Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Pengurusan Bagasi Memancing Dalam Penerbangan (Bhg 2)

Pemancing yang menaiki penerbangan sama ada dalam negeri atau ke luar negara amat mementingkan berat bagasinya. Bagi memastikan keseimbangan pesawat, kebanyakan syarikat penerbangan mengehadkan berat bagasi tangan atau berdaftar. Jika terlalu berat, anda akan dikenakan caj yang tinggi. Jadi rancanglah barangan dan cuba kurangkan berat bagasi anda…

Oleh : PAK WONG

Penyembur anestetik dapat mengurangkan kesakitan mangsa ketika berlaku kemalangan tercangkuk mata kail.

Batu Ladung & Jig

Di samping jig, peralatan memancing yang paling berat ialah batu ladung untuk pancingan dasar. Kebanyakan bot pancing yang berurusan dengan pelanggan luar ada menyediakan batu ladung secara pinjaman. Pelanggan hanya perlu membayar jika batu ladung tersangkut putus. Jika anda dapati tiada ladung disediakan, baik beli sahaja di sana. Ia lebih menjimatkan wang daripada membayar bagasi berlebihan.

Peningkatan populariti gaya jigging perlahan juga mendorong ramai jigger gemar terbang ke destinasi yang jauh. Harga jig perlahan bukanlah murah, sudah tentu ia perlu disediakan oleh jigger itu sendiri, bukan operator bot. Jadi kalau trip empat hari, berapa jig yang akan mencukupi?

Ini bergantung kepada lokasi dan spesies yang disasarkan. Jika lubuk itu didominasi ikan bergigi tajam seperti alu-alu, tenggiri dan yu, anda mesti bawa lebih banyak jig, sekurang-kurangnya 30 ketul. Jika anda ke lubuk ikan dasaran dan aji-aji (amberjack), lubuk sebegini biasanya kurang spesies bergigi tajam dan kurang menyangkut struktur. Maka saya cadangkan anda membawa 20 ketul jig sudah memadai.

Selain faktor ikan bergigi tajam dan tersangkut, anda juga perlu ambil kira saiz ikan yang disasarkan. Ikan besar mampu mengheret jig anda ke struktur yang memungkinkan jig dan tali pun lesap! Jadi dapatkan info lubuk sebelum berlepas daripada rakan yang pernah pergi atau sebaik-baiknya bertanya sendiri kepada kapten bot.

Ketika zaman jigging laju suatu ketika dahulu, kita mesti membawa fighting belt. Walaupun tali pinggang itu agak ringan, tetapi ia memakan ruang di dalam kotak pancing. Aksesori lain seperti playar, pengapit ikan, mata kail, perambut, tali tambahan dan lain-lain hendaklah dipastikan beratnya kurang daripada tiga kilogram. Jadi untuk empat hari memancing, jumlah berat kotak pancing itu sepatutnya tidak lebih daripada 13 kg, tanpa kekili.

Ubat-Ubatan

Satu lagi benda yang penting dibawa ialah penyembur anestetik yang boleh dibeli di farmasi. Tidak kira apa kaedah memancing, risiko kemalangan tercangkuk mata kail mungkin boleh berlaku. Penyembur anestetik ini membantu untuk mengurangkan kesakitan ketika mata kail dicabut daripada anggota badan yang terkena dengan memberi kesan kebas pada bahagian itu.

Ubat-ubatan lain juga harus dibawa. Yang paling praktikal bagi saya ialah minyak angin untuk kelegaan kepada yang mabuk laut atau mengalami radang kulit yang kecil. Begitu juga ubat cirit-birit. Ramai orang kita tidak biasa makan hidangan sashimi sehingga gejala cirit-birit mungkin berlaku. Status kebersihan yang rendah dalam bot pancing juga boleh mendorong kepada keracunan makanan. Bawalah pil jenis ‘charcoal’ yang sangat berguna untuk mengatasi cirit-birit.

Anda boleh lantik seorang dalam kumpulan anda untuk menyusun ubat-ubatan yang perlu dibawa. Bawalah juga ubat antibiotik dan demam. Ubat-ubatan ini ringan dan tidak makan ruang. Jangan ambil remeh. Pastikan ia dibawa apabila memancing di laut atau dalam hutan.

Bawa Balik Ikan

Bagi pemancing yang ingin membawa pulang hasil tangkapan ikan laut, proses ini yang paling sakit kepala! Pada masa ini, AirAsia dan MAS tidak membenarkan makanan laut dibawa masuk dalam pesawat. Tetapi anda beruntung kalaulah operator bot pancing ada menyediakan khidmat sejuk-beku ikan dan penghantaran ikan. Sudah tentu, perkhidmatan ini bukannya murah.

Lantaran itu, ramai pemancing memilih untuk tangkap dan lepas ikan pancingan. Tetapi bagi ikan demersal yang tidak sesuai untuk dilepaskan semula, ia diberikan sahaja kepada kru bot pancing sebagai tip atau dijual untuk mengurangkan kos sewaan bot.