Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Penunggu Sampah Hanyut

Kampung di mana bot diparkir serta jambatan runtuh yang memudahkan kita mencari lokasi.Asal jumpa sampah hanyut, mesti ada dia. Begitulah sinonimnya ikan pecah periuk atau ‘patipok’ dengan sampah hanyut yang terapung-apung di lautan, khususnya di Selat Melaka. Jika bernasib baik, lubuk terapung ini dihuni sampai seribu ekor patipok!

Teks & Fotografi  : JORAN PANJANG

“Bang, jom join saya cari ‘patipok’. Baru ni ada kawan tekong yang dapat lebih seribu ekor dua hari dia turun mencari.”

”Dengan pancing je ke?”

“Ye bang, pancing je. Itu pun bukannye lama. Dalam empat lima jam je. Itu pun sebab merayau mencari sampah yang lama.”  

 “Kalau abang nak pergi, saya kompomkan dengan tekong. Macam mana, jadi?”

“ON!”.

Kerja mencari longgokan sampah memerlukan kemahiran kerana tidak semua orang mampu. Alhamdullilah, laut yang tenang lebih memudahkan pencarian longgokan sampah walaupun sehingga ke laluan kapal dagang.

Previu

‘Patipok’… suatu nama tionghua bagi ikan yang biasa dikenali oleh orang Melayu kita sebagai ‘Pecah Periuk’ atau ‘Siakap Reba’ yang beridentiti saintifik Lobotes surinamensis. Ia adalah spesies yang cukup sinonim dengan sampah hanyut di tengah lautan sebagai tempat berlindung. Ikan ini juga diketahui umum sebagai ikan berkumpulan.

Ikan yang dipanggil ‘triple tail’ oleh mat saleh yang seakan siakap dari segi rupa bentuknya ini memberikan aksi menarik sewaktu membesit melarikan umpan. Sesekali, ia juga akan melakukan aksi akrobatik dengan melentingkan diri di permukaan air dalam usaha melepaskan diri.

Longgokan sampah yang ditemui tak semestinya mempunyai isi. Kena cuba, baru tahu ada isi atau pun tidak.

Ikan ini banyak ditemui di sepanjang Pantai Barat Semenanjung. Di kawasan perairan laluan kapal dengan kedalaman sehingga 50 – 60 meter, kumpulan ikan ini biasa ditemui di bawah longgokan sampah. Setiap tekong pasti tahu di manakah lokasi untuk mencari kawasan di mana biasanya longgokan sampah ini berada. Kawasan ‘tali arus’ ini dapat dikenali melalui kawasan berbuih dan sampah-sampah yang berkumpul membentuk longgokan.

Patipok pertama dari Fendi. Beliaulah pencetus idea melayan tarikan dari longgokan sampah.

Longgokan sampah ini berkemungkinan hanya sekecil sebatang pokok bakau atau juga sekeping papan ‘pallet’, dan mungkin juga berpeluang menjumpai sekumpulan perdu nipah yang besar. Kebiasaannya kawanan ikan ini akan berada di bawah longgokan sampah yang dapat melindunginya daripada pancaran matahari. Andai terjumpa longgokan sampah yang besar, pastinya kumpulan ikan ini juga besar dan banyak.

Tips Menjerat

Kes biasa kalau semua orang strike serentak.

Ikan patipok ini amat mudah untuk dijerat. Kita hanya perlu mencari longgokan sampah ini dan bersedia untuk menghulurkan umpan  sehampir yang mungkin. Patipok yang berada di bawah longgokan sampah itu pasti akan keluar dan menerkam umpan yang kita hulurkan.

Andai kumpulan ikan ini besar dan banyak, kita dapat melihat ikan-ikan yang lain akan mengejar ikan yang terkena pancingan kita. Situasi ini akan berlarutan sehingga ikan berada di bawah bot. Bila ikan yang terkena pancing diangkat naik, barulah kumpulan ikan yang lain melarikan diri ke bawah sampah semula.

Set Ringan

Dalam trip kali ini saya disarankan untuk membawa  set yang ringan kerana saiz ikan sasaran kali ini tidak besar. Lagipun ikan yang  berada di permukaan air ini tidak akan membenam terlalu jauh. Namun ketika balik kampung baru-baru ini, tiada set UL yang dibawa, maka saya gantikan dengan set mengilat sahaja.

Set serta umpan sotong getah yang digunakan.

Joran Loomis & Franklin 8 – 16 paun saya padankan dengan Curado 70XG. Rasanya sesuailah kot. Lagipun itu sahaja pilihan yang ada, janji layan. Tali sehalus 15 paun (yang ada) saya padankan dengan perambut 6 paun Dupont dan mata kail bersaiz 1. Saya lekatkan sekali sotong getah yang biasa saya gunakan pada mata jig. Sekaki dari mata kail, saya letakkan seketul batu lonjong sebagai pemberat dan memudahkan membuat balingan ke arah longgokan sampah itu.

Apabila longgokan sampah ditemui, setiap pemancing perlu bersedia membuat balingan secepat dan setepat yang boleh kerana ada kemungkinan untuk ikan-ikan ini menyelinap ke dasar lebih awal andai mereka terkejut dengan kehadiran kita. Balingan yang paling hampir dengan kawasan sampah ini akan menerima tindak balas daripada penghuni sampah secepat yang mungkin. Umpan yang tenggelam secara perlahan itu akan dibawa lari. Kita harus membuat sentap balas apabila tali pancing yang dihulurkan menjadi tegang.

Simple je sampah ni, tetapi memberikan hasil yang sangat lumayan. Tidak kurang daripada10 ekor berjaya dijerat dari sampah sekecil ini, tapi ikannya pun kecil juga saiznya.

Kecil & Degil

Keseronokan memancing ikan ini ialah walau sekecil tapak tangan pun, kita akan merasai perlawanan walaupun tidaklah sehebat berlawan dengan ikan yang lebih besar. Aksi-aksi akrobatiknya sudah cukup untuk membuatkan hati terhibur.

Andai kita memancing berkumpulan, kita harus memancing secara bergilir untuk mengelakkan ikan cepat sedar dan menghilang ke dasar. Apabila pemancing pertama mengena ikan, pemancing kedua haruslah melontarkan umpan ke arah kumpulan ikan yang sedang mengejar ikan yang terkena pancing pemancing pertama tadi. Ini akan membuatkan ikan-ikan itu beralih arah dan berebut-rebut untuk membaham umpan yang kita hulurkan pula.

Sampah plastik seperti ini bukan menjadi tempat untuk patipok bernaung.

Proses ini akan menjadikan kumpulan ikan ini tidak menjauh atau menyelinap ke dasar laut. Perlawanan dengan ikan juga tidak mengambil masa yang lama. Proses ini akan diulang oleh pemancing yang pertama tadi selepas dia menanggalkan ikan yang terkena mata kail.

Ada Musimnya

Selepas ini, sewaktu keluar merayau untuk mencari lokasi jigging atau bottom, jangan dilupakan penghuni longgok sampah ini. Keseronokan melayannya akan menjadikan detik memori pancingan  anda bertambah.

Anak saya yang tidak melepaskan peluang ikut sama. Itu pun dah seronok naikkan saiz yang sedap-sedap layan sahaja, tiada yang kasar.

Antara hasil yang berjaya dijerat menggunakan sotong plastik. Sotong plastik tidak kurang juga hebatnya berbanding umpan ori yang digunakan oleh tekong.

Bukan semua tempat dan masa ikan ini ada. Menurut tekong, ikan ini hanya banyak ditemui pada tempoh tertentu antara bulan November hingga Januari sahaja. Pada tempoh lain, jarang beliau menjumpai ikan ini.

Tekong yang saya gunakan khidmatnya ialah penduduk Kg. Nelayan di pekan Benut, Pontian Johor Darul Takzim. Sabree mula berjinak-jinak dengan laut sewaktu berumur belasan tahun lagi dan antara tekong yang mahir di sekitar Benut sehingga ke perairan Rengit di Batu Pahat.

Tidak banyak berbicara, namun amat mudah didekati serta tidak lokek dengan ilmu kelautannya. Bot gentian kaca 28 kaki yang dipacu oleh enjin 115 kuasa kuda amat sesuai membelah perairan Pontian ini. Perairan sehingga Pulau Pisang dan laluan kapal tidaklah asing baginya yang menjadikan aktiviti memancing sebagai hobi sahaja kerana dia mempunyai pekerjaan tetap.

Namun atas keasyikan memancingnya, banyak masa dihabiskan dengan aktiviti di laut, membuatkan segenap kawasan laut ini seakan sudah berada di dalam kepalanya sahaja. Andai ada yang memerlukan khidmatnya, bolehlah menghubungi beliau di Facebook dengan nama Sabry pree atau telefon : 012-733 3800.

Pulau Pisang yang menjadi mercu tanda di perairan Pontian ini.