacu industri dan arena memancing tanah air.
Joran & Tabung Joran
Apabila menaiki pesawat udara, joran ialah masalah pertama dalam penyediaan bagasi. Joran generasi baru, terutama joran pancingan laut kebanyakannya datang bentuk sebatang dengan panjangnya lebih enam kaki. Ia bagasi besar (oversize) yang hendaklah didaftar masuk ke kargo pesawat. Jadi kita memerlukan tabung joran teleskopik untuk menampung dan melindungi joran kesayangan.
Bagi menghindarkan insiden yang tidak diingini, kita mesti lakukan langkah-langkah perlindungan yang terbaik. Jangan tunggu sampai joran kita rosak atau patah, baru nak melatah kepada syarikat penerbangan itu.
Setiap joran sebaik-baiknya disarung sebelum dimasukkan ke dalam tabung joran. Pendekatan terbaik ialah dengan memakaikan sarung berjaring. Sarung berjaring ini berkesan kerana ia membentuk lapisan yang keras lagi fleksibel untuk melindungi joran daripada perlanggaran sesama sendiri apabila berlaku impak pada tabung joran akibat kecuaian pengendalian. Banyak kes joran patah walaupun berada dalam tabung joran akibat hentakan antara satu sama lain atau terhentak dinding tabung joran itu sendiri apabila ia jatuh ke lantai.
Masukkan semua joran ke dalam tabung itu dengan berat yang seimbang. Dalam erti kata lain, jika anda membawa enam joran, maka hendaklah disongsangkan secara tiga hulu pemegang joran dikembarkan bersama tiga hujung joran. Kemudian ikat kedua-dua hujung joran yang dikumpulkan secara songsangan itu dengan gelang pengikatnya.
Jadi joran bukan sahaja seimbang ketika tabung diangkat sambil berjalan, malah mengurangkan beban pada lengan anda. Ia juga menghindarkan tabung joran terjatuh disebabkan berat sebelah dan mengelakkan impak yang lebih besar jika terjatuh. Joran di dalam tabung yang telah diikat erat tidak berlanggar antara satu sama lain sekiranya berlaku insiden, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan joran.
Kini terdapat model tabung joran terbaru di pasaran yang datang dalam bentuk bersegi dan bukannya silinder. Tabung joran ini dilengkapi lapisan span di dalamnya yang boleh menyimpan joran secara terpisah antara satu sama lain bagi mengurangkan impak jika berlaku perlanggaran. Tetapi ia lebih mahal, dan sudah tentu lebih berat berbanding tabung joran biasa.
Kotak Pancing
Selain joran, anda juga perlu mendaftar masuk kotak pancing anda. Kotak pancing (tackle box) biasanya mengandungi mata kail dan gunting, yang tidak dibenarkan masuk ke dalam kabin penumpang. Untuk mengelakkan kerosakan semasa pengangkutan, pastikan anda menggunakan kotak pancing yang diperbuat daripada bahan plastik yang sangat keras. Untuk mengelakkan kotak itu pecah semasa pengangkutan, baik tambah sikit pelaburan dan masa dengan membalut plastik pelindung di lapangan terbang.
Kekili
Satu lagi perkara yang paling penting ialah kekili. Kekili boleh disimpan ke dalam bagasi, tetapi atas sebab-sebab keselamatan, saya lebih gemar menyimpannya ke dalam bagasi tangan untuk mengelakkan barang yang paling penting ini hilang sebaik sampai ke destinasi!
Dilaporkan bahawa pegawai lapangan terbang di sesetengah negara tidak membenarkan kekili yang berisi tali dibawa melalui bagasi tangan. Untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini, baik dapatkan pengesahan dengan pihak berkuasa atau pemandu pancing anda sebelum pergi ke destinasi yang tidak biasa anda pergi. Tetapi jika kekili elektrik yang besar, ia mesti didaftar masuk ke dalam kargo.
Jadi, sebelum terbang beraksi ke lubuk baru, bagaimanakah kita ingin membuat perkiraan dengan peralatan memancing yang lain untuk mengelakkan tambahan bayaran bagasi? Saya akan menerangkannya termasuk persoalan tentang cara membawa pulang hasil tangkapan segar dengan terperinci dalam isu akan datang.