Penjara G.T Bintulu
Projek penambakan laut di Bintulu (Sarawak) yang berskala mega bermula seawal tahun 2000 telah membentuk sebuah tasik air masin yang dikelilingi daratan dengan hanya satu kalvet untuk air keluar masuk. Dengan purata kedalaman 1.5 meter, siapa sangka tasik berdasar pasir dan berkelodak ini ‘menternak’ pelbagai spesies pemangsa mega liar yang terperangkap dan terpenjara selama berbelas tahun, sehinggalah ia akhirnya terbongkar!
Teks & Fotografi : RICHARD KIIN
Mungkin tidak keterlaluan untuk menggambarkan sebuah lagi padang pancing di Bintulu ini sebagai ‘syurga mengilat’. Sekali pandang memang tak timbulkan syak-wasangka langsung. Sewajarnya hanya layak digambarkan sebagai sebuah kolam ataupun tasik yang sedang dalam proses penambakkan yang saban hari semakin mengecil.
Dengan purata kedalaman hanya 1.5 meter, siapa sangka rupa-rupanya tersimpan khazanah impian yang dicari-cari oleh setiap insan bernama pemancing. Bak kata pepatah, “Belum cuba, belum tahu”. Mungkin ungkapan inilah yang sesuai digunakan untuk memperkenalkan lubuk itu kepada rakan-rakan yang belum pernah menduganya.
Saya sendiri pernah terlepas pandang. Setelah dipelawa rakan-rakan untuk menduganya, maka bermulalah sebuah episod baru dalam diari pancingan saya. Di sinilah saya berpeluang menambah koleksi kepelbagaian jenis ikan dalam album.
Keterujaan terhadap tasik ini membuatkan kami sering kunjunginya. Kami cuba aplikasikan pelbagai teknik mengilat serta menduganya pada selang waktu berbeza, seraya membuat kajian peribadi terhadap pola keaktifan ikan di dalam tasik tersebut. Hasilnya ternyata sangat memuaskan.
Meletup & Habis Tali!
Sepanjang mengilat di sini, banyak kejadian sergapan yang sukar dikawal berlaku. Lebih menggeramkan apabila gewang kesayangan seringkali lesap dicuri sang pelahap gewang. Bingung dibuatnya! Tidak kurang juga kejadian gewang terbarai dikerjakan penghuni tasik ini.
Seringkali juga kes sergapan ganas yang memaksa tali keluar sehingga mengosongkan gelendong kekili. Kejadian mata kail terkangkang, perambut putus, serta tali utama meletup acapkali berlaku kepada para pengilat di sini. Kejadian seperti itulah yang membuatkan pengilat-pengilat di sini semakin menggilai lubuk tersebut.
Istimewanya tasik ini ialah kerana dihuni sang gerepoh (G.T) yang terkenal dengan daya juang. Pengilat tempatan pernah beberapa kali merekodkan tangkapan berskala sehingga 6 kg dalam tasik ini. Bayangkanlah andai set yang ringan sahaja digunakan untuk menjinakkan G.T bersaiz begitu… Tak syak lagi, mungkin spesies inilah yang selalu mencuri gewang sehingga mengosongkan tali dalam gelendong kekili kami sebelum ini!
Dihuni Pemangsa Berkualiti
Selain G.T, barracuda (alu-alu) juga pemangsa yang digeruni dalam tasik ini. Silap hari bulan, melayang gewang kesanyangan dikekahnya. Itulah hakikatnya apabila terkena sergapan daripada bapak alu-alu yang bergigi tajam itu.
Setelah berkali-kali mengalami pengalaman kehilangan gewang kesayangan, ramai di pengilat di sini memasang perambut yang kasar. Sehinggakan ada yang memasang perambut dawai sebab tak sanggup kehilangan gewang ‘puaka’ kesayangan mereka.
Di samping itu juga, siakap yang terkenal dengan aksi lompatannya turut mendiami tasik ini. Sudah banyak spesimen siakap direkodkan. Namun kebanyakannya berskala 1 – 3 kg sahaja.
Menurut sumber rakan, ada pengilat pernah naikkan selungsong ataupun siakap anggaran 5 kg. Tidak hairanlah sekiranya suatu hari nanti akan ada yang berjaya menumpaskan selungsong bersaiz mega.
Salah satu spesis ikan sasaran di sini juga ialah ladyfish ataupun bandang. Dengan bentuk badannya yang cukup menarik, serta kudrat melawan yang cukup power, bandang pastinya antara spesies impian kita.
Aksi bandang sangat menarik apabila terkena pancingan. Ia kerap membuat lompatan ke permukaan. Tetapi awas! Jika silap menangani asakannya itu, kebarangkalian untuk lucut sangat tinggi. Bandang sangat bijak melepaskan gewang dari bibirnya.
Siakap merah dan jenahak pula tidak kurang jumlahnya. Dua spesies yang kuat melawan ini juga sering meninggalkan calar pada gewang. Namun kuasa pecutan yang dimiliki kedua-dua spesies ini pasti meninggalkan ‘karan’ pada jiwa pengail yang pernah merasai penangannya. Meskipun bersaiz lingkungan 2 – 3 kg, namun kekuatannya mampu memaksa joran melengkung ke tahap maksimum.
Selain itu, terdapat ikan bulan, gerut-gerut, senangin, kurau, talang serta kerapu. Malah ada yang berjaya mendaratkan kerapu naga, spesies kerapu yang sangat cantik.
Baru-baru ini rakan saya, Adi berjaya menumpaskan seekor ibu gelama anggaran 13 kg. Satu rekod peribadi terbaik secara landbased yang pernah dicatatkan dalam tasik air masin ini.
Menurut beliau, dua kali pecutan gergasi tersebut hampir-hampir menghabiskan tali dalam kekilinya. Mujurlah monster tersebut berhenti ketika hanya tinggal beberapa ela sahaja lagi tali pada gelendong. Setelah lebih kurang 15 minit pertarungan, beliau berjaya menumpaskannya.
Bakal Lenyap
Penulis percaya, masih ada lagi monster yang menghuni tasik ini. Tasik ini sememangnya sebuah padang pancing yang sangat berpotensi. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya tasik ini saban hari semakin mengecil. Beberapa tahun lagi ia pasti akan lenyap. Pembangunan yang rancak di kawasan ini memaksa kolam ini akan ditambak sepenuhnya sedikit masa lagi.
Namun bagi pengilat-pengilat tempatan, pengalaman mengilat di tasik ini tak akan lenyap dari ingatan. Bagi mereka, ia adalah pengalaman mengilat yang menjadi antara kenangan terindah sebagai seorang pengilat sejati.